Support My Blog

Sunday, April 2, 2023

AMALAN TANAM PADI TABUR TERUS (Part 1)

TEKNOLOGI TANAMAN TABUR TERUS
padi (Oryza sativa Linn.) kini merupakan satu kaedah paling popular yang sudah agak lama dilaksanakan pesawah di Malaysia. 
Kaedah tabur terus basah juga merupakan antara kaedah yang sering digunakan oleh petani untuk menanam padi di petak sawah. Ini kerana pada kebiasaanya benih akan cepat bercambah iaitu seawal usia 4-5 hari selepas ditabur. Secara umumnya dimana proses awal seperti penyediaan benih untuk kaedah ini adalah sama dengan kaedah tabur terus dalam air iaitu benih perlu dirawat terlebih dahulu sebelum ditabur di petak sawah. Keadaan tanah di dalam petak sawah mestilah rata sebelum proses penanaman dilakukan. Benih padi akan ditabur di petak sawah yang berkeadaan basah tanpa air bertakung atau juga boleh diketahui sebagai keadaan 'cap-cap'. Antara beberapa aspek kelebihan menggunakan kaedah ini adalah kawalan rumpai mudah dilakukan melalui semburan racun pra cambah dan pasca cambah. Cara ini juga menyokong pertumbuhan padi yang lebih seragam dan mudah dipantau oleh petani. Selalunya berlaku peratusan benih tidak tumbuh dapat dikurangkan sekiranya pH tanah terlalu berasid. Kelebihannya juga melibatkan umur matang yang singkat (berbeza mengikut varieti) pengiraan umur padi mengikut hari benih ditabur.  Walau bagaimana pun, kaedah ini juga mempunyai beberapa kekurangan iaitu terdedah kepada serangan makhluk perosak seperti tikus dan burung. Selain itu juga sekiranya kawalan rumpai tidak dilakukan dengan betul maka tumbuhan rumpai akan banyak tumbuh seiring dengan padi menyebabkan petani perlu membuat kawalan rumpai beberapa pusingan. Pada penulis blog kaedah penanaman yang akan dilakukan adalah bergantung kepada pesawah itu sendiri. Apapun cara atau kaedah yang dipilih dimana masing-masing mempunyai kebaikan dan kelemahan dan apa yang paling penting adalah untuk kita sentiasa pantau keadaan petak sawah kita untuk mendapat hasil yang terbaik. Industri Padi di Malaysia merupakan salah satu industri pertanian yang ke 3 terpenting di Malaysia selepas Kelapa Sawit dan Getah. Tanaman Padi di Malaysia merupakan satu industri pertanian yang ke tiga terpenting selepas daripada tanaman Kelapa Sawit dan Getah. Keluasan tanaman padi pada 2021 adalah 647,859 hektar dengan seluas 525,984 ha berada di Semenanjung Malaysia, seluas 83,143 hektar di Sarawak dan seluas 38,372 ha di Sabah. Pengeluaran hasil padi pada 2021/2022 adalah sebanyak 2,428,889 metrik tan yang menjadi sebanyak 1,677,472 mt beras dengan kadar purata produktiviti hasil padi negara sebanyak 3,749 kg/ha (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia 2022). Secara umumnya tanaman padi yang hasilkan beras merupakan makanan ruji bagi seluruh warga Asia. Industri ini menghasilkan beras yang merupakan keperluan makanan daripada nasi lemak pada waktu pagi, makan tengahari sehingga hidangan untuk makan malam dan 'late supper' di kalangan masyarakat Malaysia. Artikel pada subuh Rabu ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya kongsikan beberapa amalan agronomi tanaman padi cara tabur terus (direct seeding) untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca blog semua.


Penanaman padi selalunya adalah dengan cara Mengubah (transplanting) sejak dahulu sudah diamalkan tetapi kini kebanyakan pesawah di Malaysia sudah menukar kepada sistem tanaman Tabur Terus (Direct seeding). Apa pun secara teknikalnya dimana tanaman terus padi ialah satu amalan tanaman di mana biji-biji benih padi ditabur terus ke sawah. Biji-biji benih akan bercambah dan kemudian ia dijaga sehingga pokok-pokoknya besar dan matang dan sesuai untuk penuaian. Kini dengan amalan tanaman terus dimana aktiviti pengubahan anak semaian padi tidak lagi perlu seperti yang terdapat dalam amalan biasa yang libatkan proses semaian, mencabut anakbenih, menghantar benih dan menanam (mengubah). Pada penulis blog mendapati dimana amalan tanaman terus padi boleh diusahakan dalam keadaan kering dan keadaan basah atau keadaan separuh basah. Cara menanam tabur terus sebenarnya boleh dibahagikan kepada 2 cara iaitu Secara Tabur Manual dan dengan cara Menggunakan Jentera Penanam biji padi. Dalam keadaan kering selalunya dimana kedua-dua cara (tabur dan dengan jentera penanam biji) boleh diusahakan mengikut kesesuaian. Tetapi di dalam keadaan basah atau separuh basah dimana cara tanaman terus secara tabur adalah lebih sesuai dan menjadi amalan ramai pesawah dikawasan utama jelapang padi di Malaysia. 
Pengalaman penulis blog semasa bertugas sebagai pegawai teknikal Jabatan Pertanian dahulu mendapati dimana kadar keperluan benih bagi sistem tanaman padi mencedung atau menanam (ada tapak semaian) adalah sebanyak 40 kg sehektar. Saya ada menulis artikel ini yang boleh dibaca dengan pautan berikut (Sila Klik Disini). Jika benih yang dijual mempunyai faktur kadar percambahan sebanyak 80% dengan 98% ketulinan maka jumlah sebenar benih padi dugunakan adalah 49 kg. Pesawah perlu membeli sebanyak 49 kg benih padi untuk mencukupi keseluruhan kawasan 1 hektar. Bagaimana pun kaedah penanaman dengan jentera penanam mempunyai kadar keperluan 80 kg sehektar. Ini bermakna jumlah benih yang perlu dibeli oleh pesawah dengan hipotesis sama adalah sebanyak 98 kg sehektar. Penggunaan jentera menanam memerlukan alatan khas untuk menanam padi (paddy transplanter). Teknik ini memerlukan benih padi sebanyak 140 kg sehektar atau sebanyak 171.5 kg yang perlu dibeli daripada pengedar. Paling banyak sistem penanaman padi masa kini di Malaysia adalah Sistem Tanaman Tabur Terus.Sistem ini juga memerlukan biji benih padi sebanyak 140 kg sehektar untuk kepadatan tanaman sesuai. Kalau seseorang pesawah mempunyai keluasan sebanyak 10 hektar maka keperluan membeli benih padi adalah sebanyak 1,715 kilogram atau ringkasnya sebanyak 1.7 metrik tan.


Penulis blog kongsikan 
kebaikan dan keburukan cara-cara menabur terus dan menanam padi dengan jentera. Apa pun dilaporkan cara ini sesuai untuk kedua-dua keadaan basah dan kering sama ada yang dilakukan menabur terus dengan tangan dimana ia mudah diuruskan, sesuai untuk kawasan kecil, selalunya hasil taburan tidak serata dan sering berlaku dimana masih ada kekosongan dibekas-bekas alur jalan semasa menabur. Bagaimana pun apabila menabur terus dengan gunakan  Mesin Penabur Kuasa Tangan hasilnya adalah ia akan dapat menabur dengan serata, hanya menggunakan tenaga pusingan tangan dan masih ada kesan kekosongan dibekas alur jalan semasa menabur (Sila lihat foto paling atas). Teknik ketiga yang semakin popular digunakan dalam menanam padi secara tabur terus adalah menggunakan  Mesin Penabur Berinjin dimana cara ini akan membolehkan benih padi akan ditabur serata, taburan seperti dari ruangan udara dan dilakukan dengan lebih cepat (kadar sekitar 25 minit sehektar) untuk disiapkan. Bagaimana pun dibeberapa negara maju dimana penanaman padi tabur terus adalah dengan taburan dari ruangan udara dengan Pesawat Udara (kapalterbang) dimana ia adalah cepat dan sesuai untuk kawasan luas, pada amnya kadar benih digunakan lebih banyak dan cara ini masih belum diamalkan di Malaysia lagi akan tetapi berpotensi dimasa akan datang. Kemungkinan penanaman benih padi dengan menggunakan teknologi dron adalah sudah menjadi kenyataan di Malaysia dalam masa terdekat dilaksanakan dibeberapa kawasan jelapang padi utama. Walau pun penggunaan dron lebih banyak kepada aplikasi untuk penyemburan racun serangga dan baja foliar tetapi penggunaan untuk tabur benih padi semakin mendapat permintaan kalangan pesawah moden.


Kaedah menanam padi tabur terus dengan cara menggunakan mesin sudah semakin popular dikalangan pesawah di Malaysia. Teknik ini sebenarnya amat s
esuai untuk keadaan sawah yang kering. Teknik menanam padi lama yang dilakukan melalui proses Tugalan atau Jemput (selepas membuat alur dengan mesin) dimana ia selalunya akan mengambil masa yang lama, ia perlukan banyak tenaga dan rumit, berlaku keadaan dimana jarak tanaman tidak serata dan juga berlaku kadar biji semata rumpun tidak serata. Bagaimana pun jika pesawah  menggunakan Mesin Penanam Biji padi ianya membolehkan ia sesuai disangkutkan ke belakang mesin pembajak putar, boleh lakukan proses penyediaan tanah dan penanaman dijalankan sekaligus dan sesuai untuk tanaman berbaris. Cara ini juga dapat dijalankan dengan lebih cepat dan kemas dimana ia dapat mengatasi masalah kegelinciran dan lekatan lumpur di tanah basah. Dari segi implement digunakan termasuk Mesin Injector Planter dan juga Mesin Fluid Driller dimana ia mampu mempercepatkan percambahan biji benih untuk mengatasi pembiakan rumpai, mampu mengambil masa dan berkehendakan kemahiran tetapi kelemahannya adalah mesin ini adalah tidak sesuai dalam keadaan tanah sawah basah. Bagaimana pun perlu difahami akan keadaan sesuai disawah untuk sistem tanaman padi tabur terus dapat dilakukan. Penanaman terus padi memerlukan beberapa keadaan tertentu seperti infrastruktur pengairan yang lengkap, kesesuaian tanah dan kawalan rumpai serta musuh yang ketat untuk menjamin kejayaannya. Asasnya perlukan kemudahan infrastruktur Pengairan Yang Lengkap. Ini kerana pengurusan air yang betul sangat penting di beberapa peringkat tanaman. Pengurusan air yang tidak betul bukan hanya mengganggu percambahan tetapi juga mempengaruhi pembiakan rumpai, musuh-musuh tanaman dan kerosakan permukaan tanah daripada kesan roda semasa menuai dengan jentera penuai. Infrastruktur yang lengkap ialah sistem perparitan pengairan serta pengaliran yang boleh mengawal paras air dengan tepat. Sebaiknya untuk kawalan air yang lebih cepat, parit-parit kecil sedalam dan selebar 0.5m di sekeliling petak boleh mengawal paras air dengan memuaskan. Jika permukaan tanah tidak rata di kawasan yang luas, parit-parit tambahan atau alur-alur mengalirkan takungan air mesti dibina supaya gangguan kepada percambahan benih boleh dielakkan. Artikel ini ditulis dalam dua (2) segmen iaitu Part 1 dan Pat 2 yang digalakan untuk dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua para pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!...
TANAM PADI... TABUR TERUS CARANYA...
PERLU DIFAHAMI... AKAN TEKNOLOGINYA...
DIBERI BAJA... PERLU KAWAL RUMPAINYA...
CEPAT MENUAI... TINGGI HASILNYA JUGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room Suite No 2, V! Boutique Hotel,
Pasir Penambang, Kuala Selangor,
Selangor,
Malaysia.
(29 Syaaban 1444H).
Melawat Sawah Di Sekinchan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...