Support My Blog

Saturday, July 4, 2020

PESARA TLDM TANAM TERUNG

TERUNG (Solanum melongena) merupakan sejenis tanaman sayur jenis buah yang banyak ditanam di Malaysia untuk kegunaan domestik dan eksport. Terdapat banyak jenis terung yang ditanam di negara kita daripada jenis terung panjang (terung ungu), Terung Putih, Tering Bulat, Terung Pipit, Terung Thailand (Terung Lalap) dan banyak jenis lagi. Pada tahun 2019 seluas 2,710 hektar kebun ditanam terung dengan pengeluaran sebanyak 43,780 metrik tan (Sumber: Booklet Statistik Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2019). Negeri utama yang luas menanam terung di Malaysia adalah Johor (786 hektar) diikuti dengan Pahang (498 hektar) dan Sarawak (254 hektar) pada tahun yang sama. Kebanyalan tanaman terung ini adalah secara konvensional iaitu ditanam diatas tanah tetapi telah ramai yang menanam secara fertigasi sama ada berada diatas plastik atau pun secara fertigasi gantung. Terung merupakan sejenis sayuran buah yang sesuai dimasak sebagai sayur tumis, dimasukkan didalam kari atau dimasak sambal. Terdapat beberapa vaireti popular bagi tanaman terung yang mana benihnya ada dijual oleh syarikat pebekal benih tempatan dimana dakwa mereka termasuk jenis terung hibrid yang mahal harga benihnya. Terung merupakan tanaman yang perlukan penjagaan baik agar menghasilkan tuaian berkualiti dan memberikan pulangan baik. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya kongsi info mengenai pesara tentera laut TLDM yang mengusahakan tanaman terung sebagai satu cara mendambah pendapatan untuk bahan bacaan semua.

Seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memilih terung sebagai komponen utama dengan menyertai Fertigasi Rakyat di bawah pengurusan Pejabat Pertanian Daerah Perak Tengah di Pusat Pertanian Gelong Gajah, Beruas, Perak. Mohd Azam Junus yang berumur 37 tahun telah mula menceburi dunia pertanian sejak 2013 selepas menamatkan perkhidmatan pakaian seragam dalam pasukan keselamatan itu. Anak kelahiran Jengka, Pahang, sebelum ini memilih tanaman cili kulai (MC10) sebelum dia mula beralih sepenuhnya kepada terung kerana penjagaan tanaman itu lebih mudah dan tidak memerlukan air yang banyak (Sila lihat foto disebelah). Selain itu pengurusan racun juga lebih mudah berbanding tanaman lain dan pokok terung juga tahan lasak dengan mengambil masa dalam tempoh tiga hingga empat bulan untuk mengeluarkan hasil selepas proses semaian dilakukan. Terung sesuai ditanam di tanah jenis gambut dan saya mengusahakan 0.8 hektar setengah di dua tapak berlainan di lokasi sama. Hasil dari beberapa lawatan kelokasi kebun terung beliau kini telah pun menggunakan kaedah tanaman berbeza iaitu secara fertigasi yang mempunyai 2,450 pokok dan ditanam di batas tanah sebanyak 1,500 pokok.

Pada beliau terung yang ditanam secara fertigasi agak sukar khususnya kaedah pengurusan tanamannya kerana ia memerlukan penjagaan baja yang mencukupi membabitkan kos tinggi berbanding ditanam di batas tanah secara moden konvensional. Mohd Azam berkata, kaedah fertigasi terung perlu dibaja mengikut formula dengan penjagaan yang betul bagi mendapatkan hasil terbaik dan semua terung ditanam adalah jenis nyonya yang bentuknya panjang. Dakwanya sepokok terung akan mampu mengeluarkan hasil hampir lima kilogram (kg) dan sebulan kebunnya mengeluarkan hasil 2,800kg. Harga jualan pernah mencecah RM4 sekilogram pada harga ladang. Paling rendah dijual pada harga RM2.50.kg  dan jenis ini juga mendapat permintaan tinggi daripada semua pelanggan kerana terung nyonya lebih sedap dan manis serta paling sesuai dimasak pajeri. Menurut bapa dua anak itu, walaupun sebelum ini dia boleh dikatakan hidup selesa tanpa perlu membanting tulang di kebun dengan pendapatan tetap sebagai penjawat awam selama 13 tahun, namun tidak pernah kesal memilih pertanian sebagai punca pendapatan biarpun bidang itu mempunyai risikonya tersendiri. Ketika dalam peralihan iaitu kursus wajib diikuti anggota yang mahu menamatkan perkhidmatan tanpa berfikir panjang saya memilih pertanian kerana minat yang mendalam dalam bidang ini.

Bagi Mohd Azam jika minat itu disertai dengan ‘jiwa’ dan usaha pasti ia akan membuahkan hasil biarpun pada awalnya kita akan jatuh dahulu sama seperti yang dilalui ketika di awal pembabitan dalam bidang ini apabila pernah tidak mendapat keuntungan. Namun kini dengan hanya berbekalkan semangat, bantuan serta sokongan yang diberikan Jabatan Pertanian selain keluarga dan pengalaman lalu saya bangkit semula dengan tanaman terung,” katanya yang memperoleh pendapatan kasar kira-kira RM5,000 hingga RM10,000 sebulan. Sementara itu ditanya kepada  Penolong Pegawai Pertanian Daerah Perak Tengah (Pembangunan Komoditi) Nor Afifah Zawawi menyatakan dimana petani ini adalah antara 26 peserta program Fertigasi Rakyat yang mula diperkenalkan sejak tahun 2013 sehingga tahun lalu. Program ini memberikan bantuan asas berupa input pertanian dan khidmat nasehat teknikal bagaimana menguruskan penanaman sayuran yang dilakukan. Setiap peserta akan dipantau sejak memulakan aktiviti penanaman sehingga kepada penentuan gred kualiti tanaman dan juga aspek-aspek pemasarannya. Jabatan Pertanian akan terus hadir untuk membantu dalam menyediakan kemudahan seperti tapak, beg semaian, rumah fertigasi, benih, baja, racun selain khidmat nasihat. Penanaman sayuran dan buah-buahan merupakan satu aktiviti yang membekalkan makanan negara sehingga kebergantungan kepada produk makanan impport dapat dikurangkan. Kepada semua yang berminat untuk mengikuti program Fertigasi Rakyat. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
TANAMAN TERUNG... KAWASAN TERBUKA...
TEKNIK FERTIGASI... MUDAHNYA DIJAGA...
HASIL BERKUALITI... DITERIMA PENGGUNA...
PESARA TENTERA... TERBUKTI DIA GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Medan Ria,
Raub, Pahang,
Malaysia.
(6 Zulkaedah 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...