KANGKONG (Ipomoea spp) merupakan sejenis tanaman dalam kategori sayur daun yang popular di negara kita untuk pasaran domestik. Kangkong tergolong dalam famili Convolvulaceae ddipercayai ia berasal dari India. Kangkong di negara Cina dikenali sebagai weng cai yang juga merupakan satu jenis tanaman sayuran penting untuk kegunaan harian. Di negara barat pula, kangkung biasa disebut swamp cabbage, water convolvulus, atau water spinach. Kangkung terbahagi kepada dua jenis iaitu Jenis Kangkung Darat (Impomea reptans) dan Jenis Kangkung Air (Impomea aquatica). Perbezaannya boleh dilihat pada bentuk daun, batang dan warna bunga. Kangkung darat berdaun tirus, batang berwarna hijau cerah dan bunga putih. Manakala kangkung air pula berdaun agak lebar, batang lebih besar dan hijau tua, bunga kemerah-merahan. Kangkung darat boleh ditanam di batas seperti sayur lain, tetapi kangkung air hanya hidup di kawasan yang berair. Keluasan tanaman kangkong di Malaysia seperti dilaporkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia seluas 2,600 hektar dengan anggaran pengeluaran sebanyak 125,500 metrik tan yang bernilai RM 14.6 juta setahun (Laporan Tahunan Statistik Jabatan Petanian Malaysia 2013). Terdapat banyak khasiat pada kangkung, antaranya sebagai antitoksik, sedatif, antiradang, deuratik dan boleh menyejukkan badan. Kangkung juga kaya dengan vitamin A, B, C, protein, fosforus dan karoten. Artikel petang Ahad ini dalam hujan ribut diluar rumah saya menulis dalam "Anim Agro Technology" iaitu mengenai tanaman kangkong dan teknollogi penanamannya.
Penanaman kanngkong mudah dilakukan jika petani telah cukup mahir menanamnya atau pun mereka yang ingin menanam dikawasan keliling rumah. Kangkung boleh dibiakkan dengan dua kaedah iaitu daripada biji benih (kangkung darat) dan vegetatif bagi kangkung air (keratan batang yang berakar). Lazimnya biji benih kangkung tidak perlu disemai kerana ia besar dan mudah hidup jika ditanam terus di atas batas. Penyediaan batas tanaman disediakan selebar satu meter (m) dan panjang bergantung pada lokaiti kawasan dan tujuan penanaman. Semasa menggembur tanah, tambah bahan organik sebagai baja permulaan dan lazimnya menyuburkan tanah. Setiap satu meter lebar sediakan empat alur boleh terhasil kerana jarak yang disyorkan antara alur ialah 20sm. Biji benih ditabur jarang-jarang di dalam alur. Sebaiknya bubuh sungkupan seperti jerami padi diletakkan di permukaan batas yang terdedah untuk kawalan rumpai dan mengekalkan kelembapan tanah. Selepas antara tiga dan empat hari, biji benih akan bercambah.- Kaedah menanam kangkung air pula, batang kangkung yang telah berakar dipotong sepanjang antara lima dan lapan sentimeter. Kemudian cucuk batang kangkung yang berakar secara mencondong di kawasan tanah lembap dan berair.
Pengairan merupakan sati kemestian dalam penanaman kangkong daripada peringkat awal penanaman. Kangkung perlu air yang agak banyak. Keadaan tanah yang kering dan cuaca terlalu panas tanpa air boleh membantutkan pertumbuhan kangkung sekali gus menurunkan kualitinya. Siram air setiap dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan. Dalam aktiviti pembajaan, semasa menyemai, sedikit baja organik telah digaul semasa penyediaan batas. Kadar itu cukup bagi kangkung yang baru membesar. Baja kedua akan diberi pada minggu kedua selepas menanam. Baja organik jenis butir boleh ditabur di sepanjang setiap alur. Anggaran antara 40 dan 50 gram bagi setiap pokok. Bagi yang suka menggunakan baja organik bentuk cecair, sembur baja sekali setiap minggu di waktu pagi. Kawalan rumpai perlu sentiasa dikawal untuk elak persaingan (makanan dan cahaya) dengan tanaman. Merumpai di atas batas secara manual, potong rumpai di luar batas dengan sabit atau mesin pemotong rumput. Kawalan serangga perosak perlu dilihat walaupun kangkung jarang diserang oleh perosak atau penyakit. Namun sesekali ada juga serangga perosak yang mengganggu pertumbuhannya. Kepinding dan penyakit karat putih biasa ditemui pada pokok kangkung. Membuat penggiliran tanaman boleh membantu mengawal penyakit tersebut. Kepinding pula mudah dikutip dan dibuang.
Kangkung boleh di tuai antara 28 -35 hari lepas tanam dan dijual lingkungan RM 0.50 hingga RM 0.80 seklogram pada harga ladang. Kangkung yang dituai perlu dibersihkan dari tanah pada akar dan dimasukkan dalam baul buluh untuk dihantar segera ke pasaran. Pastikan TIDAK MENYEMBUR racun beberapa hari sebelum menuai untuk elakkan Sisabaki Racun. Bagi racun Dimethoate perlukan 7 hari, Racun Cymethrin (3 hari), Benomyl dan Mancozeb (14 hari) sebelum menuai. Kangkong juga mempunyai simptom kekurangan nutrien seperti kekurangan N, P,K dan zat pekit seperti Ca, Fe, Mo, Boron, Mn dan sebagainya yanng perlu dikaji dan diatasi masaalah ini. Penuaian kangkong adalah dengan mencabut menggunakan tangan keselurohan pokok bersama-sama akarnya untuk mengekalkan kesegarannya dan tahan lama. Bersihkan dari tanah dengan membasuh menggunakan air bersih dan ikat dengan lapisan kertas surat khabar dan masukkan dalam bakul buloh yang dilapis kertas sebelum dihantar kepasar. Secara fizikal kangkong perlu di tuai sebelum ianya mula menjalar atau pokok mulai tunduk (asalnya menegak). Potensi pengeluaran hasil kangkong sebanyak 10-15 metrik tan sehektar tetapi lazimnya sebanyak 12 mt sehektar di kebanyakan tempat di Malaysia.
TANAM KANGKONG... ADA CARA...
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.