Support My Blog

Wednesday, January 15, 2014

KACANG TANAH - VARIETI MARGENTA

KACANG TANAH (Arachis hypogaea) merupakan sejenis tanaman kontan dari keluarga Fabaceae. Di Malaysia tanaman ini semakin kurang diusahakan kecuali dibeberapa negeri seperti di Perak, Kelantan, Kedah dan Terengganu serta sedikit di Johor serta Pahang. Kacang tanah ialah sumber protein yang baik. Kacang tanah boleh digunakan sebagai ramuan dalam pelbagai masakan dan kuih-muih. Selain direbus atau pun digoreng, kacang tanah dijadikan pelbagai produk kesihatan. Kini terdapat satu varieti kacang tanah yang sesuai ditanam di negara kita iaitu Varieti Margenta. Varieti ini juga sesuai untuk diproses kepada produk snek seperti kacang rebus kering ala Menglembu, coklat berkacang, bepang kacang, kacang goreng bersalut dan rempeyek. Siapa makan sate pasti perlukan kuah sate sebagai sajian sampingan untuk sate bersama nasi himpit bawang dan timun. Produk makanan snek berasaskan kacang tanah juga dimakan oleh semua lapisan masyarakat dan digemari oleh masyarakat Malaysia dan berpotensi untuk dieksport ke luar negara. Kajian saya mendapati tidak banyak varieti kacang tanah yang ujud di Malaysia sejak lama tidak seperti dibeberapa negara jiran yang banyak koleksi varietinya. Varieti margenta adalah salah satu varieti yang masih ditanam untuk program pengeluaran benih di Pusat Pertanian, Jabatan Pertanian, Titi Gantung, Perak semenjak berpuloh tahun dahulu. Artikel petang Selasa ini (Cuti Am sempena Maulidul-rasul 1435 Hijrah) saya menulis dalam "Anim Agro Technology' mengenai kacang tanah iaitu varieti Margenta untuk bacaan dan rujukkan anda.


Kelebihan utama kacang tanah varieti Margenta ini berbanding dengan varieti kacang tanah yang tempatan yang sering ditanam pada masa ini ialah hasil yang lebih tinggi. Varieti ini juga tahan kepada penyakit karat dan bintik daun dan kualiti lenggai dan biji yang lebih baik. Potensi hasil lenggai kering adalah melebihi 3.5 mt/ha. Lenggai yang akan dihasilkan adalah lebih besar dan seragam dengan peratus lenggai berbiji dua adalah melebihi 80%. Ciri ini sangat diperlukan oleh pengilang dalam proses penghasilan produk makanan snek seperti kacang tanah panggang dan Kacang Menglembu. Warna biji lengainya yang berwarna 'Margenta' menyebabkan kacang tanah ini dinamakan varieti Kacang Tanah Margenta (Lihat foto disebelah). Hanya kurang dari 80 hektar penanaman kacang tanah di negara kita dimana kebanyakan kacang tanah yang dijual dimerata tempat adalah diimpot dari negara jiran dan juga dari China.


Kacang Tanah Varieti Margenta mampu menghasilkan 80% lenggai sebanyak dua biji dalam satu pod dan 20% lagi adalah lenggai satu biji dan tidak ada lenggai tiga biji. Sifat lenggai yang seragam (majoriti lenggai dua biji) memudahkan proses pemilihan dan pengasingan lenggai mengikut gred-gred seperti kehendak pasaran. Bagi pengilang, selalunya lenggai yang mempunyai dua biji adalah lebih sesuai untuk kilang menghasilkan kacang tanah panggang seperti jenama 'Menglembu'. Margenta mempunyai saiz lenggai lebih besar daripada varieti Sawo Merah. Panjang lenggai mencatat 3.39 cm dengan ukuran lilitan ialah 1.31 cm. Berbanding dengan Sawo Merah, varieti Margenta juga mempunyai peratus kulit yang rendah. Saiz biji Margenta adalah lebih besar dengan ukuran panjang biji 1.69 mm dan lebar ialah 0.87 mm. Manakala saiz biji bagi Sawo Merah ialah 1.39 mm panjang dan 0.78 mm lebar. Berat 100 biji bagi Margenta ialah 80 g berbanding dengan 60 g bagi Sawo Merah. Saiz biji yang besar lebih menarik dan sesuai untuk penghasilan kacang masin yang pada masa ini banyak dijual di pasaran tempatan.  Jadual 1 dibawah menunjukkan komposisi zat permakanan dalam biji kacang tanah varieti margenta untuk rujukkan anda.



Lenggai Margenta mudah dileraikan daripada tangkainya. 
Proses membuang tangkai daripada lenggai lebih cepat 
berbanding dengan Sawo Merah yang mempunyai tangkai 
lebih kuat dan sukar terpisah daripada lenggai. Ciri istimewa ini mempercepatkan proses pembuangan tangkai lenggai sebelum dipasarkan. Sifat ini juga akan memudahkan penggunaan mesin untuk proses peleraian lenggai.


Pemerhatian dibeberapa kebun petani dimana saya membuat tinjauan ada mendapati potensi hasil agak baik berbanding dengan varieti tempatan. Bagi tanah bris, Margenta mencatatkan hasil kering sebanyak 3.52 mt/ha berbanding dengan 2.97 t/ha bagi Varieti Sawo Merah. Perolehan hasil yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh keupayaan Margenta mengeluarkan jumlah bilangan lenggai lebih banyak iaitu dua kali ganda jika dibandingkan dengan jumlah bilangan lenggai varieti Sawo Merah. Hasil kacang tanah juga saya dapati memang agak berbeza mengikut jenis tanah. Hasil kering yang diperoleh dari penanamann di tanah liat ialah 2.19 t/ha. Data ini telah menunjukkan tanah bris adalah lebih sesuai untuk aktiviti penanaman kacang tanah. Bagaimana pun pengurusan penanaman kacang tanah di tanah bris perlukan sistem pengairan baik dan baja organik yang mencukupi.


Kajian nutrisi di makmal dimakmal mendapati bahawa kandungan zat pemakanan dan profil lipid varieti amat baik. Analisis juga mendapati komposisi zat pemakanan ada menunjukkan Margenta mempunyai kandungan lemak lebih tinggi (47.53 g/100 g biji) berbanding dengan Sawo Merah (33.7 g/100 g biji). Dari segi profil lipid, komponen lemak tak tepu mencatatkan 70.3% (terdiri daripada lemak oleic 44%, linoleic 22% dan palmitoleic 3.1%) dan lemak tepu ialah 29.7%, terdiri daripada lemak palmitic (20%), stearic (4%) dan arachidic (4%) (Rujuk pada Jadual 2). Varieti Kacang Margenta mempunyai kandungan protein sebanyak 24.8 g/100g, 25.0 g/100 g karbohidrat, 17.3 g/100 g serat, 5.93 g/100g air dan 2.6 g/100 g abu. Margenta juga mengandungi kandungan kalium lebih tinggi (503 mg/100 g biji) berbanding dengan Sawo merah (492 mg/100 g biji). Kacang tanah merupakan tanaman makanan berkhasiat kerana mempunyai nilai zat pemakanan yang tinggi. Bijinya kaya dengan asid lemak tak tepu. Asid lemak tidak tepu boleh menghalang masaalah penyakit berkaitan dengan jantung seperti masalah saluran darah arteri tersumbat (atherosclerosis). Asid lemak tak tepu utama dalam kacang tanah ialah asid oleic diikuti asid linoleic. Kandungan asid oleic dalam Margenta ialah sebanyak 44% dan asid linoleic sebanyak 22%.


Kacang tanah juga kaya dengan vitamin termasuk vitamin A, B, C dan E. Kandungan niacin yang tinggi (Vit. B3) adalah baik untuk kesihatan dan peredaran darah ke otak. Kacang tanah juga mempunyai bahan fitokimia bioaktif termasuk flavonoid seperti luteolin (bahan antioksida), quercetin, kaempferol dan rutin. Sebatian phenolic seperti resveratrol yang terdapat dalam kacang tanah boleh menghalang pembentukan sel kanser. Kandungan phytosterol yang terdapat dalam kacang tanah membantu merendahkan aras kolesterol dalam darah. Artikel mengenai kacang tanah varieti margenta ini di susun semula berdasarkan kepada laporan teknikal MARDI untuk digunakan oleh semua pegawai pengembangan pertanian, penyelidik, pensyarah dan petani yang inginkan maklumat tersebut. Wasallam!.



VARIETI BARU...NAMA 'MARGENTA'...
HASIL TINGGI... 2 BIJI/POD  SAHAJA...
3.5 MT SEHEKTAR...KADAR HASILNYA...
DI TANAH BRIS...SESUAI TANAMNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Kelompok Kacang Tanah,
Bachok, Kelantan,
Malaysia.
(19 Rabiulawal 1435H)





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...