Support My Blog

Tuesday, November 1, 2011

LEMBA

LEMBA (Cucurligo latifolia) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Hypoxidaceae yang terdapat di negara Malaysia yang tumbuh liar dikawasan kebun. Ada para botanis yang namakan lemba sebagai Molineria latifolia dari keluarga Amaryllidaceae. Tumbuhan ini memang unik kerana ianya menghasilkan buah lemba yang manis dan tahap kemanisannya sangat lama berkesan pada lidah manusia agak lama setelah beberapa kali kita minum air tawar atau makan sebarang makanan. Saya kenal buah lemba ini kerana memang banyak terdapat disekitar kebun getah dan kelapa sawit dikawasan kampong terutama dikawasan yang agak lembab. Pokok Lemba juga di panggil sebagai Pokok Lamba, Pinang Puyoh dan Nyior Lamber. Pokok ini biasanya tumbuh dikawasan yang terlindung dari cahaya matahari dan sekarang ini agak sukar didapati kerana banyak kawalan rumpai menggunakan racun. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi dan maklumat tumbuhan Lemba untuk bacaan umum dari pengalaman peribadi dan bacaan beberapa buku teknikal dan laman sesawang.


Pokok Lemba adalah sejenis tumbuhan renek yang tumbuh dalam rumpun yang agak besar. Ketinggian pokok lemba mengikut spesis sehingga mencapai 1-1.5 meter. Pokok lemba membiak dengan Rhizomnya. Daunya berwarna hijau dengan tangkai keluar dari pangkal rumpun berukuran 50-70 cm panjang dan 15-18 cm lebar. Daunya mempunyai jalur-jalur yang jelas dan menirus hujung yang tajam. Bilangan helaian daun sekitar 5-20 helai setiap rumpun bergantung kepada saiz dan umur pokok. Daun tua dibahagian bawah akan kering dan gugur. Bunga Lemba keluar dari pangkal rumpun secara jambak mengandungi banyak bunga betina dan bunganya berwarna kuning terang. Pokok dewasa mengeluarkan bunga sepanjang tahun tetapi pada musim hujan kurang bilangannya berbanding musim kering. Pendebungaan berlaku sendiri atau dibantu oleh semut.


Buah Lemba terbentuk pada sarung jambak bunga yang telah berlaku pendebungaan. Buah Lemba yang matang memppunyai bentuk Beri yang berwarna putih dengan panjag 2-4 cm  dan garispusat 1-2 cm. Buahnya mengandungi biji berwarna hitam berukuran 1.5-3.0 mm dengan berbagai bentuk dan mengandungi lendir yang manis. Sebaik sahaja kita makan buah lemba maka rasa manis tersebut akan terus melekat pada bahagian lidah (agaknya bahagian lidah mana yang mempunyai rasa manis). Tindakbalas lendir buah lemba dengan air liur akan mempastikan apa sahaja yang masuk mulut akan jadi manis untuk selama 20 minit hingga 40 minit. Lepas itu rasa manis akan mula berkurangan secara berperingkat-peringkat dan kemudian hilang.


Buah lemba mempunyai khasiat yang berguna untuk kesihatan manusia. Pengidap kencing manis dapat merasai manis semulajadi dengan makan lemba tanpa kandungan gula. Kemanisan buah lemba juga dipercayai dapat menghilangkan sakit pening kepala, mengubati ulser mulut, menyembuhkan demam panas, demam malaria, menyejukkan badan dan menyembuhkan batuk-batuk. Khasiat buah lemba juga dapat mengurangkan bengkak-bengkak dan meelawaskan kencing. Belum ada produk lemba yang diproses secara komersil untuk mendapatkan khasiat yang ada. Setakat ini penulis hanya dapati buah lemba yang segar memberikan khasiat manis yang unik. Mungkin banyak kajian lanjut perlu dibuat agar penanaman, pengeluaran dan pemprosesan buah lemba menjadi satu industri yang berkesan. Pokok Lemba belum ada yang ditanam secara komersil di Malaysia. Mungkinkah akan ada usahawan yang akan menanam lemba secara komersial?....Varieti apakah yang sesuai ?, apakah amalan agronominya?, Berapa lama pokok mula tanam sehingga berbuah?...Bagaimana cara memproses yang terbaik? dan macam-macam persoalan lagi.


POKOK RENDAH....POKOK LEMBA...
SUSAH NAK DAPAT...BUAH TIADA...
BUAH LEMBA..MANIS TAK TERHINGGA...
BUAT KAJIAN...DI MAJUKAN DI USAHA...


By,
M Anem
Senior Agronomist
Taman Herba Perak,
Jalan Gopeng, Ipoh
Perak, Malaysia
(1.11.11)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...