Support My Blog

Sunday, November 27, 2011

ROTAN (Part 2)

Penanaman Rotan Manau (Calamus manan) dan beberapa spesis rotan lain boleh menggunakan bahan tanaman Anak Sulur (tunas pangkal batang) tetapi cara penanaman rotan menggunakan benih dari BIJI BENIH adalah lebih mudah. Buah rotan adalah hampir serupa dengan Buah Salak cuma  bentuknya agak bulat. Kulit buah rotan juga mempunyai sisik. Seperti halnya tumbuhan dari keluarga palmae, didapati buah rotan berada dalam tandan dan seludang dimana saiz buah bergantung dari saiz ukurlilit batang  batang rotan. Pemerhatian saya mendapati ada yang sebesar bola ping-pong dan yang kecil bersaiz kurang dari 1 cm ukurlilit.  Buah rotan biasanya mempunyai biji tunggal dengan daging buah yang tipis dan rasanya sangat kelat.  Walau pun begitu didapati binatang hutan banyak yang makan buah rotan yang makan dengan menelan bersama bijinya dan proses ini membantu menyebarluasan spesies rotan secara lebih  efektif. Artikel dalam "Anim Agro Technology" Rotan Part 2 ini adalah mengenai bagaimana hendak menanam rotan, pembajaan dan kawalan perosak sehingga aktiviti menuai ditulis untuk tambah ilmu pembaca blog ini.
  
Buah rotan yang akan digunakan sebagai benih perlu dipilih dari yang benar-benar sudah cukup tua. Buah ini perlu dipisahkan dari kulit serta daging buahnya yang sangat tipis itu dengan cara mengupas (pulping). Caranya ialah dengan buah rotan diletak dalam keranjang yang kuat kemudian ditumbuk dengan alu kayu atau penumbuk yang berat. Kerja ini perlu dibuat dengan teliti dan pelahan2 agar kulit dan daging buah terkelupas tetapi bijinya tidak pecah. Buah yang telah dikupas kulit ini perlu ditapaikan dulu dengan cara dibiarkan dalam satu longgokan selama 24 jam. Setelah itu biji dicuci bersih dengan air yang mengalir. Pada waktu mencuci ini biji rotan boleh di pijak dengan kaki yang pakai kasut getah atau kasut but yang bersih.

Buah rotan yang sudah bersih kemudian dikeringkan dengan menggunakan angin iaitu dengan cara di hamparkan diatas alas ditempat teduh. Pengeringan perlu dilakukan selama dua sampai tiga hari. Setelah agak kering maka biji rotan perlu direndam dalam Bahan Peggalak Akar yang dilarutkan dengan air suam selama 10 - 20 minit. Setelah itu biji boleh disemai. Penyemaian boleh dilakukan terus dalam tapak semaian yang mengandungi media pasir dan humus. Cara lain adalah dengan membiarkan biji bertunas dulu dalam kotak yang diisi pasir dengan humus. Setelah biji rotan tumbuh maka baru dipindahkan kedalam ke polibeg sesuai. Keseluruhan proses penyemaian benih rotan dilaksanakan dikawasan yang terlindung dari panas matahari atau pun dibawah naungan 'netting hitam' lutcahaya sebanyak 60%.

Benih yang telah tumbuh setinggi 0.5-1.0 meter boleh terus dipindahkan ke lokasi penanaman dikebun. Tumbuhan atau pokok rotan adalah jenis merayap dan memerlukan pokok lain untuk naik keatas bagi mendapatkan cahaya matahari. Penanaman rotan dalam kebun Getah (Hevea brasilliensis)  atau tanaman dusun buah yang sesuai dengan pokok rotan. Tanaman pokok hutan yang mungkin sesuai untuk rayapan pokok rotan seperti Pokok Albisia (Albizia moluccana); Mahoni (Swietenia macrophylla); Sanakeling (Dalbergia sissoides); dan Jati (Tectona grandis). Bagaimana pun Pokok Pine (Punus merkusii) dan Pokok Akasia (Acasia mangium) adalah di antara dua jenis pokok yang kurang sesuai digunakan kerana tumbuhan ini didapati ada mengeluarkan unsur alelopati yang mengakibatkan tumbuhan lain sukar untuk hidup di dekatnya. Cara mudah menanam rotan sama ada dalam barisan (Jarak 7m x 7 m) atau secara berkelompok-kelompok diantara barisan getah dan jarak disyorkan sekitar 10 m x 10 m bergantung kepada kesesuaian tanah dan susun-atur pokok rayapan. 

Penanaman rotan sebenarnya boleh juga dilakukan serentak bersama dengan tanaman pokok getah yang masih muda atau pokok getah dewasa yang sedang ditoreh seperti dibuat dengan RISDA Muar di Kg Pt Bengkok , Gersik dahulu. Penanaman mengikut barisan pokok getah tidak mengganggu penoreh dari terkena duri rotan yang agak bisa jika tercucuk ketika menoreh getah. Pemerhatian mendapati pada peringkat awal pertumbuhan pangkal batang rotan itu akan memanjat pokok getah yang perlu dilatih iaitu dari mula penanaman sehingga mampu membelit dan menjalar pada bahagian atas pucuk pokok. Siram anak benih rotan sebelum menanam dalam lubang disediakan. Buat penyulaman pokok yang mati pada tahun pertama dan tahun kedua selepas penanaman. Bersihkan lorong penanaman rotan daripada rumpai lain yang tumbuh dan buat cantasan dahan pokok rayapan (Jika perlu dan terlalu redup). Cahaya matahari sebanyak 35-50% perlu untuk pembesaran pokok rotan pada peringkat pembesaran pokok rotan.

Pokok Rotan mempunyai masaalah serangan beberapa serangga perosak diantaranya seperti Ulat Makan Daun (Lepidoptera spp), Kumbang Makan Batang (Cerambycidae spp), Serangan Antraknos oleh Kulat (Collectotricum spp;  Fusarium spp, Culvularia spp., Cercospora spp) dan sebagainya pada bahagian daun muda dan pucuk. Terdapat laporan berlaku serangan patah tengkuk oleh Kulat Perosak Pokok (Rhizoctonia solani) pada pokok rotan yang perlu dikawal dengan racuk kulat dan sebagainya. 


Cara menuai pokok rotan juga perlu cekap kerana duri rotan merbahaya jika tercucuk pada tubuh kita. Kajian dari beberapa buku menunjukkan pokok rotan yang telah berumur 15 tahun keatas mempunyai kualiti rotan yang baik untuk dituai. Bagaimana pun pokok rotan yang bermur 7-10 tahun akan dituai awal kerana ianya sudah dikira matang. Tanda-tanda batang rotan sudah matang adalah jika didapati batang rotan (Cane) sudah tidak ditutupi pelepah (Licin) sepanjang 12-15 meter panjang. Warna batang rotan lazimnya hijau kekuningan atau telah menjadi warna kuning terang dan keras serta padu. Cara menuai rotan dengan memotong pangkal perdu rotan dan kemudian ditarik serta dibersihkan dari duri, pelepah dan seludang. Bagi rotan saiz kecil ianya di gulong-gulong atau dilipat beberapa kali untuk dibawa keluar. Rotan yang bersaiz atau diameter besar dan kasar di potong sepanjang 3-4 meter dan diikat untuk dibawa keluar.


Harga rotan mentah ditentukan oleh kualiti, kuantiti dan jumlah bekalan serta bekalan dipasaran. Rotan yang telah dikeluarkan dari hutan atau kebun penanaman rotan tahan lama jika menjalani proses pengawetan kemudian disimpan dengan elok dibawah teduhan. Selepas rotan dibawa keluar maka ianya akan dijemur sehingga agak kering sebelum disimpan. Rotan yang cukup matang dan kering boleh disimpan berpuloh-puloh tahun. Antara masaalah simpanan rotan adalah berlakunya reput jika terkena air, dimakan bubuk jika tidak diberikan rawatan dan sebagainya. Rotan akan dihantar kepada pengusaha perabot untuk dijadikan pelbagai produk hasilan rotan yang berharga mencapai berpuluh malahan ratusan ribu ringgit satu set!


PERABUT ROTAN...CANTIK BUATANNYA...
DIANYAM HALUS...ROTAN MANAU ASALNYA...
ORANG KAYA...YANG MAMPU MEMBELINYA...
ORANG MACAM KITA...TANAMLAH JAWABNYA...


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka, 
Malaysia.
(1 Muharram 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...