Support My Blog

Tuesday, August 14, 2018

BELACAN BAKAR - JANA PENDAPATAN

BELACAN BAKAR adalah satu produk tempatan daripada belacan yang dibakar dan dibungkus kemas untuk sedia digunakan dan memang telah ada produk ini dipasaran.  BELACAN atau 'Shrimp Paste' dalam bahasa Inggeris merupakan sejenis bahan makanan yang diperbuat daripada udang dan garam sebagai perasa masakan di kalangan ramai orang Malaysia. Belacan diproses daripada udang geragau atau isi udang laut yang bersaiz kecil dan setelah apabila siap diproses boleh disimpan lama untuk kegunaan masakan. Belacan mentah berbau agak busuk dan perlukan kaedah pembungkusan atau penyimpanan yang baik untuk mengurangkan bau belacan. Bagaimana pun ini produk 'Belacan Bakar'telah mula popular disebabkan ia sudah sedia untuk digunakan terus dan tidak berbau serta mudah proses penyimpanannya.  Walau pun kaedah memproses belacan kebanyakannya masih ditahap asas atau tradisional tetapi beberapa orang usahawan telah berjaya untuk mereka mengkomersilkan kaedah pembuatan belacan untuk dijual. Penulis blog yang mengenali belacan semenjak kecil lagi apabila disuruh oleh ibubapa untuk membeli belacan di kedai runcit dahulu. Cara membuat belacan bermula dengan mendapatkan bahan mentah utama iaitu udang (Penulis blog membuat tinjauan dii Melaka dan Kukup, Johor dimana mereka menggunakan udang geragau mmanakala di Pulau Pinang dan di Sarawak dan Sabah mereka lazimnya akan menggunakan udang kecil). Udang ini dibersihkan daripada kekotoran seperti tanah, pasir, batu dan buang kulit kepala bagi udang yang agak besar dan keras untuk mendapatkan isinya. Gunakan garam berkualiti dari jenis Garam Halus yang bersih dan putih. Secara tradisional kadar garam yang digunakan adalah sebanyak 10% daripada kuantiti isi udang yang hendak digunakan. Contohnya jika kita mempunyai sebanyak 50 kilogram udang maka sebanyak 5 kg garam halus digunakan untuk dapatkan belacan yang berkualiti. Pada penelitian saya cara membuat belacan berbeza mengikut jenis udang dan teknologi pengeringan serta jenis alatan memproses yang digunakan. Apa yang saya lihat di Melaka mereka mengaulkan bahan udang dengan garam halus sehingga rata. Susun atau letakkan udang yang telah dicampur garam diatas lantai jemuran (Nyiru atau tikar pandan yang sesuai) setebal 1.0-1.5 cm. Udang ini dijemur sehingga menjadi separuh kering. Langkah seterusnya adalah untuk mengisar udang bergaram separuh kering tadi sehingga separuh hancur dengan sedikit air. Ada yang menumbuk dalam lesung batu jika tiada mesin kisar (Kaedah Tradisional). Kemudian campuran tadi dimasukkan kedalam kain dan dimasukkan kedalam bekas atau tong dan ditindih dengan pemberat untuk mempadatkannya dan diperam selama satu minggu ditempat sesuai. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai  Belacan Bakar bagi tujuan menambahkan ilmu pengetahuan pembaca semua berdasarkan kajian, pembacaan dan temubual dengan beberapa responden.


Belacan Bakar merupakan produk yang mudah disediakan dan ianya menjadi pilihan surirumahtangga pada masa ini. Selain daripada belacan bakar kurang berbau ianya juga adalah tahan lama. Belacan Bakar masa  kini telah pun dikomersilkan dengan beberapa syarikat tempatan mengubah dan menambah daripada belacan basah atau belacan kering kepada produk belacan bakar.  Kini belacan bakar telah dikomersilkan dengan pelbagai jenama, pakej pembungkusan, saiz dan juga harga yang berbeza-beza (Sila lihat foto disebelah). Belacan Bakar dijual dengan harga diantara RM2.00 - RM5.00 satu unit dimana harga runcit ini bergantung kepada banyak sebab seperti jenama, harga dan kualiti. Bagaimana pun penggunaan belacn dirumah bukannya hari-hari sebaliknya ia diperlukan dengan jumlah yang banyak kepada beberapa restoran makanan tradisional yang banyak gunakan belacan. Antara makanan paling popular menggunakan belacan bakar adalah Sambal Belacan. Sambal belacan enak dimakan dengan nasi putih dan pelbagai lauk pauh dan sayuran serta ulam-ulaman. Anda boleh menbaca akan sambal belacan dalam tulisan saya sebelum ini dengan pautan berikut (Sila klik disini).  Bahan-bahan yang perlu ada untuk membuat sambal belacan adalah seperti Cili Besar, Cili Padi, Buah Tomato, Bawang Kecil, Belacan, Asam Jawa, Garam, Gula dan Limau Nipis. Bahan-bahan tersebut perlu disediakan secukupnya. Penyediaan sambal belacan secara tradisional adalah menggunakan lesung batu sementara teknik moden adalah dengan menggunakan pengisar eletrik (Blender). Pada saya sambal belacan yang dibuat dengan lesung batu  adalah paling sedap rasanya kerana memang berbeza dibandingkan dengan sambal belacan dikisar dengan alat blender. Ini kerana cara penyediaan sambal belacan dalam lesung batu dapat melumatkan bahan-bahan asas tersebut dan rasanya asli kerana tidak dicampur dengan air seperti cara menggunakan blender. Disyorkan agar anda gunakan belacan bakar membuat sendiri atau membeli belacan yang telah siap dijual.


Dalam beberapa testimoni akhbar memang ramai dikalangan usahawan yang berjaya menjadikan belacan sebagai satu industri. Berita Bernama ada juga paparkan berita bertajuk "Perusahaan belacan di rumah ubah hidup pemandu lori" dipetik dan tulis semula. Seorang pemandu lori En Sudin Bakar menjemur belacan yang telah ditumbuk supaya berkualiti di Kampung Alor Ibus, Kuala Kedah (Sila lihat foto disebelah)Keputusan seorang pemandu lori untuk menceburkan diri didalam perusahaan belacan secara komersial di rumahnya di Kampung Alor Ibus di sini lebih 10 tahun lepas, nyata mengubah taraf kehidupannya sekeluarga. Kini selain beliau mampu menggajikan dua pekerja untuk perusahaan belacannya kini pendapatannya kini semakin bertambah selain mampu memiliki kenderaan sendiri dan mengubah suai rumah pusaka. Menurutnya semasa menjadi pemandu lori selama dua tahun mulai 1987 dia hanya berpendapatan RM1,200 sebulan dan tidak mencukupi bagi menampung kehidupan keluarga dengan lapan orang anak. Beliau kini  dibantu empat pekerja termasuk dua anaknya menghasilkan 80 hingga 100 ketulan belacan setiap hari untuk diedar ke kedai runcit, pasar borong dan pasar raya sekitar bandar raya Alor Setar. Kini Sudin berhasrat memasarkan belacan jenama 'Alor Ibos' keluarannya ke negeri-negeri lain dan berharap pihak terbabit memberi bantuan modal dan peralatan memproses belacan bagi tujuan itu. Dakwanya dia mahu mengkomersialkan belacan ini tetapi memerlukan peralatan yang cukup supaya dapat menampung permintaan yang tinggi dan berharap permohonan saya yang dihantar tahun lepas diluluskan. Sudin dilaporkan pernah memulakan perusahaan belacan pada 1987 tetapi tidak mendapat sambutan sebelum menjadi pemandu lori. Selepas dapat mengumpul modal hasil wang simpanan dan pinjaman daripada institusi kewangan sebanyak RM21,000, Sudin memulakan perusahaan itu pada 1998 menggunakan sebuah mesin memproses belacan pemberian ayahnya bagi memproses lebih 300 kilogram udang setiap mingguWalaupun belacan sering mengeluarkan aroma yang tidak menyenangkan, namun bagi Sudin, ia merupakan perniagaan yang menguntungkan dan berpotensi dimajukan kerana ia menjadi keperluan utama setiap suri rumah untuk bahan masakan, katanya. Walaupun terpaksa bersaing dengan belacan Kuala Kedah dan Tanjung, beliau yakin belacan keluarannya menjadi pilihan kerana menggunakan udang-udang segar yang dibeli daripada nelayan Kuala Kedah sebelum melalui proses menggaul dan memerap di bilik khas. - BERNAMA.


Testimoni ke 2 bertajuk "Belacan ubah hidup Hassan" yang dipetik dari Alor Gajah, Melaka amat baik untuk dijadikan bahan bacaan. Siapa sangka dengan menghasilkan belacan dan cencaluk, seorang pemuda dari Kampung Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah di sini berupaya hidup mewah dengan pendapatan mencecah sehingga RM20,000 sebulanItulah yang dinikmati oleh Hassan Jidin, 35, yang telah mula mengusahakan belacan dan cencaluk secara komersial sejak empat tahun lalu. Anak muda itu yang dulunya bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan kini telah mempunyai dua buah kilang memproses belacan dan cencaluk masing-masing di Kampung Ayer Paabas di sini dan Pantai Puteri, Tanjung Keling. Menurut Hassan, langkah mengusahakan belacan dan cencaluk secara komersial dibuat setelah beliau mendapati terdapat permintaan yang semakin meningkat terhadap makanan berasaskan laut di kalangan peruncit dan pengguna selain para pelancong. Sebelum ini, kata beliau, kerja-kerja menghasilkan makanan daripada hasil laut itu diusahakan secara kecil-kecilan di rumahnya oleh ibu mertuanya, Maimun Ahmad sejak 40 tahun lalu. Apabila melihat potensi produk belacan dan cencaluk ini, saya berhasrat untuk mengkomersialkannya. Selepas mendapat sokongan daripada beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan, saya tubuhkan syarikat sendiri untuk menjayakan rancangan itu. Alhamdulillah sehingga kini NHH Cekal Enterprise sudah mempunyai dua buah kilang di samping 10 pekerja tetap dan sambilan, katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. Hassan berkata, pada masa ini beliau memasarkan lebih 5,000 keping belacan dan 3,000 botol cencaluk sebulan ke Lembah Klang, tidak termasuk untuk pasaran di Melaka.


Bagi memenuhi permintaan itu, beliau memerlukan kira-kira empat hingga lima tan udang geragau dalam sebulan. Saya memperoleh bekalan udang geragau ini daripada peraih-peraih di Pantai Puteri dan Tanjung Bidara di Melaka. Kadang-kadang saya terpaksa mengambil bekalan udang dari Kukup, Johor sebab penangkapan udang jenis ini bermusim, katanya. Menurut Hassan, matlamat beliau sekarang adalah untuk memasarkan belacan dan cencaluk keluarannya ke seluruh negara di samping berusaha menembusi pasaran antarabangsa khususnya Indonesia, Australia, China dan Korea Selatan. Mungkin belacan kurang digemari oleh penduduk negara-negara itu tetapi cencaluk sangat popular di sana kerana ia sering dijadikan perisa tambahan dalam makanan. Malah masyarakat di negara-negara Asia Tenggara memang menggemari makanan berasaskan laut,” katanya. Pada masa ini NHH Cekal Enterprise menghasilkan dua jenis belacan iaitu belacan jemur dan belacan bakar. Kedua-dua jenis belacan itu diproses dengan cara yang berbeza untuk mengekalkan kualitinya. Hassan berkata, kedua-dua kilangnya kini mampu menghasilkan sehingga 400 keping belacan dan 400 botol cencaluk sehari. Beliau bercadang mempertingkatkan pengeluaran jika permintaan terus meningkat. Ditanya resipi untuk menghasilkan belacan dan cencaluk yang sedap, beliau berkata, udang geragau yang digunakan perlu segar dan bukan udang yang ditangkap dari kawasan persisiran pantai yang berlumpur. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology yang sentiasa membuat bacaan. Wasallam!!!..
BELACAN BAKAR... PRODUK BELACAN...
DIBUNGKUS ELOK... DIJUAL DIPASARAN...
DIBUAT SAMBAL... ENAKNYA DIMAKAN...
KALANGAN SURI... IA MENJADI PILIHAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Room 530, Hotel Dorsett,
Precint 4, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(2 Rejab 1439H).
Published from
Asrama Anggerik, INTAN Bukit Kiara,

Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...