Support My Blog

Saturday, July 21, 2012

TAHI KAMBING

TAHI KAMBING atau TINJA KAMBING  adalah salah satu hasil dari aktiviti menternak kambing yang boleh di menafaatkan sebagai baja organik yang sesuai untuk tanaman. Saya memang tahu akan perkara ini semenjak dulu kerana pernah memelihara kambing dan tahi kambing diambil dari kandang kambing akan di kumpulkan dan di letakkan di bawah pokok pisang, dan hasilnya pokok pisang subur dan memberikan hasil yang lumayan.  Selama ini kita hanya tahu yang aktiviti ternakan kambing dan kambing biri-biri hanya menghasilkan satu produk saja misalnya kambing pedaging hanya menghasilkan daging, manakala kambing tenusu mengeluarkan susu saja. Saya rasa ramai penternak sedia maklum tinja atau najis ternakan sesuai dijadikan baja bagi pelbagai jenis tanaman, sama ada untuk tanaman jangka pendek atau panjang. Pada masa ini telah ada teknologi dan teknik pemprosesan tinja yang biasanya dibuang begitu saja dimana ianya menyumbang kepada pencemaran alam sekitar telah boleh di proses untuk dijadikan baja yang dikenali sebagai 'Baja organik'. Artikel subuh lepas sahur 1 Ramadan ini saya menulis bagaimana kita hendak menggunakan tahi kambing sebagai satu produk berguna dalam 'Anim Agro Technology' untuk bacaan anda semua.

Dalam Sektor Pertanian, mungkin anda pernah dengar berkenaan 'Baja organik' atau ada yang katakan lebih popular sebagai 'Emas Hitam' iaitu merupakan hasil tahi atau tinja kambing yang diproses atau dikitar semula. Baja jenis organik ini merupakan baja yang dihasilkan daripada punca tanaman atau ternakan yang tidak mempunyai sebarang bahan kimia atau bahan hormon lain. Dalam saya membuat pemerhatian mengenai aktiviti menternak kambing, kita akan bermula dengan bilangan populasi yang sesuai untuk mendapatkan jumlah tahi kambing yang ekonomik untuk di proses. Lazimnya dengan sebanyak 50 ekor kambing, penternak sudah boleh mengusahakan baja organik untuk meningkatkan pendapatan dan menggantikan punca pendapatan utama asal.  Disarankan agar projek ini  merupakan pelengkap kepada bidang penternakan selain daripada mendapatkan hasil aktiviti penternakan untuk daging, kulit, susu dan sebagainya. Kuantiti tahi kambing lazimnya terkumpul di bawah kandang akan bertambah dari sehari ke sehari. Keadaan penghasilan tahi kambing ini sering mengujudkan pencemaran bau jika kita tidak diuruskan dengan betul dan mengakibatkan pencemaran dikawasan kandang kambing. Keadaan berkenaan boleh menyebabkan berlakunya serangan beberapa jenis penyakit kepada kambing yang diternak seperti penyakit radang paru-paru terutama pada ternakan tua dan terlalu muda.

Jika tidak di seliakan dengan baik akan berlaku longgokan tahi kambing dimana kuantiti ini akan bertambah banyak. Sering kita dapati keadaan ini  akan menyebabkan pencemaran alam sekitar terutama masa keadaan lembab atau apabila hari hujan. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Verterinar Malaysia menunjukkan jika penternak yang mempunyai bilangan ternakan kambing sebanyak 250 ekor kambing, ianya mampu menghasilkan 9,000 kilogram (kg) atau sembilan tan tahi kambing mentah sebulan. Jumlah tahi kambing  yang dihasilkan setiap bulan dalam kuantiti banyak ini saya rasa memang boleh dijadikan sumber pendapatan yang lumayan sekiranya diurus secara sistematik.  Beberapa kajian dayamaju mengenai baja organik tahi kambing mendapati, ianya dapat dipasarkan pada harga RM800 - RM 900 setan. Beberapa kajian dari ladang komersial yang berskala 250 ekor kambing didapati mampu menghasilkan RM8,400 sebulan melalui kaedah pemasaran yang betul.  Jika baja organik dijual dalam bungkusan kecil maka pendapatan meningkat kepada angka yang lebih lumayan.  Harga jualan runcit tahi kambing sekitar RM 3.00 - RM 4.00 satu pek kecil.  Kaedah pemasaran yang strategik mampu menjadikan penghasilan baja kompos sebagai penjana pendapatan.

Berbalik kepada kaedah menternak kambing, saya dapati sistem penternakan intensif merupakan sistem paling sesuai bagi pengeluaran baja organik berkualiti. Ini berbanding dengan sistem ternakan secara bebas dimana kita tidak akan memungut jumlah tinja yang optimum. Kandang Kambing yang hendak dibina sebaiknya mempunyai standard sesuai iaitu dengan ketinggian enam kaki (2m - dua meter) dari permukaan tanah bagi memudahkan kerja memungut tahi kambing asli atau masih mentah. Perlu diingatkan agar dipermukaan bawah kandang sebaiknya di simen. Saya perhatikan bagi kandang kambing bersaiz kecil, cara untuk memungut tahi kambing boleh dilakukan dengan cara menggunakan plastik kanvas yang diletakkan di bawah lantai  dengan cara curam ke tepi kandang. Tahi kambing yang diperolehi dan segar ini mengandungi 83 peratus bahan mentah dari bahan organik yang sesuai untuk dijadikan sebagai baja organik. Jika kita kira balik, sebanyak sembilan tan metrik tinja mentah mampu menghasilkan 10.5 tan metrik baja organik setelah di proses dengan baik menggunakan kaedah yang betul.

Kaedah Memproses tahi kambing dijalankan dengan menyediakan beberapa kemudahan seperti bangunan bangsal (15 kaki x 28 kaki atau lebih besar) dan alatan seperti mesin pembancuh tinja, cangkul, jaring penapis, alat penimbang dan bekas plastik. Peralatan ini akan digunakan bagi memproses tahi kambing yang akan menghasilkan baja organik. Kiraan mudah mendapati, kos semua peralatan dianggarkan kira-kira RM10,000. Kita memang tahu yang baja organik tidak mengandungi sebarang bahan kimia, antibiotik atau hormon. Lebih baik lagi kerana tahi kambing tidak mencemarkan alam sekitar atau kualiti air. Penggunaan baja organik tahi kambing dilaporkan dapat mengurangkan serangan oleh beberapa patogen perosak seperti hama dan penyakit. Kajian menunjukkan bahawa baja ini sesuai digunakan bagi semua jenis tanaman jangka panjang terutamanya tanaman buah-buahan seperti durian, duku dan manggis serta tanaman jangka pendek sayuran berdaun atau sayuran buah seperti sawi, cili dan tomato. Memang baja organik memberikan faedah kepada tanaman seperti menyuburkan lapisan bawah permukaan tanah, meningkatkan populasi mikro organisma tanah dan juga meningkatkan daya serap akar ; daya serap air. Baja tahi kambing juga mampu meningkatkan ketersediaan unsur terutamanya unsur Nitrojan, Posforan serta Kaliam (NPK) dalam jangkamasa panjang untuk membentuk unsur yang sangat diperlukan tanaman. Umum memang tahu yang baja ini memang mampu mengurangkan kos pertanian dan ianya  MESRA ALAM. Saya syorkan kepada penternak kambing untuk memproses tahi kambing bagi mendapatkan hasil sampingan dan boleh di komersilkan bagi menjana pendapatan tambahan.

TAHI KAMBING ........ HITAM WARNANYA....
KALAU DI KUTIP... DI PROSES IKUT CARANYA....
BAJA ORGANIK....BANYAK MENAFAATNYA....
BOLEH DI JUAL... BAJA ORGANIK NAMANYA....


By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya.
Malaysia
(1 Ramadan 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...