SELAMAT HARI RAYA 1436H
BELUNTAS (Pluchea indica) merupakan sejenis tumbuhan herba yang dikategorikan sebagai tanaman ulaman daripada keluarga Asteraceae. Tumbuhan ini dipercayai mempunyai pelbagai khasiat untuk dimakan sebagai ulaman dan juga pelbagai faedah lain yang saya akan cuba bincangkan. Ia boleh dijumpai dikawasan pinggir hutan atau belukar yang tumbuh secara liar atau semulajadi di dalam negara kita. Tumbuhan beluntas juga boleh di tanam untuk penghasilan komersil jika ada yang berminat teutama mereka yag terlibat dalam industri herba dan ulaman. Penulis dapati ia seperti pokok daun tenggek burung dimana pokok beluntas juga hanya di dapati dikawasan yang sesuai pertumbuhannya. Saya sebenarnya dulu tidak berapa kenal akan pokok beluntas sehingga saya melawat Taman Herba Perak yang berada di Gopeng, Perak beberapa bulan dulu. Kemudian didalam saya membuat rujukkan, tidak banyak penulisan mengenai khasiat dari tumbuhan beluntas yang kita boleh baca. Bagaimana pun saya belum jumpa bagaimana kita hendak menanam pokok beluntas secara komersil dan amalan agronominya untuk dikongsi bersama. Bagaimana pun berdasarkan kepada ia merupakan jenis tumbuhan daripada keluarga Asteraceae makan saya boleh merujuk kepada tanaman yang serupa dengannya. Artikel malam sabtu ini sambil menonton takbir raya saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman beluntas untuk bacaan dan rujukkan anda semua.Pokok Beluntas adalah tanaman renek jenis herba yang tumbuh menegak dengan ketinggian sederhana iaitu sehingga 2 meter. Pokok beluntas mempunyai banyak cabang (Lihat foto sebelah) dengan batang berkayu sederhana keras. Batangnya agak berbulu sedikit dengan ianya sering cepat mengeluarkan tunas. Apa yang saya lihat, pokok ini mempunyai kanopi yang merimbun dengan susunan dahan yang rapat dan daun yang banyak. Daunnya berwarna hijau terang dimana daun tua adalah hijau gelap dan daun muda (bahagian pucuk) berwarna hijau cerah. Daun adalah tunggal dengan bentuk simpel 'bulat telur' dan bahagian hujung yang tirus yang mempunyai permukaan atas berkilat. Dibahagian tepi daun mempunyai bentuk bergigi dengan tepi laidaun yang bergelombang. Daun ini mempunyai tangkai agak pendek dan menghasilkan bau apabila diramas.
Bunga beluntas adalah jenis majmuk yang keluar dari bahagian hujung dahan dengan saiz yang kecil. Bunga kecil berwarna ungu keputihan ini sekali pandang macam bunga senduduk jika tidak kenal. Bunga ini juga mempunyai buah yang kecil berwarna coklat dengan biji juga kecil berwarna putih dimana ia mempunyai rerambut yang ringan dan boleh diterbangkan oleh angin untuk pembiakan. Buah beluntas juga mempunyai khasiat tertentu yang boleh dieksploit. Pokok beluntas hidup subur pada tanah yang mempunyai tahap kesuburan sederhana serta perlukan cahaya matahari sepenohnya atau dengan sedikit naungan. Penanaman pokok beluntas dikawasan keliling rumah atau dalam pasu juga boleh dilakukan kepada mereka yang suka. Walau pun lazimnya ia hidup secara liar atau semulajadi, pokok beluntas boleh ditanam dengan menggunakan biji benih atau keratan batang.
Bagi menanam pokok beluntas, sediakan kawasan sesuai dengan sistem saliran yang baik. Jika ingin menanam didalam pot atau pasu, isikan media tanah campuran didalam bekas yang besar sedikit. Biji benih yang bernas boleh dikutip dari pokok beluntas matang dan semai didalam tray semaian atau bekas sesuai. Benih yang bercambah dan bersaiz sederhana besar boleh diubah kelokasi penanaman. Bagaimana pun paling mudah dengan membuat keratan batang dan cucuk dalam polibeg tapak semaian sehingga ia bertunas dan sesuai untuk ditanam. Jarak penanaman sesuai antara 2m x 3 m bergantung kepada keadaan persekitaran tanah. Berikan pembajaan asas NPK dan baja organik seperti tahi ayam dan lain-lain jenis baja organik. Kawalan rumpai perlu dijalankan dengan manual dan jangan sembur sebarang racun serangga, racun rumpai atau racun kulat. Pemerhatian mendapati tidak banyak serangan serangga perosak dan penyakit untuk tanaman beluntas.
Bahagian pucuk beluntas merupakan komponen utama dipetik untuk dijadikan ulam. Pucuk muda yang lembut dengan warna hijau kekuningan boleh dipetik dengan tangan bagi mematahkan tangkainya. Daun ini juga dikatakan mempunyai rasa kelat apabila dimakan dan ada rasa berangin yang menyegarkan nafas kepada mereka yang memakannya. Ini menyebabkan daun beluntas mampu menhilangkan bau busuk dari mulut atau pernafasan kepada mereka yang ada masaalah tersebut. Selain bahagian pucuk, daun tua dan batang lembut juga mempunyai khasiat dan boleh digunakan. Khasiat lain dari tumbuhan beluntas adalah kemampuannya untuk menurunkan suhu badan dan seterusnya ia boleh menyembuhkan demam. Saya juga diberitahu yang daun beluntas mampu menyembuhkan masaalah ulser, luka dan kudis pada manusia dengan mengambil beberapa helai daun segar dan tumbuk hingga lumat. Tampalkan daun tersebut pada bahagian luka tersebut sehingga sembuh. Begitulah apa yang saya hendak tulis malam ini mengenai beluntas. Saya makan pucuk beluntas dengan sambal belacan, ikan masin dan nasi dan memang enak sekali rasanya apa bila perut memang amat lapar. Wallahualam!.....
Ulam pucuk beluntas dan sambal. |
PUCUK BELUNTAS... ULAM ASLI...
MUDAH DITANAM...SENANG CARI...
MEMANG ADA DIJUAL..DIPASAR TANI...
BACA ARTIKEL... MINAT BERTANI...
By,
M Anem
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan, Malaysia
(28 RabiulAkhir 1434H)
SELAMAT HARI RAYA 1436H
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.