Support My Blog

Tuesday, August 28, 2018

IKAN TERBOL - KENALI DIA

IKAN TERBOL (Osteochilus hasseltii) merupakan spesis ikan air tawar yang terdapat di Malaysia dan kini semakin kurang dikenali oleh generasi baru masa kini. Ikan terbol hanya terdapat disekitar sungai air tawar di Asia Tenggara, Sungai Mekong dan sekitar sungai-sungai Chao Phraya. Ikan ini hanya mendiami dikawasan sungai berarus, tasik, kolam, paya berarus dan sebagainya. Ikan Terbol mempunyai bentuk badan yang lebih lebar membulat dan leper tidak sama dengan ikan seluang dan ikan lampam sungai (Sila lihat foto diatas). Penulis bertuah kerana ada anaksungai didepan rumah di Gersik, Muar, Johor iaitu Sungai Parit Pelampong dan Sungai Parit Bengkok yang dahulu memang banyak ikan terbol. Dalam mengenali ikan terbol berkualiti terbaik lazimnya ia mendiami sungai dengan air jernih dikawasan berbukit yang belum tercemar dimana dasar sungai adalah berpasir. Banyak sungai dibeberapa negeri yang belum tercemar seperti di Pahang, Selangor, Johor, Kelantan dan Sabah serta Sarawak mungkin masih mempunyai beberapa spesis ikan terbol. Ikan Terbol sedikit berbeza dengan Ikan Lampam Sungai dari segi rupabentuk, saiz dan juga beberapa ciri lain. Ikan Lampam Sungai mungkin jenis ikan (Puntius schwanenfeldii) yang merupakan jenis ikan mempunyai habitat sama dengan ikan terbol. Ia mendiami kawasan sungai dengan air jernih dan mempunyai arus serta dasar berpasir. Ikan ini sebenarnya mempunyai penglihatan yang baik apa yang berada diatas permukaan air dan diatas tanah daratan. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai ikan terbol sebagai satu cetusan idea kepada pembaca semua.


Dalam penulis membuat rujukkan didapati terdapat dua spesis Ikan Terbol yang sering dijumpai iaitu Jenis Ekor Bertanda (Osteochilus vitatus) dan Jenis Ekor Tidak Bertanda (Osteochilus hasseltii). Ikan terbol yang ada ekor bertanda paling biasa penulis jumpa dikawasan sungai dikampong dan amat mudah dikenali semsa berenang dengan ada tanda 'titik hitam' atau black dot dibahagian belakang atau hampir dengan ekor (Sila lihat foto disebelah). Ikan ini amat cepat berenang didalam air secara berkumpulan atau solo apabila ada manusia mendekatinya dan bersembunyi. Ikan terbol merupakan jenis ikan air tawar bersisik dengan warna sisik sama ada gelap atau terang bergantung kepada tahap kejernihan air dan dasar sungai. Jika air dan dasar sungai sangat jernih dan berpasir lazimnya ikan terbol berwarna kelabu keputihan dan sukar dilihat daripada atas permukaan air. Sebaliknya jika air sungai agak gelap sedikit dan dasar sungai juga gelap maka ikan terbol akan berwarna gelap sedikit.


Memancing ikan terbol mempunyai pelbagai teknik dan cara. Bagi saya yang pernah memancing ikan terbol di Muar dulu hanya mampu menggunakan benang untuk jahitan atau tali tangsi untuk memancing dengan mata kail diperbuat daripada dawai pagar mata punai. Dawai mata punai ini dipotong sepanjang 2-3 cm dan diasah satu hujungnya untuk dijadikan mata kail yang tajam. Ia diikat dengan benang dan joran dari batang buloh yang kering dan ringan. Umpan cacing diletakkan pada mata kail dan ia dilayang pada arus sungai. Lazimnya ikan terbol yang galak pada waktu siang atau tengahari akan menyambar umpan. Bagaimana pun kini cara memancing ikan terbul lebih baik dengan cara menggunakan joran siap dengan kekili dan mesin. Umpan yang digunakan sama ada biji kekabu atau buah kelapa sawit yang telah disiat untuk diikat pada mata kail. Di beberapa  Sungai Pahang teknik mengail ikan lampam sungai dan ikan terbol sama sahaja umpannya. Mereka akan menggunakan mata kail no 9 (matakail kecil) dan diikat dengan biji buah kekabu baru (berwarna hitam). Biji kekabu amat disukai oleh ikan lampan dan ikan terbol dilubuk yang agak sederhana kedalamannya. Biji kekabu mudah didapati mudah dikawasan kampong (Sila lihat foto disebelah). Teknik memancing ikan terbol secara tradisional ini bagaimana pun kini semakin dilupakan. Ada orang yang memasang jaring dan menjala untuk mendapatikan ikan terbol. Bagaimana pun kaedah ini kadang-kadang kurang berjaya sebab ikan dapat melihat pada air jernih.


Pemancing yang berpengalaman untuk memancing ikan terbol perlu teknik yang khusus dan unik. Ini kerana ikan terbol hidup dalam habitat air jernih yang bersih dan mampu melihat apa yang berada diatasnya. Oleh itu pemancing perlu 'bersembunyi' dibelakang semak samun atau membina dinding daripada pelepah kelapa sawit (Sila lihat foto disebelah). Mula-mulanya taburkan sedikit biji buah kekabu dan umpan seumpamanya di atas lubuk ikan terbol atau ikan lampam atau ikan seluang. Ikan-ikan ini akan datang dan berkumpul dan menyambar umpan ini. Kemudian disebalik semak dan celah pelepah kelapa sawit maka joran dengan umpan dilayangkan kepermukaan air. Ikan Terbol akan menyambar umpan dan menelannya. Pada masa inilah kita menarik joran dengan ikan terbol yang telah melekat!. Jika gunakan hirisan biji kelapa sawit juga menggunakan teknik yang sama. Penulis yang pernah memancing ikan terbol di Kg Orang Asli Punan, Mersing, Johor beberapa kali semasa bertugas disama seronok dengan tangkapan ikan terbol. Ikan terbol segar berukuran 10 - 15 cm panjang ini terus digoreng dengan sedikit kunyit dan enak dimakan dengan nasi putih. Memancing ikan terbol merupakan satu aktiviti yang masih segar dalam ingatan penulis. Wasallam!.
IKAN TERBOL... UNIK SIFATNYA...
AIR JERNIH... SUKAR JUMPANYA...
UMPAN BIJI KEKABU... DICUBA...
ENAK DIGORENG...DIMAKAN SAMA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Parit Bengkkok,
Gersik, Muar,
Johor, Malayaysia.
(20 JamadilAkhir 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...