BAJA KOMPOS (Compost) adalah sejenis baja yang telah dihasilkan daripada proses pereputan bajan-bahan organik. Mungkin juga tidak ramai menyedari bahawa setiap kali kita membuang sisa makanan yang berlebihan pernahkah terfikir bahawa kita sebenarnya telah membazirkan satu lagi sumber yang boleh memastikan bumi ini terus subur?. Dalam bidang pertanian aktiviti membaja adalah satu aktiviti penting untuk dilaksanakan bagi mendapatkan hasil produk dari tanaman yang banyak, berkualiti dan selamat dimakan. Penggunaan baja kimia sebagai sumber utama bekalan baja dikawasan kebun telah lama dilakukan sehingga harga baja kimia kini semakin mahal. Antara pilihan yang petani ada adalah dengan menggunakan bahan baja kompos buatan sendiri untuk kita mengurangkan kos pembelian baja. Ada kemungkinan semasa membersihkan kawasan kebun untuk penanaman semula dan dikawasan halaman rumah daripada daun-daun dan ranting kayu , pernahkah kita terfikir sejenak bukankan lebih baik diproses menjadi sesuatu yang boleh dipulangkan semula kepada alam. Semasa kita memilih sayur-sayuran yang hendak dibeli dipasar pernahkah kita terfikir yang kita sebenarnya boleh menanam sendiri sayur-sayuran tanpa menggunakan baja kimia dan racun serangga yang boleh memudaratkan kesihatan. Mungkin itulah antara perkara-perkara yang kita lalui setiap hari namun kita tidak berfikir sejenak untuk memutuskan sama ada aktiviti harian tersebut merupakan satu lagi sumbangan kita kepada kemusnahan bumi ini. Artikel petang Ahad ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai kebaikan dan menafaat penggunaan baja kompos dalam kehidupan harian kita.
Kini aktiviti membuat sendiri kompos di Malaysia boleh dikatakan masih baru. Ini boleh dilihat dari sedikitnya bilangan mereka yang menceburi aktiviti ini dan kurangnya kesedaran dan pengetahuan masyarakat umum tentang kompos itu sendiri. Kebanyakan masyarakat kita lebih merelakan sisa-sisa makanan dibuang dan diangkut oleh kontraktor sisa pepejal dan kemudiannya ditimbun di pusat pembuangan sampah daripada mengolahkannya kembali menjadi kompos dan digunakan untuk aktiviti landskap dan taman-taman di kediaman. Kini telah banyak pihak sering mengutarakan rungutan dan bantahan tentang masalah pembuangan sampah namun kita sendiri lupa bahawa kita sendiri sebenarnya adalah penyumbang kepada masalah tersebut. Adalah lebih baik masyarakat kita sama-sama memainkan peranan untuk mengitar semula sisa-sisa organik yang ada dirumah untuk dijadikan kompos.
Penulis akan berkongsi info proses untuk menghasilkan kompos sendiri di rumah bukanlah suatu proses yang rumit. Kerja ini memang boleh dilaksanakan semudah mengasingkan sisa makanan ke dalam satu bekas yang bertapis untuk dibuang lebihan airnya dan kemudian boleh dicampurkan dengan daun-daun dan ranting-ranting kayu yang bertaburan di halaman dan dimasukkan ke dalam bekas tertutup dan dibiarkan selama dua ke tiga minggu. Dalam tempoh tersebut, apa yang perlu dilakukan hanyalah membuka dan membalik-balikkan sampah tersebut supaya aliran udara dapat masuk dan mempercepatkan proses kompos. Kompos yang terhasil nanti sudah cukup untuk kegunaan sendiri didalam aktiviti pertanian di rumah. Ia lebih bermanfaat kepada tanaman daripada menggunakan baja kimia yang bukan sahaja mahal, bahkan tidak baik untuk kesihatan. Manakala dalam aktiviti pertanian pula, aktiviti kompos masih lagi dipandang remeh.
Kini dikalangan petani sendiri mengeluh berikutan kenaikan baja kimia untuk pertanian yang berasaskan petrokimia yang berlipat kali ganda mahalnya. Kajian yang saya buat mengenai harga baja kimia semenjak tahun 207 - 2012 mendapati kenaikan berlaku secara gradual lingkungan10 -15% (Sila baca artikel berkaitan - Sila klik disini). Masih belum timbul kesedaran bahawa inilah masanya semua pihak memikirkan kaedah lain untuk mengurangkan kos baja pertanian. Lazimnya ramai petani di Malaysia masih melihat baja kimia sebagai penyelesaian dalam aktiviti pertanian mereka. Kebanyakan mereka mengunakan baja-baja kimia bagi memastikan supaya tanaman yang dihasilkan akan memberikan pulangan hasil yang lumayan. Mungkin kita kurang peka yang setiap sisa pertanian yang dihasilkan boleh diproses semula menjadi kompos dan digunakan semula untuk aktiviti pertanian tersebut. Kaedah ini telah digunakan secara meluas di pelosok dunia terutama di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah telah menggunakan kompos semenjak awal tahun 1950-an lagi.
Kos penggunaan baja kimia dalam sektor pertanian negara bernilai ratusan juta ringgit setahun terutama untuk sektor perladangan kelapa sawit, padi dan juga tanaman makanan lain. Kalangan kita masih meletakkan harapan kepada baja kima dan sebagainya sedangkan tanpa kita sedari aktiviti pertanian merupakan penyumbang kedua terbesar kepada penyebaran gas rumah hijau. Menurut kajian Stern Review pada 2006, bumi hanya mampu menyerap sekitar lima billion tan metrik karbon dioksida setahun sedangkan aktiviti pertanian sahaja menyumbang sebanyak 5.6 billion tan karbon dioksida melalui aktiviti penggunaan input kimia secara berleluasa. Mungkin masyarakat petani tidak ambil peduli tentang hal ini kerana merasakan ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk memikirkannya. Mereka menganggap diri mereka selamat dari dilanda bencana alam. Kini kesan langsung telah mula dirasai oleh semua pihak tanpa mengambil kira bangsa, status, politik dan ekonomi. Bencana alam seperti kejadian banjir dikawasan yang tidak pernah berlaku, kemarau yang berpanjangan, penyusutan produktiviti, serangan serangga dan makhluk perosak yang semakin kebal, semua itu merupakan petunjuk bahawa alam sudah tidak mampu menanggung beban pencemaran.
Sebaikna aktiviti kompos memang boleh dilaksanakan seawal pendidikan sekolah rendah. Banyak negara maju seperti di Amerika dan Eropah telah mewujudkan sistem kompos disekolah dimana sisa-sisa makanan di kantin pelajar dan juga landskap sekolah telah diasingkan dan dikitar semula untuk dijadikan kompos. Kaedah vermicompost atau penggunaan cacing juga digunakan untuk menghasilkan kompos. Baja kompos yang dihasilkan akan digunakan untuk aktiviti landskap dan projek pertanian di sekolah. Usaha yang dijalankan ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat di samping mendidik kesedaran 'hijau' semenjak dari peringkat sekolah lagi. Kempen yang sama juga telah diperkembangkan di peringkat pengajian tinggi dimana usaha-usaha menggalakkan aktiviti membuat baja kompos telah diperkukuhkan. Penglibatan pihak pengurusan universiti menyalurkan sisa organik dan landskap di pusat kitar semula yang diwujudkan di dalam kampus untuk menghasilkan kompos telah membuahkan hasil. Kompos juga telah digunakan kembali untuk aktiviti landskap universiti dan ini sekali gus membantu mengurangkan kos pihak universiti untuk membeli baja kimia untuk kegunaan landskap dan taman di universiti. Mahasiswa telah didedahkan dengan kesedaran tersebut yang kemudiannya turun kepada masyarakat melalui aktiviti sukarela dan kempen-kempen yang dijalankan oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Penulis mendapati aktiviti kompos boleh membantu memperkembangkan lagi usaha-usaha mewujudkan jaminan sumber makanan (food security) dalam kalangan masyarakat. Ia dapat dilihat bilamana sumber input pertanian boleh dihasilkan sendiri tanpa perlu bergantung kepada pembelian baja. Tambahan pula aktiviti pertanian yang dihasilkan menggunakan kompos lebih 'organik' dan sihat. Inilah antara rahsia kejayaan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Cuba semenjak sekian lama dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika namun rakyatnya menjadi semakin sihat dan hidup dengan sejahtera. Setiap lapisan masyarakat telah menghasilkan kompos sendiri dari sisa makanan dan digunakan untuk aktiviti pertanian bandar (urban farming) di kediaman masing-masing yang mana hasilnya bukan sahaja untuk kegunaan makan sendiri, malahan boleh dijual sebagai pendapatan tambahan. Banyak lagi usaha-usaha yang boleh dijalankan di peringkat kerajaan dan NGO untuk menggalakkan masyarakat Malaysia supaya sama-sama mengitar semula sisa organik untuk menghasilkan kompos. Aktiviti memberi kesedaran dan pemahaman kepada masyarakat perlu dipergiatkan sebagai permulaan kearah usaha ini. Kita rakyat Malaysia sama-sama membantu mengurangkan jumlah sisa yang masuk ke tapak pembuangan sampah. Dengan itu, jangka hayat tapak pembuangan sampah dapat dipanjangkan dan usaha-usaha membuka tapak pembuangan sampah yang baru dapat dikurangkan. Kini penyertaan masyarakat melalui penghasilan kompos ini sahaja pun sudah cukup membantu mengurangkan pencemaran alam, pembakaran terbuka dan membantu menghidupkan kembali tanah yang sudah mati akibat penggunaan baja dan racun kimia semenjak sekian lama. Selamat membuat kompos sendiri dirumah atau membantu proses pembuatan kompos.
BAJA KOMPOS... SATU IDEA...
At London on May 2014 - Family Spring Tour. |
BAJA KOMPOS... SATU IDEA...
BAHAN BUANGAN..KUMPUL SAJA...
DIBUAT KOMPOS... MENJADI BAJA...
PERTANIAN LESTARI...IA DIJANA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Botani,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(19 JamadilAkhir 1435H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.