Support My Blog

Tuesday, February 20, 2018

NASI BERIYANI GAM - APA HEBATNYA

NASI BERIYANI GAM adalah satu jenis makanan dari kumpulan Nasi Beriyani yang sangat popular terutama di Negeri Johor. Nama Nasi Beriani kini merupakan hidangan nasi campur dipercayai berasal dari Benua Kecil India. Ia dibuat dengan pelbagai jenis rempah-ratus, beras (Basmati) dan daging atau sayur-sayuran. Asal beriani tidak pasti tetapi memang sekitar India, Pakistan dan ada mungkin Asia Barat. Penulis yang pernah berkursus di Lembah Punjab, Pakistan sekitar tahun 2015 mendapati Nasi Beriyani ini memang tidak asing dengan masyarakat di Faisalabad. Nasi Beriyani Kambing, Nasi Beriyani Ayam dan Nasi Beriyani Lembu dihidangkan kepada kami selama berada 7 hari di University of Faisalabad sewaktu makan tengahari. Di Utara India ia juga secara tradisinya dikaitkan dengan masakan Mughlai dan di India Selatan pula ia secara tradisinya dikaitkan dengan masakan Hyderabadi.Masakan ini merupakan salah satu pengaruh utama Tamadun Islam di India dan kini telah menjadi makanan istimewa oleh masyarakat Malaysia. Dari bahan rujukkan wikipedia penulis dapati ada jenis beras yang paling biasa digunakan dalam penyediaan beriani iaitu Beras Perang tetapi kini beras beras basmati digunakan secara meluas. Rempah-rempah dan bahan penyedap umumnya yang digunakan dalam masakan nasi beriani adalah minyak sapi, buah pala, cokmar, lada, bunga cengkih, buah pelaga, kayu manis, daun salam, ketumbar, daun pudina, halia, bawang, dan bawang putih. Laporan tersebut menyatakan sebenarnya terdapat pelbagai jenis variasi nasi briyani di India. Antara jenis nasi beriyani dari India adalah Hyderabadi biryani, Thalassery biryani, Lucknowi biryani, Bombay biryani,  Calcutta biryani dan juga Vaniyambadi biryani. Sementara itu di Asia Tenggara pula terdapat Nasi Beriani Gam (Malaysia dan Singapura), Khao Mok (Thailand), Nasi  Danbauk (Myanmar) dan Nasing Biringyi (Filipina). Penulis blog pernah makan Nasi Beriyani Danbauk di Myanmar pada tahun 2010 dimana rasanya berbau sangat hanyir. Nasi Beriyani Gam yang amat popular di Johor khususnya do Daerah Batu Pahat dan Muar mempunyai resepi tersendiri dan menjadi hidangan istimewa semasa majlis kenduri perkahwinan atau jamuan hari perayaan. Artikel malam ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis lagi mengenai kehebatan dan resepi nasi beriyani gam untuk dijadikan  bahan bacaan dan  rujukan.


Nasi Beriyani adalah gabungan nasi yang dimasak dengan pelbagai jenis rempah dan lauk yang dimasak dengan pelbagai jenis daging. Pada saya Nasi Beriyani Gam dengan lauk kambing menjadi pilihan setiap kali ingin makan hidangan ini. Walau pun ada Nasi Beriyani Ayam, Nasi Beriyani Daging Lembu dan Nasi Beriyani Sotong tetapi paling menyelerakan penulis bllog adalah Nasi Beriyani Kambing (Sila lihat foto disebelah). Terdapat banyak restoren nasi beriyani di seluruh negara dengan hidangan nasi beriyani tetapi bagi nasi beriyani gam yang terkenal dan dikatakan original adalah yang berada di Batu Pahat. Kini nasi beriyani juga dijual di Bazaar Ramadan, Food Truck, Hotel-hotel dan pelbagai kaedah jualan lain. Harga jualan sepinggan nasi beriyani ini juga berbeza-beza diantara RM10.00 - RM25.00 bergantung kepada jenis lauk dan status premis jualan. Nasi Beriyani Gam juga lazimnya dijual dengan harga yang sederhana tinggi sebab kos bahan dan juga cara penyediaannya adalah rumit berbanding dengan makanan lain seperti nasi lemak dan nasi berlauk yang lain. Memang enak dan mengenyangkan makan nasi beriyani gam dengan nasi dari jenis Basmati yang panjang bersama dengan dalca, lauk daging dan selalunya ada pakej dengan minum air siram bandung. Air minuman ini adalah kombinasi antara sirap, air bergas soda dan susu dengan air batu yang memang enak diminum.


Kali ini saya paprkan resepi membuat Nasi Beriani Gam yang diperolehi daripada Pak Cik penulis blog yang memang membuat katering masak untuk kenduri di Muar. Resepi ini mungkin lain atau ada sedikit persamaan dengan resepi nasi Beriyani Gam Batu Pahat. Antara bahan-bahan untuk Nasi Beriyani Gam Muar adalah 5 cawan beras basmathi, satu (1) cawan minyak sapi, 5 cawan air, 1 sudu teh buah pelaga, 1 sudu teh jintan manis, 1/2 sudu teh koma koma (saffron), 5 sudu makan rempah beriyani (pes), 1 inci kayu manis, 1 inci halia yang di hiris halus, 6 ulas bawang putih juga di hiris halus, 10 ulas bawang merah yang di hiris halus, 5 bunga lawang, segenggam biji gajus, segenggam raisins dan bahan perasa garam secukup rasa. Bahan untuk lauk terdiri daripada 1 kilo daging batang pinang yang di potong dadu besar, 5 biji kentang yang di belah dua, 8 biji telur rebus keras, 2 biji bawang besar perlu di hiris, 5 ulas bawang putih yangperlu di kisar, 10 ulas bawang merah juga di kisar, 1 sudu teh buah pelaga, 1 sudu teh jintan manis, 6 sudu makan rempah untuk beriyani (pes), 1-2 sudu makan tomato puri, 1/2 cawan minyak sapi, 1 cawan yoghurt, 1 inci kayu manis, 1 inci halia juga di kisar, 5 bunga lawang, segenggam gajus. segenggam raisins, air cover daging 1-2 cawan extra dan garam secukup rasa. Membaca bahan-bahan yang digunakan untuk masak nasi beriyani gam memang banyak dan mahal modalnya. Kalau harga nasi ini lebih mahal memang berbaloi. Cara masak nasi beriani gam dengan memanaskan minyak sapi dan tumis bahan hiris beserta buah pelaga, kayu manis, bunga lawang dan jintan manis hingga naik bau. Kemudian dimasukkan rempah beriyani dan tunggu sekejap hingga naik bau dan seterusnya dimasukkan beras dan kacau hingga rata. Masukkan air sehingga menutup paras beras dan kemudian ia perlu dikacau sehingga rata. Seterusnya dimasukkan saffron, gula dan garam dikacau hingga rata. Kecilkan api dan masak beras hingga separa masak. 


Cara masak lauk nasi beriani gam dengan memanaskan minyak sapi dan tumis bawang besar, bahan kisar dan semua rempah campak hingga naik bau. Kemudian dimasukkan pes beriyani dan biar terbit minyak. Masukkan daging, kentang dan air sehingga menutup paras daging 1 inci. Didihkan dan kemudian dikecilkan api dan masak hingga daging empuk. Masukkan bahan lain dan 3-4 cawan air lagi dan dikacau hingga rata. Kemudian jika telah separa masak maka perlu masukkan lauk ke dalam periuk kukusan. Pelu ditambahkan anggaran secawan air jika perlu dan gaul rata. Alaskan pada periuk pengukus dengan kain muslin. Masukkan nasi separa masak ke dalam bekas kukusan dan kemudian perlu ditutup pengukus. Letak periuk mengukus di atas periuk kukusan yang berisi lauk. Kemudian dicelupkan kain kapas dengan kanji dan ia dililitkan kain pada bahagian di antara periuk dan pengukus (Ini yang menjadikan ia jadi GAM kepada periok menjadikan namanya 'Nasi Beriyani Gam'). Pastikan ikatan agak kejap dan ia perlu diletakkan di atas api sederhana. Masak selama 1 jam dan kemudian dibuka lilitan dan tutup pengukus. Gemburkan nasi dengan garpu dan jika nasi belum masak sebaiknya ulangi proses kukusan. Tambahkan lauk jika perlu. Makanan ini sedia untuk dihidangkan dan enak dimakan semasa panas lagi. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
NASI BERIYANI... DIGAM BUATNYA...
MEMANG ENAK... LAZAT RASANYA...
HARGA MAHAL... JANGAN DITANYA...
BUAT SENDIRI... MUDAH BELI SAHAJA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Restoren Nasi Beriyani Md Shah,
Batu Pahat, Johor,
malaysia.
(27 JamadilAwal 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...