
JAMBU BATU (Psidium guava) merupakan sejenis buah daripada keluarga Myrtaceae yang popular di Malaysia terutama di sekitar tahun 80'an di Perak sebagai satu komoditi utama. Pada masa itu jambu batu ditanam diatas tanah mineral atau tanah pasir bekas lombong di sekitar Bidor Daerah Batang Padang, Perak. Kini tanaman Jambu batu ditanam diseluruh negara dengan beberapa negeri utama seperti Johor, Selangor dan Pahang. Di Negeri Johor seluas 409 hektar jambu batu ditanam tahun 2012 dengan Daerah Muar direkod menanam 241 hektar (60% dari keluasan Johor) dengan anggaran pengeluaran sebanyak 8,000 mt/tahun. Jenis yang popular ditanam di Muar ialah GU 8 atau dipanggil Kampuchea oleh petani tempatan. Terdapat 2 bentuk buah iaitu Oval dan bulat. Jabatan Pertanian telah mendaftar sebanyak 15 jenis Klon Jambu Batu pada tahun 2005 iaitu dari Klon GU 1 sehingga Klon GU 15 dimana Klon GU 1-GU 11 adalah klon jambu batu berbiji dan Klon GU 12- GU 15 jambu tanpa biji. Jabatan Pertanian mengesyorkan cuma Klon GU 8 ,Klon GU 9 dan GU 10 (Berbiji) dan tidak mengesyorkan semua jenis jambu tanpa biji atas kestabilan pokok tersebut dan pakej teknologi yang tak lengkap. (Foto jambu tanpa biji di bawah). Artikel kali ini saya menulis pengalaman saya dalam "Anim Agro technology" mengenai beberapa teknologi berkaitan dengan penanaman jambu batu secara komersil berdasarkan pengalaman, penelitian dan penglibatan pada projek TKPM tanaman jambu batu.
.jpg)
Penanaman jambu batu memerlukan kawasan terbuka terhadap cahaya metahari dimana kerja-kerja penyediaan kawasan tanaman dibuat 1 minggu sebelum menanam dengan memebersih, membakar, membajak. Seterusnya kerja-kerja menyediakan kemudahan jalanladang, sistem pengairan, parit ladang, setor dan lain2 infra. Penanaman dibuat dengan menggunakan benih berkualiti yang bebas dari penyakit terutamanya bebas nematod dengan kadar sebanyak 625 pokok sehektar. Jarak penanaman disyorkan ialah 4 m x 4 m segi empat sama dan pastikan setiap pokok mendapat sumber bekalan air. Lubang penanaman 30cmx30cmx30cm dibuat dan dibubuh baja asas Organan (5kg/lubang), Kapor (150 gm/lubang) dan Baja Fosfat (250 gm/lubang). Sungkupan rumput kering atau guni atau plastik hitam disyorkan pada pangkal pokok. Kayu pancang diletak dekat pokok untuk pastikan barisan yang tepat dan memudahkan kerja-kerja pemantauan. (Foto di bawah -Jambu Klon Kampuchea (GU 8) yang di tanam di Kawasan Sengkang, Muar, Johor).
Buah matang yang ditanda warna akan dituai dengan menggunakan gunting atau scateurs dengan tangkai dibiarkan 10 mm panjang dan diasingkan untuk dibuat grading. Grade A (400 gm/biji), Gred B (350-399 gm/biji) dan Gred C (300-349 gm/biji) dan bakinya lain2 gred diasingkan mengikut bakul. Asingkan gred yang rosak dan 'reject' untuk digunakan dalam produk proses. Buah-buah hendaklah dihantar ke pemborong atau pembeli dengan segara untuk mengekalkan kesegarannya dan boleh disimpan dalam bilik sejuk. Perosak tanaman jambu batu yang kritikal ialah serangan NEMATOD (Meloidogyne incognita) yang mampu untuk memusnahkan keseluruhan tanaman jambu batu jika tidak dikawal. Nematod menyebabkan akar menjadi bengkak dan pecah-pecah yang mengakibatkan pokok tidak segar dan terbantut, buah menjadi kecil dan kulit batang mengelupas dan akhirnya 'hidup segan mati mau..'. Kawalan dengan menggunakan bahan tanaman yang bebas nematod (elakkan anakbenih yang ada tanah dari kawasan yang pernah diserang nematod) dan kawalan kimia dengan carbofuran atau fenamiphos (Racun Nemacur).


Kajian penulis untuk analisa ekonomi tanaman jambu mendapati dengan purata anggaran hasil sebanyak 50 mt/ha mampu memberikan pendapatan kasar RM 30,000/ha/tahun padan tahun ke 3-5 keatas pada purata harga ladang RM 0.60/kg (Biasanya harga sekitar keparas RM 0.80/kg) di Daerah Muar bagi gred B dan A. Kos Pengeluaran jambu batu dicatitkan sebanyak RM 16,700/ha/tahun dan ini menjadikan keuntongan bersih RM 13,300/ha/tahun atau kira-kira RM 1,108 sebulan/ha. Anggaran harga pengeluaran setiap kilogram buah sebanyak RM 0.33 dan pulangan setiap ringgit dilaburkan bernilai RM 1.79. Penanaman jambu batu memang menguntungkan jika kebun tidak diserang perosak terutamanya nematod yang merupakan faktor utama kegagalan tanaman jambu batu.
JAMBU BATU...HIJAU WARNANYA...
MACAM KERAS...BAIK KHASIATNYA ...
PERLU TANAM.. BENIH ADA DIMANA...
VARIETI ... RUJUK DENGAN SIAPA...
ADA NEMTOD ...ROSAK AKIBATNYA...
Oleh:
M Anem
Senior Agronomist,
TKPM Sekijang, Segamat,
Johor, Malaysia.
(Kemaskini pada 21 Januari 2014)