Support My Blog

Saturday, August 24, 2013

CILI MERAH - VARIETI SEDIA ADA

CILI MERAH (Capsicum annuum) adalah sejenis cili dari keluarga Solanaceae yang merupakan sayur jenis berbuah popular dan luas penanamannya di Malaysia setiap tahun. Seluas 2,850 hektar cili merah ditanam setiap tahun dinegara kita dengan anggaran pengeluaran sebanyak 32,600 mt yang bernilai sekitar RM 206.6 juta. Cili adalah jenis tanaman sayur tanah rendah yang ditanam secara komersil monokrop terutama di Johor, Perak, Selangor dan Pahang. Terdapat beberapa varieti cili merah yang popular ditanam oleh petani dimana ia sesuai untuk pasaran segar. Varieti yang baik perlu mempunyai kandungan pepejal yang tinggi dan tahan terhadap penyakit dan serangan-serangan serangga. Penanaman cili merupakan antara komoditi yang paling berisiko tetapi ia juga adalah komoditi yang paling menguntungkan jika penghasilan tinggi dan menerima harga pasaran yang baik. Harga cili diladang serendah RM 2.50 sekilogram boleh mencecah kepada RM 18.00 dipasaran runcit terutama semasa musim tengkujuh sekitar bulan November sehingga Januari setiap tahun. Artikel Subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa varieti cili merah berdasarkan pemerhatian, pengalaman dan bacaan daripada buku teknikal untuk rujukan anda.

Apakah varieti cili merah yang anda tahu sangat popular di tanam di Malaysia?.  Kebanyakan kita akan nyatakan Cili Kulai. Bagaimana pun cili kulai sebenarnya terdiri daripada banyak varieti kerana cili ini belum banyak yang didaftarkan dengan Senarai Pendaftaran Varieti (National Listing). Kajian saya mendapati antara beberapa varieti cili merah yang sesuai ditanam adalah seperti Varieti MC 11, MC 12, MC 4, MC 5 dan akhir sekali Varieti Kulai. Saya juga tahu ada Varieti Cili Ipoh, Varieti Minyak Beku, Varieti Cili Bangi dan beberapa lagi. Kita belajar sedikit pencirian varieti cili merah agar dapat meningkatkan ilmu pengetahuan kita. 

(1) Varieti MC 11 
Penulis memerksa Cili MC11.
Varieti ini merupakan antara varieti cili merah yang popolar pada awal tahun 1980'an dan menjalani banyak proses pembiakan diladang. Varieti mengeluarkan hasil 10 minggu selepas ditanam ke ladang dan berterusan sehingga musim berakhir. Sifat pembuahan yang berterusan menyebabkan buah-buah cili dipetik setiap dua hari  terutama pada waktu petang. Saya dapati dari beberapa pemerhatian dikebun cili komersil, sehingga musim berakhir lebih kurang 30 pemetikan dilakukan. Varieti ini sesuai ditanam dan berupaya mengeluarkan hasil yang tinggi di persekitaran dengan jarak tanaman 60 cm x 100 cm. Bagaimana pun kadang-kadang petani (Encik Jailani - foto diatas) akan memetik cili ini dalam bentuk cili hijau jika harga amat baik berbanding dengan cili merah dari varieti ini.

(2) Varieti MC 12 
Varieti MC 12 adalah varieti sangat produktif, mempunyai dua puncak pengeluaran dan berupaya mengeluarkan hasil sehingga 4 bulan dengan syarat ia diberikan sistem pengairan dan pembajaan yang cekap. Saya lihat antara sifat baiknya adalah ia cepat matang (7 minggu selepas ditanam) dan pemetikan hasil dilakukan selang 5-6 hari. Perkara ini membolehkan buahnya dipetik sebelum diserang oleh penyakit. Didapati dalam tempoh 2 bulan penghasilan, lazimnya hasil yang diperolehi antara 20-29 tan/ha. Bentuk pokoknya yang rendah dapat mengatasi masalah pokok rebah disebabkan oleh angin atau buah yang banyak. Varieti ini jarang memerlukan kayu dan tali pancang dan in menjimatkan kos bergantung kepada pengurusan. Buahnya yang panjang, padat dan menarik sesuai untuk kegunaan segar dan pemprosesan.

(3) Varieti MC 4
Varieti ini dibiakkan oleh MARDI atau singkatannya 'Mardi Cili 4'. Saiz sederhana panjang, rasa kurang pedas. Jangkamasa pengeluaran adalah pendek. Pungutan hasil adalah selama 8-18 minggu selepas menanam. Sederhana tahan pada penyakit antraknos, rentan pada virus. Hasilnya ialah 12-20 tan/hektar. Sesuai untuk ditanam secara besar-besaran. Bagaimana pun cili ini kini jarang ditanam oleh penanam cili komersil. Dalam tinjauan saya kepada ramai petani mendapati tidak ramai yang mengetahui mengenai nama varieti cili MC4 ini. Kemungkinan kurang promosi oleh penjual benih atau petani kurang mengenali akan varieti ini.

(4) Varieti MC 5
Varieti ini dibiakkan oleh MARDI atau singkatannya sebagai 'Mardi Cili 5'. Antara ciri varieti ini adalah saiz buah 10-15 sm, 10-15 g/biji, variasi dari segi bentuk buah kurang, tinggi pokok 100-200 sm, sangat pedas dan ianya sentiasa berbunga. Jangkamasa pungutan adalah panjang (5 bulan). Pungutan hasil selama 12-32 minggu selepas menanam. Rentan pada virus antraknos dan virus. Hasil adalah sebanyak 15-25 tan/hektar. Kajian saya dilapangan mendapati tidak ramai petani yang menanam varieti MC 5 kerana mereka sukar mendapatkan sumber benih dan peraih kurang minat membeli varieti cili ini dibeberapa kawasan.

(5) Varieti Kulai
Saiz buahnya 12-15 sm, tirus, mesocap tebal, tinggi pokok adalah 60-180 sm, rasanya sangat pedas. Hasil buah sebanyak 10-15 tan/hektar. Dalam membuat tinjauan di kedai menjual benih cili merah, saya dapati diantara jenis Varieti Cili Kulai yang terdapat di pasaran ialah dengan nama seperti CA 905 F1 Cili Kulai 905, CA 907 F1 Cili Kulai 905, CA 910 Kulai Tempatan, CA 914 F1 Cili Kulai Pedas, CA 915 F1 Cili Kulai Kering, CA 908 Cabai Kulai Kerinting dan juga 8338 Kulai King. Sesetengah jenis cili ada yang dunyatakan sebagai Cili Hibrid F1 pada label. Perlu diingat bahawa kebanyakan cili merah kulai adalah melalui proses penghasilan benih melalui OP (Open Pillination). Apabila label ditulis sebagai benih hybrid maka lazimnya ia akan dijual dengan harga lebih tinggi.

(6) Varieti SDP33
Pokok Cili SDP33 dihasilkan oleh Sime Darby Seeds mempunyai ketinggian sekitar 70 - 80 cm dengan bentuk pokok yang terbuka dan ini memang sesuai untuk pertumbuhan yang sihat. Paling istimewa mengenai varieti ini katanya adalah kerana mempunyai batang pokok yang TEGAP, Sihat dan Besar (Sila lihat foto sebelah). Keadaan ciri khusus ini menyebabkan pokok ini superior dan tidak memerlukan kayu sokongan seperti varieti cili lain. Laporan tersebut menyatakan panjang buah adalah 18 - 24 cm dengan berat basah sekitar 20 -25 gram sebiji. Laporan menunjukkan sebanyak  40 - 45 biji cili SDP33 mencapai berat satu kilogram. Varieti SDP33 boleh dituai  112 - 116 hari selepas di tanam dan hasil potensi sepokok adalah sebanyak lebih dari 1.5 kilogram. Pokok mempunyai tahap ketahanan sederhana rintang dengan serangan penyakit yang biasa menyerang pokok cili seperti Antraknos dan Bintik daun. Sila Klik disini untuk baca artikel Cili SDP33.

Penyekit Kerekot daun cili.
Merujuk kepada tahap kerintangan terhadap penyakit, laporan menunjukkan bahawa varieti MC 11 dan MC12 adalah rentan terhadap serangan Penyakit Antraknos. Sebaiknya biji benih dirawat dengan racun kulat seperti Thiram sebelum menyemai. Semburan racun kulat Mancozeb juga boleh mengelakkan serangan antraknos. Pemerhatin terhadap cili varieti MC11 didapati rentan terhadap penyekit Kerekot Daun dan Mozek Daun (Leaf curl and mosaic virus) tetapi varieti MC 12 didapati mudah kena. Penyakit-penyakit disebarkan oleh Kutu Daun bagaimana pun menyerang kedua-dua varieti dimana kita perlu musnahkan pokok yang berpenyakit sehingga terkawal. Seterusnya pemerhatian juga mendapati serangan Hawa Reput atau Pucuk Choanephora pada varieti MC 11 adalah sedikit tahan sementara bagi varieti MC 12 adalah dikategorikan sebagi: rentan. Kawalan dengan menggunakan racun kulat Benomyl (Benlate) boleh mengawal penyakit ini. Sebenarnya banyak lagi varieti cili merah yang ada ditanam oleh petani di Malaysia. Setelah sistem DUS Cili Merah dilaksana, saya berharap akn ramai petani, penjual, penyelidik, syarikat yang akan mendaftar varieti cili merah di Malaysia. InsyaALLAH!.

AKAN DITERBITKAN VARIETI CILI YANG TELAH DIDAFTARKAN DALAM NATIONAL LISTING (Sila Klik disini).


Varieti Cilii Big Ipoh di Kebun Encik Norman, Air Hitam, Johor.
VARIETI CILI MERAH... MACAMANA...
PELBAGAI LOKASI... LAIN NAMA...
PERLU DISEMAK... DAFTARKANNYA...
PALING POPULAR... KULAI SAHAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
TKPM Pagoh, Komplkes PBU Pagoh,
Muar, Johor,
Malaysia.
(16 Syawal 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...