Support My Blog

Friday, January 28, 2011

Infrastruktur Ladang

INFRASTRUKTUR LADANG merupakan satu perkara yang perlu dibincangkan dalam perancangan untuk membuka kawasan baru ladang atau kebun pertanian. Infrastruktur Ladang adalah keperluan asas yang perlu disediakan semasa kerja-kerja penyediaan ladang atau selepas itu. Kos pembangunan ladang yang terbesar adalah komponen infrastruktur ladang seperti penyediaan teres , jalanladang, kolam pengairan, perparitan, sistem pengairan ladang, rumah pekerja, bangunan pejabat, bangunan setor, Pagar Ladang, jambatan, Pembentong, Pintu ladang, Pusat Pengumpulan, Rumah Kalis Serangga, Bilik Sejuk dan berbagai lagi.


Saya menulis artikel mengenai penyediaan infrastruktur ladang ini berdasarkan pengalaman saya dalam membuka beberapa Projek TKPM di Johor seperti TKPM Sri Pantai, di Mersing, TKPM Sekijang di Segamat, TKPM Kluang di Batu Pahat dan TKPM Pagoh di Muar dan pengalan berrsama rakan2 Pengurus Estet di Sarawak membuka Estet Kelapa sawit milik Tabung Haji, Tradewind Group dan beberapa syarikat perladangan lagi.


1. Teres

Teres adalah kerja-kerja memotong lereng bukit atau tanah bercerun bagi membolehkan kerja-kerja penanaman dapat dijalankan. Teres perlu dibuat dikawasan tanah berbukit yang melebihi kecerunan 6 darjah dengan membina Teres bangku, Tapak Pentas berselang Teres atau membina Tapak Pentas. Pengalaman saya di TKPM Sekijang yang menanam buah-buaha (Jambu batu, Cempedak, Limau) membina teres bangku dengan lebar 3.67 meter - 4.28 meter. Lazimnya sifir bagi membina teres bangku ialah sepanjang 1,11 meter setiap hektar. Kecuraman bagi teres bangku hendaklah lingkungan 5-10 darjah kearah bukit. Ini membolehkan aliran air lancar dan tidak bertakung diatas teres bangku. Anggaran kos membina ters ini lingkungan RM 80 - 250 serantai (Harga mengikut lokasi dan keadaan kawasan).

Teres tapak pentas yang berselang dengan teres bangku lazimnya dibina untuk lebar 3 meter dimana teres tapak pentas adalah mempunyai kelebaran 2 meter. Dalam 1 hektar perlukan 555 meter teres ini untuk dibina. Kaedah ini dijalankan bagi kawasan yang agak lebih curam dan memudahkan kerja menanam dan amalan pengurusan agronomi. Bagi teres pentas perlu dibina mengikut kecuraman melebihi 6 darjah. Teres pentas perlu ditanam dengan tumbuhan penutup bumi bagi mengelakan hakisan yang teruk.


2. Jalanladang

Pembinaan jalanladang adalah sangat penting didalam penyediaan kebun tanaman. Perancangan rapi perlu dibuat agar jalanladang yang hendak dibuat tidak melibatkan kos yang tinggi kerana memerlukan tambakan tanah, pembinaan jambatan atau pembentung yang banyak. Pilih laluan yang agak tinggi, tidak berpaya, tidak melalui cerun , tanah yang rata, tanah rizeb jalan serta kontraktor yang berpengalaman. Jalanladang lazim berukuran 8 -10 kaki lebar di turap dengan tanah merah atau batu chipping. Sebaiknya kiri-kanan jalanladang di bina parit untuk menyalurkan air dan mengukuhkan struktur jalan. Jika tiada parit ditepi jalan ladang akan cepat merosakan jalanladang terutama pada musim hujan apabila air mulai bertakung dan tanah menjadi lebik dan kenderaan akan terbenam. Hakisan di permukaan jalanladang dapat dikurangkan jika ada parit.


Jalanladang perlu diselenggara mengikut tahap kerosakkan. Penyelenggaran dengan menurap semula, membaiki kawasan lopak air dan membina parit tepi jalan pelu dijalankan. Jika keadaan jalanladang rosak teruk boleh menjejaskan proses menghantar bahan input tanaman seperti baja, tahi ayam, jentera ladang, minyak pam air dan juga mengeluarkan hasil-hasil pertanian keluar. Pengalaman penulis mendapati kos pembinaan jalanladang di johor dan Melaka sekitar RM 400 - RM 1,000 setiap 1 rantai (60 kaki). Kos bergantung kepada kedudukan jalan (Jauh atau dekat dengan jalan sedia ada), Kuantiti panjang jalan, sumber bekalan tanah merah dan jumlah jambatan / culvert yng akan dibina.


3. Parit Ladang

Pait ladang dibina untuk membekalkan air kedalam ladang dan yang utama adalah untuk menyalirkan air keluar dari ladang. Parit ladang dibina di keliling ladang, ditengah-tengah ladang atau dimana-mana sahaja dalam ladang yang penting mengikut kontour permukaan tanah. Parit yang di gali mesti mempunyai aliran air yang betul dan tepat. Saiz parit ladang bergantung kepada tujuan parit tersebut dibina. Bagi saliran (drainage), Parit Besar atau Parit Utama berukuran 7 kaki x 4 kaki x 4 kaki, Parit Tengah/Sederhana berukuran 4 kaki x 3 kaki x 3 kaki dan Parit Racik berukuran 3 kaki x 2 kaki x kaki. Kerja menggali parit kini menggunakan mesin JCB atau yang setaraf dengannya. parit ladang mesti bersambung dengan anak sungai atau sungai utama untuk menyalirkan air.

Parit ladang juga diselenggara mengikut jadual. Kegagalan menyelenggara parit ladang boleh menyebabkan potensi kawasan tanaman trjejas akibat air bertakung atau berlakunya banjir. Terdapat satu jenis parit ladang yang di gali disekeliling ladang yang lebarnya 7 kai berfungsi sebagai pagar. Parit ini mengelakkan haiwan seperti Lembu, Kambing, babi Hutan dan manusia memasukan kawasan ladang.

4. Kolam

Kolam merupakan sumber bekalan air untuk tanaman selain daripada sungai, tasek atau paya. Bagi kawasan penanaman sayur-sayuran perlu di bekalkan sumber air dan lazimnya kolam merupakan pilihan terbaik. Tapak untuk menggali kolam perlu dikenalpasti berpotensi untuk membekalkan air ke kebun terutama di waktu musim kemarau. Kawasan rendah, berpaya dan berhampiran punca air di gali menggunakan mesin JCV atau Kobe atau RB mengikut saiz yang diperlukan. Lazimnya kolam berukuran 100 kaki x 50 kaki mampu membekal air untuk 20-30 hektar kebun sayur atau buah-buahan. Pengalaman penulis mendapati kos membina satu kolam lingkungan RM 20,000 (Kolam Besar), RM 10,000 - RM 15,000 (Kolam sederhana - 20 kaki x 60 kaki) dan RM bawah RM 10,000 bagi kolam kecil (20 kaki x 20 kaki).


Kolam juga perlu diselenggara apabila terlalu cetek dan saluran air masuk atau keluar tidak berfungsi. Kualiti air perlu sentiasa di periksa bagi mempastikan ianya sentiasa bersih, tidak tercemar dan boleh digunakan mengairkan. Elakkan menggunakan air kolam dalam ladang kebun sayur untuk minuman ppekerja ladang kerana mungkin boleh menjejaskan kesihatan.

5. Sistem Pengairan

Sistem pengairan merupakan komponen penting dalam penanaman tanaman makanan terutama sayur-sayuran dan beberapa jenis buah-buahan terpileh. Komponen sistem pengairan adalah Pam Air, Injin Pam air, Penapis, Penyalur Utama (HDPe atau PVC), Penyalur Secondary (HDPE/PVC), Penyembur, Tangki air, Emmiter, Sprinkler Gun dan sebagainya. Bagi tanaman sayuran perlu dipastikan jenis sistem digunakan sama ada Sistem Pengairan Renjis (Sprinkler), Sistem Pengairan Kabus (Mist), Sistem Pengairan Titis (Drip Tape), Sistem Banjir (Furrow) dan lain-lain sistem lagi. Pemasangan sistem perlu di rekabentuk agar semua tanaman dapat bekalan air yang mencukupi. Penyelenggaraan sistem pengairan perlu dijalankan mengikut jadual.


6. Pagar Ladang

Kawasan ladang perlu di pagar bagi mengelakan gangguan dari manusia, binatang ternakan atau haiwan liar yang boleh memusnahkan tanaman tau merosakan tanamman. Pagar di bina di kawasan-kawasan kritikal dimana ada kemungkinan pencerobohan akan berlaku. Pagar menggunakan 'Chain Link' atau Kawat duri/mata Punai atau Kayu Pancang atau Parit Ladang. Bagi kawasan kebun yang berdekatan dengan potensi kecurian perlu dipasang pintu ladang dan kawalan keselamatan untuk mengelakan sebarang kecurian dan gangguan.


7. Rumah Kalis Serangga

Rumah Kalis Serangga atau Struktur Pelindung Hujan (SPH) merupakan infrastruktur yang menjadi trend masa kini dan di minati ramai usahawan. Rumah ini sering digunakan untuk tapak semaian atau penanaman tanaman bernilai tinggi seperti tomato ceri, melon, capsicum secara fertigasi. Anggaran kos pembinaan satu unit rumah kalis seranngga lengkap sekitar RM 15,000 -RM 20,000 yang berukuran 20 kaki x 100 kaki. Kadar pembinaan bagi 1 hektar dianggarkan lingkungan RM 700,000. Rumah ini memberikan jaminan pengeluaran yang baik jika di jaga dengan sempurna dan mengikut amalan pertanian baik.


8. Pejabat Ladang

Pejabat Ladang dibina untk kakitangan ladang menguruskan ladang. Saizz dan kos pejabat ladang brgantung kepada jenis perladangan dijalankan dan saiz urusniaga. Pejabat ladang perlu mempunyai kemudahan komunikasi (talipon), Letrik, air Bersih, bilik Pengurus, Komputer, Penghawa Dingin, Tandas, Kantin dan sebagainya. Terdapat pengurus yang menggunakan KONTENA untuk pejabat ladang kerana murah, boleh di pindahklan dan tahan lama.


9. Setor Ladang


Setor Ladang perlu disediakan bagi menyimpan input pertanian seperti baja, racun, benih, peralatan ladang, minyak, benih, bakul, alatganti, plastik dan macam-macam lagi. Setoe ladang adalah satu keperluan bagi satu ladang untuk mendapatkan Akteditasi Persojilan Ladang Baik Malaysia (SALM dan SOM). Setor mesti mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti berkunci, mempunyai ruang pengudaraan, pemisahan antara ruang racun, ruang baja dan ruang gperalatan/perkakas ladang. Papan tanda perlu dibuat di pintu masuk seto mengenai aspek keselamatan dan tatacara menguruskan setor dengan sempurna. Sebuah setor berukuran 20 kaki x 20 kaki dianggarkan berharga RM 10,000 - RM 15,000.


10. Pusat Pengumpulan Hasil

Pusat Pengumpulan Hasil (PPH) perlu disediakan ndi lokasi terpilih bagi kemudahan untuk mengumpulkan hasil, membuat grading, membersih, membungkus dan packaging center. Pusat Pengumpulan Ladang mempunyai bumbung, lantai konkrit, kemudahan bekalan air untuk membersih, para untuk membuat grading dan kemudahan letri serta alatan timbang. Ketinggian lantai perlu disesuaikan dengan ketinggian lantai lori untuk memundahkan kerja-kerja memunggah (loading) hasil ladang kedalam lori.


11. Rumah Pekerja

Ladang tanaman makanan khususnya sayur-sayuran memerlukan tenaga pekerja ladang dengan kadar 4 orang sehektar (Sayur daun) dan bagi buah-buahan lingkungan 1-2 orangg sehektar. Rumah pekerja ladang perlu disediakan dengan keperluan minima satu bilik, kemudahan air, letrik, tandas dan sebagainya. Jika rumah pekerja berada didalam ladang akan memudahkan pengurusan ladang terutama jika kera-kerja lebihmasa diperlukan. Rumah pekerja dianggarkan lingkungan RM 15,000 - RM 25,000 satu unit.


12. Jambatan dan Pembentong

Jika kawasan l;adang yang hendak dibuka terletak dikawasan yang perlukan membina jambatan maka kos tersebut perlu dikira dan disediakan. Jambatan kayu selebar 10 kaki dengan panjang 30 kaki menyeberangi anak sungai perlukan belanja RM 10,00 - RM 20,000 bergantung kepada bahan digunakan (Konkrit, kayu atau bahan buangan). Jambatan dalam kebun juga diperlukan bagi merentasi anak2 sungai. Jika boleh pasangkan pembentong mengikut saiz yang sesuai. Pembentung garispusat 6 kaki, 5 kaki, 4 kaki dan 3 kaki garispusat digunakan mengikut saiz parit. Lazimnya 3 unit pembentung dipasang untuk laluan kenderaan dan trektor. Pastikan kaedah pemasangan pembentung betul untuk air dalam parint dapat mengalir ikut arus (jangan tergantung).


13. Bekas Simpanan Air

Bekas simpanan air dalam ladang seperti Kulvert Simen 'Half-Cut'atau Tong Drum diletakkan ditempat-tempat strategik dan diletakkan sekeping zink untuk menahan air hujan. Air ini akan digunakan bagi membekalkan air untuk kerja-kerja meracun rumpai terutama di ladang kelapa sawit dan getah. Jika kawasan ladang tidak mempunyai bekalan air bersih, tong ini bolleh digunakan oleh pekerja untuk menahan air hujan bagi tujuan domestik.


14. Jentera Ladang

Jentera Ladang diperlukan bagi membantu meringankan kerja-kerja diladang. Antara jentera ladang adalah seperti trektor, rotovator, treller, Pam air, tresher dan lain-lain perla disediakan. Jentera ladang boleh dibeli darijenis baru atau jenis yang second-hand. Pastikan terdapat alat ganti yang bolehh didapati berhampiran lokasi ladang.


15. Peralatan Ladang

Peralatan Ladang penting bagi membantu petani dan pekerja menjalankan kerja ladang. peralatan ladang seperti cangkul, kereta sorong, baldi, Guning, Scateurs, Knapsack sprayer, boom Sprayer, HPS (High Power Sprayer) Gergaji, Water Hose, Bakul dan sebagainya perlu sentiasa dalam keadaan baik.


16. Bilik Sejuk

Sesetengah ladang ladang tanaman makanan mungkin memerlukan bilik sejuk untuk menyimpan hasil-hasil tanaman satau tujuan lain. Pembinaan bilik sejuk ini biasanya memerlukan kos yang sangat tinggi dan ini perlu dikongsi oleh beberapa pihak dan ramai petani. bilik ejuk akan meningkatkan kualiti hasil yng dikeluarkan daripada cepat rosak.



17. Pengangkutan Ladang (Lori)

Setiap usahawan dan ladang tanaman makanan (sayur2an atau buah-buahan) yang agak luas perlukan kenderaan pengangkutan bagi membawa masuk bahan input dan membawa keluar hasil ladang untuk di pasarkan. Lori 1 tan (second hand) dengan anggaran harga RM 10,000 - RM 20,000 menjadi pilihan petani sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini kerana lori tersebut ringan, brkuasa dan mudah untuk diuruskan.

18. Tempat Pelupusan Sisa Ladang

Kawasan untu melupuskan sisa ladang perlu disediakan di lokasi khas. kawasan ini perlu berjauhan dengan kawasan rumah pekerja dan pejabat atau kolam pengairan untuk mengelakkan berlakunya pencemmaran kualiti air, bau, keceriaan kebun dan juga jangkitan kuman kepada tanaman. Elakkan membiarkan sisa ladang tidak diuruskan dengan sempurna kerana ianya akan menjadi perumah kepada bakteria dan kulat di kawwasan kebun. Sisa kumbahan juga perlu di sedikan kolam rawatan khas jika boleh.

19. Makmal Ladang

Makmal ladang merupakan satu keperluan bagi ladang-ladang yang memerlukannya. Makmal akan digunakan untuk membuat analisa hasil atau apa-apa tujuan lain. Makmal memerlukan kos yang tinggi untuk disediakan yang melibatkan bangunan dan alatan serta bahan kimia ujian yang tertentu. Antara ujian makmal ladang seperti kesan sisabaki racun (MRL), kajian penyakit yang mudah diperiksa dan analisa daun.


20. Lain-lain Infrastruktur Ladang

Artikel diatas ditulis berdasarkan kepada pembacaan dan pengalaman penulis yang telah berkecimpong dalam bidang pertanian selama 30 tahun. Kebanyakan usahawan tani atau syarikat swasta yang ingin menceburkan diri dalam sektor pertanian perlu menjimatkan kos pembangunan awal untuk mempastikan kos operasi ladang untuk pembelian input pertanian dan upah pekerja mencukupi. Projek pembukaan ladang untuk tanaman makanan berbeza dengan pembukaan ladang untuk tanaman estet seprti Kelapa Sawit dan Getah yang telah dijanjikan sistem pasaran dan harga lebih terjamin. Tanaman makanan memerlukan infrastruktur yang terbaik untuk menghasilkan prduk dan hasil buah-buahan atau sayur-sayuran yang banyak, berkualiti, berterusan pengeluaran dan harga pasaran yang stabil. Bagi buah-buahan bermusim perlu berhati-hati dalam membelanjakan kos pembangunan awal kerana risiko adalah lebih tinggi.

Diharap para pembaca dapat maklumat yang berguna selepas membaca artikel ini. Terimakaseh.


INFRASTRUKTUR LADANG....SATU KEPERLUAN....
MESTI DIRANCANG...JIMATKAN PERBELANJAAN....
TINGKATKAN KECEKAPAN...TINGGIKAN KEUNTUNGAN...
HASIL LUMAYANAN...KURANGKAN BEBANAN HUTANG....


By
M Anem
Putrajaya
Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...