Support My Blog

Wednesday, April 4, 2012

PENGAIRAN RENJIS VS TITIS

SISTEM PENGAIRAN LADANG merupakan satu teknologi yang digunakan bagi membekalkan air keladang tanaman secara komersil bertujuan untuk membekalkan air yang mencukupi bagi pertumbuhan tanaman. Pada masa kini sistem pengairan merupakan satu komponen penting didalam pengeluaran tanaman makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan juga tanaman kontan atau tanaman singkat masa. Walau pun kaedah pertanian secara tradisional dulu hanya mengharapkan hujan untuk pengairan, tetapi kini kaedah pengairan ladang telah maju dengan pelbagai cara dan kos yang berbeza-beza. Penanam sayur daun perlukan satu sistem pengairan yang sesuai terutamanya bagi tanaman sayur daun yang mana ianya merupakan tanaman sangat singkat tempoh penanamannya dan perlukan air yang konsisten. Artikel malam ini saya menulis mengenai sistem pengairan renjis dan sistem  pengairan titis untuk menambahkan ilmu pengetahuan pembaca.

Sistem Pengairan Renjis (SPRINKLER IRRIGATION) adalah satu sistem dimana semburan air dilakukan keudara daripada sprinkler dan jatuh ketanah seperti air hujan. Semburan ini berlaku apabila air daripada sumber seperti air kolam atau air sungai dipam masuk melalui penyalur (HDPE atau PVC atau Hose Getah) dengan tekanan yang tinggi melalui nozel (sprinkler) secara berputar (360 darjah) secara mekanikal. Jarak pancutan atau semburan ini bergantung kepada kuasa tekanan air daripada pam dan juga jenis peralatan nozel sprinkler yang digunakan. Lazimya jarak semburan 20 -30 kaki radius atau lebih bergantung kepada spesifikasi pam air dan sistem nozel digunakan. Sistem ini sering digunakan dan sesuai untuk tanaman sayuran dan tanaman singkat masa seperti sayuran daun, sayuran buah, tanaman umbisi dan juga tanaman yang berkepadatan tinggi. Sistem pengairan renjis ini juga sesuai digunakan pada banyak kawasan sama ada kawasan rata, bercerun, kawasan tidak sekata atau kawasan kebun yang baru dibuka. Pemasangan sistem ini perlukan kemahiran khusus dan kiraan tepat bagi kecekapan bekalan air yang optima.

Kebaikan sistem pengairan renjis yang saya perhatikan ialah cara semburan yang seragam dan sekata, sesuai untuk kebanyakkan jenis tanah, tidak mudah tersumbat, mudah dialihkan kekawasan yang lain dan sistem ini adalah tahan lasak. Cara ini juga boleh di sesuaikan dengan aplikasi penyemburan racun, baja dan bahan kimia lain untuk tujuan pertumbuhan pokok yang sihat. Kos penyelenggaraan adalah mudah dijalankan. Kesan hakisan juga dapat dikurangkan jika menggunakan sistem pengairan ini. Bagaimana pun sistem sprinkler ini saya dapati menggunakan kadar air yang banyak, perlukan jenis pam air yang mempunyai tekanan tinggi serta kos pembangunan awal lebih tinggi. Kaedah ini juga perlukan pekerja mahir untuk mengendalikan pam, sistem pembahagian air dan juga pengawalan tekanan air serta penyelenggaraan sistem. Jika berlaku tiupan angin kencang akan menyebabkan sebaran air tidak sekata dan mengganggu pertumbuhan pokok. Sistem ini menyebabkan berlaku banyak pembaziran air jika tidak dikawal dengan betul. Penggunaan sistem sprinkler dengan tekanan yang sangat kuat dan jauh kurang sesuai untuk sesetengah tanaman seperti Cili, Terung dan lain-lain kerana ini juga akan menyebabkan bunga gugur akibat tekanan pancutan tersebut.

Sistem Pengairan Titis (DRIP IRRIGATION) merupakan satu sistem pengairan yang membekalkan air kepada tanaman dengan tempoh kerap mengikut kadar keperluan air tanaman tersebut. Kadar sebaran air dan kecekapan penggunaan air oleh tumbuh-tumbuhan adalah sangat cekap melebihi 90%. Pengedaran air menggunakan tiub yang mendapatkan bekalan air daripada pam berkuasa rendah atau bekalan air daripada tangki yang dialirkan melalui tekanan graviti. Air keluar melalui lubang halus atau alatan 'emitter' yang mempunyai lubang halus. Kaedah ini memerlukan jumlah air sedikit dan menjimatkan tenaga serta kos petrol. Kos awal adalah lebih murah berbanding dengan kos untuk pemasangan sistem sprinkler. Sesuai untuk tanaman yang berkepadatan rendah serta tanaman bermusim seperti pokok buah-buahan atau tanaman kontan. Sistem ini sangat sesuai untuk penanaman sayuran atau buah-buahan terpilih dengan menggunakan SISTEM FERTIGASI. Baja cecair dan racun kimia boleh dicampur untuk tumbesaran dan kawalan penyakit.  Kita boleh programkan pemberian baja dan air mengikut peringkat tumbesaran pokok. Kini kebanyakan pengeluaran sayur bernilai tinggi seperti Tomato, Lada Benggala, Timun Jepun, Tomato Cherry, Cili Padi dan salad menggunakan sistem fertigasi.

Sistem pengairan titis tidak begitu popular berbanding sistem pengairan renjis. Ini disebabkan oleh kejadian emitter yang  TERSUMBAT menyebabkan pokok tidak akan mendapat bekalan air dan baja terutama untuk sistem fertigasi di bawah struktur pelindung hujan. Akibatnya kita perlukan masa lama untuk membuat pemeriksaan setiap emitter bagi membersihkannya. Kita juga perlu menjalankan aktiviti membersihkan penapis pada pam air. Kejadian kes emitter tersumbat dalam sistem fertigasi kadang-kadang menyebabkan pokok layu dan mati jika petani tidak membuat pemeriksaan yang kerap dan berkala. Kualiti air juga kritikal untuk sistem ini dimana jika lepas hujan lazimnya banyak kekotoran dalam air. Walau pun kos pemasangan peringkat awal agak rendah tetapi cara ini kurang diminati oleh ramai petani biasa. Pemerhatian saya juga menunjukkan akan berlaku pengumpulan garam di pangkal pokok iaitu pada zon akar tanaman terutama untuk sistem fertigasi. Setiap kali habis tanaman perlu di buat 'flushing' untuk mencuci kekotoran terkumpul dengan membuka hujung 'drip tape' sehingga bersih kemudian digulong atau disimpan sebelum diguna semula. 

Ramai petani memilih sistem pengairan disebabkan oleh kesesuaian teknologi, kos awal pemasangan dan modal sedia ada serta jenis pengurusan komoditi dipilih. Walau pun sistem sprinkler digunakan secara meluas dalam industri tanaman makanan, tetapi kaedah pengairan titis kini mula mendapat perhatian dengan kaedah pengairan dan pembajaan fertigasi di kawasan tanah terbuka seperti dibanyak peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) kelolaan Jabatan Pertanian. Petani atau usahawan perlu mendapatkan khidmat nasehat dari pegawai pertanian terdekat, rakan-rakan petani lain yang telah mengamalkan sistem pengairan atau daripada tauke kedai yang menjual peralatan sistem pengairan. Pemasangan sistem pengairan yang sempurna akan membantu meningkatkan produktiviti kebun dan seterusnya memberikan pendapatan optima kepada petani. Semuga artikel ini menambah sedikit ilmu berguna kepada pembaca semua!

SISTEM SPRINKLER....JAUH PENYEBARANNYA....
SISTEM TITIS....TERSUMBAT MASAALAHNYA...
PILIHAN TERBAIK...TENGOK MODAL ASALNYA....
SESUAIKAN TEKNOLOGI...BANYAK HASILNYA....

By,
M Anem
RISTEC, Port Dickson,
Negeri Sembilan
Malaysia.
(10 Jamadil Awal 1433H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...