Apakah itu Baja NPK ?. Perkataan NPK merupakan satu perkara penting dalam pembajaan tanaman kepada mereka yang belajar dalam bidang pertanian. Hanya mereka yang biasa berkebun atau mempunyai kerja berkaitan pertanian sahaja merupakan kumpulan yang tahu akan maksud NPK. Pada orang ramai yang berkebun menggunakan baja yang biasanya ada tertera tulisan NPK pada bungkusannya seperti N:15 P:15 K:15 (Lihat foto pada bungkusan baja diatas) atau N:12 P:12 K:17. Tetapi ramai orang yang tidak mengetahui apa maksud NPK dan nombor yang tertera disebelahnya. Saya telah berkecimpung dalam sektor pertanian lebih 34 tahun dan sering memberi ceramah teknikal kepada agen-agen pengembangan pertanian memang amat biasa dengan perkataan NPK dan nombor-nombor yang tertera. NPK sebenarnya bermaksud sebagai Nitrogen, Phosphorus dan Kalium (Potasium) dan nombor-nombor yang disebelahnya bermaksud peratusan kandungan setiap bahan itu didalam sebatian baja tersebut. Sebagai contoh, N:12 P:12 K:17 bermaksud baja tersebut mempunyai kandungan Nitrogen sebanyak 12%, Posphorus sebanyak 12% dan Kalium (Pottasium) sebanyak 17%. Memang amat penting bagi pemain industri pertanian memahami asas kepada formulasi pembuatan baja dan tahu keperluan formulasi NPK bagaimana yang dijual kemudian akan dibeli untuk tanaman mereka. Kadar angka NPK ini lazimnya diformulasi mengikut keperluan jenis tanaman, peringkat umur tanaman, musim atau keadaan cuaca serta banyak faktur lain. Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Tecgnology" mengenai apa itu baja NPK sebagai asas untuk memahami baja tanaman.
Sistem pemberian huruf dan nombor ini telah diperkenalkan oleh Justus Von Liebig seorang saintis Jerman. Beliau mengatakan bahawa asas kepada kesuburan sesuatu tanaman itu bergantung kepada kadar Nitrogen (N), Phosphorus (P) dan Kalium (K-potasium). Ketiga-tiga untur tersebut merupakan komponen penting untuk pertumbuhan tanaman dimana N adalah untuk kehijauan daun (Green Foliage), P untuk Akar Subur (Strong Root) dan K untuk pembesaran tanaman (Healthy growth). Selain itu terdapat unsur nutrien mikro yang diperlukan untuk tumbuh-tumbuhan seperti Magnesium (Mg) Kalsium (Ca), Manganese (Mn), Boron (B) dan sebagainya. Dalam kita cuba membaca nombor baja sebatian NPK 12:12:17, sebenarnya kalau campur kesemua jumlah nombor baru ada 41%, mana cukup 100%?. Kenapa jadi begitu dan mana pergi yang lain?. Dalam ilmu sains pertanian mengenai baja sebenarnya baki peratusan yang lain itu adalah kandungan bahan-bahan lain (disebut sebagai bahan lengai) yang biasa terdapat dalam baja. Bahan lengai ini terdiri daripada bahan lain seperti pasir, tanah atau media tanaman lain yang serasi. Lazimnya hanya unsur baja N, P dan K sahaja yang paling penting dalam kandungan baja yang dapat diambil atau digunakan oleh tumbuhan.
Unsur penting baja iaitu Nitrogen (N) merupakan unsur yang berfungsi didalam pembesaran untuk daun. Nitrogen amat berguna kepada tumbuhan. Nitrogen biasanya terdapat didalam udara dan didalam tanah. Kesemua tumbuhan berdaun hijau menggunakan nitrogen. Klorofil dalam daun adalah bahan hijau yang terdapat didalam tumbuhan yang digunakan untuk tujuan FOTOSINTESIS (photosyntesis) yang dibina dari sebahagian besarnya asas dari nitrogen. Walaupun nitrogen terdapat dengan banyaknya didalam udara, tumbuhan tidak dapat menyerapnya secara terus. Ia mesti diserap melalui tanah. Tumbuhan yang mengalami kekurangan nitrogen akan menjadi sedikit kekuningan dan kurang pembesaran atau terbantut. Walaubagaimana pun keadaan jika terlalu banyak nitrogen juga tidak membantu. Ianya hanya akan menyebabkan tumbuhan menjadi terlebih besar sedangkan batang pokok tidak dapat untuk menampung tahap tumbesarannya. Ini akan menyebabkan pokok tidak dapat tumbuh dengan tegak.
Kedua adalah bahan Phosphorus (P) yang penting untuk pembesaran bahagian akar. Posforus berguna didalam perkembangan akar yang sihat (Lihat foto sebelah). Akar yang sihat mampu menyerap nutrien-nutrien lain didalam tanah melalui sel kutikel yang aktif pada hujung akar. P juga digunakan untuk menggalak tumbuhan berbunga apabila cukup waktunya atau apada peringkat repproduktif. Peranan P memang signifikan didalam penghasilan bunga dan buah. Ia biasanya dilepaskan kedalam tanah melalui tumbuhan atau hidupan yang mereput. Kekurangan phosphorus boleh dilihat melalui warna daun yang seperti tidak segar atau kekuningan. Kurang berbunga juga mungkin petunjuk bahawa tumbuhan tersebut mengalami kekurangan phosphorus. Pemberian baja P berlu dirujuk syor yang dinyatakan pada label pembungkus baja.
Bagi unsur Kalium (K) ataau lebih disenangi dengan panggilan 'Potasium' ianya adalah amat penting untuk tumbesaran pokok. Kalium atau potassium juga membantu dalam perkembangan keseluruhan pokok termasuk bunga dan buah. Unsur 'K' adalah kunci kepada pembentukan chlorophyl dalam daun. Kekurangan kalium akan menghasilkan bunga dan buah yang kecil. Ia membantu tumbuhan dalam melawan penyakit. Tumbuhan yang mengalami kekurangan kalium akan kelihatan tidak sihat. Baja ini diberikan lazimnya apabila tumbuhan melepasi peringkat vegetatif. Jika tumbuhan mendapat ketiga-tiga bahan ini lazimnya ia dengan mudah akan dapat menyerap nutrien-nutrien lain didalam tanah dan udara untuk tumbesaran. Begitulah pentingnya kita mengatahui maksud NPK yang sering ditulis pada beg baja untuk digunakan dalam pertanian. Kalau sudah sedikit faham, saya akan sambung lagi penulisan mengenai baja pada artikel akan datang. Wasallam.
NAMA 'NPK'... RAMAI BERTANYA...
IANYA NITROJEN..'N' RINGKASNYA...
YANG 'P' ITU....POSFORUS PULA...
KALIUM PENTING...DALAM BAJA...
By,
M Anem,
Taman Saujana,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(6 RabiulAwal 1435H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.