Support My Blog

Saturday, January 4, 2014

GARISPANDUAN MYGAP - SEKTOR AKUAKULTUR

1. PENGENALAN
Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) ini mula diperkenalkan pada tahun 2005 meliputi sistem ternakan akuakultur kolam, sangkar, tangki, panti benih (hatchery) dan pengeluaran rumpai laut. Skim ini bermatlamatkan penghasilan produk akuakultur yang selamat dimakan dan berkualiti serta dikeluarkan tanpa memberi kesan memudaratkan terhadap persekitaran, kebajikan haiwan dan mematuhi keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. SPLAM merupakan satu skim yang bersifat sukarela dengan pengamalan akuakultur baik, bertanggungjawab serta mesra alam diperingkat ladang. Malaysian Good Agricultural Practice (MyGAP) merupakan penjenamaan semula bagi menggantikan Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) bagi sektor akuakultur.



2. FAEDAH PENSIJILAN
Meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap hasil akuakultur yang bersih, selamat dan dikeluarkan tanpa menjejaskan  kualiti alam sekitar. Jaminan kerajaan bagi produk akuakultur yang selamat melalui aktiviti pensampelan. Komitmen ladang untuk mengeluarkan hasilan akuakultur yang selamat untuk dimakan dan mempertingkatkan keyakinan pengguna terhadap hasilan akuakultur negara. Memperluaskan laluan pasaran kepada hasilan akuakultur Malaysia.


3. TAKRIFAN
 Audit -  Mekanisme pemeriksaan yang sistematik dan  bebas bagi menilai keberkesanan proses yang didokumenkan dan dilaksanakan menurut perancangan organisasi.


Audit Pematuhan - Mekanisme pemeriksaan yang sistematik dan bebas bagi mengukur dan menilai keberkesanan proses yang didokumenkan bagi tujuan penilaian paras kepatuhan auditee terhadap keperluan piawaian yang ditetapkan.
Audit Survalen - Mekanisme pemeriksaan sistematik bagi
mengukur kepatuhan auditee selepas selesai proses pensijilan – kebiasaannya bermula enam (6), dua belas (12) dan lapan belas (18) bulan setelah dipersijilkan.

 Audit Pensijilan Semula - Mekanisme pemeriksaan sistematik bagi mengukur kepatuhan auditee dan penilaian pasukan audit terhadap kesediaan ladang untuk menyambung sijil sedia ada – dilaksanakan dalam masa tiga (3) bulan sebelum sijil tamat tempoh.

Juruaudit -  Orang yang dilatih secara profesional dalam
pengendalian kerja-kerja pengauditan.

Ketidakuran - Tidak memenuhi syarat.

Aktiviti Akuakultur- Apa-apa aktiviti yang melibatkan pemeliharaan biak ikan atau pembiakan baka ikan pada
keseluruhan atau sebahagian daripada peredaran hidupnya.

Tindakan Pembetulan - Tindakan yang dicadangkan oleh juruaudit kepada auditee untuk membaikpulih kesilapan dan kelemahan yang wujud dalam organisasi atau projek yang dilaksanakan. Tindakan membaiki akan diambil setelah sesuatu kelemahan yang boleh menjejaskan pencapaian matlamat organisasi telah dikenal pasti berdasarkan laporan pemantauan dan penilaian semasa

4. KRITERIA PERMOHONAN

Pemilik ladang berikut layak untuk dipertimbangkan bagi memohon mendapatkan sijil MyGAP; 
  • Pemilihan tapak ternakan yang mempunyai pemilikan dan diusahakan secara sah (persendirian / sewa / pemilikan sementara / pajak).  
  • Telah menjalankan ternakan sekurang-kurangnya setahun dan telah mempunyai rekod pengeluaran hasil
  • Menyimpan dokumen dan rekod ladang yang kemaskini.
  • Bersedia untuk menerima pandangan, teguran dan saranan penambahbaikan terhadap aspek ternakan yang mengamalkan akuakultur baik.
  • Mempunyai dokumen program jaminan kualiti sebagai bukti iltizam untuk menghasilkan produk berkualiti, selamatdimakan, kelestarian persekitaran, kebajikan haiwan dan mengutamakan kesihatan dan keselamatan pekerjaan.

5. PROSEDUR PERMOHONAN
Pemohon yang berminat untuk menyertai skim ini perlu
memenuhi syarat dan kriteria pengiktirafan MyGAP.
Permohonan hendaklah berdaftar dengan menggunakan
borang ARF-01 Jabatan Perikanan Malaysia yang boleh
diperolehi daripada Pejabat Perikanan Negeri masing-masing ataupun berdaftar melalui laman sesawang E-Biosekuriti di http://www.ebs.dof.gov.my. Jabatan Perikanan Malaysia melalui Unit Biosekuriti Perikanan Negeri (UBPN) akan menjalankan kerja-kerja pemeriksaan pra-pendaftaran untuk membuat pengesahan ladang yang memohon. Pemohon yang sahih setelah melalui proses pemeriksaan pra-pendaftaran akan diberikan nombor pendaftaran yang akan dihantar melalui surat rasmi ataupun mel elektronik.
(Sila rujuk lampiran 1 – Carta Alir Permohonan dan Pendaftaran).




6. KADAR CAJ PERKHIDMATAN
Caj perkhidmatan adalah PERCUMA.


7. KRITERIA PENILAIAN
Penilaian pensijilan MyGAP adalah berpandukan kepada
keperluan piawai seperti terkandung di dalam; 

i. MS 1998: 2007 – Good Aquaculture Practice (GAqP) - Aquaculture Farm General Guidelines.

ii. MS 2467: 2012 – Code of Practice for Seaweed  Cultivation.


7.2  Lima kriteria utama penilaian dan pematuhan kepada
piawaian ini dapat diringkaskan kepada aspek seperti
berikut:
i. Keselamatan Makanan
ii. Keperluan Kesihatan Ikan
iii. Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
iv. Kelestarian Persekitaran
v. Kebajikan Haiwan

Kelima-lima aspek pengauditan ini diterjemahkan kepada
18 perkara yang perlu dipatuhi oleh pengusaha akuakultur
untuk mendapatkan sijil di bawah program ini;
i. Pemilihan Tapak
ii. Kawalan Air Buangan
iii. Pembinaan Ladang
iv. Kebersihan dan Keadaan Permukaan Bersentuh
v. Reka bentuk Kolam / Sangkar
vi. Kesihatan Pekerjaan
vii. Pengurusan Air
viii. Amalan Kebersihan Ladang
ix. Pembajaan Kolam
x. Sosial dan Kebajikan Pekerja
xi. Kawalan Pemangsa dan Makhluk Perosak
xii. Penuaian dan Pengendalian Hasil Ladang
xiii. Bekalan Bahan Mentah (Aditif, Benih)
xiv. Pelabelan, Penyimpanan dan Penggunaan Sebatian Berbahaya
xv. Pengurusan Kesihatan Ternakan
xvi. Penyimpanan Rekod Ladang
xvii. Kawalan Biosekuriti Ladang
xviii. Halal


8. PROSES PENSIJILAN
Pemohon yang telah berdaftar perlu membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan sijil dengan menyertakan maklumat ladang, manual jaminan kualiti (Quality Assurance Programme – QAP) dan dokumen-dokumen ladang yang berkaitan. Audit pematuhan akan dilaksanakan oleh juruaudit yang dilantik bagi membuat penilaian manual jaminan kualitiserta pelaksanaan amalan akuakultur baik di lapangan.Audit susulan akan dilakukan untuk membuat verifikasi keatas langkah pembetulan yang diambil sekiranya terdapatpermintaan langkah pembetulan dikeluarkan oleh juruauditsemasa sessi audit pematuhan. Laporan akhir penilaian dan hasil pengauditan akandimajukan oleh Ketua Juruaudit kepada Jawatankuasa Penilaian dan Perakuan Biosekuriti Perikanan sebelum diluluskan oleh Pengarah Bahagian Biosekuriti Perikanan untuk kelulusan. Penganugerahan Sijil yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perikanan diberikan kepada pengusaha yang memenuhi semua syarat pensijilan. Pengusaha boleh menggunakan logo dan sijil untuk produk ladang mereka bagi pasaran domestik dan eksport sehingga sijil tamat tempoh. Audit survalen dan pensijilan semula akan dilakukan semula selepas enam (6) dan dua belas (12) bulan setelah sijil dianugerahkan dan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh sijil bagi mengukur dan memastikan pengusaha masih lagi mengekalkan dan sentiasa mengamalkan prinsip di dalam skim ini. Ladang yang didapati tidak mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan akan dibatalkan status pengiktirafannya dan pengumuman umum mengenai penarikbalik sijil ini akan dibuat di laman sesawang Jabatan Perikanan Malaysia. Semasa tempoh penggantungan atau penarikan balik pemilik ladang tidak boleh menggunakan logo dan sijil untuk sebarang urusniaga.

Peringkat 1 - Permohonan
Membuat permohonan dengan menggunakan Borang
ARF-01 / ARF -02 kepada Unit Biosekuriti Perikanan Negeri
(UBPN) terdekat. UBPN akan menjalankan pemeriksaan pra-pendaftaran diladang untuk pengesahan dokumen dan pengisyitharanladang dalam masa 10 hari selepas penghantaran borang permohonan. Permohonan akan dipanjangkan ke Ibu Pejabat PerikananPutrajaya untuk didaftarkan.

Peringkat 2 - Pemberian Nombor Pendaftaran
Bahagian Biosekuriti Perikanan akan membuat penilaian
kepada permohonan dan meneliti laporan pemeriksaan
UBPN dan memberikan nombor pendaftaran. Kelulusan pendaftaran akan dimaklumkan kepada UBPN untuk tindakan lanjut (memaklumkan kepada pengusaha).
Peringkat 

3 - Permohonan Penguaditan
Pemohon berdaftar perlu menyediakan dokumen Amalan
Akuakultur Baik di ladang iaitu dokumen Program Jaminan
Kualiti. Membuat permohonan rasmi kepada UBPN untuk
mendapatkan sijil dan kesediaan diaudit bersama-sama
dengan dokumen QAP. Permohonan dipanjangkan oleh UBPN ke ibu pejabat.

Peringkat 4 - Pemilihan Pasukan Audit
Pasukan audit akan dipilih daripada senarai penuh juruaudit
dan dipilih berdasarkan pengalaman pengauditan dan
laporan audit terdahulu. Pasukan terdiri daripada ketua juruaudit, juruaudit dan juruaudit pelatih (sekiranya perlu).
Ketua Juruaudit akan menghubungi UBPN/pemohon untuk
memaklumkan mengenai jadual pengauditan sebenar.

Peringkat 5 - Penilaian Audit Pematuhan 
Lawatan audit pematuhan dijalankan dengan menilai sistem jaminan kualiti yang telah didokumenkan dalam dokumen QAP adalah selaras dengan amalan di ladang. Permintaan Langkah Pembetulan (Corrective Action Request – CAR) akan dikeluarkan oleh juruaudit kepada pemilik ladang sekiranya terdapat penemuan audit yang tidak memenuhi kriteria pengauditan. Pasukan juruaudit akan mengemukakan laporan audit pematuhan kepada jawatankuasa. Pemilik ladang perlu menyelesaikan langkah pembetulan sebagaimana yang dipersetujui semasa sesi pengauditan. UBPN akan menjalankan audit susulan bagi menilai tindakan pembetulan yang telah diambil oleh pemohon berdaftar.

Peringkat 6 - Jawatankuasa Penilaian dan Perakuan Audit Biosekuriti Perikanan
Laporan audit yang diterima akan disemak oleh Ahli Jawatankuasa Penilaian dan Perakuan Audit Biosekuriti
 perikanan untuk menilai penemuan audit dalam laporan
audit di lapangan. Jawatankuasa diberi kuasa untuk menilai dan menangguhkan perakuan sekiranya laporan juruaudit dan UBPN tidak memuaskan untuk disokong bagi diluluskan.

Peringkat 7 - Kelulusan
Kelulusan oleh Pengarah Bahagian berdasarkan perakuan
Jawatankuasa Penilaian dan Perakuan Audit Biosekuriti
Perikanan.

Peringkat 8 - Anugerah Sijil
Sijil dianugerahkan kepada pemohon yang berjaya dan tempoh sah laku sijil adalah dua (2) tahun. 

Peringkat 9 - Pengekalan Status.
UBPN akan menjalankan audit survelan selepas 6 bulan dan 12 bulan dari tarikh kelulusan untuk memastikan pematuhan berterusan pemilik ladang terhadap keperluan di bawah piawaian pensijilan. Sekiranya permintaan langkah pembetulan diminta oleh juruaudit, permintaan berkenaan perlulah diselesaikan dalam tempoh 2 minggu daripada tarikh audit.

Peringkat 10 - Pensijilan Semula
Permohonan pensijilan semula perlu dilakukan dalam
tempoh enam bulan sebelum tamat sijil. 

Peringkat 11 - Program Pensampelan
Ladang yang dipersijilkan akan menjalani pensampelan
bagi mengukur paras sisa maksimum tidak melepasi paras
yang dibenarkan dalam piawaian.

9. AUDIT
 Sila rujuk lampiran.

Contoh -  Sijil SPLAM.

10. TEMPOH SAH LAKU
Sijil yang telah dikeluarkan kepada penternak mempunyai kesahan selama dua (2) tahun.

11. PEMBAHARUAN SIJIL
Pembaharuan sijil boleh dibuat dalam masa tiga (3) bulan sebelum tarikh sijil tamat selaku peringatan.

12. PEMBATALAN SIJIL
Ladang ternakan yang didapati telah tidak mengamalkan kriteria MyGAP serta melanggar dan tidak akur kepada mana-mana syarat piawaian pengiktirafan pensijilan berdasarkan: 
  • Ladang telah berpindah ke lokasi lain
  • Perubahan kepada operasi dan jenis ternakan ladang
  • Pengurusan ladang menarik diri secara sukarela
  • Tidak mengekalkan tahap pematuhan semasa aktiviti survelan dan pemeriksaan mengejut dilakukan Hasil ladang tidak selamat dan dikesan telah melepasi paras sisa maksimum yang dibenarkan melalui program  pensampelan rasmi Jabatan Perikanan Malaysia

13. PERTANYAAN


Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi pihak kami di alamat yang tertera di bawah:

Urus Setia
Bahagian Biosekuriti Perikanan
Jabatan Perikanan Malaysia
Aras 3, Blok Podium 4G2, Wisma Tani
No. 32, Persiaran Perdana, Presint 4
62628 PUTRAJAYA
No. Telefon : 03 - 8870 4000
No. Faksimili : 03 - 8890 3794


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
malaysia.
(1 Rabiulawal 1435H)

Sumber Rujukkan Rasmi:  Lamanweb  Kemenerian Pertanian Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...