Support My Blog

Showing posts with label ROTAN. Show all posts
Showing posts with label ROTAN. Show all posts

Sunday, November 27, 2011

ROTAN (Part 2)

Penanaman Rotan Manau (Calamus manan) dan beberapa spesis rotan lain boleh menggunakan bahan tanaman Anak Sulur (tunas pangkal batang) tetapi cara penanaman rotan menggunakan benih dari BIJI BENIH adalah lebih mudah. Buah rotan adalah hampir serupa dengan Buah Salak cuma  bentuknya agak bulat. Kulit buah rotan juga mempunyai sisik. Seperti halnya tumbuhan dari keluarga palmae, didapati buah rotan berada dalam tandan dan seludang dimana saiz buah bergantung dari saiz ukurlilit batang  batang rotan. Pemerhatian saya mendapati ada yang sebesar bola ping-pong dan yang kecil bersaiz kurang dari 1 cm ukurlilit.  Buah rotan biasanya mempunyai biji tunggal dengan daging buah yang tipis dan rasanya sangat kelat.  Walau pun begitu didapati binatang hutan banyak yang makan buah rotan yang makan dengan menelan bersama bijinya dan proses ini membantu menyebarluasan spesies rotan secara lebih  efektif. Artikel dalam "Anim Agro Technology" Rotan Part 2 ini adalah mengenai bagaimana hendak menanam rotan, pembajaan dan kawalan perosak sehingga aktiviti menuai ditulis untuk tambah ilmu pembaca blog ini.
  
Buah rotan yang akan digunakan sebagai benih perlu dipilih dari yang benar-benar sudah cukup tua. Buah ini perlu dipisahkan dari kulit serta daging buahnya yang sangat tipis itu dengan cara mengupas (pulping). Caranya ialah dengan buah rotan diletak dalam keranjang yang kuat kemudian ditumbuk dengan alu kayu atau penumbuk yang berat. Kerja ini perlu dibuat dengan teliti dan pelahan2 agar kulit dan daging buah terkelupas tetapi bijinya tidak pecah. Buah yang telah dikupas kulit ini perlu ditapaikan dulu dengan cara dibiarkan dalam satu longgokan selama 24 jam. Setelah itu biji dicuci bersih dengan air yang mengalir. Pada waktu mencuci ini biji rotan boleh di pijak dengan kaki yang pakai kasut getah atau kasut but yang bersih.

Buah rotan yang sudah bersih kemudian dikeringkan dengan menggunakan angin iaitu dengan cara di hamparkan diatas alas ditempat teduh. Pengeringan perlu dilakukan selama dua sampai tiga hari. Setelah agak kering maka biji rotan perlu direndam dalam Bahan Peggalak Akar yang dilarutkan dengan air suam selama 10 - 20 minit. Setelah itu biji boleh disemai. Penyemaian boleh dilakukan terus dalam tapak semaian yang mengandungi media pasir dan humus. Cara lain adalah dengan membiarkan biji bertunas dulu dalam kotak yang diisi pasir dengan humus. Setelah biji rotan tumbuh maka baru dipindahkan kedalam ke polibeg sesuai. Keseluruhan proses penyemaian benih rotan dilaksanakan dikawasan yang terlindung dari panas matahari atau pun dibawah naungan 'netting hitam' lutcahaya sebanyak 60%.

Benih yang telah tumbuh setinggi 0.5-1.0 meter boleh terus dipindahkan ke lokasi penanaman dikebun. Tumbuhan atau pokok rotan adalah jenis merayap dan memerlukan pokok lain untuk naik keatas bagi mendapatkan cahaya matahari. Penanaman rotan dalam kebun Getah (Hevea brasilliensis)  atau tanaman dusun buah yang sesuai dengan pokok rotan. Tanaman pokok hutan yang mungkin sesuai untuk rayapan pokok rotan seperti Pokok Albisia (Albizia moluccana); Mahoni (Swietenia macrophylla); Sanakeling (Dalbergia sissoides); dan Jati (Tectona grandis). Bagaimana pun Pokok Pine (Punus merkusii) dan Pokok Akasia (Acasia mangium) adalah di antara dua jenis pokok yang kurang sesuai digunakan kerana tumbuhan ini didapati ada mengeluarkan unsur alelopati yang mengakibatkan tumbuhan lain sukar untuk hidup di dekatnya. Cara mudah menanam rotan sama ada dalam barisan (Jarak 7m x 7 m) atau secara berkelompok-kelompok diantara barisan getah dan jarak disyorkan sekitar 10 m x 10 m bergantung kepada kesesuaian tanah dan susun-atur pokok rayapan. 

Penanaman rotan sebenarnya boleh juga dilakukan serentak bersama dengan tanaman pokok getah yang masih muda atau pokok getah dewasa yang sedang ditoreh seperti dibuat dengan RISDA Muar di Kg Pt Bengkok , Gersik dahulu. Penanaman mengikut barisan pokok getah tidak mengganggu penoreh dari terkena duri rotan yang agak bisa jika tercucuk ketika menoreh getah. Pemerhatian mendapati pada peringkat awal pertumbuhan pangkal batang rotan itu akan memanjat pokok getah yang perlu dilatih iaitu dari mula penanaman sehingga mampu membelit dan menjalar pada bahagian atas pucuk pokok. Siram anak benih rotan sebelum menanam dalam lubang disediakan. Buat penyulaman pokok yang mati pada tahun pertama dan tahun kedua selepas penanaman. Bersihkan lorong penanaman rotan daripada rumpai lain yang tumbuh dan buat cantasan dahan pokok rayapan (Jika perlu dan terlalu redup). Cahaya matahari sebanyak 35-50% perlu untuk pembesaran pokok rotan pada peringkat pembesaran pokok rotan.

Pokok Rotan mempunyai masaalah serangan beberapa serangga perosak diantaranya seperti Ulat Makan Daun (Lepidoptera spp), Kumbang Makan Batang (Cerambycidae spp), Serangan Antraknos oleh Kulat (Collectotricum spp;  Fusarium spp, Culvularia spp., Cercospora spp) dan sebagainya pada bahagian daun muda dan pucuk. Terdapat laporan berlaku serangan patah tengkuk oleh Kulat Perosak Pokok (Rhizoctonia solani) pada pokok rotan yang perlu dikawal dengan racuk kulat dan sebagainya. 


Cara menuai pokok rotan juga perlu cekap kerana duri rotan merbahaya jika tercucuk pada tubuh kita. Kajian dari beberapa buku menunjukkan pokok rotan yang telah berumur 15 tahun keatas mempunyai kualiti rotan yang baik untuk dituai. Bagaimana pun pokok rotan yang bermur 7-10 tahun akan dituai awal kerana ianya sudah dikira matang. Tanda-tanda batang rotan sudah matang adalah jika didapati batang rotan (Cane) sudah tidak ditutupi pelepah (Licin) sepanjang 12-15 meter panjang. Warna batang rotan lazimnya hijau kekuningan atau telah menjadi warna kuning terang dan keras serta padu. Cara menuai rotan dengan memotong pangkal perdu rotan dan kemudian ditarik serta dibersihkan dari duri, pelepah dan seludang. Bagi rotan saiz kecil ianya di gulong-gulong atau dilipat beberapa kali untuk dibawa keluar. Rotan yang bersaiz atau diameter besar dan kasar di potong sepanjang 3-4 meter dan diikat untuk dibawa keluar.


Harga rotan mentah ditentukan oleh kualiti, kuantiti dan jumlah bekalan serta bekalan dipasaran. Rotan yang telah dikeluarkan dari hutan atau kebun penanaman rotan tahan lama jika menjalani proses pengawetan kemudian disimpan dengan elok dibawah teduhan. Selepas rotan dibawa keluar maka ianya akan dijemur sehingga agak kering sebelum disimpan. Rotan yang cukup matang dan kering boleh disimpan berpuloh-puloh tahun. Antara masaalah simpanan rotan adalah berlakunya reput jika terkena air, dimakan bubuk jika tidak diberikan rawatan dan sebagainya. Rotan akan dihantar kepada pengusaha perabot untuk dijadikan pelbagai produk hasilan rotan yang berharga mencapai berpuluh malahan ratusan ribu ringgit satu set!


PERABUT ROTAN...CANTIK BUATANNYA...
DIANYAM HALUS...ROTAN MANAU ASALNYA...
ORANG KAYA...YANG MAMPU MEMBELINYA...
ORANG MACAM KITA...TANAMLAH JAWABNYA...


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka, 
Malaysia.
(1 Muharram 1433H)

ROTAN (Part 1)


ROTAN merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Palma dari suku Calameae yang mempunyai  17 genus dan sekitar 611 spesies.  Tumbuhan ini ada dalam hutan malar hijau kawasan tropika termasuk di Malaysia dan digunakan dalam industri perabut, hiasan serta lain-lain kegunaan. Rotan di Malaysia juga sering dikaitkan dengan kegunaannya untuk ‘SEBATAN’ atau ‘Canning’ bagi banduan-banduan yang menjalani hukuman sebatan. Genus rotan adalah Calamus; Calospatha; Ceratolobus; Daemonorops; Eremospatha; Eugeissonia; Korthalsia; Laccosperma; Metroxylon; Myrialepis; Oncocalamus; Pigafetta; Plectocomia; Plectomiopsis; Raphia; Zalacca; Zalacella. Rotan jenis Metroxylon pula  sebenarnya masih satu genus dengan pokok  sagu. Sementara rotan jenis Zalacca masih satu genus dengan salak. Daripada 611 spesies rotan yang ada didunia dilaporkan paling banyak terdapat di Indonesia iaitu  sebanyak  246 spesies dimana di Malaysia (205), di Filipina (84), di Brunei (81), di Thailand (69), di India (60), di China (57), Papua New Guinea (42), Laos (29), Myanmar (27), Vietnam (21), Singapura (18), Cameroon (17), Equator Guinea (12), Bangladesh  dan Nigeria 11, Sri Lanka 10, Australia  9, Angola 8, Bhutan, Ghana dan  Zaire 7, beberapa negara di Afrika, Asia dan Asia Pasifik 5. Artikel subuh ini saya berkongsi maklumat dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan rotan untuk bacaan umum.

Dari 205 spesies rotan yang ada di Malaysia didapati beberapa diantaranya merupakan rotan komersial yang kualitasnya sangat baik. Antaranya saya sering dengar Rotan Manau (Calamus manan), Rotan Lilin (Calamus javensis), Rotan Irit (Calamus trachycoleus), Rotan Jernang Besar (Daemonorops draco) dan juga Rotan Manis (Daemonorops melanochaeta). Rotan Manis mendapat nama kerana spesies ini mempunyai umbut (rebung)  yang manis dan enak dimasak sebagai sayur. Spesis batang rotan massif pula didapati  berongga seperti halnya buluh  dan banyak menyimpan air. Dalam hutan kita boleh memenafaatkan rotan manis ini dengan pucuknya dipotong dan bahagian pangkalnya juga dipotong maka dari akar akan keluar air yang segar untuk diminum. Semasa saya masuk hutan Endau di Mersing pada 1999, saya diberitahu oleh tok batin dan mendapati selain rasanya yang segar, air rotan ini juga mengandungi banyak kandungan zat yang menyihatkan dan menghilangkan kehausan. Batang rotan  merupakan komoditi  penting yang bernilai dipasaran tempatan dan antarabangsa.

Batang rotan terdiri dari kulit luar yang licin dan kuat dan biasanya digunakan untuk bahan anyaman serta bagian dalamnya yang elastik.  Batang rotan mempunyai pelbagai saiz bermula dari paling kecil berukuran 0.5 cm garispusat sehingga  sebesar 10 cm garispusat. Penggunaan batang rotan adalah berbagai daripada untuk dibuat tali, bahan anyaman berasaskan rotan (contohnya Bakul, Tikar Rotan, Langsir, Keranjang, Bekas, Hiasan Gantung, Alatan Dapur, Kerangka Lampu Tidur dan banyak lagi). Produk yang paling saya sukai adalah KERUSI ROTAN dimana selain ianya tahan dan cantik, kerusi rotan juga mempunyai pasaran diperingkat domestic dan antarabangsa yang meluas. Kalau kita pergi ke hotel-hotel 5 bintang dan orang kaya biasanya akan meletakkan kerusi diruang tamu atau lobi hotel. Kerusi rotan setti yang saya beli pada tahun 1982 masih ada sehingga sekarang…bayangkan bertapa tahannya produk berasaskan rotan. Penggunaan produk kerusi atau setti rotan mampu meningkatkan prestij kepada pemiliknya. Produk beradaskan rotan juga mempunyai harga yang sangat tinggi jika mencapai standard untuk di ekspot ke Eropah, Jepun dan Timur Tengah.



Tahap permintaan yang tinggi dan produk rotan yang ada nilai tambah menyebabkan bahan mentah rotan terus mendapat pasaran terbaik. Pengeluaran hasil rotan dari hutan simpan semakin berkurang dan perlu ada usaha untuk menanam semula rotan secara komersil di Malaysia. Pihak FRIM dan RISDA merupakan agensi yang bertanggungjawab dam industry penanaman rotan untuk dimajukan. Pada masa sekarang tidak mungkin hasil penuaian rotan harganya jatuh atau tidak boleh dijual. Terdapat dakwaan hasil dari pokok rotan diberikan harga lebih rendah dibanding rotan yang diambil dari hutan dan ini tidak betul. Penanaman rotan dibawah pokok getah di Gersik (kampong saya) dulu dikatakan agak Berjaya juga tetapi pekebun getah komplen ianya terlalu lama untuk dituai. Pemungut produk rotan dari hutan juga semakin sukar kerana semakin lama lokasi pengambilan rotan semakin jauh masuk ke dalam hutan. Kos untuk mengangkut rotan dari dalam hutan sama ada melalui darat dan sungai juga sangat tinggi. Kawasan penanaman rotan pula umumnya berada dekat dengan jalan raya maupun sungai sehingga mengurangkan kos pengangkutan. 
BERSAMBUNG....

MENCARI ROTAN ...DALAM HUTAN...
MENANAM ROTAN...BANYAK CABARAN....
DIBUAT PERABOT...HARGA TAK TAHAN....
KESELURUH DUNIA....ROTAN DIPASARKAN...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Melaka, 
Malaysia.
(1 Muharam 1433H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...