Support My Blog

Monday, November 28, 2011

RIBUT PETIR

RIBUT PETIR kini berlaku setiap petang di negara kita bermula dari Pertengahan Oktober-November sehingga Disember. Kilat sabung menyabung, petir berdentum-dentum dan angin kuat bertiup bersama hujan yang saya fikir tahun ini 2011 amat ketara sekali berbanding dengan beberapa tahun lepas. Daripada pembacaan buku anak saya, Ribut Petir ditakrifkan oleh Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) sebagai kejadian satu atau lebih nyahcas elektrik secara tiba-tiba yang menghasilkan lintasan cahaya (kilat) dan bunyi gemuruh (guruh). Bunyi ini kini sangat dekat dengan rumah kita sehingga rumah jiran saya bumbungnya pecah dan menyebabkan air hujan masuk kedalam rumah. Kenapa agaknya tahun ini terlalu banyak ribut petir dan hujan lebat setiap petang?....Kenapa pula negara jiran kita Thailand dilanda banjir yang berbulan-bulan tidak surut?...Adakah ini ada kaitan dengan dakwaan saintis kajicuaca yang ada hubungkaitnya dengan Fenomena El-Nino dan Fenomena La-Nina?...Allah sahaja yang amat mengetahuinya. Artikel pagi 2 Muharam ini saya menulis satu fenomena mengenai ribut petir untuk bacaan anda semua.

Dulu semasa disekolah dan belajar di universiti kita diajar mengenai Kajicuaca dan salah satu persoalan yang diutarakan ialah bagaimana ribut petir boleh terjadi?. Dari segi sains menyatakan bahawa Ribut petir biasanya terjadi dalam keadaan atmosfera yang 'lengas' dan tidak stabil dimana Awan Kumulus terbentuk apabila udara panas berlengas naik dari permukaan bumi ke altitud yang lebih tinggi dan memeluwap. Ini menyebabkan ia berkembang secara menyisi dan menegak menjadi awan padat yang lebih besar yang disebut sebagai Awan kumulonimbus dan dengan golakan kuat di dalamnya dan aliran keluar yang kuat di bawah dasarnya. Lazimnya Awan Ribut Petir yang matang kerapkali mempunyai struktur bersel dengan diameter mencapai 3 ke 5 kilometer dan ketinggiannya melebehi 10 kilometer. Awan ini boleh wujud secara terpencil, berkelompok atau dalam garisan. Kajian juga menunjukkan iaitu purata tempoh hidup ribut petir ialah antara 15 hingga 30 minit tetapi dalam keadaan tertentu, tempoh ini jauh lebih lama. Ribut petir berpotensi untuk menghasilkan hujan batu, hujan lebat, kilat sabung menyabung dan angin kencang. Sesetengah keadaan cuaca yang sangat buruk boleh terjadi apabila kelompok ribut petir melanda sesuatu kawasan untuk tempoh yang panjang.

Kajian mengenai petir ada istilah yang dipanggil sebagai 'Letusan Kebawah'. Letusan ke bawah ialah istilah yang menjelaskan tentang penurunan cepat udara di suatu kawasan kecil di bawah ribut petir. Angin kencang yang terhasil boleh mencapai kelajuan yang amat tinggi sehingga boleh menyebabkan kemusnahan ketara di sepanjang laluannya dan sangat berbahaya kepada operasi penerbangan. Ramai kita tidak berapa faham bagaimana kejadian KILAT yang menghasilkan cahaya terang dan hilang dengan cepat. Hanya ahli fotograpi yang profesional sahaja mampu mendapatkan foto kilat yang bergerak dengan pantas dan tanpa diduga. Sebenarnya Apakah Kilat?. Udara yang turun naik di dalam awan ribut petir mengakibatkan pemisahan cas positif dan cas negatif. Kilat adalah nyahcas yang terhasil apabila perbezaan cas elektrik di antara permukaan bumi dan atmosfera cukup besar untuk mengatasi kesan penebatan udara. Kilat boleh terjadi samada di dalam awan, dari awan ke awan, atau antara awan dengan permukaan bumi. Kilat kerap menyambar di luar kawasan hujan lebat dan boleh berlaku sejauh 10 batu dari kawasan hujan tersebut. Udara berhampiran kawasan yang dipanah kilat menjadi panas dan mencapai suhu melebihi 27,000°C iaitu lebih panas daripada permukaan matahari. Pemanasan dan penyejukan cepat udara berhampiran kawasan yang terkena kilat menghasilkan rencatan gelombang yang mengejut lalu menghasilkan guruh.

Semasa kita kecil lagi sering diberitahu oleh ibubapa agak cepat berlindung apabila hendak hujan apa lagi kalau terdengar bunyi guruh dan petir. Saya mempunyai pengalaman sendiri di Kg Jawa, Segamat pada tahun 1994 bagaimana seorang penduduk kampong terkena panahan petir dan kilat ketika berteduh dibawah rumah dalam Majlis Kenduri Kahwin. Tiba-tiba hujan gerimis turun dan saya berada diatas lantai terkejut apabila orang kendarat bawah rumah menjerit melihat seorang saudara lelaki sekitar 56 tahun tumbang dan terus meninggal. Kejadian ini amat memilukan seluruh penduduk kampong. Kajian saintis menunjukkan Tempoh 'Ribut Petir Selalu Berlaku' boleh berlaku sepanjang tahun tetapi selalunya semasa tempoh antara monsun iaitu dari April hingga Mei dan dari Oktober hingga November.Ribut petir boleh berlaku sepanjang tahun tetapi selalunya semasa tempoh antara monsun iaitu dari April hingga Mei dan dari Oktober hingga November. Di daratan, ribut petir lazimnya terjadi pada waktu petang dan senja manakala di lautan, ia kerap berlaku pada sebelah malam. Kilat boleh juga menyebabkan kerosakan peralatan elektrik yang terpasang dan boleh mencetuskan kebakaran. Kebanyakan kematian dan kecederaan akibat daripada kilat terjadi kepada mereka yang berada di luar bangunan.

Dalam sektor pertanian jarang kita cuba mengaitkan kejadian ribut petir dengan tumbuh-tumbuhan. Belum banyak kajian dijalankan hubungkait ribut petir dengan kemusnahan banyak serangga perosak tanaman akibat hujan lebat dan angin. Cuaca hujan yang berpanjangan dan berterusan juga menghalang cahaya matahari untuk menyinari daun bagi menjalankan fotosintesis. Hasil ladang sawit akan berkurang begitu juga dengan tanaman jangkapendek seperti sayur-sayuran. Harga komoditi ini akan meningkat semasa musim hujan dan banyak berlaku ribut petir. Penoreh getah juga tidak dapat menjalankan aktiviti menoreh. Kejadian ribut petir, hujan, kemarau dan apa juga yang terjadi adalah menunjukkan kebesaran Allah SWT. Dalam Quran banyak dinyatakan akan kejadian ini untuk mengingatkan manusia supaya beriman. Sama-samalah kita renungi akan kebesaran kejadian ribut petri ini. 

FENOMENA RIBUT PETIR…KUAT BUNYINYA…
BUNYI BERDENTUM…TERANG CAHAYANYA…
KEJADIAN ALAM…KITA TAKJUB KEJADIANNYA…
PERUBAHAN CUACA…APAKAH KESANNYA….

By,
M Anem
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Air Keroh , Melaka, 
Malaysia.
(2 Muharram 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...