Support My Blog

Saturday, May 1, 2010

Cekur


Cekur (Kaempferia galangga) atau Kencur dalam bahasa Jawa di Johor merupakan sejenis herba dari keluarga Zingiberaceae iaiitu sama seperti tanaman halia dimana mudah ditanam dan subur di tanam di iklim tropika seperti Malaysia. Tidak ada rekod rasmi mengenai keluasan tanaman cekur di Malaysia tetapi saya anggarkan sekitar 40-50 hektar CHE. Saya mengenali tanaman cekur semasa kecil lagi dimana ianya ditanam di dalam pasu dan di kebun belakang rumah secara tradisional. Pokok cekur mempunyai daun lebar antara 4-7 cm dan panjang 5-12 cm berwarna hijau muda dan umbisi kecil seperti halia kecil. Daun dan umbisi / Rizom cekur mempunyai aroma atau bau yang kuat dengan warna umbisi kekuningan.

Cekur sesuai ditanam di keliling rumah dalam program "Bumi Hijau" yang dianjurkan oleh kerajaan. Benih cekur diperolehi dari pokok sedia ada atau beli rhizom dari pasar tani atau pasar biasa. Pastikan benih masih elok dan belum kering serta mempunyai tunas yang baik. Sebaiknya untuk ditanam dalam pasu atau dalam bekas khas (Kotak daripada tin atau plastik) yang diisikan dengan tanah campuran (3:2:1 - Tanah, pasir dan baja organan) serta mempunyai lubang air keluar. Masukkan benih 2-3 cm dalam tanah dan buat penyiraman. Bagi tanaman di kebun sebaiknya sediakan batas untuk elakkan dari takungan air. jarak tanaman antara 30 -60 cm bergantung kepada saiz batas. Kawasan kecil diperlukan untuk menanam cekur secara komersial. Belum ada rekod kawasan tanaman cekur secara meluas melebihi 1 hekar satu tempat.


Pembajaan tanaman cekur mudah iaitu dengan baja organik (tahi ayam proses) sama ada tanaman di dalam pasu atau pun dalam kebun. Baja 15:15:15 lingkungan 10 - 15 gm/pokok pada peringkat vegetatif serta baja NPK 12:12:17:2 apabila pokok hampir matang. Cabut rumpai dalam pasu dengan tangan dan elakkan daripada pokok cekur cedera ketika mencabut rumpai. Antara musuh tanaman cekur ialah serangan siput babi, siput kecil, belalang, cengkerik dan ulat makan daun (Spodoptera litura) . Kawalan disyorkan ialah dengan mengutip musuh jika ditanam dalam pasu. Penggunaan racun serangga tidak digalakan bagi tanaman cekur.

Cekur cepat berhasil seawal 3-4 bulan lepas tanam (Pengurusan yang baik) untuk kutipan hasil daun. Bagaimana pun umbisi cekur akan matang selepas 10-12 bulan. Penuaian dengan mencabut tanaman tersebut dari tanah dan bersihkan dari kotoran tanah. Satu rumpun tanaman cekur mempuntai lingkungan 6-7 helai daun dan kira-kira 50- 120 gram umbisi dari dalam pasu (saiz bergantung kepada saiz pasu dan pengurusan). Daun boleh terus digunakan di rumah tetapi untuk tujuan komersil hanya umbisi sahaja yang sesuai untuk di jual kerana tahan sehingga 30-45 hari. Harga jualan umbisi basah lingkungan RM 8.00 - RM 10.00 sekilogram di Muar dan Segamat.

Cekur sesuai digunakan untuk masakan Ala Jawa di sekitar Johor yang di kenali dengan nama "Masakan Pecel". Pecel ialah masakan ikan keli (Clarias blatrichus) di bakar atau dengan Daging Ayam Bakar. Bahan tersebut yang di masukkan dalam santan kelapa yang mengandungi ramuan cili api, belacan, bawang dan ramuan utama cekur yang ditumbuk lumat. Gaulkan dengan ikan keli dan santan dan panaskan atas api (jangan sampai mendidih) dan masukkan daun cekur yang telah dihiris halus kedalam ramuan. Makan dengan nasi panas yang lembut. Khasiat cekur ialah kandungan bahan2 berkhasiat seperti cineol, borneol, 3-carene, camphene, cinnmaldehyde, kaempherol, ethyl cinnamate, p-methoxycinnamic acid dan sebagainya. Ekstrak cekur digunakan sebagai 'repellent untuk jauhkan nyamok termasuk nyamuk aedes dan culex. Cekur yang dilumatkan juga dipercayai mampu mengubati sakit kulit.

Penanaman dan tabiat makan cekur merupakan satu aktiviti sihat yang perlu digalakkan. Surirumah hanya perlu satu kawasan kecil dalam pasu atau kotak untuk menanam cekur. Tanam cekur untuk kegunaan keluarga. Maklumat tanaman cekur boleh dipeolehi dari mana-mana pencapaian dan komunikasi alam maya.

Ikan Keli Bakar dengan Cekur jadi 'Pecel Lele' .. Enaknya.
ADA BAU SEDAP.... MACAM BAU CEKUR....
ADA MAKAN PECEL....IKAN KELI BAKAR....
ADA TANAM CEKUR ... DEKAT DAPUR....
ADA HASIL SEGAR... KITA BERSYUKUR...


Related articles:
1. Selom (Klik disini)
2. Ulam Raja (Klik disini)
3. Petai (Klik disini)
4. Jering (Klik disini)
5.. Tenggek Burung (Klik disini)

By
M Anem

Senior Agronomist,
Kg Parit Bengkok, Gerisek,
Muar, Johor
Malaysia
(Kemaskini pada 5 Jamadilakhir 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...