Support My Blog

Sunday, January 2, 2011

AGROMAKANAN 2011



Malaysia akan terus membangun dalam beberapa sektor ekonomi dalam tahun 2011 sama ada dalam Sektor Industri, Perkhidmatan dan juga sektor Pertanian. Dalam sektor Pertanian terutamannya sektor tanaman akan menyumbang kepada KDNK seperti tanaman industri iaitu Kelapa Sawit dan Getah serta hasil pembalakan di tamban pula dengan sektor ternakan dan perikanan. Artikel kali ini membincangkan mengenai maklumat kemajuan sektor pertanian negara 2011 iaitu dalam sektor tanaman makanan, sektor ternakan dan perikanan untuk tatapan pembaca sekelian.


Sektor tanaman terbahagi kepada dua kementerian iaitu tanaman perladangan di bawah kawalan Kementerian Perladangan dan Pembangunan Komoditi (KPPK) untuk tanaman ladang seperti Kelapa Sawit, Getah, Koko, Kenaf dan sebagainya. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) membangunkan tanaman makanan (Padi, Buah-buahan, Sayur-sayuran, Herba dan lain2 lagi), Penternakan Haiwan, Perikanan dan Industri Asas Tani melalui 3 Jabatan dan 11 Agensi dibawahnya. 3 Jabatan terlibat ialah Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar dan Jabatan Perikanan. Antara Agensi dibawah MoA pula ialah seperti LPP, LKIM, MARDI, FAMA, LPNM, IADA dan sebagainya.


Tanaman padi (Oryza sativa) merupakan satu sektor tanaman makanan yang penting di Malaysia dengan kadar kecukupan (SSL) sebanyak 70%. Padi dikeluarkan di 8 buah kawasan Jelapang Padi iaitu MADA, KADA, IADA dan juga kawasan luar jelapang padi. Keluasan sawah padi di Malaysia adalah 656,602 pada tahun 2008 menghasilkan 2.353 juta metrik tan padi telah pun meningkat kepada 673,746 hektar menghasilkan 2.548 juta metrik tan padi pada 2010. Tanaman Kelapa (Cocos nucifera) mengalami pengurangan keluasan dari 111,926 hektar (2008) kepada cuma 110,000 hektar (2010) tetapi pengeluaran kelapa meningkat dari 455,000 mt kepada 528,000 mt. Keluasan Tanaman Nenas (Ananas cosmosus) juga meningkat dari 15,586 ha (2008) kepada 17,601 ha (2010) begitu juga hasilnya dari 385,000 mt kepada 416,000 mt.


Buah-buahan di Malaysia juga mengalami 'trend' keluasan yang meningkat iaitu dari 264,814 ha (2008) kepada 298,429 ha (2010) begitu juga pengeluaran dari 1.59 juta mt kepada 1.767 juta mt. Pengeluaran buah-buahan utama seperti durian, betik, nenas, tembikai, pisang dan belimbing serta beberapa jenis utama untuk pasaran domestik dan ekspot. Tanaman Sayur-sayuran juga meningkat dari 37,705 ha (2008) kepada 40,980 ha (2010) dengan pengeluaran daripada 490,963 mt kepada 534,370 mt. Tanaman sayuran hampir 46% dikeluarkan oleh Negeri Johor. Tanaman lain seperti Tanaman Kontan (12,360 hektar - Penghasilan 129,200 mt), Tanaman Herba (543 ha), Tanaman Rempahratus (5,013 ha) dan Bunga-bungaan (2,421 ha). Bilangan bunga keratan dihasilkan pada 2010 sebanyak 468.148 juta.


Populasi Lembu di Malaysia juga meningkat dari 871,900 ekor (2008) kepada 909,810 ekor (2010) sementara bagi Kerbau dari 131,230 ekor kepada 130,090 ekor pada tahun yang sama. Penghasilan daging kedua-dua ternakan tersebut adalah sebanyak 38,250 mt dan meningkat kepada 46,500 mt. Populasi Kambing pada 2010 sebanyak 537,670 ekor sementara Bebiri pula sebanyak 128,070 ekor dengan penghasilan daging sebanyak 2,390 mt. Ternakan Babi sebanyak 1.710 juta ekor dengan penghasilan daging sebanyak 234,000 mt.


Ayam daging merupakan satu industri penting sektor ternakan negara dengan sebanyak 158.71 juta ekor menghasilkan sebanyak 1,295.60 juta mt daging ayam pada 2010. Malaysia merupakan pengeluar utama ayam daging untuk pasaran domestik dan sebahagian lagi untuk ekspot. Bagi Ayam Penelur terdapat sebanyak 49.71 juta ekor pada 2010 dengan pengeluaran telur sebanyak 9,826 juta biji atau 540,400 mt. Jika dibuat perbandingan ayam penelur cuma sebanyak 45,34 juta ekor sahaja dengan penghasilan 8,715 juta biji telur pada 2008. Bilangan Lembu Tenusu di Malaysia masih kecil iaitu cuma 37,020 ekor sahaja dengan pengeluaran susu segar sebanyak 67.0 juta liter sahaja pada 2010. Sektor lembu tenusu masih perlukan penekanan bagi meningkatkan penghasilan susu dalam Malaysia. Sebahagian besar keperluan susu di Malaysia adalah diimpot dari luar negara.


Industri terkini yang menjadi 'kegilaan' ramai ialah Industri Burung Walit. Industri ini telah berkembang dengan begitu pantas dimana tahun 2010 sahaja direkodkan terdapat sebanyak 6,050 premis dikenalpasti yang melibatkan sebanyak 3,750,000 buah sarang. Penghasilan produk burung walit dilaporkan sebanyak 30,000 metrik tan dan kalau purata harga sarang burung ialah RM 4,500 - RM 6,000 sekilogram...agak-agak berapa nilai pengeluaran industri ini... kasarnya RM 1.8 billion! Industri ini mendapat perhatian khusus dari PM dalam pembentangan bajet dulu. Sesiapa yang ada minat, ada modal, ada kawasan sesuai boleh dapatkan ilmu dengan berkursus dan menjadi usahawan burung walit.


Dalam sektor perikanan pula, Malaysia dikelilingi oleh laut dimana sepatutnya mengandungi sumber ikan yang banyak untuk dimajukan. Terdapat seramai 125,650 orang nelayan yang ddaftarkan diseluroh negara yang telah mendaratkan ikan sebanyak 1,223.52 juta mt pada 2010. Statistik menunjukkan sebanyak 311,730 mt didapati daripada Laut Dalam bernilai RM 1,296 juta dan sebanyak 911,780 mt dari Laut Pantai bernilai RM 4,372.81 juta. Sektor Ternakan Akuakultur pula melibatkan seramai 30,634 orang penternak pada 2008 tetapi menurun kepada cuma 23,986 orang pada 2009. Penternakan Ikan Air Tawar menghasilkan 89,470 mt bernilai RM 423.54 juta sementara Penternakan air Payau/ Masin menghasilkan 170.84 mt bernilai sebanyak RM 871.91 juta. Perternakan air payau kebanyakannya adalan spesis udang (Udang Harimau) dan juga ikan siakap.


Dalam tahun 2011 diharap sektor pertanian negara akan terus berkembang dengan peningkatan hasil pengeluaran dan tahap harga yang sesuai. Bencana alam mungkin akan menjejaskan produktiviti disamping gangguan serangan penyakit dan perosak. Sama-sama kita berdoa agar bencana tidak akan menjejaskan sektor pertanian negara.


SEKTOR PERTANIAN...NADI PEMBANGUNAN.....
TANAMAN MAKANAN...MESTI DIUTAMAKAN....
SEKTOR TERNAKAN....PERLU DIKEKALKAN...
SEKTOR PERIKANAN...JANGAN DITINGGALKAN...


Related articles:
1. Industri Benih Malaysia (Klik disini)
2. Petani di Malaysia (Klik disini)
3. Industri Perikanan di Malaysia (Klik disini)
4. Industri Ternakan Ayam di Mlalaysia (Klik disini)
5. Industri Ternakan Babi di Malaysia (Klikk disini)
6. Industri Ikan Akuarium di Malaysia (Klik disini)
7. Industri Bunga di Malaysia (Klik disini)
8. Lembu Bali (klik disini)


By,
M Anem
Nak sarapan jap lagi..
Melaka
Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...