Support My Blog

Wednesday, December 23, 2015

PROJEK KERISEK 'SRI JINJING'

KERISEK SRI JINJING merupakan sejenis produk kerisek yang berasasan Kelapa (Cocos nucifera) yang semakin popular di keluarkan untuk pasaran domestik oleh usahawan Encik Aziz di Melaka. Penulis baru-baru ini dapat melawat projek kerisek ini bertempat di Kg Bukit Jinjing, Melaka dengan ramai rakan-rakan satu pejabat. Rombongan kami disambut oleh Pegawai Jabatan Pertanian Negeri Melaka dan En Aziz serta keluarganya jam 9.30 pagi. Perjalanan selama 20 minit dari Bayou Lagoon Park Resort, Bukit Katil memberikan keseronokkan apabila hujan sehari suntuk sebelum ini yang menyebabkan banjir dibeberapa lokasi menjadi terang benderang pada hari lawatan. Memulakan cerita, Encik Aziz bercerita bagaimana beliau memulakan projek pada tahun 2006 untuk membuat kerisek daripada kerja asal hanya menjual buah kelapa yang katanya kurang menguntungkan. Setelah membuat kerisek beliau dapati ia lebih menguntungkan dan telah memulakan aktivitinya secara tradisional. Lama kelamaan beliau telah didatangi oleh pegawai dari Jabatan Pertanian Melaka untuk cuba mengkomersilkan perusahaan membuat kerisek. Beliau telah menghadiri beberapa siri kursus membuat kerisek dan juga membeli peralatan asas membuat kerisek secara komersil dengan membuat penjaman. Bantuan kemudian dihulurkan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pertanian dengan nilai beribu ringgit juga dalam bentuk peralatan dan mesin memproses. Kini beliau adalah merupakan salah seorang daripada dua pengusaha yang membuat kerisek yang terbesar di Melaka. Seorang lagi pengusaha membuat kerisek di Melaka adalah berada di Jasin, Melaka dengan jenama kerisek mereka adalah 'Kerisek Mutiara'. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai perusahaan membuat kerisek asli di Melaka untuk dijadikan testimoni mengenai perusahaan Industri Asas Tani yang memberikan jaminan pendapatan yang baik dalam sektor pertanian selari dengan slogan 'Pertanian adalah satu peniagaan'. 


Walau pun lorong untuk memasukki kawasan projek KPW Bukit Jinjing, Melaka agak sempit tetapi kami melaluinya dengan sabar. Setibanya dilokasi projek sudah terlihat papan tanda projek yang menjelaskan maksud projek kerisek (Sila lihat foto disebelah). Bermula dengan satu pondok kecil diperingkat permulaan projek, kini En Aziz mempunyai dua buah bangunan untuk memproses kerisek. Satu bangunan yang agak besar digunakan untuk aktiviti menyediakan buah kelapa, memarut, menggoreng dan menghasilkan bahan mentah kerisek dari buah kelapa. Pada masa ini sebahagian besar sumber bekalan kelapa didapati daripada kelapa import dari Indonesia melalui orang tengah dikenali sebagai En Andrew. Kelapa tanpa sabut ini dibawa masuk daripada Batu Pahat, Johor. Dakwa En Aziz memang agak sukar untuk mendapatkan bekalan kelapa tempatan segar semenjak ia memulakan projek kerisek. Ini kerana harga dan bekalan kelapa tempatan lebih mahal dan bekalan tidak menentu dimana kadang-kadang ada tetapi selalu tidak ada. Bekalan kelapa import ini diimport oleh pihak FAMA dan diedarkan kepada pengusaha IKS dengan harga separuh daripada harga kelapa tempatan. Harga sebiji buah kelapa tempatan menurut En Aziz adalah sekitar RM1,700 metrik tan (diantara RM1.50 sehingga RM1.70 sebiji). Beliau telah membeli kelapa import dengan kadar harga RM700.00 satu metrik tan (kalau saya kira harganya sekitar RM0.70 sebiji). Menceritakan lagi seterusnya En Aziz mendakwa kerisek yang dibuat daripada kelapa tua tempatan lebih berkualiti dan wangi berbanding dengan kelapa import.

Beliau kini mempunyai 10 orang pekerja tempatan dikalangan penduduk kampung untuk membantu menguruskan perusahaan membuat kerisek. Kilang kerisek ini selalu beroperasi 30 hari sebulan dan pengeluaran akan digandakan sebelum bulan puasa dan sebelum hari raya. Ini kerana permintaan kerisek untuk Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban meningkat berlipat kali ganda untuk umat Islam membuat rendang dan pelbagai makanan tradisional lain. Jenama 'Kerisek Jinjing' diberikan En Aziz kerana pada beliau perkataan 'Jinjing' adalah kaedah membawa (carry) dengan tangan dalam unit yang paling kecil. Selepas itu cara membawa adalah Segengam, Sekepal, Secubit, Sebakul, Sebekas, Seguni, Sepikul dan seterusnya. Produk kerisek beliau yang dibungkus dengan bungkusan (packing) paling kecil sekitar 150 gram hanya sesuai untuk dijinjing sahaja (Itu dia kata sambil ketawa sinis). Produk kerisek asli buatanya memang dijamin berkualiti dan bermutu sehingga menerima permintaan tinggi setiap musim perayaan dan pada hari-hari biasa. Kini beliau menghantar produk kerisek ke beberapa buah Supermarket dan Pasaraya Besar selain daripada kedai runcit disekitar Melaka Tengah. Walau ada permintaan yang agak lumayan daripada Singapura tetapi beliau kini tumpukan untuk bekalan tempatan sahaja.

Kapasiti pengeluaran kerisek jinjing adalah purata sebanyak 200 kg sehari. Mengikut En Aziz beliau akan menggunakan buah kelapa sebanyak 1,200 sehingga 1,500 biji sehari untuk dikupas, diparut, dipanaskan atas oven dan dikisar menjadi kerisek. Katanya beliau hanya pandai kira menggunakan bakul untuk kegunaan buah kelapa harian iaitu sekitar 25 bakul. Satu bakul mengandungi 48 - 55 biji buah kelapa import tanpa sabut. Kelapa ini diparut dan dimasukan dalam oven selama 2.0 - 2.5 jam untuk mengeringkannya (Sila lihat foto paling bawah). Kelapa parut ini perlu dibalik-balikan untuk tujuan masak yang sekata. Proses seterusnya adalah penggorengan kelapa parut sehingga menjadi warna kuning keemasan dalam 'roller dryer'. Terdapat dua buah mesin ini yang mampu memproses secara bergilir-gilir. Kelapa parut ini kemudian akan dikisar menggunakan grinder sehingga ia menghasilkan kerisek yang pekat berwarna coklat dengan bau yang amat enak (Sila lihat foto disebelah). Kerisek ini akan di bungkus menggunakan 'packing machine' automatik mengikut sukatan timbangan berat yang diperlukan. Beliau juga mempunyai 1 unit mesin pembungkusan automatik dan 2 unit mesin pembungkusan semi-automatik. Dinyatakan beliau tidak menambahkan sebarang bahan pengawet didalam kerisk yang dihasilkan tetapi produk kerisek jinjing tidak pernah kurang kualitinya dan tahan lama. Pengguna yang pernah menggunakan dan membeli kerisik keluaran syarikatnya memang tidak pernah kecewa malahan akan terus menerus membelinya kerana jaminan kualiti dan mutu produk. Selamat maju jaya En Aziz dengan Produk Kerisek Jinjing. Wasallam!..


KERISEK JINJING... PRODUK ASLI...
ENCIK AZIZ... 2006 TAHUN MULAI...
KELAPA IMPORT... BANYAK BIJI...
TERUSKAN USAHA... BERBAKTI..


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Bukit Jinjing, Kandang,
Melaka Tengah,
Melaka, Malaysia.

(1 Rabiulawal 1437H)

Tuesday, December 22, 2015

MUSANG - KENALI DIA?

MUSANG (Famili: Viverridae) atau Civet merupakan sejenis haiwan pemalu yang agak jarang dibincangkan dalam artikel berbahasa Malaysia. Dalam laman wikepedia pun cerita pasal musang hanya beberapa baris sahaja. Haiwan musang juga merupakan sejenis mamalia berdarah panas dan ianya adalah haiwan mamalia jenis karnivor yang hidup di darat atau khususnya dikawasan hutan atau belukar di tropika. Saya dapati haiwan liar ini sebahagian besarnya dari famili Viverridae. Bagaimana pun haiwan jenis musang mempunyai sebanyak 11 Genus diseluruh dunia iaitu terdiri daripada spesis dari Genus Chrotogale, Cynogale, Diplogale, Hemigalus, Arctogaldia, Macrogalidia, Paradoxurus, Paguma, Civettictis, Viverra dan ke 11 adalah Genus Viverricula. Saya mengenali musang kerana semasa tinggal dikampong zaman remaja di Muar, Johor sering melihat bangkai musang yang ditembak oleh bapa kerana memasukki reban ayam untuk makan ayam ternakan. Lazimnya ayam akan berbunyi bising apabila ada musang, biawak atau ular sawa menghampiri reban dan sediakan senapang sahaja untuk menembaknya. Dengan gunakan lampu suluh maka mata musang akan bersinar dan terus picu senapang kearahnya dan 99% lazimnya akan mengena. Belum ada laporan dikalangan penduduk kampong yang makan daging musang sebagai haiwan eksotik tidak seperti biawak dan babi hutan ketika itu. Kadang kala terdapat juga bangkai haiwan musang yang mati dilanggar kereta diwaktu malam ketika menyeberang jalan raya. Musang kini semakin polular namanya di Indonesia dengan nama 'Luwak' iaitu sempena produk kopi luwak berasaskan tahi musang yang ekslusif dipasaran dunia. Artikel petang Jumaat ini sempena cuti rehat dan berkemas dirumah, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai haiwan musang sekadar dijadikan bahan rujukan anda.


Dalam filem Melayu terdapat beberapa filem lama yang popular seperti Filem Musang Berjanggut merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Malaysia pada tahun 1 Ogos 1959. Filem Musang Berjanggut diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna. Filem ini keluarkan oleh Show Brothers Limited dan dibuat oleh Malay Film Productions dibintangi oleh P.Ramlee, Saadiah, Ahmad Nesfu, Udo Umar, Malek Sutan Muda, Nyong Ismail, Mustarjo dan ramai lagi (Sila lihat foto disebelah). Pada akhir cerita musang berjanggut dibawa ke istana oleh Tun Nila Utama. Sultan dan menteri-menterinya terkejut apabila melihat Datok Nikah Kahwin berada di dalam peti. Masing-masing cuba untuk menyalahkan diantara satu sama lain. Tetapi mereka Cuma berdiam apabila masing-masing menyedari akan kejadian malam tadi. Menyedari akan kesalahan yang telah dilakukan, maka baginda Sultan telah melepaskan diri daripada tugas pemerintahan negeri dan menyerahkannya kepada Tun Nila Utama. Baginda juga menitahkan agar semua menteri-menterinya juga berbuat demikian bagi menebus kesalahan mereka. Tidak kira lelaki mahupun wanita, mereka yang baik adalah mereka yang menjaga maruah. Membataskan diri dengan mengingati nilai maruah boleh membantu dalam menghasilkan masyarakat yang harmoni, aman dan sentosa. Filem ini ditonton oleh beberapa generasi hampir 60 tahun berlalu dan masih diulang tayang di TV. Dalam peribahasa pula terdapat satu peribahasa popular iaitu "Musang Berbulu Ayam" yang memberi makna 'Orang jahat yang berpura-pura baik untuk menutupi kejahatannya'. Foto bagaimana musang berbulu ayam dipaparkan paling bawah dalam artikel ini.


Dalam kita hendak mengenai spesis musang mungkin tidak ramai yang kenal akan spesis tersebut. Pada penulis yang paling saya kenal adalah spesis Musang Pulut (Common Palm Civet) yang sering dijumpai disekitar kawasan kebun kelapa sawit dan belukar atau dipinggir-pinggir kampung (Sila anda lihat foto disebelah). Musang ini yang aktif disebelah malam makan buah-buahan, haiwan kecil mempunyai bulu tebal berwarna kelabu coklat dengan dimuka ada bulu berwarna kehitaman. Spesis lain yang sering dijumpai adalah Musang Jebat (Viverra zibetha) dan juga spesis Musang Akar (Arctogalidia trivirgata). Musang akar sering dijumpai oleh penulis dikampong kerana ia sering memburu ayam dalam reban mempunyai kulit keseluruhannya berwarna hitam (Sila lihat foto dibawah). Saya ingat dikalangan penduduk kampung haiwan ini juga digelar sebagai 'Macan Akar' yang bermakna  Harimau Akar. Spesis musang lain adalah Musang Hitam Pudar (Hose's Palm Civet) dan juga Musang Rasa (Viverricula indica). Saya juga mendapati terdapat beberapa spesis lain iaitu  Musang Tenggalung (Viverricula malaccensis), Musang Luwak (Paradoxurus hermaphroditus), Musang Galing (Paguma larvata), Musang Linsang (Prionodon linsang), Musang Binturong (Arctictis binturong), Musang Belang (Hemigalus derbyanus) dan akhir sekali adalah Musang Lamri (Paguma larvata). Musang Lamri amat popular dahulu kerana ia telah dijadikan siri kartun yang ternenak pada tahun 1970'1n sehingga 1080'an melalui komik.


Musang sebenarnya adalah sejenis binatang yang liar tetapi boleh telah pun dikategorikan sebagai  tidak buas. Ia juga merupakan sejenis haiwan yang sangat licik dan walau pun dikatakan sebagai sejenis haiwan pengecut. Daripada ingatan semasa remaja dulu dikampong dan juga pemerhatian penulis semasa melawat Zoo Melaka, saya dapati rupanya seperti kucing tetapi tubuhnya besar sedikit (berat diantara 1.4 - 4.5 kg seekor) dengan bulu yang mempunyai warna dan ketebalan berbeza-beza mengikut spesis. Lazimnya haiwan musang tidur sahaja pada siang hari (Pasif) tetapi ia akan bertindak aktif pada waktu malam. Matanya yang besar dengan membolehkan ia melihat pada waktu malam dengan terang untuk mencari makanan. Musang adalah haiwan berdarah panas dimana ia akan melahirkan anak, menjaga anak, dan mempunyai bulu di badan. Beberapa spesis musang mempunyai bau amat busuk dan ada yang berbau wangi seperti Musang Pandan. Musang Pandan sering berkunjung di Pejabat Pertanian Segamat semasa saya bertugas disana sekitar tahun 2001-2004 dimana naik bulu roma ketika waktu pagi dan lewat senja. Bau wangi yang teramat sangat ini seakan ada 'benda' dalam pejabat yang menakutkan. Akhirnya setelah diberitahu itu adalah baudari musang pandan baru saya berasa selesa dipejabat tersebut. Kemudian setelah membaca artikel baru tahu bahawa 'The civet produces a musk (also called civet) highly valued as a fragrance and stabilizing agent for perfume. Both male and female civets produce the strong-smelling secretion, which is produced by the civet's perineal glands. It is harvested by either killing the animal and removing the glands, or by scraping the secretions from the glands of a live animal. The latter is the preferred method today'. Saya sengaja tidak alih kebahasa Malaysia agar anda dapat memahaminya.


Musang terdapat dibanyak kawasan didunia yang natif di Afrika dan dijumpai di Madagascar, Selatan China, Asia Tenggara dan kawasan tropika lain. Kini musang telah terancam habitatnya dan ada beberapa spesis musang yang hampir pupus akibat gangguan manusia terhadap habitatnya. Dikawasan Asia Tenggara juga dilaporkan paling terancam beberapa spesis musang yang bertmbung dengan amadun manusia. Ini kerana musang haiwan karnivor yang merosakkan tanaman dan ayam ternakan sebagai makanannya dan seperti saya katakan sering dibunuh manusia. Hanya di Malaysia sahaja didunia dikatakan ujud dikalangan Orang Asli yang dilaporkan menjadikan musang sebagai haiwan peliharaan (pets). Bagaimana pun pada masa ini spesis Musang Pulut telah menyesesuaikan untuk hidup dikawasan bandar dan pinggir bandar dengan mendiami bumbung rumah teres dan kawasan sesuai dengan habitat barunya, Ia membiak dengan baik dilokasi sesuai dimana ada makanan dan persekitaran yang selamat. 


Kini di Indonesia musang atau dipanggil sebagai luwak telah dijadikan haiwan amat berguna dalam industri kopi. Produk Khas khususnya 'KOPI LUWAK' atau pun dipanggil sebagai Caphe Cut Chon (Fox dung coffee) di Vietnam atau Kape Alamid (di Filipina) adalah biji kopi yang diproses dari tahi musang. Terdapat dua kaedah menghasilkan kopi luwak ini iaitu secara semulajadi dimana petani akan memungut hasil tahi kopi dalam kebun yang bertaburan atau cara menternak musang dalam sangkar. Cara kedua adalah cara mendapatkan kopi luwak komersil dimana beberapa ekor musang dikurung dalam sangkar dan diberikan makan biji kopi masak dan tahinya dikumpulkan dibawahnya. Apa yang berlaku dimana biji kopi dimakan musang dan bijinya tidak hadam tetapi asid dalam perut musang menambah aroma dan citarasa keenakan biji kopi tersebut  Tahi musang ini kemudian akan dikutip dan biji kopi dikumpulkan sebelum dibasuh, dikisar dan dipekkan. Harga kopi luwak adalah sangat mahal dipasaran antarabangsa. Harga kopi luwak sekitar USD600 untuk 500 gram dan harga secawan kopi luwak yang asli mencecah sehingga USD100 (RM420 secawan) dibeberapa lokasi khas. Anda boleh menbaca tulisan saya mengenai kopi lumat dalam beberapa artikel sebelum ini (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Bagaimana pun terkini amalan meletak musang dalam sangkar dan diberi makan kopi telah dikecam oleh masyarakat antarabangsa kerana 'kejam' terhadap haiwan dan mereka memboikot produk kopi tersebut. Semuga tulisan mengenai musang ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.
ARTIKEL MUSANG...INI TULISAN SAYA...
SEMAKIN PUPUS... DIMUSNAH MANUSIA...
BEBERAPA SPESIS ... TAHUKAH ANDA...
KOPI LUWAK... HEBAT HARGANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomistm
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(6 RabiulAwal 1437H)
Berkemas untuk berpindah rumah.

Monday, December 21, 2015

USAHAWAN DODOL HJ IDRIS MELAKA

DODOL 13 PERISA HJ IDERIS merupakan satu produk dodol yang semakin popular masa kini. Dodol 13 perisa ini hasil inovasi dodol pelbagai perisa yang dijalankan dimana idea asal tercetus selepas lawatan beliau ke Thailand dan ia mendapati wujudnya dodol pelbagai warna namun, masih kekal dengan perisa asli. Bermula daripada saat itu Ideris berfikir tentang keupayaan dodol pelbagai perisa dan nekad memulakan produk tersebut untuk pasaran komersil. Penulis yang melawat projek IAT kelolaan Jabatan Pertanian Melaka di Kg. Solok Bakar Batu, Kandang, Melaka pada Disember 2015 bertemubual dengan pengusaha ini untuk meninjau teknologi dan success story usahawan ini. Pada masa ini bantuan awal daripada Jabatan Pertanian dan kemudian teknologi dari MARDI telah pun berjaya melahirkan dodol berperisa jagung, pandan, strawberi dan mangga yang secara tidak langsung menjadi titik tolak buat Ideris untuk meneruskan kajian ke atas potensi dodol pelbagai perisa lain. Peringkat awal menurut Ideris ia menerima pelbagai tohmahan serta lontaran kata-kata tidak siuman terhadapnya tidak sekali-kali melemahkan semangat lelaki itu untuk terus maju menghasilkan dodol perisa cappucino dan durian. Pada mulanya ramai orang menganggap dia gila kerana cuba menghasilkan dodol pelbagai perisa dan warna kerana tanggapan orang bahawa makanan tradisi ini tidak boleh berkembang. Tetapi kini dodol asli saya juga telah sedia diterima dengan mempunyai empat jenis iaitu dodol asli iaitu dodol asli badam, gajus, kurma dan kismis. Beliau kini telah buktikan bahawa ia tidak mustahil dilakukan. Penulis juga diberitahu isteri kepada Ideris, Fozaiah Sabtu yang juga merupakan antara orang kuat perniagaan dodol itu memberitahu, dodol pelbagai perisa tersebut juga kini mendapat sambutan pelanggan dalam dan luar negara. Artikel malam ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai produk dodol dan beberapa projek lain oleh usahawan yang berjaya dari negeri Hang Tuah untuk dijadikan bahan bacaan dan testimoni.


Dodol merupakan produk utama usahawan ini dan kini terdapat banyak produk lain yang dipasarkan seperti belacan, minyak kelapa dara (VCO), sagun, wajik sirat, cencalok dan sebagainya. Tinjauan penulis mendapati dodol asli yang mengandungi kacang-kacang akan dipasarkan diminati oleh pelanggan-pelanggan dari Timur Tengah. Selain itu dodol-dodol perisa lain pula dihantar ke Singapura, Brunei dan China. Beliau mengusahakan produk dodol di kilangnya yang mendapat persijilan MesTI dan HALAL. Semua syarat penyediaan dodol dilakukan dengan kawalan kualiti yang sempurna oleh beliau (Sila lihat foto sebelah). Kini boleh dikatakan penerimaan orang ramai terhadap dodol pelbagai perisa ini berada pada tahap 60 peratus dimana katanya semakin lama ia semakin meningkat. Tidak lama lagi syarikat ini akan mengeluarkan dodol perisa baharu iaitu dodol berperisa coklat, epal dan durian belanda. Teknik pembungkusan ada beberapa jenis tetapi pack yang paling kecil dibingkus dengan bentuk tigasegi atau piramid yang cantik dan menarik. Keghairahan mencipta dodol pelbagai perisa tidak bermaksud aspek-aspek lain dipandang ringan terutama teknik pembungkusan. Pembungkusan dodol menggunakan daun upih serta bakul tampin turut dilakukan bagi memenuhi permintaan pelanggan. Dodol bakul tampin didatangkan dalam tiga saiz berbeza iaitu 350 gram (g), 400 g dan 500g. Selalunya ia disediakan bagi majlis pertunangan dan perkahwinan. Ada juga cara pembungkusan untuk majlis-majlis istimewa seperti perkahwinan memerlukan ketelitian serta kreativiti tinggi. Sebagai contoh hantaran perkahwinan, pelanggan akan datang dengan barangan perhiasan untuk hantaran tersebut dan cara dodol itu dibungkus akan dilakukan oleh kami di sini. Dekorasi dan persembahan dodol itu juga menjadi tanggungjawab kami agar hantaran tersebut tampak menarik. Bagi pembungkusan biasa, ia akan dibalut dengan plastik berbentuk segi tiga. Proses tersebut akan dilaksanakan oleh 40 orang suri rumah di kawasan kampung tersebut.


Dalam aktiviti membungkus, Hj Ideris meminta bantuan jiran-jiran disekeliling kampong. Ini dengan cara membekalkan setiap suri rumah dengan sebanyak 26 kilogram dodol dan pada kebiasaannya akan disiapkan dalam tempoh kurang daripada dua hari. Penulis dapati dodol juga dianggap sebagai makanan tradisi yang dari dulu kerap dihidangkan pada setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha. Permintaan kuih istimewa itu meningkat setiap kali menjelang perayaan tersebut kerana ia dianggap satu kemestian bagi masyarakat Melayu. Bagaimanapun ramai penggemar dodol tidak mahu membuatnya sendiri kerana ia melibatkan kerja yang rumit kerana terpaksa mengambil masa lama dan memenatkan. Justeru tidak ramai usahawan yang berminat untuk menceburi lebih jauh bidang perniagaan dodol, malah jumlah penyertaan mereka itu boleh dibilang dengan jari. Hj Ideris Zainuddin kini hasilkan dodol menjadi punca rezekinya. Makanan tersebut dihasilkan dengan 13 jenis perisa tetapi masih mengekalkan cita rasa tradisi yang diwarisi sejak dahulu. Biarpun memasak dodol melibatkan kerja yang mengambil masa agak lama dan cukup memenatkan tetapi bagi Ideris ia menjadi sumber pendapatan yang menguntungkan. Dodol Ideris dihasilkan dengan perisa seperti strawberi, cappucino, kismis, wajik sirat, kurma, pandan, jagung, mangga, durian, coklat, asli, nanas dan nangka. Menurut Ideris, dodol keluarannya dihasilkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dibuatnya sendiri. Dia bermula dengan membuat dodol berperisa asli tetapi lama kelamaan timbul idea untuk meningkatkan pengeluaran dengan menambah perisa lain. Baginya tidak salah untuk mencuba dodol dengan perisa-perisa lain dan hasil R&D yang saya jalankan sendiri dengan bantuan beberapa pihak, akhirnya ia menjadi kenyataan. Kini dodol berperisa asli saya sudah mampu menambah pelbagai perisa dan kesemua perisa tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Apa yang penulis tertarik apabila fomula usahawan ini menggunakan angka empat (4). Kata Hj Inseris dalam setahun, 4 bulan pertama beliau mengalami kerugian, empat bulan berikutnya adalah pulang modal dan empat bulan terakhir beliau akan mendapat keuntungan banyak.



Tinjauan penulis mendapati ada produk baru yang dulu 'mustahil' untuk dieksport iaitu Cencalok kerana ia ditakuti meletup dalam kapalterbang. Inovasi usahawan ini membolehkan cencalok udang dan cencalok sotong dijadikan produk yang dieksport kebeberapa negara seperti Arab Saudi dan Brunei serta negara-negara lain. Produk cencalok Sotong 'ready to eat' adalah antara produk baru yang popular dipasaran (Sila lihat foto disebelah). Merujuk kepada asal penglibatan beliau dalam projek Industri Asas Tani (IAT), beliau nyatakan ia bermula dengan satu kuali dan kini kilang tersebut mempunyai tujuh buah mesin mengacau dodol dan setiap sebuah berharga RM6,500. Setakat ini beliau mempunyai 46 pekerja yang terdiri daripada suri rumah dan anak-anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kapasiti kilang ini mampu untuk menghasilkan 600 kilogram dodol 13 perisa setiap hari berbanding 420 kilogram sebelum ini. Bermula dengan bengkel di belakang rumah, jualan Perniagaan Hj Ideris yang mengusahakan dodol kini mencecah RM350,000 setahun dimana ia memulakan pengeluaran dodol yang sinonim dengan negeri ini sejak 1999 dimana beliau kini berupaya mengeluarkan 420kg dodol sehari. Syarikat menyasarkan untuk memperoleh jualan lebih RM400,000 pada tahun ini hasil peningkatan prasarana dan promosi yang berterusan. Harga setiap kilogram dodol dijual pada harga RM10. Masa ini 70 peratus dari jualan dodol Hj Ideris adalah untuk di pasaran dalam negara manakala 30 peratus lagi dieksport ke luar negara, termasuk ke Singapura dan Brunei. Eksport dodolnya berjaya menembusi pasaran Syria dan Arab Saudi di Timur Tengah walau pun dalam jumlah yang kecil. Bagi pasaran Timur Tengah, katanya dodol kurma, kismis, badam, gajus dan kacang paling mendapat sambutan. Selain itu untuk pasaran dalam negara, dodol perisa tradisional mendapat sambutan dan kami turut menghasilkan dodol berperisa mangga, strawberi dan cappucino. Lawatan penulis kekilang dodol Hj Ideris memberikan pendedahan baru dan membuat testimoni bahawa kuih tradisional boleh dikomersilkan untuk pasaran domestik dan pasaran eksport. Sekian. Wasallam!....


PRODUK DODOL..MELAKA ASALNYA...
13 PERISA... PELBAGAI INOVASINYA...
SIJIL Mesti dan HALAL... ADA SEMUA...
PASARAN EKSPORT... AMAT BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Apartment B-6-29,
6th Floor, Blok Tahiti,
Bayou Lagoon Park Resort,
Bukit Katil, Melaka,
Malaysia.
(16 Dec 2015)

Sunday, December 20, 2015

SALJI - APA DIA?

SALJI (Snow) merupakan satu bentuk air berbentuk pejal yang ringan atau air dalam bentuk hablur ais cair yang jatuh dari awan pada musim sejuk. Salji lazimnya mengandungi air berbentuk seperti emping. Salji yang berupa emping ini mempunyai struktur lembut dan ringan yang lembut dan mempunyai banyak saiz dan bentuk. Kali pertama penulis dapat menikmati adalah pada tahun 2013 ketika melawat Beijing sempena 'Winter Tours at China' bersama 20 orang rombongan dari pejabat penulis bertugas (Sila lihat foto diatas). Salji lazimnya dibentuk secara semulajadi apabila wap air melalui aras atmosfera yang tinggi di bawah suhu yang kurang daripada 0 °C dan kemudian jatuh semula ke bumi. Bagaimana pun kini ia juga boleh dibuat dengan embun beku yang jatuh dari permukaan yang ia dibentuk atau partikel kabus beku yang jatuh dibentuk apabila ujud kelembapan pada permukaan udara mula membeku pada suhu-suhu yang sangat rendah. Salji mempuntau tekstur kurang padat berbanding dengan air hujan. Ini bermaksud jumlah lembapan yang sekata akan menghasilkan salji dengan isipadu yang lebih banyak dan kemudian barulah hujan. Satu laporan menyatakan bahawa kadar air adalah dalam lapan bagi unit salji dimana ia bersamaan dengan satu unit hujan. Ini bermakna satu unit salji 8 kali ganda lebih ringan daripada satu unit air yang membolehkan ia seakan terapung dan melayang-layang ketika turun dari atas. Salji ini akan berkumpul diatas permukaan tanah atau bangunan dan membentuk kumpulan atau ketulan ais yang akan cair secara berperingkat atau ia mengeras. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai salji sekadar menambah ilmu pengetahuan untuk bacaan dan rujukkan semua.


Salji merupakan pembentukan struktur seperti Emping (flakes) yang turun daripada awan (Sila lihat foto disebelah). Ia sebenarnya adalah air berbentuk kristal (crystalline water) yang berupa partikel air yang kecil atau halus serta ringan. Lazimnya ia lembut, berwarna putih dan mempunyai pelbagai saiz dan bentuk bergantung kepada cuaca dipersekitaran dan sumber air. Saiz ini juga bergantung kepada tahap kecairan, membeku semula sama ada dalam bentuk bijjirin salji atau pelets ais. Proses pembentukkan sajli dinamakan pembentukan SNOWFALL. Ia bermula dengan pergerakkan kawasan udara dan air naik keatas dikawasan tekanan rendah dipanggil sebagai 'Extratropical Cyclone' dan kemudian akan membeku menghasilkan pepejal akibat suhu sejuk dan jatuh kebawah semula. Jika berlaku keadaan tertentu akan berlaku situasi 'Extratropical Thunderstorm' dengan tiupan angin kecang melebihi 119 km sejam yang turun bersama hujan dan salji dan merbahaya. Keadaan ini juga dipanggil sebagai Ribut Salji (Wind Storm) yang juga perlu diketahui kerana ia akan menjadi bahaya kepada semua orang. Kejadian ini lebih kerap berlaku dikawasan tanah tinggi dan pergunungan dimana udara yang sejuk membentuk salji akan turun dengan tiupan angin kencang dilereng gunung. Keupayaan jabatan kajicuaca untuk meramalkan kejadian ribut salji mampu mengurangan kecelakaan dan kemalangan dari peringkat awal lagi. 


Salji yang turun boleh menyebabkan kesukaran dikawasan yang dilanda. Salji yang banyak turun disuatu kawasan akan menyebabkan jalanraya dipenuhi salji yang mendak diatas jalanraya dan mengeras. Ini menyebabkan tayar kenderaan kurang mencengkam diatas permukaan yang basah dan lincin dan sering menyebabkan kemalangan. Ketika salji turun ditahap optima juga kadar penglihatan pemandu juga amat minima dan ianya amat membahayakan pengguna jalanraya (Sila lihat foto disebelah). Pengguna jalanraya perlu memandu dengan perlahan-lahan dan memasang lampu agar lebuh selamat perjalanannya. Jenis tayar juga perlu disesuaikan dengan bentuk bunga tayar khusus untuk keadaan jalan bersalji. Keadaan ini menyukarkan aktiviti harian penduduk tempatan yang dilanda salji sama ada untuk pergi bekerja, kesekolah atau aktiviti harian lain. Lazimnya jika ada ramalan berlaku ribut salji akan diistiharkan cuti umum oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kecelakaan. Pada masa ini jiga sering berlaku masaalah bekalan eletik dimana kabel letik akan diliputi dengan salji yang melekat dan merosakkan aliran kuasa eletrik. Sedangkan bekalan letrik adalah amat perlu untuk menghidupkan 'heater' dalam rumah. Oleh itu penduduk yang dilanda salji perlu mencari alternatif lain untuk memanaskan ruang dalam rumah. Pembersihan litupan saji boleh dilakukan dengan showel, jentera khas dan jentolak salji dijalanraya untuk laluan kenderaan. Jika ribut salji berlaku dalam jangkamasa panjang tentunya ia amat menyusahkan masyarakat setempat.


Dalam sektor perlancongan pula salji amat disukai oleh ramai ahli sukan. Kawasan pergunungan dan tanah tinggi yang ada sajli tutun sering ditunggu-tunggu oleh pemain sukan Ski diseluruh dunia. Antara lokasi sukan ini seperti Saporo Winter Games di Jepun yang dijadikan tarikan ahlii sukan seluruh dunia untuk bermain ski dan sukan lain (Sila lihat foto disebelah). Salji yang turun dikawasan tanah rendah juga sering dimenafaatkan oleh penduduk tempatan sebagai pesta bermain salji. Di kawasan Yamagata di Jepun, mereka mengutip salji untuk disimpan dalam rumah mereka bagi menyejukkan rumah mereka sepanjang musim panas sebagai 'penghawa dingin semulajadi'. Salji yang disimpan ditempat dengan teknologi tradisional yang unik ini juga membolehkan mereka menjimatkan kos letrik sepanjang musim panas. Dalam sektor pertanian salji ini boleh merosakkan tanaman dan juga serangga perosak tanaman. Ini diatasi dengan teknologi rumah kaca atau 'shelter house' dibina bagi mengekalkan tanaman tertentu untuk hidup seperti beberapa jenis sayuran. Rumah PertanianTertutup ini dibina dengan memasang alat pemanas (heater) bagi tujuan menentukan bahawa tanaman masih survive dalam suhu dingin diluar (Sila lihat foto dibawah). Penduduk masih mampu menikmati makanan sayuran segar hasil dari struktur ini walau pun kos adalah lebih tinggi daripada musim lain. Teknologi ini dibuat bagi menghasilkan pasaran khusus (niche market) dan semakin popular dibina. Artikel mengenai salji ini diharap memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!.
SALJI TURUN... AMAT CANTIKNYA...
TIDAK JUMPA... DINEGARA KITA...
RIBUT SALJI... AMAT MERBAHAYA...
PERLANCONGAN..SUKAN SKI DIREKA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(5 RabiulAwal 1437H)

Saturday, December 19, 2015

PERUBAHAN CUACA - APA DIA?

ISU PERUBAHAN CUACA (Climate change) dunia pada masa kini telah memberi tamparan hebat kepada sektor pertanian negara. Situasi ini sekali gus memberi kesan kepada keselamatan makanan dunia termasuk negara kita Malaysia yang kebanyakannya makan nasi hasil daripada tanaman padi (Oryza sativa). Malaysia mempunyai seluas 600,000 hektar sawah padi yang membekalkan sekitar 70% bekalan makanan beras dalam negara sementara bakinya adalah diimport. Kesan perubahan iklim sepeti banjir dan kemarau yang serius menyebabkan penghasilan padi terjejas. Isu climate dunia dibincang hampir sebulan di Paris pada bulan Disember 2015. Persoalannya bersediakah kita untuk mendepani fenomena pelik membabitkan perubahan ekstrem cuaca dunia?. Mungkin ada dikalangan kita yang pernah mendengar atau pernah berdepan fenomena El Nino yang dahsyat pada tahun 1997 dan 1998 walau pun hilang selepas itu tetapi sebenarnya tidak bermakna ia berakhir malahan penulis dapati ia menjejaskan sektor pertanian pada tahun 2014 dan 2015. Daripada laporan Jabatan Meterologi menyatakan Stesen Meteorologi Chuping pada 9 April 1998 mencatatkan suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius. Ini merupakan rekod catitan yang luar biasa dengan tahap kelembapan yang juga tinggi di negara kita. Sebahagian besar kawasan di negara ini turut mengalami cuaca kering dan panas serta berjerebu terutama pada bulan-bulan tertentu. Kes jerebu pada tahun 2015 merupakan rekod baru di Malaysia dimana ia merupakan jerebu paling lama (dari bulan Julai sehingga Oktoner 2015) dari kesan kebakaran di Indonesia. Banyak kesan sampingan seperti sektor ekonomi, pertanian, perlancongan, penerbangan  dan kesihatan yang terjejas terusk akibat jerebu ini. Penulis dapati dalam 3 hingga 5 tahun kebelakangan ini sering diwar-warkan mengenai krisis bekalan air di Lembah Klang yang menjadi isu paling ketara dihadapi dalam negara ketika itu. Langkah catuan air hampir dilaksanakan di kawasan terjejas dan juga beberapa negeri antara usaha dilakukan dimana ia telah menjejaskan semua sektor dan ekonomi negara. Pada masa itu dilaporkan ia telah mengakibatkan tanah kering kontang dan kemusnahan terhadap penanaman padi dan komoditi lain. Begitu pun dilaporkan kemudian ia selalu berulang setiap 10 tahun berlalu walau pun fenomena ini berlaku atau berulang kembali pada 2008. Namun kesannya tidak seburuk fenomena El Nino berlaku pada tahun 1997 dan 1998. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" tentang perubahan cuaca hasil beberapa info yang saya dapati dari menghadiri 'Workshop on climate change - resilience to agriculture syatems' di University Agriculture Faisalabad (UAF), Pakistan dari 30 Nov- 4 Disember 2015 untuk dikongsi bersama pembaca blog ini.


Penulis faham kini dimana secara umumnya perubahan cuaca mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada sektor pertanian. Ini kerana sebagai contoh peningkatan suhu dan perubahan terhadap intensiti serta kekerapan berlakunya hujan. Kedua-dua perubahan ini secara langsung mempengaruhi pertumbuhan sesuatu tanaman serta menjadikan kawasan tanaman sedia ada menjadi tidak sesuai untuk tanaman tertentu. Pembabitan beberpa negara dalam workshop ini membincangkan isu perubahan iklim di peringkat glopal anjuran beberapa organisasi termasuk Asia Productivity Organisation (APO) yang beribupejabat di Tokyo, Jepun. Penulis menyatakan pendapat dalam perbincangan tersebut secara aktif bersama pakar-pakar dari seluruh dunia (Sila lihat foto disebelah).  Antara perkara yang perlu kita tahu dimana di Malaysia jika kita buat bandingan 20 tahun lalu, terdapat perbezaan hujan dan suhu ketika ini sangat nyata. Perkara ini dipanggil ‘kebolehubahan cuaca’ iaitu keadaan cuaca yang sekejap panas dan sekejap hujan seperti dilihat ketika ini. Terdapat ramalan di Malaysia dimana dijangkakan pada bulan Mac hingga Mei setiap tahun adalah musim panas dan ia sebenarnya fenomena biasa dimana suhu agak tinggi berkenaan lumrah terjadi setiap tahun. Kini terdapat kebimbangan membabitkan perubahan cuaca yang datang secara mengejut. Pada saya suhu yang panas sudah pasti memberi kesan kepada tanaman dan ternakan. Bagi sektor pertanian kesannya dapat dilihat dalam tempoh panjang hingga menjangkau setahun. Tanaman kelapa sawit yang menjadi tulang belakang ekonomi negara juga akan mengalami pengurangan hasil sekitar 8 bulan daripada bencana ini berlaku.


Bagaimana pun kesan cuaca ini ada kalanya perlu dilihat sebagai positif. Sebagai contoh penulis mengambil kes kepada tanaman mangga dimana cuaca panas berterusan mampu menggalakkan pertumbuhan bunga bagi mangga Harumanis di Perlis. Mungkin itu satu dari kebaikannya apabila pokok buah mangga berbunga akibat tekanan suhu panas dan kering. Bagaimanapun jika panas berlarutan dalam tempoh panjang dan tiadak ada sumber air untuk pokok maka bunga akan gugur ke tanah dan buah tidak menjadi putik dan   buah. Dalam situasi ini adalah amat penting bagi petani yang menanam mangga harumanis menyediakan keperluan air mencukupi. Kajian penulis mendapati perlu ada langkah mempertingkatkan bekalan air ke ladang harus diberi perhatian dengan sistem pengairan titis (jika ada bekalan air dari sumber). Bagaimana pun mungkin petani boleh membekalkan tangki air untuk keperluan simpanan air di ladang, pembinaan telaga tiub dan pam air. Walau pun ada cadangan secara kolektif oleh pelbagai pihak strategi bagaimana dapat mengurangkan kesan kepada sektor pertanian. Selain itu perlu ada tindakan untuk penyelidik membangunkan varieti padi baru yang tahan kemarau dan suhu panas seperti sistem penanaman padi Aerob (Sehingga kini penulis masih tidak melihat kejayaan sebenar padi aerob berjaya melalui beberapa tulisan sebelum ini - Sila klik disini, Sila klik disini dan Sila klik disini). Dalam pada itu untuk perancangan akan datang penyelidikan perlu membangunkan varieti baru yang tahan kepada kemarau, air masin dan banjir. 


Dalam banyak perbincangan terdapat dua peranan perubahan cuaca kepada sektor pertanian. Pertama perlunya aktiviti faktur yang menyumbang kepada berlaku perubahan cuaca dan terkesan disebabkan perubahan cuaca. Ini juga kerana manusia didapati menjadi punca atau penyumbang kepada pemanasan global. Sebagai contoh penggunaan baja dalam sistem pertanian yang tidak digunakan secara betul akan memberi kesan kepada pembebasan gas nitrogen ke udara. Jerami padi yang mereput di dalam tanah pula akan membebaskan gas metana. Terdapat kajian atau teknologi dapat mengurangkan pembebasan gas rumah hijau. Perlu dijalankan pengurusan air agar ianya dapat mengurangkan pembebasan gas di kawasan sawah padi. Teknologi untuk menguruskan air dan penggunaan baja, selain memasukkan bahan organik yang digaul bersama dalam tanah sawah untuk mengurangkan pembebasan gas di sawah padi. Bagi menangani kesan perubahan cuaca ke atas sektor pertanian katanya, semua pihak perlu berganding bahu melihat opsyen jangka pendek dan panjang. Pilihan jangka pendek adalah opsyen spontan iaitu petani perlu mengambil langkah yang drastik terutama mengubah masa menanam sebagai respon perubahan berlakunya hujan. Bagi jangka panjang pula lebih perubahan daripada aspek polisi termasuk menggalakkan program penyelidikan. Penekanan harus juga diberi perhatian kepada penyelidikan berkaitan pemuliharaan kepelbagaian biologi. Ini amat penting kerana melalui usaha-usaha ini dapat dikenalpasti dan diperkembangkan sebagai sumber tanaman yang rintang atau toleran kepada perubahan cuaca. Diharap artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.
KAJIAN IKLIM... DISELURUH DUNIA....
PERLU DIKETAHUI... OLEH SEMUA...
PELBAGAI CARA... UNTUK LAKSANA...
TULIS ARTIKEL...RUJUKKAN ANDA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
West Wing, Swarnabhumi Airport,
Bangkok, Thailand.
(6 Dec 2015)
Onthe way back from Lahore to KLIA (MH765)

Friday, December 18, 2015

PROJEK KELULUT DI MELAKA


TERNAKAN KELULUT (Trigona spp) merupakan satu industri penghasilan madu lebah yang semakin popular dikalangan usahawan di Malaysia. Penulis telah meninjau dan membuat lawatan teknikal kepada usahawan Encik Osman, 58 tahun dan anaknya yang menternak kelulut di Kg Tebing Tinggi, Kandang, Melaka Tengah, Melaka iaitu satu projek yang dikira berjaya. Lawatan ini disertai oleh seramai 30 pegawai daripada Bahagian PTIF, Jabatan Pertanian dari seluruh Malaysia. Lokasi penternakan ini terletak jauh dari kawasan kediaman melalui kebun kelapa sawit dan mempunyai sumber makanan daripada tanaman sumber makanan kelulut serta hutan belikar disekelilingnya. Antara tanaman makanan yang terdapat di kawasan ternakan seperti Bunga Air Pengantin (Honolulu creepers), Bunga 9 pagi, Bunga Pentas, Ulam Raja, Senduduk, Pokok Mangga, Balung Ayam dan berpuloh jenis lagi. Terdapat juga banyak pokok leban bersebelahan kawasan ternakan yang menjadi sumber makanan yang banyak. Kawasan ternakan ini mempunyai pintu gerbang yang menarik dengan perkataan 'Selamat Datang ke T.t. Bee Honey' yang mana kawasan ternakan adalah dipagar sepenohnya.Selain daripada ternakan lebah dan kelulut, usahawan ini juga menternak kambing. ayam dan juga beberapa ekor rusa. Rumah untuk pengunjung juga dilengkapkan dengan pameran produk madu asli daripada 3 buah ladang beliau. Antara bahan pameran yang diadakan adalah sarang kelulut, haif super, sarang tebuan (musuh utama kelulut dan lebah madu), peralatan menternak kelulut, poster dan risalah serta keratan akhbar berkaitan industri ini. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai usahawan ternakan kelulut dan lebah madu dari Melaka yang dikira berjaya dalam memajukan industri ini sehingga mampu mengeluarkan madu kelulut asli yang dijamin kualitinya.  


Memulakan taklimat, Encik Osman menyatakan bahawa dulunya beliau adalah seorang kontraktor binaan. Minat beliau untuk menghasilkan madu asli bermula apabila ada ahli keluarganya yang pernah diserang penyakit TB dan telah sembuh apabila mengambil madu asli dalam masa 2 minggu sahaja dan disahkan oleh doktor dihospital Melaka. Ini membuatkan beliau terus mendapatkan ilmu mengenai teknik menternak lebah madu daripada pengusaha berbangsa Cina tidak jauh daripada kampungnya selama beberapa bulan. Kemudian berbekalkan modal sendiri sebanyak RM40,000, beliau telah memulakan membeli Lebah Import (Apis melifera) daripada pembekal yang dikenali pada tahun 2005. Bagaimana pun dengan nada sedih beliau memberitahu bahawa Banjir Besar 2006 telah menenggelamkan semua koloni lebah madu beliau dan mengalami kerugian amat besar dalam hidupnya. Kemudian beliau mula mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian untuk memulakan projek kelulut dengan belajar ilmu ternakan kelulut. Antara kejayaan beliau yang terhebat adalah apabila berjaya menternak kelulut dalam struktur Rumah Melaka yang dipamerkan beberapa kali dalam Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) dibeberapa lokasi (Sila lihat foto disebelah). Struktur rumah Melaka ini mendapat pujian dari banyak pihak sehingga ada yang menawarkan harga tinggi untuk rumah tersebut.


Keunikan struktur Rumah Melaka untuk dijadikan daya penarik kepada ramai peminat ternakan kelulut. Pada penulis idea ini juga merupakan satu inovasi menarik yang boleh diketengahkan dengan lebih jauh jika mahu dikomersilkan (Sila lihat foto disebelah). Teknik ini membolehkan sarang kelulut ini diletakkan dimana-mana bahagian rumah untuk dijadikan taman hiasan yang menarik sama ada dirumah Bunglo, Rumah Semi-D, Rumah Teres apa lagi kalau dikeliling rumah kampong yang banyak sumber makanan untuk kelulut. Batang Kayu (Log) dibahagian bawah adalah dimana koloni termasuk ratu dan pekerja tinggal dan bentuk rumah Melaka diatasnya adalah merupakan 'haif super' untuk kelulut menyimpan madu. Rekabentuk yang menarik ini memang agak unik daripada rekabentuk 'haif super' berbentuk kotak biasa empat segi sama. Dahulu beliau ada menerima banyak tempahan untuk buat sendiri struktur unik ini tetapi beliau kini telah mengupah orang lain untuk membuatnya kerana ketiadaan masa. Lazimnya masa untuk membuat kotak super rumah Melaka sekitar 2 minggu untuk menyiapkannya. Harga struktur yang ditawarkan bergantung kepada jumlah permintaan, saiz diperlukan dan juga jarak penghantaran. Sesiapa berminat boleh berhubung dengan En Osman.


Pada masa ini Encik Osman dan anaknya mempunyai sebanyak 780 koloni kelulut di 3 lokasi penternakan. Selain dari Kg Tebing Tinggi, Kandang Melaka, dua lokasi ternakan lain adalah di Kem Sirajudin, Gemas dan juga di PLPP Sg Udang, Melaka. Jenis utama kelulut yang diternak adalah Trigona itama dan juga sebahagian lagi adalah Tripona thoracica. Katanya kedua-dua spesis ini mempunyai potensi hasil yang sama bergantung kepada musim dan cara-cara pengurusan (Sila lihat foto disebelah). Anak beliau telah menghadiri kursus Asas Penternakan Kelulut anjuran Jabatan Pertanian di Sekayu, Terengganu dibawah Program Khas Agropreneur Muda Kementerian Pertanian. Beliau kini dalam proses kelulusan bantuan dibawah program ini dengan kadar insentif RM15,000 berbentuk 'in-kind' yang sedang diproses kelulusan akhir oleh UAM (Unit Agropreneur Muda). Insentif ini akan digunakan untuk menambah koloni kelulut dan kelengkapan lain yang akan diletakkan di PLP Sg Udang dimana ia diperingkat akhir perundingan. Antara isu utama yang dihadapu pengusaha adalah apabila beberapa kali berlaku adalah kes kecurian koloni kelulut dimana ia telah dilaporkan kepada pihak polis walau pun belum ada tangkapan dilakukan sehingga kini. 


Produk madu asli yang dihasilkan dari usaha penternakan kelulut beliau kini kebanyakannya dipasarkan untuk pasaran domestik. Ia dibungkus dengan pelbagai saiz pengisian dan bentuk packaging yang sangat menarik dan komersil. Ada yang dimasukkan dlam botol panjang, leper, bulat dan ada yang dipek kecil (Sila lihat foto disebelah). Madu keluaran T.t Bee Honey ini dijamin asli (pure) dan tiada yang madu 'express'.  Beliau menerangkan ada beberapa usahawan dan syarikat yang dia kenal mampu menghasilkan madu kelulut tipu dengan menggunakan acuan plastik (plastic casing) dan diisi dengan madu tiruan atau madu lebah madu lain. Koloni pekerja kelulut akan menutup madu tiruan yang dimasukkan dalam acuan dan ia akan dituai sebagai madu kelulut asli. Mereka akan menjual sebagai madu asli tetapi amat merbahaya kepada pengguna yang tidak mengetahuinya. En Osman juga meminta pihak berwajib untuk membuat penguatkuasaan mengenai aktiviti ini. Katanya usahawan seperti ini akan memusnahkan industri madu kelulut asli apabila pengguna hilang kepercayaan (Sila anda baca artikel saya disini - Sila klik disini). Akhir kata penulis ucapkan selamat maju jaya kepada En Osman semuga terus maju dalam industri ternakan kelulut di Melaka. Wasallam!.
TERNAK KELULUT... DIMELAKA...
RUMAH MELAKA,,, CANTIKNYA...
MADU ASLI.. ADA JAMINANNYA...
DIHARAP...TERUSKAN USAHA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Apartment B-6-29, Blok Tahiti,
Bayou Lahoon Park Resort,
Bukit Katil,
Melaka,
(4 RabiulAwal 1436H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...