Support My Blog

Sunday, August 25, 2013

CILI - VAIRETI DI MALAYSIA (Part 1)

TANAMAN CILI (Capsicum annuum) adalah sejenis tanaman popular dari keluarga Solanaceae yang merupakan sayur jenis buah sering ditanam dan meningkat keluasan penanamannya di Malaysia setiap tahun. Seluas lebih dari 2,850 hektar cili atau juga dipanddil 'Lada' atau 'Cabai' ini ditanam setiap tahun dinegara kita dengan anggaran pengeluaran sebanyak 32,600 mt yang bernilai sekitar RM 206.6 juta. Cili adalah sejenis tanaman sayur tanah rendah yang ditanam secara komersil monokrop terutama di Negeri Johor, Perak, Selangor dan Pahang. Cili adalah sejenis tanaman yang tumbuh menegak, berakar tunjang, batang bercabang berwarna hijau (buku batang berwarna hijau atau ungu bergantung kepada varieti cili) dimana daunnya berwarna hijau muda ke hijau tua dan berbentuk ovat lebar (saiz daun bergantung kepada varieti). Bunga cili berkelopak lima dengan berwarna putih tumbuh keluar dari ketiak dan daun berbentuk loket. Buah cili pula berbentuk tirus memanjang. Biji cili berwarna kuning dengan berat 3.5-5.0 g bagi setiap 1,000 biji cili. Bunga cili melakukan proses pendebungaan cili adalah secara persenyawaan sendiri. Walaupun begitu 30% dari bunga cili akan berlaku persenyawaan silangjuga.Terdapat beberapa varieti cili yang popular ditanam oleh petani dimana ia sesuai untuk pasaran segar. Varieti yang baik perlu mempunyai kandungan pepejal yang tinggi, tahan lama disimpan, pedas, tahan terhadap penyakit dan serangan-serangan serangga perosak. Penanaman cili merupakan antara komoditi yang paling berisiko tetapi ia juga adalah komoditi yang paling menguntungkan jika penghasilan tinggi dan menerima harga pasaran yang baik. Harga cili diladang serendah RM 2.50 sekilogram boleh mencecah kepada RM 18.00 dipasaran runcit terutama semasa musim tengkujuh sekitar bulan November sehingga Januari setiap tahun. Artikel pada Subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa varieti cili yang telah berdaftar berdasarkan lamanweb Jabatan Pertanian Malaysia yang dibangunkan untuk kegunaan semua pihak berkaitan pada alamat pvpbkkt.doa.gov.my. untuk menjadi rujukan anda semua.


Periksa varieti cili di Johor.
Apakah varieti cili yang anda tahu sangat popular di tanam di Malaysia?. Kebanyakan kita akan nyatakan 'Cili Kulai'. Saya suka membahagikan Kategori Cili kepada beberapa kategori iaitu Cili Merah, Cili Hijau (Keduanya dalam Kategori Cili Besar), Cili Benggala (Sweet Paper), Cili Padi (Cabai Burung / Lombok Rawit) dan Cili Untuk Hiasan (Ornamental chillies). Terdapat sebanyak 8 varieti cili yang telah didaftarkan didalam senarai 'National Listing' di Jabatan Pertanian pada Julai 2013. Sebenarnya tujuan pendaftaran varieti cili ini dibuat untuk mendaftarkan semua varieti yang ada di Malaysia. Saya tahu banyak lagi varieti cili yang belum didaftarkan seperti yang dipunyai oleh beberapa syarikat pengeluar dan pengedar benih cili. Saya telah pun berbincang dengan En Chua pada bulan ini untuk syarikat beliau (Syarikat Green World Genetics) untuk membuat pendaftaran banyak varieti cili yang dipunyai oleh syarikat tersebut. Saya juga pernahberbincang denganEncik Freddie (Syarikat Sin Sin Huat Seeds) untuk perkara yang sama. Sehingga artikel ini ditulis, baru ada sebanyak 8 varieti cili telah didaftarkan di Malaysia untuk dijadikan bahan rujukkan anda.


1. Varieti KULAI SERDANG (CA1)
Cili  CA1 masih muda
Varieti ini didaftarkan dengan Kod CA1 (Capsicum Annuum Nombor 1) pada bulan Julai 2013 dengan kategori 'public domain' kerana ia merupakan varieti yang telah lama ditanam dan telah dikomersilkan. Antara ciri yang dinyatakan adalah dimana cili ini mempunyai bentuknya yang sederhana besar dan akan berwarna merah apabila cukup matang. Keterangan daripada National listing seperti berikut - "Presence of anthocyanin at hypocotyl, notes and anther. Anthocyanin absent at flower, filament and on leaf. Fruit Length: long. Fruit diameter: medium". Cili ini merupakan antara yang paling awal dikomersilkan dikalangan banyak jenis varieti cili kulai.

2. Varieti MC11 (CA2)
Varieti dinamakan MC11 ini merupakan varieti cili paling popular semenjak berpuloh tahun dahulu berasaskan kepada Cili Kulai MC10. Varieti ini mempunyai kod CA2 dalam senarai 'National Listing' dengan dimiliki oleh MARDI, Serdang, Selangor dan didaftarkan pada Julai 2013. Antara ciri varieti ini yang dicatitkan adalah " Presence of anthocyanin at notes and anther only. Anthocyanin absent at flower, filament, hypocotyl and on leaf. Fruit Length: long. Fruit diameter: medium to broad". Biji benih varieti ini masih mudah diperolehi. Kajian saya dibanyak negeri mendapati varieti cili ini adalah popular dikalangan petani walau pun terdapat banyak varian mengenai ciri buah yang telah dihasilkan. Ini kerana ramai petani akan mengambil 'buah superior' dari kebunnya sendiri yang akan diproses untuk dijadikan benih sendiri. Permintaan pengguna untuk cili ini adalah tinggi untuk kegunaan cili segar. Terdapat beberapa varieti lain yang sering dikatakan menyerupai cili ini seperti Varieti MC12, Varieti Kulai, Varieti Big Ipoh dan sebagainya. Anda boleh baca artikel berkaitan mengenai beberapa varieti cili merah seperti disini (Sila Klik Disini).


3. Varieti CT01P (CA3)
Ini bukan varieti CT01P
Varieti CT01P ini didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Terengganuu pada Julai 2013 dengan kod pendafftaran CA3. Varieti CT01P bermaksud 'Cili Terengganu 01 Pertanian' yang popular ditanam dii Negeri Terangganu. Antara ciri yang dinyatakan dalam keterangannya adalah "Presence of anthocyanin at base of flower, at filament, anther, notes and on leaf. Anthocyanin absent at hypocotyl and on leaf. Fruit Length: medium to long. Fruit diameter: medium". Cili ini juga merupakan satu daripada kumpulan Cili Kulai yang menjalani proses pemisahan (selection) semala beberapa generasi. Stesyen Hortikultur Terengganu pernah mengeluarkan varieti cili ini untuk digunakan oleh petani disama. 

4. Varieti SOLOK (CA4)
Enaknya Cili Solok berinti kelapa.
Varieti Cili Solok dengan nombor pendaftaran CA4 merupakan sejenis cili besar berwarna hijau muda yang sangat popular di Kelantan. Cili ini didaftarkan pada Julai 2013 dengan kategori pemilikan sebagai 'public domain'. Cili ini bersaiz sederhana besar dengan banyak digunakan untuk dibuat Cili Solok dalam menu makanan Nasi Kerabu atau Nasi Berlauk (Sila lihat foto sebelah). Cili ini berbentuk bulat dan menirus dihujungnya dengan tahap kepedasan yang sederhana (Kurang pedas). Stesyen Hortikultur Jabatan Pertanian Kelantan diantara yang menghasilkan benih cili ini untuk dijual kepada petani di negeri tersebut. Antara ciri dalam senarai yang dinyatakan adalah "Presence of anthocyanin at nodes and anther only. Anthocyanin absent on leaf, flower and at filament. Fruit color: light green." Penanaman cili solok kini telah meluas dinegeri-negeri lain sebagai satu pilihan petani untuk ditanam dan dijual kepada penyedia makanan pantai timur ini.
Artikel seterusnya mengenai Varieti Cili boleh dibaca dalam Part -2 (Sila klik disini).

Penulis memeriksa varieti CT01P di Terengganu
VARIETI CILI... SUDAH DIDAFTARKAN...
ADA 8 VARIETI...MANA DISYORKAN...
ADA DIJUAL ... BENIH DIPASARKAN...
JAMINAN KUALITI... SIAPA PASTIKAN... 

By,
M Anem,
GWG Research Station,
Rawang, Selangor,
Malaysia.
(17 Syawal 1434H) 
Kemaskini pada 2 September 2014

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...