Support My Blog

Sunday, April 8, 2012

KHASIAT SUKUN

SUKUN (Artocarpus atilis) merupakan sejenis buah-buahan tropika dari keluarga MORACEAE yang ditanam untuk mendapatkan buah sukun. Ramai dikalangan kita yang kata makan sukun yang telah digoreng akan menyebabkan 'perut kembung' atau banyak buang angin...betulke?...  Saya mula kenal akan buah sukun ketika kecil lagi dimana dikawasan rumah ada beberapa pokok sukun yang berbuah sehingga puas makan.  Penanaman sukun lazimnya menggunakan anakbenih yang diambil dari akarnya yang bersambung dengan pokok induk dan dimasukkan dalam polibeg.  Sukun memang sesuai ditanam melalui kaedah keratan akar yang punyai garispusat 2.5 cm dipotong sepanjang 20-25 cm. Keratan ini dicucuk diatas tapak semaian dibawah naungan dan tunas baru akan terbit beberapa bulan kemudian. Penanaman sukun akan mula kutip hasil 2-4 tahun selepas menanam bergantung kepada bahan tanaman dan cara menjaganya. Tetapi artikel malam Ahad ini akan juga membincangkan juga khasiat sukun untuk makluman pembaca semua.


Pokok Sukun merupakan tumbuhan saka yang bercabang setinggi hingga 30 meter.  Peringkat awal pertumbuhan akan melihat batangnya tidak bercabang sehingga ketinggian 5-8 meter, kecuali jika gunakan bahan tanaman daripada pembiakan tampang yang dahannya agak rendah. Seluruh bahagian pokok sukun memang mengeluarkan getah putih dan jika terkena baju akan mencacatkan baju dengan warna hitam.  DAUN sukun adalah jenis  ringkas dengan susunan selang seli, bentuk bujur telur dengan ukuran lebar 20-50 cm dan panjang 20-90 cm.  Daun mudanya tidak berbahagi tetapi daun matang terbahagi kepada 5-11 jejari.  Daun sukun berwarna hijau tua, tebal, permukaan atasnya berkilat dan permukaan bawahnya kasar dengan warna hujau muda. Daun sukun akan gugur serentak jika kemarau panjang berpanjangan. BUNGA sukun keluar pada ketiak daun dimana bunga jantan berbentuk cokmar berjuntai sepanjang 15-25 cm panjang berwarna kuning. Bunga betina pula berbentuk selinder, tegak dan bulat dengan panjang 8-10 cm dan lebar 5-7 cm. BUAH Sukun berbentuk bulat atau selinder dengan kulit berwarna hijau (muda) dan hijau kekuningan (matang) dengan saiz garispusat buah 10-30 m. Isinya berwarna putih, putih kekuningan dan tidak mempunyai biji.


Buah sukun mengandungi banyak Vitamin A dan Vitamin C.  Kajian makmal menunjukkan setiap 100 gram buah sukun mengandungi Air (65-85 gram), Karbohiderat (21 - 31 g), Protin (1.2 - 1.4 g), Lemak (0.2 - 0.5 g), Besi (0.4-1.5 g ), Posforus (52 - 88 mg), Kalsium (8-32 mg), Vitamin A (26-40 IU), Thiamine (0.10-0.14 mg), Niacin (0.7 - 1.5 mg) dan Vitamin C (17 - 35 mg).  Daun sukun juga mengandungi unsur Kamforol dan juga Kuersitin. Getah putih mengandungi Asid Serotik.  Khasiat utama berkaitan dengan bahan kuersitin yang diambil dengan masa lama (jangkamasa panjang) akan menyebabkan mereka kurang risiko sakit jantung atau kena stok apaabila tua.  


Khasiat Sukun boleh di katakan baik untuk kesihatan kita. Buah sukun yang matang tetapi belum cukup masak di kupas kulitnya dan digoreng seperti goreng pisang. Buah ini juga boleh dimasak secara merebus, dipanggang (direndam dengan air garam dulu), dibakar  atau cara lain yang sesuai. Buah muda dan buah matang  juga boleh diambil dan dibuang kulitnya untuk dijadikan lauk atau bubur manis. Buah sukun yang telah cukup masak boleh dipotong berkeping-keping dan dijemur dibawah cahaya matahari sampai kering.  Buah ini juga boleh dikeringkan dengan ketuhar dan disimpan lama. Ada juga sesetengah negara dikepulauan Pasifik yang  menimbus sukun dalam tanah sebagai kaedah penyimpanan.  Buah sukun boleh direbus dan dimakan dengan kelapa parut  dan gula.  Serabut dari kulit batang pokok ada yang diproses untuk dijadikan kain tradisional di beberapa Kepulauan Pasifik.  Getah sukun pula digunakan sebagai gam untuk menutup kebocoran pada perahu dan sampan.  Pokok sukun juga sering digunakan sebagai pokok hiasan tepi jalan yang cantik dikawasan perbandaran dan taman-taman.


Dari segi khasiat perubatan tumbuhan sukun banyak gunanya.  Akar sukun yang direbus dan diminum dapat merawat masaalah cirit birit dan disenteri.  Buah sukun yang masak pula boleh direbus dengan air dan dicampur dengan sedikit gula lalu diminum didapati mampu mengatasi masalah hempedu hati, perut dan juga usus besar. Kulit buah sukun muda yang dikupas dan direbus kemudian diminum dipercayai mampu melawaskan buang air kecil.  Isi buah sukun muda yang direbus juga dan airnya diminum mampu jadi ubat batuk.  Bunga sukun yang dipanaskan dan bila sejuk disapu pada bahgaian gusi akan menghilangkan sakit gigi dan juga sakit gusi.  Getah pada pokok dikutip dan dicairkan dengan air hujan dan diminum akan merawat cirit birit. Air rebusan getah sukun juga boleh disapu pada luka-luka. Ada pula kepercayaan mengambil kulit batang sukun dan dicampur dengan ramuan lain dan direbus dimana airnya diminum untuk ibu selepas bersalin.


Daun sukun yang direbus dan air rebusannya diminum apabila sejuk akan mengurangkan tekanan darah tinggi dan melegakan asma.  Ada dikalangan masyarakat kampong ada yang mengamalkan mengunyah daun sukun muda dan ditelan sebagai penawar kepada keracunan makan. Bolehlah anda cuba yang ini.... Daun sukun diramas-ramas dan ditampalkan dikepala dipercayai menghilangkan sakit kepala. Satu lagi khasiat daun sukun adalah dengan daun sukun dipanggang dulu dan ianya dihancurkan, campur air dan ditampal didada untuk rawatan Bengkak Limpa.  Paling istimewa pula adalah dengan ambil daun sukun dan di bakar, habuknya di campur minyak kelapa dan kunyit untuk disapu pada kulit  yang berpenyakit Kayap yang bergerak seperti Herpes. Apa-apa juga khasiat yang dinyatakan diatas perlukan kajian klinikal untuk mendapatkan kepastian. Buku karangan Ong Hean Choi terbitan Utusan Publication dijadikan rujukan untuk perkara diatas ditambah dengan pengalaman penulis sendiri.  Mungkin boleh dijadikan sebagai petua sahaja. Wasallam.


POKOKNYA TINGGI...POKOK SUKUN.....
BANYAK GUNANYA...TAK PAYAH JUMPA DUKUN....
BUAHNYA BULAT...DIGORENG BOLEH PUN...
DIBUAT KEREPEK...MAKAN JANGAN JAKUN...


By,
M Anem
Teluk Kemang, Port Dickson,
Negeri Sembilan,
Malaysia.
(16 JamadilAwal 1433H)

KHASIAT LIMAU NIPIS

LIMAU NIPIS (Citrus aurantifolia) merupakan sejenis buah-buahan dari keluarga Rutaceae yang ditanam untuk pelbagai kegunaan dikalangan masyarakat kita. Pengalaman saya dengan tanaman limau nipis ini lama kerana saya ada menanam beberapa pokok dikawasan rumah. Limau Nipis juga dipanggil sebagai 'Limau Masam' yang mana pokoknya mampu tumbuh setinggi 5 meter dengan banyak cabang dan ranting. Pokok ini mempunyai duri yang tajam , keras dan pendek. Daunnya adalah jenis daun ringkas, susunan selang seli, lebar daun 2-5 cm dan tangkainya mempunyai sayap yang tirus. Bunganya berwarna putih dalam jambak yang keluar dari ketiak daun. Buah limau nipis adalah bulat atau bujur (jenis berry) dengan ukuran garispusat sekitar 3-6 cm dan kulitnya berwarna hijau atau hijau kuning. Kulit buahnya sangat nipis dan mengandungi kelenjar minyak, banyak air serta terlalu berasid dan wangi. Artikel pagi Ahad ini saya menulis teknologi dan khasiat limau nipis berdasarkan buku tuisan Ong Hean Choi dan rujukkan dari beberapa sumber lain yang saya buat serta pengalamann persendirian.


Limau Nipis ditanam menggunakan bahan tanaman daripada TUT dan jarang-jarang terdengar benih daripada biji atau cara cantuman.  Pokok mula berhasil pada tahun kedua atau ketiga selepas ditanam tetapi jika tanam daripada biji akan makan masa selama 5 tahun.  Masaalah utama tanaman limau di Malaysia adalah serangan Citrus Greening Disease (CGD) dan penyakit Kanker Bakteria yang memendekkan jangkahayat pokok diladang.  Ramai rakan-rakan saya minta anakbenih 'Limau Nipis Seedless' yang katanya bagus untuk ditanam secara komersil kerana harga buahnya yang tinggi.  Sebenarnya tidak mudah untuk mendapatkan benih tersebut kerana belum ada akreditasi kualiti benih limau nipis dijalankan dibawah Skim Pengesahan Benih Tanaman oleh Jabatan Pertanian. Hanya beberapa nurseri swasta yang mendakwa ada membekalkan anakbenih limau nipis seedless yang juga harganya lebih tinggi.


Pengalaman penulis mendapati ada sesetengah orang yang mengalami alahan kulit kalau terkena duri, getah pokok atau minyak kulit buah limau nipis.  Kulit yang terkena jus limau nipis dan terdedah kepada cahaya matahari akan bertukar menjadi perang dan sangat gatal. Ada maklumat nyatakan jus limau nipis akan membunuh kuman disenteri, kolera dan tifoid.  Asid Citrik yang terkandung didalamnya juga mampu menghilangkan lemak bagi tujuan menguruskan badan...tetapi awas,  anda janganlah seorang yang ada masaalah GASTRIK!.  Air limau juga diminum sebagai penghilang dahaga yang enak dan mampu melancarkan proses penghadaman dalam perut. Kajian makmal mendapati kandungan setiap 100 gram jus air buah limau nipis adalah Asid Citrik (7 - 8%), Air (91 g), Kabohiderat (5.9 g), Protin (0.5g), Lemak (2.4g), Serabut (0.3g) dan Vitamin A (17 IU) serta Vitamin C (46 mg). 


Khasiat permakanan limau nipis paling utama adalah bahagian Jus Buah yang dibuat perisa minuman dan juga sebagai lauk (dibuat sambal belacan...wow enaknya!) atau diperah untuk masakan kerabu, salad, ikan masin, diperah pada mee goreng, kueh tiaw goreng dan sebagainya. Buahnya juga ada yang diproses untuk dibuat acar, sos, jeruk (sama ada direndam dalam garam atau cuka). Paling popular pula dikalangan pengujung restoran dan hotel adalah minuman jus yang diperah dengan limau nipis dengan ais.  Ada pula kulit limau nipis yang diperah untuk mendapatkan minyak ekstrak.  Minyak ini digunakan dalam industri minyak wangi dan juga sebagai bahan untuk perubatan alternatif 'Aroma Theraphy'. Banyak jenama minyak ekstrak dari limau dipasaran untuk kosmetik, aroma therapy dan sebagainya. 


Khasiat Perubatan bagi limau nipis melibatkan semua bahagian tumbuhan tersebut daripada Akar, Biji, Buah, Bunga, Daun dan Kayunya.  Akar pokok limau yang direbus dan diminum dipercayai mampu mengubati masaalah disenteri, demam panas, gonorea dan hempedu. Bijinya yang dihancurkan dan dicampur kemudian dibancuh dengan gula dan diminum mampu membunuh cacing kerawit dalam perut dan usus.  Jus buah limau nipis segar yang diminum mampu menghentikan masaalah cirit birit dan juga jika air limau nipis ini dimasukkan kedalam hidung, ianya mampu menghentikan masaalah hidung berdarah.  Air pekat buah limau yang disedut guna straw (jangan kena gigi) mampu merawat sakit sendi, diabetes dan juga arterioskterosis.  Air ini juga boleh digunakan sebagai pencuci luka.  


Air Limau nipis yang dicampur dengan herba Dokong Anak dan diminum dipercayai mampu mengawal penyakit Gonorea.  Selain itu serai yang direbus seperti teh herba dan dicampur dengan jus limau nipis juga dapat mengawal penyakit Bronkitis. Air limau nipis jug boleh disapu pada bahagian dada kepada pesakit radang paru-paru, disapu pada kulit yang ada penyakit kulit jenis Erisipelas akan dapat mengurangkannya. Ada pula yang kata hirisan limau nipis yang di campur dengan belerang mampu menghulangkan panyakit Panau pada kulit.  BUNGA limau nipis yang direbus dan diminum didakwa dapat membantu kita untuk tidur dengan lena dan lama.  Bahagian daun pula jika ditumbuk lumat dan ditampal pada kepala dapat merawat Sakit Kepala. Daunnya juga yang ditumbuk lumat dan dicampur dengan jus pinang oleh merawat sakit perut. Air rebusan daun yang diminum sebagai tonik mengawal tekanan darah tinggi.  


Daun Limau Nipis dicampur dengan Daun Avocado, Daun Durian Belanda dan Daun Asam Jawa yang direbus kemudian ditambah sedikit gla mampu mengawal penyakit Selsema.  Daun limau nipis juga boleh diproses seperti daun teh dan dimium sebagai teh herba semasa serangan selsema. Kayu Limau Nipis juga ada khasiatnya iaitu dengan merebus  kulit atau batang kayu, kemudian diminum mampu menghilangkan angin dalam perut dan angin dalam usus.  Sesungguhnya tanaman limau nipis memang mempunyai khasiat yang banyak dan kita perlu menanamnya sendiri dirumah di atas tanah atau pun dalam pasu bunga yang besar. Semuga artikel pagi Ahad ini dapat memberikan ilmu tambahan kepada pembaca. Wasaalam....


KHASIAT LIMAU NIPIS.....BANYAKNYA!....
MUDAH DITANAM....SENANG PETIKNYA.....
AMAT MASAM...ITU BANYAK GUNANYA.....
PELBAGAI PENYAKIT...DISEMBUHKANNYA..


By,
M Anem
Persint 11, Putrajaya, 
Malaysia.
(15 JamadilAwal 1433H)

Saturday, April 7, 2012

THRIPS

THRIPS (Order Thysanoptera) atau Kutu Thrips merupakan serangga kecil yang merupakan sejenis perosak yang penting dalam industri tanaman dan ternakan. Ramai diantara kita mungkin tiak pernah nampak thirps ini kerana saiznya yang sangat halus sekitar 1 mm (milimeter) dan ianya merupakan serangga yang tidak boleh terbang. Laporan daripada beberapa sumber rujukkan mendapati serangga Thrips ini mempunyai lebih 5,000 spesis yang menyedut cairan dalam tumbuhan atau haiwan dengan menyucuk (puncturing) dan seterusnya merosakan sel tisu dan akan berlaku serangan oleh patogen lain seperti kulat dan sebagainya. Bagaimana pun terdapat sedikit spesis thrips yang berfaedah kerana ianya makan serangga perosak tanaman yang lain seperti kutu daun, kumbang dan sebagainya. Serangga ini bergerak perlahan dan ianya boleh diterbangkan oleh tiupan angin daripada satu pokok kepokok yang lain jika cuaca dang angin sesuai. Artikel petang Sabtu ini saya menulis meklumat mengenai Thrips ini untuk bacaan dan rujukkan bersama.


Thrips dewasa merupakan serangga kecil berukuran 0.5 - 14 milimeters tetapi kebanyakan spesis berukuran sekitar 1 milimeter sahaja. Bentuk badannya seperti serangga lain yang mempunyai bahagian kepala, thorax dan abdomen dengan mempunyai 3 pasang kaki untuk bergerak dan kadang-kadang ada spesis yang mempunyai kepak. Serangga ini jenis adalah jenis Hemimetabolic. Dibahagian kepala mempunyai alatan struktur mandible atau penyucuk (narrow stylet) yang mampu menembusi tisu tumbuhan atau pun tidu haiwan untuk menyedut cairan sebagai makanannya. kebanyakan spesis thrips bergantung kepada lokaliti dan menurut Prof. Dr. Monica dari Natherland, beliau yang membuat penerangan mengenai thrips yang menyerang melon di Projek JV Malaysia-Belanda di Serdang menyatakan ada Western Thrips dan juga Tropical Thrips yang berbeza marfologinya.  Serangan thirps terhadap tanaman melon di dalam Struktur Pelindung Hujan (SPH) secara fertigasi adalah masaalah utama industri ini.


Kitaran hidup kutu thrips ada empat peringkat iaitu TELUR, LARVA, PUPA dan DEWASA.  Telur kutu thrips sangat halus (0.02 mm) berbentuk sama ada selinder, panjang atau buah pinggang. Telur ini dimasukkan kedalam tisu daun dimana pada peringkat larva akan menjadikan tisu lembut daun sebagai makanannya.  Terdapat beberapa spesis juga yang bertelur dibahagian bawah permukaan daun.  Telur ini perlukan masa selama satu hari sehingga seminggu untuk menetas bergantung kepada keadaan cuaca dan faktur persekitaran yang lain.  Selepas menetas akan menjadi larva atau nymph . Peringkat seterusnya adalah peringkat pupa dimana ada pupa yang jatuh ketanah, bahagian bawah daun tumbuhan atau pada tempat ianya bertelur Peringkat pupa tidak aktif dan tidak makan. Seterusnya adalah peringkat dewasa dimana ia mampu bergerak keseluruhan bahagian pokok. Kitaran hidup kutu thrips adalah selama 2 minggu sahaja terutama pada musim panas dan kering. 


Kutu thrips merupakan serangga yang merosakan banyak jenis tanaman sayuran, tanaman buah-buahan dan tanaman ornamental hiasan. Thirps meyedut cairan air sap tumbuhan yang mengakibatkan kecacatan pada daun, buah , pucuk malahan ada sesetengah tumbuhan bahagian batang. akibatnya tisu yang diserang akan kecut, bengkok, cacat rupa, berwarna kehitaman, tidak seragam dan rendah kualitinya. Serangan teruk pada bahagian pucuk akan menyebabkan pertumbuhan keseluruhan pokok terbantut. Serangan pada pokok Cili Merah (Capsicum annum) dan Cili Padi (Capsicum frustecens) boleh menyebabkan masaalah penyekit Kerinting Daun dimana ianya berasimilisasi dengan Virus Tristeza yang menyebabkan kerinting pada daun (Lihat foto diatas). Serangan kutu thrips pada bunga cili juga menyebabkan bunga cili rosak dan akibatnya ada buah cili yang rosak dan rendah kualitinya.


Kerosakan serangan kutu thrips yang serius menyebabkan kualiti hasil rosak seperti buah yang kulitnya berkedut, calar, berwarna kehitaman, ada titik-titik dan sebagainya (Lihat contoh buah tomato disebelah).  Jika tidak diperhatikan kadar populasi serangan dalam kawasan kebun pada semua peringkat, ianya akan menyebabkan kerugian banyak kepada petani kerana kesan kerosakan pada bahagian pucuk, daun dan hasil tanaman.  Di Malaysia teknologi penanaman beberapa jenis tanaman bernilai tingi seperti Tomato, Melon, Cili Benggala dan Tomato Chery didapati menghadapi masaalah serangan kutu thrips jika tidak dipantau dan dibuat kawalan. Faktur suhu yang panas, kelembaban tinggi dan ketiadaan hujan (pengairan dan baja guna fertigasi) merupakan kondisi terbaik untuk kutu thrips membiak dan bergerak. 


Pemantauan populasi kutu thrips boleh dijalankan dengan menggunakan kaedah pemeriksaan bilangan ekor pada bunga, pucuk atau daun tanaman dibantu dengan kanta pembesar untuk melihatnya atau memasang STIKER PELEKAT KUNING (Lihat foto disebelah). Serangga ini akan bergerak dan menuju kearah stiker tersebut dan kita boleh kira berapa jumlah yang melekat dan jika mencapai bilangan 'maximum treshold level' perlu dibuat kawalan. Kaedah kawalan sebaiknya mengamalkan konsep Pengawalan Perosak Bersepadu (IPM) dimana penggunaan racun serangga adalah pilihan yang terakhir. Perlu diingat walau pun banyak terdapat bilangan kutu thrips pada tumbuhan tidak semestinya akan berlaku kerosakan teruk pada hasil tanaman. Ini bergantung kepada jenis tanaman, peringkat kitaan hidup thrips dan juga keadaan cuaca persekitaran. Kawalan kultura dengan membuang bahagian yang diserang thrips adalah digalakan. Penggunaan musuh semulajadi seperti beberapa jenis kumbang (bugs) membantu mengurangkan populasi. Diharap artikel ini dapat memberikan maklumat berguna kepada pembaca. Bersambung lagi nanti......Wasallam!!!.
KUTU THRIPS...HALUS SAIZNYA....
MENGHISAP CAIRAN...CARA ROSAKNYA....
POPULASI BANYAK...PERLU KAWALANNYA....
SERANGGA PEROSAK...AWAS KEUJUDANNYA...


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Teluk Kemang, Port Dickson,
Negeri Sembilan,
Malaysia
(15 JamadilAwal 1433H)

RAMBUTAN DELI BALING (R193)

RAMBUTAN DELI BALING merupakan satu varieti rambutan (Nephelliun lappaceum) yang diyorkan untuk ditanam kerana mempunyai ciri-ciri yang komersial. Rambutan Deli Baling mempunyai Nombor Daftar R193 yang dimana ianya didaftarkan oleh Encik Ayob bin Abdul Rahman dari Baling , Kedah pada 10 Oktober 1991 kepada Jabatan Pertanian. Sehingga kini terdapat sebanyak 62 klon rambutan yang telah didaftarkan dimana hanya sekitar 4 klon sahaja yang ditanam secara meluas iaitu Varieti Deli Baling (R193), Varieti Anak Sekolah (R191), Varieti Deli Cheng (R170) dan juga Varieti Mas Gading Muar (R156).  Keseluruhan tanaman rambutan di Malaysia pada tahun 2011 seluas 26,946 hektar dengan anggaran pengeluaran hasil sebanyak 86,085 metrik tan bernilai sekitar RM 78 juta. Kawasan utama penanaman rambutan adalah di Negeri Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Artikel tengahari ini saya menulis ciri-ciri untuk mengenali salah satu varieti popular rambutan iaitu Rambutan Deli Baling (R193) bagi rujukkan pembaca semua. Maklumat ini disesuaikan dengan sumber rujukkan daripada Jabatan Pertanian dan pengalaman penulis sendiri dalam bidang pertanian selama 30 tahun.


Buah Rambutan Deli Baling mempunyai kulit yang berwarna merah (kod warna R45A) dengan bentuknya yang Ovat (ovate).  Secara mata kasar agak sukar hendak kenal buah rambutan varieti ini dengan varieti-varieti lain yang mempunyai warna dan bentuk yang hampir serupa. Panjang buah adalah sederhana iaitu 4.68 cm dan lebarnya juga sederhana (3.8 cm). Dari segi perbandingan saintifik antara panjang buah dengan lebar buah adalah 1.23:1.  Jika dilihat foto diatas kita akan dapat lihat tebal kulit buah rambutan Deli Baling adalah dikira Sederhana. Saiz bulu rambutan ini sederhana iaitu tidak terlalu panjang atau tidak terlalu pendek dibandingkan dengan varieti lain.  Warna pangkal bulunya juga Merah (kod warna R46A) dan hujungnya agak kehijauan dengan tekstur bulu yang sederhana lembut.  Lapisan isi pulpanya adalah berwarna Krim dengan ketebalannya juga sederhana.


Isi buah rambutan Deli Baling adalah berwarna Krim yang pejal dan mempunyai ketebalan sederhana (Lihat foto dikiri).  Permukaan luar isi sederhana licin dan merupakan sejenis varieti rambutan yang SANGAT MANIS dengan bacaan kemanisan sebanyak 24 % (Brix meter). Kajian juga mendapati kandungan asid adalah sangat rendah dan buah varieti ini juga kurang berair. Paling istimewa tentang buahnya adalah kerana ia sejenis buah rambutan yang LEKANG atau di kampong saya dipanggil sebagai Buah LONGKAH. Apabila dimakan isinya mudah terpisah daripada bijinya. Kadar kelekatan testa pada biji buah adalah pada tahap 'sederhana melekat'. Saya dulu memang suka makan rambutan jenis ini tetapi sekarang dah kurang kerana susah nak dapat yang free lagi.


Biji buah rambutan varieti anak sekolah ini adalah sebiji setiap buah yang berada dibahagian tengah buah. Jarang-jarang dijumpai buah rambutan Deli Baling tanpa biji (seedless fruit). Dari foto sebelah kita lihat yang bentuk bijinya adalah 'Obovate' iaitu bujur lonjong yang bersaiz sederhana sekitar 2 cm panjang dan 1 cm lebar. Bijinya berwarna coklat krim dengan lapisan testa yang agaj sederhana keras dan mudah untuk disemai bagi dijadikan anak benih. Belum ada kegunaan lain biji rambutan ini selain daripada untuk dijadikan benih untuk pokok penanti tetapi apabila tumbuh sendiri ditanah ia akan jadi pokok varieti Deli Baling agaknya. Mungkin satu hari nanti akan ada usahawan yang pungut biji rambutan bagi diproses jadi snek makanan ringan yang sedap dan berkualiti. 


Seperti rambutan lain varieti ini berbunga awal iaitu sekitar bulan Mac-Julai (musim utama) dan kadang-kadang pada Julai-November (luar musim). Bunga rambutan ini jenis Hermaprodit dimana ada bunga jantan dan betina pada satu jambak. Pendebungaan dibantu oleh agen-agen seperti semut, lebah, kerengga dan kelulut semasa musim bunga secara semulajadi. Varieti ini mempunyai tempoh masa matang dari berbunga hingga buah masak sekitar 110-120 hari.  Pemerhatian saya di Johor dan Kedah mendapati tanaman ini disyorkan untuk ditanam dengan jarak 9 meter x 9 meter untuk memberikan kepadatan tanaman sebanyak 142 pokok sehektar (bentuk tiga segi) atau sebanyak 123 pokok sehektar (Bentuk empatsegi sama). 


Kupu2 dewasa pengorek buah
Antara masaalah tanaman rambutan Deli Baling adalah serangan oleh Penyakit  Cerana Batang (Penyebab Dolabra nepheliaceae) yang membentuk keruping pada kulit batang dan boelh dikawal dengan racun berasaskan kuprum seperti Alliete. Serangan Kulapok Hitam (Meleila nelhelii) juga berlaku yang disebabkan oleh koya dan boleh dikawal dengan racun yang mengandungi sulfur. Varieti Deli Baling juga boleh diserang Kulapok Berdebu disebabkan oleh Kulat Oidium nephelii yang juga boleh dikawal dengan racun berasaskan sulfur. Serangga yang menyerang rambutan adalah Ulat Pengorek Buah (Conopomorpha cramevella) yang masuk kedalam isi buah dan merosakan kualitinya (Lihat kupu-kupu dewasa pengorek buah).  Anggaran hasil sekitar 3.2 hingga 3.5 metrik tan sehektar bergantung kepada umur pokok dan cara pengurusan. Walau pun ada usaha untuk mengekspot rambutan Deli Baling ke luar negara, banyak usaha perlu dilakukan untuk menjadikan tanaman ini berdayamaju untuk pasaran domestik.


DELI BALING .....RAMBUTAN DISYORKAN....
DAERAH BALING...ASAL DIDAFTARKAN....
BUAHNYA MANIS...KETIKA DIMAKAN...
RAMAI TAK TAHU...RAMAI IDAMKAN.....


Related articles:
1. Rambutan (Klik disini)
2. Klon Rambutan di Malaysia (Klik disini)
3. Cashflow Rambutan (Klik disini)
4. Rambutan Gading Muar (Klik disini)


By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia.
(20 JamadilAwal 1433H)

Friday, April 6, 2012

BENIH NENAS

BENIH NENAS (Ananas cosmosus) merupakan keperluan input penting dalam industri penanaman nenas. Terdapat seluas 16,850 hektar tanaman nenas di Malaysia dengan pengeluaran sebanyak 427,000 metrik tan pada tahun 2011 dimana tumpuan utama kawasan tanaman nenas adalah di Johor, Kedah dan Sarawak. Antara veireti nenas yang ditanam dinegara kita adalah seperti Nenas Morris, Nenas Gandul, N36, Nenas MD2, Nenas Sarawak dan beberapa varieti lain yang ditanam mengikut lokaliti. Penanaman nenas kini telah di kelolakan oleh Lembaga Perusahaan Nenas Malaysia (LPNM) yang beribupejabat di Johor Bahru.  Beberapa syarikat yang masih aktif menanam nenas secara meluas di Johor seperti Lee Pineapple dan Peninsular Pineapple serta syarikat JTP Plantation. Penanaman nenas memerlukan jangkamasa antara 12 - 14 bulan daripada penanaman sehingga di tuai. Kaedah penanaman nenas dijalankan kebanyakkanya diatas tanah gambut secara konvensional atau kaedah tanaman padat diatas tanah mineral. Benih Tanaman Nenas merupakan satu komponen yang utama dalam setiap kali penanaman nenas sama ada Penanaman Semula atau Penanaman Baru. Artikel subuh ini saya nmenulis mengenai benih tanaman nenas untuk makluman bersama.


Benih Tanaman nenas boleh diperolehi daripada BENIH SULUR (Suckers), BENIH SULUR SISI (Slip suckers), BENIH JAMBUL (Crown), BENIH KULTUR TISU (Tissue culture) , BENIH QUATERING (Quatering techniques), BENIH KERATAN DAUN (Leaf budding cutting) dan sebagainya. Keperluan anakbenih nenas adalah dalam bilangan yang banyak diantara  43,500 sulur sehektar bagi kaedah penanaman konvensional dan meningkat hampir dua kali ganda jika menanam dengan kaedah Tanaman Padat nenas. Sumber bekalan benih nenas diperolehi daripada pembekal yang telah berwibawa dah mestilah mempunyai ladang nenas dari varieti yang disyorkan untuk penanaman komersil. Benih nenas sering diperolehi selepas aktiviti menuai dijalankan dengan mencantas atau memancung daun nenas untuk menggalakan pengeluaran sulur.


Sulur Batang merupakan sumber benih nenas yang paling lazim dan banyak digunakan. Sulur ini keluar daripada batang nenas yang telah dituai hasilnya dan dilakukan kerja mencantas daun-daunnya menggunakan parang panjang (secara senget) untuk menggalakkan pengeluaran sulur ini. Sulur yang telah keluar dengan saiz lebihkurang 30 cm dan berat sekitar 200 gram dikutip dan digredkan mengikut saiz. Sulur ini kemudian diikat dengan bilangan 50 sulur satu ikatan dengan bersilang iaitu antara pucuk dan pangkal (lihat foto). Pastikan hanya sulur yang sihat, seragam dan berkualiti dipilih untuk digunakan sendiri atau pun dijual kepada orang lain. Rawatan sulur dengan merendam selama 24 jam didalam larutan Malation dan dalam Larutan Racun Kulat seperti Benlati disyorkan untuk kawalan masaalah Koya, teritip dan penyakit Reput Pangkal sebelum menanam diladang.


BERSAMBUNG...


BENIH NENAS....BANYAK PUNCANYA....
SULUR BATANG...BANYAK JUMLAHNYA...
JAMBUL NENAS...SERAGAM TUMBUHNYA...
BENIH KULTUR TISU...BAGAIMANA ?


By,
M Anem
Bilik Nakhoda 1,
RISTEC, Port Dickson,
Negeri Sembilan,
Malaysia.
(12 JamadilAwal 1433)

Wednesday, April 4, 2012

PENGAIRAN RENJIS VS TITIS

SISTEM PENGAIRAN LADANG merupakan satu teknologi yang digunakan bagi membekalkan air keladang tanaman secara komersil bertujuan untuk membekalkan air yang mencukupi bagi pertumbuhan tanaman. Pada masa kini sistem pengairan merupakan satu komponen penting didalam pengeluaran tanaman makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan juga tanaman kontan atau tanaman singkat masa. Walau pun kaedah pertanian secara tradisional dulu hanya mengharapkan hujan untuk pengairan, tetapi kini kaedah pengairan ladang telah maju dengan pelbagai cara dan kos yang berbeza-beza. Penanam sayur daun perlukan satu sistem pengairan yang sesuai terutamanya bagi tanaman sayur daun yang mana ianya merupakan tanaman sangat singkat tempoh penanamannya dan perlukan air yang konsisten. Artikel malam ini saya menulis mengenai sistem pengairan renjis dan sistem  pengairan titis untuk menambahkan ilmu pengetahuan pembaca.

Sistem Pengairan Renjis (SPRINKLER IRRIGATION) adalah satu sistem dimana semburan air dilakukan keudara daripada sprinkler dan jatuh ketanah seperti air hujan. Semburan ini berlaku apabila air daripada sumber seperti air kolam atau air sungai dipam masuk melalui penyalur (HDPE atau PVC atau Hose Getah) dengan tekanan yang tinggi melalui nozel (sprinkler) secara berputar (360 darjah) secara mekanikal. Jarak pancutan atau semburan ini bergantung kepada kuasa tekanan air daripada pam dan juga jenis peralatan nozel sprinkler yang digunakan. Lazimya jarak semburan 20 -30 kaki radius atau lebih bergantung kepada spesifikasi pam air dan sistem nozel digunakan. Sistem ini sering digunakan dan sesuai untuk tanaman sayuran dan tanaman singkat masa seperti sayuran daun, sayuran buah, tanaman umbisi dan juga tanaman yang berkepadatan tinggi. Sistem pengairan renjis ini juga sesuai digunakan pada banyak kawasan sama ada kawasan rata, bercerun, kawasan tidak sekata atau kawasan kebun yang baru dibuka. Pemasangan sistem ini perlukan kemahiran khusus dan kiraan tepat bagi kecekapan bekalan air yang optima.

Kebaikan sistem pengairan renjis yang saya perhatikan ialah cara semburan yang seragam dan sekata, sesuai untuk kebanyakkan jenis tanah, tidak mudah tersumbat, mudah dialihkan kekawasan yang lain dan sistem ini adalah tahan lasak. Cara ini juga boleh di sesuaikan dengan aplikasi penyemburan racun, baja dan bahan kimia lain untuk tujuan pertumbuhan pokok yang sihat. Kos penyelenggaraan adalah mudah dijalankan. Kesan hakisan juga dapat dikurangkan jika menggunakan sistem pengairan ini. Bagaimana pun sistem sprinkler ini saya dapati menggunakan kadar air yang banyak, perlukan jenis pam air yang mempunyai tekanan tinggi serta kos pembangunan awal lebih tinggi. Kaedah ini juga perlukan pekerja mahir untuk mengendalikan pam, sistem pembahagian air dan juga pengawalan tekanan air serta penyelenggaraan sistem. Jika berlaku tiupan angin kencang akan menyebabkan sebaran air tidak sekata dan mengganggu pertumbuhan pokok. Sistem ini menyebabkan berlaku banyak pembaziran air jika tidak dikawal dengan betul. Penggunaan sistem sprinkler dengan tekanan yang sangat kuat dan jauh kurang sesuai untuk sesetengah tanaman seperti Cili, Terung dan lain-lain kerana ini juga akan menyebabkan bunga gugur akibat tekanan pancutan tersebut.

Sistem Pengairan Titis (DRIP IRRIGATION) merupakan satu sistem pengairan yang membekalkan air kepada tanaman dengan tempoh kerap mengikut kadar keperluan air tanaman tersebut. Kadar sebaran air dan kecekapan penggunaan air oleh tumbuh-tumbuhan adalah sangat cekap melebihi 90%. Pengedaran air menggunakan tiub yang mendapatkan bekalan air daripada pam berkuasa rendah atau bekalan air daripada tangki yang dialirkan melalui tekanan graviti. Air keluar melalui lubang halus atau alatan 'emitter' yang mempunyai lubang halus. Kaedah ini memerlukan jumlah air sedikit dan menjimatkan tenaga serta kos petrol. Kos awal adalah lebih murah berbanding dengan kos untuk pemasangan sistem sprinkler. Sesuai untuk tanaman yang berkepadatan rendah serta tanaman bermusim seperti pokok buah-buahan atau tanaman kontan. Sistem ini sangat sesuai untuk penanaman sayuran atau buah-buahan terpilih dengan menggunakan SISTEM FERTIGASI. Baja cecair dan racun kimia boleh dicampur untuk tumbesaran dan kawalan penyakit.  Kita boleh programkan pemberian baja dan air mengikut peringkat tumbesaran pokok. Kini kebanyakan pengeluaran sayur bernilai tinggi seperti Tomato, Lada Benggala, Timun Jepun, Tomato Cherry, Cili Padi dan salad menggunakan sistem fertigasi.

Sistem pengairan titis tidak begitu popular berbanding sistem pengairan renjis. Ini disebabkan oleh kejadian emitter yang  TERSUMBAT menyebabkan pokok tidak akan mendapat bekalan air dan baja terutama untuk sistem fertigasi di bawah struktur pelindung hujan. Akibatnya kita perlukan masa lama untuk membuat pemeriksaan setiap emitter bagi membersihkannya. Kita juga perlu menjalankan aktiviti membersihkan penapis pada pam air. Kejadian kes emitter tersumbat dalam sistem fertigasi kadang-kadang menyebabkan pokok layu dan mati jika petani tidak membuat pemeriksaan yang kerap dan berkala. Kualiti air juga kritikal untuk sistem ini dimana jika lepas hujan lazimnya banyak kekotoran dalam air. Walau pun kos pemasangan peringkat awal agak rendah tetapi cara ini kurang diminati oleh ramai petani biasa. Pemerhatian saya juga menunjukkan akan berlaku pengumpulan garam di pangkal pokok iaitu pada zon akar tanaman terutama untuk sistem fertigasi. Setiap kali habis tanaman perlu di buat 'flushing' untuk mencuci kekotoran terkumpul dengan membuka hujung 'drip tape' sehingga bersih kemudian digulong atau disimpan sebelum diguna semula. 

Ramai petani memilih sistem pengairan disebabkan oleh kesesuaian teknologi, kos awal pemasangan dan modal sedia ada serta jenis pengurusan komoditi dipilih. Walau pun sistem sprinkler digunakan secara meluas dalam industri tanaman makanan, tetapi kaedah pengairan titis kini mula mendapat perhatian dengan kaedah pengairan dan pembajaan fertigasi di kawasan tanah terbuka seperti dibanyak peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) kelolaan Jabatan Pertanian. Petani atau usahawan perlu mendapatkan khidmat nasehat dari pegawai pertanian terdekat, rakan-rakan petani lain yang telah mengamalkan sistem pengairan atau daripada tauke kedai yang menjual peralatan sistem pengairan. Pemasangan sistem pengairan yang sempurna akan membantu meningkatkan produktiviti kebun dan seterusnya memberikan pendapatan optima kepada petani. Semuga artikel ini menambah sedikit ilmu berguna kepada pembaca semua!

SISTEM SPRINKLER....JAUH PENYEBARANNYA....
SISTEM TITIS....TERSUMBAT MASAALAHNYA...
PILIHAN TERBAIK...TENGOK MODAL ASALNYA....
SESUAIKAN TEKNOLOGI...BANYAK HASILNYA....

By,
M Anem
RISTEC, Port Dickson,
Negeri Sembilan
Malaysia.
(10 Jamadil Awal 1433H)  

Monday, April 2, 2012

HALWA BETIK

HALWA BETIK adalah satu produk proses daripada buah Betik (Carica papaya) yang merupakan sejenis produk tradisional semenjak dulu kala. Zaman dulu ketika Hari Raya dan mengikuti rombongan marhaban dari rumah ke rumah seluroh kampong , kuih halwa betik merupakan antara kuih yang menjadi buruan zaman kanak-kanak kerana rasanya sedap dan sangat manis selain daripada warnanya dan bentuknya yang menarik. Halwa Betik disediakan untuk tetamu yang berkunjung pada sambutan Hari Raya dan yang saya ingat memang setahun jumpa sekali sahaja...itu tahun 1970'an.... Pada masa ini halwa betik mudah didapati atau dibeli di Pasar Malam, di hypermarket dan banyak lokasi lagi yang dijual secara komersil, sedap dan cara yang bersih. Malam ini saya menulis sedikit mengenai  teknologi membuat Halwa Betik dalam "Anim Agro Technology" berdasarkan daripada pengalaman lama dan beberapa rujukan dari buku yang saya baca.


Halwa Betik menggunakan bahan asas BETIK, GULA PASIR, GULA BATU, KAPOR SIREH dan BEKAS penyimpanan serta beberapa peralatan untuk membuatnya. Pilih betik yang telah tua sekitar 1 kg dan pastikan buah belum masak sepenohnya atau pilih yang cukup tua. Buah dibasuh dan kemudian buang kulitnya menggunakan pisau tajam dan potong mengikut kehendak dan rekabentuk Halwa yang hendak dibentuk. Basuh sehingga bersih setelah dikupas daripada getah (jika ada). Bagi tujuan buat halwa untuk jualan komersil maka tidak mementingkan bentuk halwa tetapi jika untuk tujuan hantaran meminang atau hantaran kahwin perlu dibuat bentuk khas. Ada yang memotong seperti dadu, panjang, lonjong dan nipis bagi tujuan jualan. Bentuk Bunga Ros, Kupu-kupu, Daun, Bunga Raya, Kapal, buah dan apa juga bentuk dibuat menggunakan pisau tajam.


Kreativiti mengukir Halwa Betik untuk Barang Hantaran memerlukan idea yang betul-betul sesuai untuk dibuat gubahan. Potongan-potongan betik tadi perlu diikat atau dilekatkan menggunakan pin bagi melekatkan dan membentuk gubahan yang dhendak dibuat. Panaskan air dan masukkan ukiran tadi kedalam air panas selama 3-5 minit. Lepas itu angkat dari periok dan toskan sehingga agak kering. Bahasa kampong yang mudah untuk difahami aktiviti ini adalah namanya 'mencelur' ukiran dan potongan buah betik dalam air panas. Setelah tos maka rendam potongan betik tadi didalam air kapor selama satu hari atau lebih kurang 24 jam. Apakah gunanya rendam dalam air kapor?.... Tujuannya adalah untuk mengeluarkan air dalam potongan buah betik dan meneuteralkan rasa betik (Kapor kan alkali).


Angkat dan bersihkan potongan halwa dan masak 200 gram gula dalam air sehingga semuanya larut dan sejukkan. Jika hendak campur bahan perwarna masukkan ketika masak gula tadi sama ianya warna Hijau (Daun), Merah (Bunga Ros), Kuning (Bunga) dan sebagainya mengikut kreativiti. Kemudian masukkan halwa kedalamnya dan simpan selama 24 jam lagi. Keesokkan harinya buang air gula tersebut. Masak sebanyak 300 gram gula lagi dalam air dan sejukkan. Masukkan halwa tadi kedalamnya dan simpan selama 24 jam lagi. Ulangi proses tersebut beberapa kali sehingga semua 1 kilogram gula tadi habis diserap oleh halwa betik. Penggunaan campuran gula batu dengan gula pasir akan menambahkah lagi keenakan, kerangupan dan kecantikan halwa betik. Peringkat akhir membuat halwa betik adalah menjemur sehingga kering halwa tersebut. Mungkin proses membuat halwa agak leceh dan lama tetapi sebenarnya ia merupakan kaedah pengawetan paling asas sekali.


Halwa yang telah siap tadi boleh disimpan, digred atau pun di bungkus untuk dijual dipasaran. Selalunya halwa betik yang dijual dipasar malam berharga RM 4.00 0 RM5.00 setiap 100 gram tetapi kalau di Hypermarket mencecah RM 8.00 /100 gram. Halwa Betik untuk hantaran pula akan dihias dengan beberapa bahan lain seperti daun sireh, ceri, buah-buahan dan sebagainya bagi tujuan keunikan gubahan. Halwa Betik memang mengandungi Gula yang tinggi dan tahan disimpan lama. Khasiat halwa betik memang ada tetapii kurang baik kepada mereka yang ada masaalah diabetis. Saya fikir kalau ada usahawan yang berminat boleh mencuba memproses halwa betik sebagai permulaan untuk berniaga. 


HALWA BETIK ....MANIS RASANYA...
MUDAH DIPROSES...SENANG CARANYA...
BUAT HANTARAN...CANTIK GUBAHANNYA...
KENA KREATIF....BERBALOI JODOHNYA....


By,
M Anem
Putrajaya,
Malaysia
(9 JamadilAkhir  1433H)     

LIMAU PAGAR

LIMAU PAGAR (Fortunella polyandra) merupakan sejenis timbuhan dari keluarga Rutaceae iaitu satu kumpulan dengan jenis Limau. Limau ini juga di panggil dengan nama MALAYAN KUMQUAT iaitu sejenis tumbuhan yang memang ada semulajadi atau natif dari negara kita iaitu Semenanjung Malaysia serta kurang dikenali dinegara lain. Nama lain pokok ini seperti Limau Pagar (Melayu), Marai KinKan ; Nagana Kinkan (Jepun), Chang Ye Jin gan ; Malayan jin Gan (China), Long-leaves kumquat ; Single Kumquat dan Malayan Kumquat (English). Walau pun ramai diantara kita yang kenal pokok ini banyak dibuat untuk tanaman hiasan keliling rumah, tetapi ada pengusaha yang menanam limau pagar ini untuk tujuan mendapatkan hasil buahnya. Pokok ini adalah berasal dari keadaan liar semulajadi di negara kita dan kini mulai diminati oleh para saintis untuk mengetahui kebaikannya dan kegunaannya didalam program biakbaka tanaman jeins limau. Artikel pagi Isnin sempena cuti rehat petang ini saya menulis sedikit maklumat mengenai Limau Pagar atau lebih popular dengan nama Malayan Kumquat untuk bacaan bersama dan menambah ilmu pengetahuan kita bersama-sama.


Pokok Limau Pagar Tempatan yang saya kenal dan lihat merupakan sejenis pokok renek dengan ketinggiannya mampu mencapai 3-5 meter dimana bentuk percabangan adalah menegak ketika muda tetapi akan membentuk bulat (round shape canopy) apabila pokok bertambah dewasa. Walau pun pokok bercabang, tetapi sering juga mempunyai batang utama ditengahnya dan membentuk kanopi yang seimbang (Lihat foto sebelah atas ). Pokok ini boleh ditanam terus diatas tanah atau pun ditanam didalam pasu besar. Daun limau pagar berwarna hijau gelap dari jenis daun 'simple' yang susunannya bersilang dan juga 'lanceolate'. Bentuk daunya tirus atau membulat dibahagian hujung dengan ukuran saiz daun antara 3-5 cm panjang dan 1-3 cm lebar.  Bunganya berwarna putih dengan single atau dalam satu jambak sebanyak 2-5 kuntum yang keluar dari  ruas antara celah daun.  Bunga adalaah jenis Hermaprodite dimana terdapat 16-20 stamen diatasnya dan stigma yang agak masuk kedalam.  Buah Limau Pagar berbentuk Bulat Lonjong (Globose shape) atau Bulat Panjang dengan ukuran 2-3 cm diameter bergantung kepada varieti dan spesis.


Warna buahnya adalah kuning oren atau oren terang yang berkilat (shiny skin) dengan mempunyai 4-6 bahagian didalamnya (segmented) setiap biji buah. Buah ini mempunyai bau atau aroma yang kuat dengan kulit yang licin (smooth skin) serta berjus atau berair didalamnya. Buah yang masih muda lazimnya berwarna hijau dan bentuk yang sama dengan limau matang. Pokok Kumquat yang ada dinegara lain seperti di Filipina, Jepun dan China mempunyai bentuk buah berbeza seperti BULAT (Marumi kumquat)  BULAT BUJUR (Nagami Kumquat). Warna kuning pada buah yang terang dicelah-celah daun hijau gelap ini menjadikan pokok ini sangat cantik ditanam dikeliling rumah sebagai pokok hiasan. Pada perayaan tahun baru China contohnya beberapa spesis limau pagar atau Limau Kumquat dijual dengan harga mahal jika pokoknya banyak buah dan eksotik. 


Pokok Limau Pagar boleh ditanam di atas tanah atau pada masa ini lebih digemari untuk ditanam didalam pasu. Benih pokok ini boleh didapati daripada Tut atau daripada Biji benih yang disemai dahulu. Tanam anakbenih untuk tujuan pagar dan hiasan  dengan jarak 1-3 meter dalam lubang penanaman yang diisikan dengan baja asas dan baja organik sebanyak 2-5 kg satu lubang. Kalau menanam secara monokrop dikawasan kebun disyor ditanam dengan jarak 2 m x 3 meter bagi penghasilan buah. Limau ini disyorkan ditanam dikawasan yang tidak mudah banjir atau kawasan mudah tenggelam kerana kebanyak tanaman dari keluarga Rutaceae (Citrus group) adalah tidak tahan.  Buat pangkasan pembentukan diperingkat awal untuk mendapatkan bentuk pokok yang dikehendakkii terutama jika untuk tanaman pagar. Pokok ini mudah hidup dan tahan lasak. Kajian mendapati pokok ini tidak mempunyai banyak masaalah serangan serangga perosak atau penyakit. Kadang-kadang terdapat serangan ulat makan daun dan ulat pelombong daun (Leaf miner) yang tidak serius.


Pokok Limau Pagar dari varieti yang banyak berhasil akan mula berbunga selepas 1-3 tahun ditanam bergantung kepada cara pengurusan pokok. Buah yang telah masak berwarna oren kuning terang (Lihat foto sebelah) dan mengandungi jus yang masam. Pokok Limau Pagar atau Kumquat ini berbunga dan berbuah sepanjang tahun tetapi ada musim puncak dalam masa setahun sebanyak dua kali. Pastikan program pembajaan dijalankan dengan baja NPK 15:15:15 pada tahun pertama dan apabila berbuah gunakan baja Sebatian NPK 12:12:17:2 serta baja organan. Terdapat beberapa biji didalamnya yang boleh digunakan untuk tujuan pembiakan jika mahu. Antara kegunaan limau ini adalah untuk dijadikan ramuan bagi SAMBAL BELACAN. Memang best makan nasi dengan sambal belacan ada limau ini.Bagi mereka yang suka boleh ambil buah limau kumquat dan potong dua untuk diperah dan diambil pati jusnya bagi tujuan minuman berasaskan limau. Kalau kita lambat petik kadang-kadang kandungan jus didalamnya agak kurang atau juga kering. 


Limau ini dikutip dan di proses untuk dijadikan HALWA LIMAU atau dikeringkan untuk dijadikan produk proses KUMQUAT KERING (Lihat foto sebelah). Lazimnya buah limau ini dipetik apabila hampir masak (jangan terlalu lewat petik hasil) dan teris diproses. Cara memproses juga agak mudah iaitu dengan mengeluarkan jusnya dan kemudian limau direbus dengan air panas. Toskan dam dicampur dengan bahan pengawet seperti gula dan garam sebelum proses pengeringan menggunakan oven atau dibawah jenmuran sinaran matahari (Cara tradisional). Limau ini masam dan tidak ada masaalah serangan kulat ketika proses membuatnya. Bagi yang suka halwa masin tambahkan garam semantara yang suka Manis gunakan gula. Halwa Kumquat yang telah siap akan dibungkuskan dengan plastik pembungkus yang terang dan nampak isinya seberat 50 -15 gram sebungkus. Sambil memandu kereta kalau mengantuk...makan kumquar yang masin atau manis untuk menyegarkan mata...Wasallam.


LIMAU PAGAR ...KUMQUAT JUGA GELARANNYA.....
KURANG DIKENALI...CANTIK WARNA BUAHNYA....
MUDAH DITANAM...TIADA MASALAH JAGANYA.. .
TANAM SENDIRI....NAK BENIH BOLEH BERTANYA....


Related articles:
1. Limau Kasturi (Klik didini)
2. Limau Mandarin (Klik disini)
3. Limau Gedang (Klik disini)
4. Limau Lemon (Klik disini)
5. Limau Purut (Klik disini)
6. Limau Bali (Klik disini)
7. Limau Nipis (Klik disini)
8. klon Limau di Malaysia (Klik disini)
9. Citrus Greening Disease (Klik didini)


By.
M Anim
Puchong Lestari Perdana,
Serdang, Slelangor,
Malaysia.
(9 JamadilAwal 1433H)

Sunday, April 1, 2012

PELAN BISNES PERTANIAN 2

PELAN BISNES PERTANIAN mempunyai format khas untuk ditulis dan perlu disusun atur sehingga sesuai untuk dibaca, diguna, dirujuk dan dibentangkan kepada pihak-pihak yang berkepentingan. Tebal atau nipis sesebuah Pelan Bisnes itu tidak penting tetapi yang paling utama adalah kandungan maklumat didalam Pelan Bisnes tersebut. Pihak institusi kewangan akan meneliti beberapa perkara penting yang perlu ujud didalam buku tersebut terutamanya maklumat analisa kewangan dan analisa dayamaju projek (project viability). Kadang-kadang pada mukasurat hadapan sekali mereka dan boleh baca melalui Ringkasan Esekutif (Executive summary) mengenai cadangan projek yang hendak dijalankan dan mampu membuat penilaian awal sesuatu Pelan Bisnes. Artikel petang Ahad ini saya menulis format persembahan untuk menyediakan pelan bisnes pertanian untuk para pembaca blog Anim Agro Technology ini.


Pada bahagian kulit Pelan Bisnes lazimya diisikan dengan maklumat asas seperti Nama Syarikat atau Individu Pemohon, Nama cadangan projek yang hendak dijalankan, Alamat dan nombor kontek pemohon dann juga tarikh Pelan Bisnes tersebut disediakan. Kulit juga kadang-kadang dimasukkan dengan foto, rajah atau apa juga perkara yang boleh membantu dalam meningkatkan kualiti Pelan Bisnes tersebut. Bahagian kulit lazimnya menggunakan kertas daripada material tebal atau gunakan lapisan kulit plastik lutsinar tebal untuk ketahanan buku tersebut. Cara menjilid boleh menggunakan kaedah yang mudah untuk disusun semula jika ada sebarang perubahan pada isi dan susunan pada pelan bisnes pertanian tersebut. Pastikan semua tulisan jelas dan dapat dibaca.


Susunan isikandungan Pelan bisnes pertanian dimulakan dengan Ringkasan Eksekutif, Pengenalan, Objektif Kertas Bisnes Plan, Latarbelakang cadangan projek, Maklumat asas pemilik dan rakan kongsi serta maklumat lengkap, Maklumat Tanah, Kesesuaian Tapak Projek, Pelan Lokasi Projek, Maklumat Teknikal, Pelan Pengurusan Projek, Pelan Kewangan Projek, Gunatenaga, Analisa Kewangan, Pelan Pemasaran dan juga Lampiran-lampiran. Tajuk-tajuk lain diperlukan mengikut kesesuaian jenis komoditi atau bentuk projek pertanian yang hendak dijalankan. Pengalaman saya mendapati antara jenis projek yang banyak disediakan pelan bines adalah seperti projek tanaman sayuran, projek memproses makanan, projek ternakan ikan air tawar (keli) , projek ternakan udang harimau, projek ternakan kambing , projek ternakan puyoh, projek ternakan ayam daging atau ayam telur dan juga projek membuat kedai pertanian. Sering juga melihat pelan bisnes untuk membeli alatan jentera pertanian seperti Combine Harvester, Jentera Bajak Trektor 4-WD, Jentera JCV dan juga Lori untuk pengangkutan hasil pertanian.
BERSAMBUNG...........


By,
M Anim
Labohan Dagang, Bukit Changgang,
Banting, Selangor,
Malaysia
(8 Jamadilawal 1433H)  



THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...