Support My Blog

Wednesday, May 12, 2010

Tanaman Asam Gelugor


Pokok Asam Gelugor (Garcinia atroviridis Griff) atau Asam Keping dari keluarga Gittriferae merupakan sejenis pokok nadir yang dipercayai berasal dari Malaysia. Pokok ini telah disebarkan kenegara-negara jiran seperti di Thailand, Indonesia, Filipina dan juga India. Maklumat berkaitan keluasan tanaman asam gelugor tidak ada yang dicatitkan oleh Jabatan Pertanian kerana kebanyakannya di tanam atau tumbuh di kebun secara bercampur dengan tanaman buah-buahan lain. Negeri-negeri utara semenanjung didapati mempunyai jumlah pokok lebih banyak seperti di Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah. Kajian penulis mendapati tidak ada maklumat rasmi mengenai keluasan tanaman asam gelugor di Malaysia tetapi dianggarkan sekitar 20-30 hektar. Terdapat juga pokok asam gelugor di kawasan hutan dan buahnya dikutip secara berkala oleh penduduk kampung berhampiran. Artikel kali ini penulis berkongsi maklumat mengenai teknologi tanaman asam gelugor berdasarkan pengalaman penulis selama 25 tahun dalam bidang pertanian.

Pokok Asam Gelugor merupakan sejenis pokok saka berbuah yang mempunyai akar tunjang dan mampu mencapai ketinggian sehingga 10-15 meter. Batangnya dari kayu keras dan mempunyai dan daun berwarna hijau gelap dengan permukaan atasnya berkilat. Bunganya mempunyai kelopak dan berwarna merah kekuningan (Gambar sebelah kanan) yang berada dihujung dahan. Buah asam gelugor berwarna hijau cerah ketika muda dan akan oren kekuningan apabila matang. Buahnya mempunyai biji keras dan mempunyai rasa yang sangat masam. Bentuk buah asam gelugor berbeza2 mengikut spesis iaitu ada yang bulat, oval dan bentuk oblong serta mempunyai ketak. Berat buah antara 100-700 gram sebiji dan mempunyai garispusat antara 6-11 cm. Buahnya mempunyak 12-16 ketak.


Pakej Teknologi Tanaman Asam Gelugor belum ada diterbitkan secara saintifik yang meliputi amalan agronomi dan pembiakbakaan. Kebanyakan pokok yang ada di keliling rumah adalah bercampur dengan buah-buahan lain diladang dan menerima baja serta amalann agronomi yang diberi adalah sama untuk pokok buah-buahan. Kebanyakan pokok sedia ada dianggap sebagai tanaman organik kerana boleh dikatakan jarang menggunakan bahan kimia. Pembajaan menggunakan baja NPK 12:12:17:2 dengan kadar 30-50 gram boleh dijalankan sebanyak 3 kali setahun. Perosak dan Penyakit tanaman ini belum di buat kajian secara saintifik. Kesan kemarau dan hujan yang berlebihan kadang-kadang menyebabkan kejadian buah gugur.


Buah Asam Gelugor (Gambar sebelah kiri) yang matang dituai dengan menggunakan galah buloh atau aluminium yang mempunyai pisau dan kantung. Ada juga yang memanjat pokok untuk kerja-kerja penuaian. Buah yang di kutip di kumpulkan dan dibersihkan. Untuk dijadikan asam keping , buah asam gelugor di hiris halus antara 3-8 mm ketebalan dengan pisau tajam. Hirisan akan disusun untuk dikeringkan menggunakan cahaya matahari atau alatan mesin pengering. Jika potongan asam keping dijemur perlu antara 7-12 hari sebelum cukup kering untuk dijual. Kajian penulis di Gemenceh, Negeri Sembilan mendapati asam gelugor segar (Dipanggil asam keping) dijual dengan harga RM 4.00 - RM 5.00 setiap 100 gram (Fresh).

Asam Gelugor yang dijual dengan nama ASAM KEPING (Foto sebelah) dan digunakan untuk bahan masakan bagi menambahkan rasa kemasaman dalam masakan. Antara masakan popular perlukan asam keping seperti masakan asam pedas, masak lemak cili api, masak singgang dan segala jenis masakan lain. Asam keping ini mengandungi bahan Asid Hydroycitric boleh menggantikan Asam Jawa (Tamarind). Pada masa ini ada yang menggunakan asam gelugor untuk jus minuman dan membantu mengurangkan kolesterol dalam badan serta berfungsi sebagai antioksidan yang baik.



Penanaman asam gelugor untuk menghasilkan asam keping perlu dibanyakkan lagi dengan penanaman secara komersil. Penanaman boleh menggunakan bijibenih dari buah yang cukup matang dan disemai dalam nurseri. Benih yang mempunyai ketinggian lebih sekaki ditanam dengan jarak 6m x 6m. Spesis yang ada di Malaysia adalah spesis tempatan yang akan menghasilkan buah selepas 6-7 tahun ditanam. Adalah wajar jika maklumat teknikal tanaman ini dikaji sama ada pada masa akan datang tanaman ini boleh dijadikan satu komoditi penting. 


ASAM JAWA...ASAM GELUGOR....
BILA KERING ...JADI ASAM KEPING.....
SENANG DITANAM... POKOK SUBUR.....
BADAN GEMOK...BOLEH KURUS KERING...

Related articles:
1. Asam Jawa (Klik disini)
2. Belimbing Buloh (Klik disini)
3. Cermai (Klik disini)
4. Cermai Belanda (Klik disini)
5. Roselle (Klik disini)


By
M Anem
MELAKA
MALAYSIA
Pernah bincang dengan Mak Cik Rahmah di Gemas, Negeri Sembilan pada tahun 2001 berkaitan pokok asam Gelugor di rumahnya. Beliau menjual asam keping segar dan sayur kampung di Pasar Tani Gemenceh, Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...