Support My Blog

Tuesday, May 13, 2014

AISKRIM KELADI

AISKRIM KELADI (Yam Icecream) merupakan satu produk berasaskan tanaman keladi (Colocasia esculentum) yang kini semakin popular dan diminati ramai. Terdapat banyak syarikat di Malaysia yang menghasilkan pelbagai jenis aiskrim dalam pelbagai citarasa. Kalau dikampong dahulu kita hanya kenal dengan 'Aiskrim batang' sahaja yang dijual dikantin sekolah atau penjaja yang pusing satu kampong, kini sudah terdapat kedai khusus yang menjual pelbagai produk aiskrim. Antara jenis aiskrim yang popular seperti Aiskrim Coklat, Airkrim Vanilla, Aiskrim Jagung, Aiskrim Strawberry, Aiskrim Kopi dan termasuk juga Aiskrim Keladi. Kalau dahulu makan aiskrim hanya dikaitkan dengan gulongan kanak-kanak sahaja tetapi kini ia dikomersilkan sebagai satu industri yang nilainya berjuta ringgit setahun. Sebut sahaja jenama seperti Marigold, Walls, Nestle pasti anda akan mengetahui beberapa produk aiskrim yang enak dan lazat. Aiskrim yang sejuk, manis, berperisa dan juga ia mengenyangkan yang baik untuk kesihatan jika diambil pada kadar berpatutan. Kini aiskrim dijual dalam bentuk khas dan khusus sama ada dalam bekas plastik, bekas kertas, bentuk kon dan sebagainya. Paling banyak ia dimasukkan dalam bekas logam besar dengan scoop untuk mengambilnya dimasukkan kedalam cawan, kon aiskrim atau bekas lain yang sesuai. Pada saya aiskrim keladi memang saya suka kerana rasanya dan warnanya. Lazimnya aiskrim keladi berwarna UNGU kerana ia menggunakan jenis keladi yang ungu atau tealah dijadikan satu tanda-aras bahawa aiskrim keladi berwarna ungu. Dalam penulisan saya sebelum ini, tidk banyak keladi yang berwarna ungu ditanam untuk dibuat aiskrim (Baca artikel berkaitan - Sila klik disini). Artikel pagi ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" sementara menunggu airport transfer ke Schipol Airport, Amsterdam jam 3 petang untuk balik ke Malaysia setelah 2 minggu bercuti di Eropah.


Apakah jenis atau varieti keladi yang sesuai untuk dibuat aiskrim?. Mungkin ini antara pertanyaan kebanyakan kita yang tidak tahu bagaimana untuk membuat aiskrim keladi ini. Bertanya kepada beberapa petani di Muar, Melaka dan Tangkak, saya dapati tidak ramai mereka mengenali keladi aiskrim tetapi mereka lebih biasa dengan jenis Keladi Cina, Keladi Minyak, Keladi Mawar dan juga Keladi Sarawak. Bagaimana keladi ungu diambil sebagai keladi untuk dibuat aiskrim tidak diketahui asal-usulnya. Mungkin keladi ungu (purple yam) ini telah dibuat kajian yang ia memberikan rasa dan warna menarik jika dibuat aiskrim berbanding dengan varieti keladi lain. Keladi Ungu (Sila lihat foto sebelah) kurang ditanam dikalangan petani kita. kalau ada pun mereka menanam setelah ada 'contract farming' dengan syarikat pembuat aiskrim yang hebat. Kilang aiskrim mungkin juga menggunakan serbuk atau tepong keladi ungu yang diimpot dari tempat lain untuk dijadikan satu daripada ramuan utama membuat aiskrim keladi. Saya kurang pasti perkara ini untuk perbincangan.


Membuat aiskrim keladi sendiri dirumah boleh dilakukan dengan mudah kalau kita dah baca maklumat mengenai resepi tersebut dalam internet. Bahan-bahan asa untuk buat aiskrim juga murah serta mudah didapati dimana-mana kedai runcit atau pun di hypermarket. Kita cuma perlukan 1/2 tin susu pekat (kalau hendak kurang manis boleh dikurangkan), 1 tin susu cair, 1 sudu makan Ovelette, 1 biji telor ayam, 1 sudu teh vanilla yang digunakan sebagai Bahan A. Bagi bahan B pula bahan-bahannya adalah seperti perasa atau pewarna keladi (lazimnya berwarna ungu) atau bahan perasa lain seperti strawberry atau coklat. Campurkan semua bahan-bahan A dalam mixer sehingga sebati dan gebu. Sebaiknya semasa mixing pada mulanya menggunakan kelajuan perlahan-lahan kemudian laju. Masa untuk mixing diantara 15-20 minit bergantung kepada keadaaan. Kemudian tuang sebahagian didalam bekas membuat aiskrim. Sebahagian capmuran lagi dimasukkan dengan perisa keladi dan putar lagi mixer sehingga sebati (Sila lihat foto disebelah). Setelah itu masukkan dalam bekas aiskrim tadi. Setelah itu bekas dimasukkan kedalam petiais (tempat freezer) selama semalaman dan esoknya kita boleh menikmati aiskrim keladi yang enak dan segar buatan sendiri. Selamat mencuba!.


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Main Lobby, Westcord Art 3 Star Hotel,
Spaarndamerdjik 302,
Amsterdam 1013Zx,
Natherlands.
(11 Mei 2014)
Lawatan 2 minggu ke Eropah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...