Support My Blog

Thursday, April 19, 2012

JAMBUL NENAS

JAMBUL NENAS (Pineapple Crown) merupakan satu struktur yang terletak diatas buah nenas (Ananas cosmosus) yang penting dan jarang-jarang dibincang dalam industri penanaman nenas. Jambul nenas yang ujud sebenarnya menunjukkan indikator kesuburan tanaman nenas. Mafologi Jambul Nenas juga berbeza saiznya mengikut varieti nenas dan juga amalan agronomi yang dijalankan. Lazimnya terdapat beberapa varieti nenas perlu di petik bersama-sama jambul nenas untuk mempastikan ketahanannya selepas nenas dipetik (post harvest interval). Jika jambul ini dibuang, ini akan menyebabkan berlaku luka pada bahagian pucik buah nenas dan akibatnya buah akan cepat rosak atau busuk. Saya telah berbincang dengan beberapa pakar  berkaitan nenas, penanam nenas dan pemilik estet nenas di Johor beberapa minggu lepas. Artikel malam jumaat ini saya teringat dan berminat untuk menulis mengenai JAMBUL NENAS yang kita selalu abaikan ketika membeli nenas.


Dalam penanaman nenas terdapat beberapa amalan agronomi yang perlu dijalankan pada jambul nenas iaitu terminologi yang di panggil 'KOREK JAMBUL'. Aktiviti ini dijalankan kepada nenas seperti varieti N36, Nenas Gandul, Nenas Josapine atau Nenas Moris dengan mengorek pucuk jambul nenas menggunakan pisau khas (Lihat foto sebelah). Perbuatan membuang pucuk jambul atau korek jambul ini dijalankan beberapa minggu sebelum buah di petik. Tujuan utama aktiviti ini adalah untuk menghentikan kadar pertumbuhan pucuk atau daun baru pada jambul nenas bagi mendapatkan saiz buah lebih besar (terutama dibahagian pucuk) dan memberikan kadar kemanisan buah dibahagian pucuk agar lebih baik. Bagi tujuan proses untuk kaleng atau nenas tin , aktiviti buang jambul ini penting untuk mendapatkan saiz buah dibahagian pucuk yang lebih besar (bukan bentuk tirus) bagi varieti N36 jika tidak dibuang jambul. Buah yang berbentuk selinder ini mudah di buang kulit dikilang.


Kerja membuang atau korek jambul nenas ini dijalankan dengan cepat oleh pekerja ladang yang mahir. Seorang pekerja mahir di Estet Nenas Peninsula Pineapple (Simpang Renggam) mampu mengorek jambul sebanyak 0.2-0.3 hektar satu hari (Lingkungan 3,000 - 6,000 pokok sehari).  Pemerhatian saya di ladang tersebut mendapati aktiviti mengorek jambul ini dijalankan hampir 100% untuk plot ladang nenas yang akan di jual kekilang estet tersebut untuk nenas kaleng. Bagaimana pun terdapat beberapa plot lain yang tidak dijalankan aktiviti mengorek jambul kerana khusus menghasilkan nenas berjambul bagi tujuan untuk dijadikan anak benih dan tujuan untuk buah nenas yang akan dijual segar dipasaran terbuka. 


Jambul Nenas merupakan salah satu daripada bahan tanaman atau punca benih nenas (planting material) selain daripada Sulur (Suckers) dan Slips. Jambul yang di pulas dari buah nenas sebelum buah tersebut dinaikkan keatas lori akan di kumpulkan di satu lokasi (Lihat foto sebelah). Jambul ini dibiarkan terjemur beberapa hari sebelum ditanam. Kajian saya mendapati purata berat jambul nenas bagi varieti N36 sekitar 300 - 400 gram dengan bilangan daun jambul sekitar 25 - 35 helai. Kajian saya juga mendapati saiz ukurlilit pangkal jambul antara 12 - 15 cm dengan warna daun jambul adalah seragam hijau.  Penanaman nenas menggunakan jambul agak mudah untuk kawasan tanah gambut. Pemerhatian saya dari plot yang ditanam nenas dengan  menggunakan bahan tanaman jambul mendapati pokok nenas tumbuh agak sekata dan kurang kadar kematian. Industri tanaman nenas di Hawai melaporkan yang petani mereka gemar menggunakan jambul sebagai bahan utama tanaman nenas mereka. Hasilnya adalah dapat pokok yang seragam dan mudah untuk merangsang pembungaan dengan hormon.  Dikalangan penanam nenas pekebun kecil kurang gemar menanam nenas dengan jambul kerana agak lambat pertumbuhan di peringkat awal berbanding dengan penggunakan benih tanaman dari Sulur (Suckers).


JAMBUL NENAS...'CROWN' GELARANNYA...
WARNA HIJAU...DIATAS BUAH DUDUKNYA...
PERLU DIKOREK PUCUK...MUDAH KERJANYA...
BENIH TANAMAN...SERAGAM TUMBUHNYA....


By,
M Anem
Precint 11, Putrajaya,
Malaysia
(27 JamadiAwal 1433H)   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...