Support My Blog

Friday, January 10, 2014

CILI PADI - APA BOLEH DIBUAT?


CILI PADI (Capsicum frustecens Linn) merupakan sejenis tanaman daripada keluarga Solanaceae yang memberikan rasa pedas kepada makanan. Tanaman cili padi mempunyai banyak musuh dan penyakit jika ditanam secara komersil dan belum lagi mempunyai teknologi yang terbaik mengatasinya. Pengalaman penulis yang pernah menanam cili padi ada mendapati antara masaalah utama adalah serangan Penyakit Kerinting Daun dan pokok tidak berbunga dan boleh rosak teruk selepas itu. Beberapa teknologi yang telah diaplikasi tetapi belum jumpa yang betul-betul 'baik punya' untuk mengatasi masaalah ini. Amalan seperti tidak menggunakan tahi ayam segar, tidak merokok, gunakan baja tanah bakar, elakkan memetik banyak pokok sekali dan sebagainya telah membantu sedikit kadar serangan kerinting pada cili padi. Bekalan cili padi yang kurang dan serangan penyakit menyebabkan harga cili padi tidak pernah jatuh. Nama lain bagi Cili padi adalah seperti Cili api, Cili Rawit (Lombok Rawit), Cabai Burung, Lada Jarum dan bermacam lagi. Pemerhatian yang dibuat didapati cili padi ini merupakan sejenis tumbuhan sangat popular di Asia Tenggara terutama di Malaysia, Indonesia dan Thailand.  Penanaman cili padi di Malaysia tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasannya kerana tidak spesifik dilaporkan (bersama dengan cili merah atau cili besar). Penanaman cili padi dibuat untuk bekalan tempatan dan menerima permintaan yang tinggi dikalangan masyarakat tempatan setiap hari. Artikel petang ini saya berfikir dan menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti pengendalian lepastuai tanaman cili padi yang boleh dijadikan panduan anda.



Penanaman cili padi atau 'cabe rawit' lazimnya akan dapat dituai setelah pokok berumur 2.5-3.0 bulan setelah disemai. Kerja mengutip hasil dapat dilakukan setiap hari atau dengan jarak 1-2 hari bergantung dari tahap kesihatan dan kesuburan tanaman. Tanaman cili padi yang dijaga dengan baik dapat hidup lama sehingga mampu mencapai umur 1-2 tahun. Cara untuk panjangkan jangkahayat pokok cili padi adalah dengan sentiasa melakukan aktiviti cantasan dan pembajaan setelah tanaman dituai. Pembajaan berjadual selepas menuai dengan baja organik seperti baja kompos mampu memanjangkan jangkahayat tanaman cili padi. Hasil cili padi yang dipetik perlu dikumpulkan dan digredkan mengikut saiz, warna atau pun varieti (walau pun jarang-jarang dibuat) untuk tujuan pasaran hypermarket. Gred cili yang dibuat diladang boleh menentukan harga pasaran kecuali jenis cili yang masak serentak merah semua seperti beberapa varieti yang mempunyai ciri tersebut. Ia boleh terus dijual kepada pemborong atau pun disimpan. Cili padi boleh disimpan dengan suhu sekitar 4 Celcius dengan kelembaban 95-98 % dimana keadaan ini cili padi akan dapat tahan sekitar 4 minggu. Kajian juga menunjukkan jika cili padi disimpan pada suhu 10 Celcius didapati masih dalam keadaan baik selama 16 hari. Sebaiknya cili mesti dibungkus dengan menggunakan plastik jernih yang dibuay lubang untuk senang disusun dan tidak berterabur dalam peti simpanan.


Pengeringan (Drying) cili padi merupakan satu lagi kaedah dalam aktiviti lepas tuai (Lihat foto sebelah). Proses pengawetan cili padi daripada keadaan cili segar kepada cili kering lazimnya tidak akan mengambil masa yang mana. Saya dapati cili padi yang dikeringkan memang boleh di simpan dan tahan lama. Apa yang perlu dibuat adlah membuat pemilihan jenis dan saiz cili yang hendak dikeringkan. Cili yang hendak dikeringkan harus dipilih dari yang berkualiti baik dimana tangkai cili dibuang dan ia seterusnya ia dicuci bersih. Kemudian cili tersebut dimasukkan dalam air panas beberapa minit (celur dahulu). Selepas itu ia perlu disejukkan dengan cara dicelupkan dalam air sejuk. Selanjutnya disusun di atas dulang sesuai seperti dulang dari anyaman buloh, kepingan zink atau dawai kasa sehingga airnya keluar semua. Kemudian dijemur pada panas matahari sampai kering dimana biasanya kurang lebih selama satu minggu. Pada musim hujan selalunya proses pengeringan buah cili menggunakan alat pengering seperti 'Oven'. Dalam oven tersebut disusun para beberpa lapis rak sesuai untuk meletakkan cili semasa mengeringkannya.Susunan cili jangan terlalu tebal agar cepat kering.


Terdapat Alat Pengering Cili Padi mudah yang boleh dibeli dengan murah dan praktikal. Alat ini (Lihat foto sebelah) dimana ruangan pemanas dapat dibuat dari besi yang berbentuk seperti almari dan bahagian dalam diberi rak lapisan zink. Sumber pemanas atau api diletakkan di atas pemans ada para-para beberapa lapis. Bahagian atas oven ada ventilasi yang yang penutupnya dapat diatur besar kecilnya lubang untuk mengatur suhu dalam almari. Suhu dalam oven diatur sekitar 60 Celcius dan jangan terlalu panas. Apabila telah melebihi 60 Celcius maka lubang ventilasi dibuka lebar. Bagi mempastikan cili kering dengan seragam maka perlu diterbalikkan susunan cili pada para setiap 3 jam. Buah cili dianggap kering bila kandungan airnya tinggal 8 %. Dalam keadaan demikian buah cili akan dapat disimpan lebih lama. Sebaiknya elakkan dari serangan serangga dan disimpan dalam bekas yang kedap udara. 

Cili padi juga boleh dibuat jeruk cili padi dengan proses yang amat mudah. Sila baca artikel berkaitan cili jeruk (Sila klik disini). Didalam beberapa rujukkan saya dapati penyediaan cili padi jeruk ini banyak teknik. Bagaimana pun kali ini saya paparkan kaedah yang saya selalu buat untuk dikongsi bersama. Sediakan bahan-bahan seperti 80 - 100 gram cili hijau segar, cuci dan toskan. Sediakan juga 230 ml cuka makan, 3 -4 camca besar gula dan juga sebanyak 1/2 camca teh garam. Mulakan dengan memilih cili padi segar yang berkualiti, tidak berulat, warna hijau kemerahan (elakan cili muda atau putik cili) dengan saiz sesuai. Basuh cili ini dengan air bersih dan kemudian cili padi dipotong. Cara potong atau hirisan jangan halus sangat biar kasar sedikit. Kemudian hirisan tersebut celur dalam air mendidih selama 20 saat. Tosakan dan biar sehingga sejuk. Sediakan botol atau balang sesuai yang mana terlebih dahulu dicuci bersih dan rebus dalam air panas selama 5 minit. Terbalikkan botol dan toskan hingga betul-betul kering. Kemudian isikan botol tadi dengan cili sehingga padat. Tekan sedikit tetapi jangan terlalu padan. Botol diisi cili (ada juga yang tidak perlu dipotong). Letakkan ditempat yang sesuai. Seterusnya kita perlu membancuh cuka makan dengan gula dan garam dan kacau rata hingga semua larut. Tapiskan larutan tadi dan kemudian tuangkannya ke dalam botol berisi cili hijau tadi hingga penuh. Kalau larutan tidak cukup maka tambah sedikit cuka lagi. Tutupkan dan biar di tempat teduh untuk jangkamasa selama 4 - 5 jam. Kita boleh nikmati cili padi jeruk yang disediakan sendiri dan sesuai dimakan dengan semua jenis mi dan makanan pilihan anda. Wasallam!

CILI PADI... DIPETIK LAMANYA...
DIBUAT GRADING...BAIK HARGA...
DIKERINGKAN...OVEN CARANYA...
DISIMPAN LAMA...BOLEH DIGUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kelompok Sayuran Kg Sengang Bt 18,
Bukit Gambir, Ledang,
Johor, Malaysia.
(3 RabiulAwal 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...