Support My Blog

Monday, November 7, 2011

KELADI GORENG

KELADI GORENG merupakan sejenis makanan berasaskan Keladi (Colocasia esculenta) yang sangat sedap dan enak dimakan ketika panas dicecah dengan sambal kicap. Keladi Goreng menjadi satu produk kegemaran ramai di Malaysia dan Indonesia untuk juadah yang dimakan di waktu sarapan pagi (penduduk kampong luar bandar) atau Juadah Hidangan Minum Petang (bagi warga kota dan masyarakat moden). Makanan ini kini dijual secara komersial diwarung-warung ditepi jalan, pasar malam, pasar Tani sehingga ada hotel-hotel terkemuka yang kini telah pun  menghidangkannya. Saya merupakan peminat makanan keladi goreng sejak dahulu lagi kerana mempunyai Lidah 'J' yang menggemari makanan ini dimana telah dilatih semenjak dulu lagi. Artikel subuh ini memang sesuai membuat post mengenai keladi goreng berdasarkan dari pengalaman, pemerhatian dan perbincangan dengan pakar membuat keladi goreng untuk bacaan umum.


Goreng Keladi sama juga dengan aktiviti menyediakan Goreng Pisang (Musa spp), Goreng Sukun (Artocarpus altilis) , Goreng Ubi (Manihot esculenta) , Goreng Keledek (Impomea batatas), Goreng Tempe (Kacang Soya), Goreng Cempedak (Artocarpus chempeden) merupakan satu identiti pada masyarakat melayu dalam resepi permakanan tradisi. Makanan ini disediakan sebagai makanan tambahan (orang jawa kata 'cemil-cemilan') selain daripada menu makan utama kita iaitu nasi bersama lauk pauk (Hidangan makan tengahari dan Makan Malam). Goreng Buah Chempedak merupakan paling istimewa kerana aroma atau bau goreng chempedak yang terhasil ketika proses menggoreng mampu dihidu jiran dan pengujung pasar malam dari jarak jauh. 


Kajian saya mendapati jenis keladi paling sesuai untuk di goreng adalah Keladi Mawar dan Keladi Cina. Ini kerana kedua-dua jenis keladi tersebut mempunyai isi yang sangat rangup, enak, lembut, aroma yang bagus serta 'Pullen' (Istilah orang jawa Muar berkaitan tekstur isi keladi). 
Penanaman keladi di Malaysia pada tahun 2006 cuma seluas 605 hektar dengan pengeluaran sebanyak 5,948 mt telah meningkat kepada 670 hektar pada tahun 2010 dengan penghasilan sebanyak 6,520 metrik tan. Kawasan utama tanaman keladi di Malaysia ialah di Daerah Kota Tinggi Johor (303 hektar - 50% keluasan di Malaysia) diikuti Daerah Muar Johor (41 hektar) dan Kuala Langat Selangor (22 hektar) pada tahun 2010. Keladi Mawar dituai dalam masa 7 bulan selepas di tanam dan harga ladang keladi ini di Muar dan kawasan sekitarnya lingkungan RM 3.00 /kg bagi gred B dan RM 3.50 /kg bagi gred A.


Keladi yang segar perlu dibuang lapisan kulit luarnya dan dibasuh sehingga bersih dahulu. Proses seterusnya adalah Teknik Memotong keladi sama ada memotong pipih setebal 1 cm dengan saiz ikut bentuk buah atau memotong empatsegi sama memanjang macam 'Potato Fun Fries'. Bagi tujuan dimakan sendiri tidak menjadi isu tetapi bagi penjual goreng keladi komersial mereka mengira saiz, ketebalan dan bentuk potongan yang akan menentukan keuntungan dan tarikan kepada pelanggan. Ada yang merendam potongan kepingan keladi tadi dengan air garam selama beberapa saat untuk mendapatkan rasa masin kalau digoreng tanpa salutan tepong. Penyediaan 'Tepong celup' adalah sangat penting dalam menentukan citarasa keladi goreng. Bagi saya tepong beras atau tepong gandum yang dibancuh dengan air perlu di masukan jintan dan ketumbar yang telah di hancurkan, sedikit garam, kapor makan dan gaul hingga sebati.


Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan kepingan keladi yang telah disalut dengan tepong beras atau tepong gandum dan goreng sehingga cukup masak. Angkat goreng keladi tadi dan toskan minyaknya sehingga kering. Sediakan sambal kicap untuk bahan pencecah ketika makan goreng keladi. Sambal kicap memang banyak cara untuk membuatnya tetapi saya mempunyai resepi yang saya rasa paling lazat. Sediakan 5-8 biji cili api, 1 biji bawang putih dan 2 sudu gula pasir masukkan kedalam lesung batu. Tumbuk sehingga lumat dan berlendir kemudian masukkan kicap lemak manis kedalamnya dan gaul hingga sebati. Serbuk perasa seperti Ajinomoto boleh ditambahkan sedikit jika mahu. Keluarkan sambal kicap dan masukkan dalam mangkuk sesuai untuk dihidangkan.


Berikut adalah resepi Goreng Keladi untuk panduan anda:



Bahan-bahan ( 4 orang )

  • 2 biji keladi saiz sederhana (Keladi Cina atau Keladi Mawar)
  • 1 cawan Tepong gandum atau Tepong Beras
  • 1 sudu besar butter/ marjerin @ minyak panas
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 sudu besar ketumbar biji dan Jintan Manis (Dilumatkan)
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 sudu kecil garam @ secukup rasa
  • Air utk membancuh secukupnya

  • SAMBAL KICAP
  • Bahan-bahan untuk sambal kicap
  • 5-10 biji chili api
  • 1 ulas bawang putih
  • 3 sudu besar gula pasir
  • 1/4 cawan kicap lemak manis Cap Kipas Udang

Cara-cara

  1. Bersihkan keladi dan potong tipis2 sama ada pipih atau dadu panjang
  2. Satukan tepong gandum, butter, bawang putih, serbuk kunyit, garam & air. Blender supaya ramuan ini jadi halus.
  3. Tumbuk ketumbar biji sampai hancur, masukkan jintan kemudian digaul rata ke dalam adunan tepung tadi.
  4. Celupkepingan keladi ke dalam adunan tepung tadi dan masukkan kuali yang ada minyak panas serta gunakan api gas yang  sederhana hingga masak. Apabila masak angkat dan toskan minyak.
  5. Hidangkan semasa panas dan sedia dimakan bersama sambal kicap
  6. MEMBUAT SAMBAL KICAP . Pertama sekali satukan semua bahan-bahan cili api, bawang putih dan gula kedalam lesung batu dan tumbuk sehingga lumat dan berlendir. Masukkan kicap lemak manis cap kipas udang delam kuantiti sederhana dan kacau sehingga sebati. Sambal Kicap sedia untuk dihidangkan. Sambal kicap ini juga boleh digunakan untuk makan dengan goreng keledek, sukun,cendawan, ketam, udang dan sebagainya.



Selamat mencuba makan keladi goreng yang masih panas dengan sambal kicap.


KELADI GORENG...MAKANAN TRADISI...
DIMAKAN PANAS....BERSAMA FAMILI,,,
CECAH SAMBAL KICAP...PEDAS DIRASAI....
JANGAN LUPA....MENU YANG SAYA BAGI...


Artikel yang berkaitan:
1. Keladi (klik disini)

2. Keladi Mawar (Klik disini)
3. Keledek (Klik disini)
4. Cassava - Ubi Kayu (Click here)
5. Sukun (Klik disini)
6. Chempedak (Klik disini)
7. Tempe (Klik disini)
8. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)


By,
M Anem
Jalan Istana
Bukit Beruang, Melaka,
Malaysia
(11 Zulhijjah 1432H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...