Support My Blog

Wednesday, January 25, 2017

PENYAKIT TANAMAN NENAS

NANAS (Ananas comosus) adalah tanaman industri yang penting di Malaysia dImana Malaysia ada tersenarai dalam 11 buah negara pengeksport nanas segar utama dunia. Ini berkait dengan tanaman nenas terutama varieti baru MD2 yang mendapat pasaran domestik dan eksport semenjak ia diperkenalkan slepas beberapa varieti nenas lain seperti Nenas Morris, Nenas Gandul, Nenas N36, Nenas Josapine, Nenas Maspine, nenas Morris Gajah dan Nenas Yankee. Anda boleh membaca banyak tulisan saya mengenai varieti nenas dengan membacanya (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan beberapa lagi. Namun bukan mudah untuk mendapatkan buah nenas berkualiti kerana akan sering berlaku serangan beberapa penyakit ke atas tanaman itu. Pemerhatian penulis blog dibanyak lokasi penanaman nenas mendapati serangan penyakit adalah di antara faktor yang mengekang akan perkembangan industri nanas di negara ini. Kini serangan beberapa penyakit nenas adalah antara faktor yang mengekang perkembangan industri nanas di negara ini.
Kawasan tradisi utama tanaman nenas adalah di Negeri Johor terutama dikawasan tanah gambut. Walau bagaimana pun industri tanaman nenas negara kini telah berkembang ke Selangor, Pahang, Perak, Kedah dan Sarawak dengan pesat terutama untuk beberapa varieti baru nenas. Kita di Malaysia beruntung kerana negara kita merupakan salah satu negara menanam nenas dengan keluasan sebanyak 16,850 hektar pada tahun 2015 yang menghasilkan sebanyak 416,100 metrik tan (Sumber: Laporan statistik tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia). Kawasan penanaman nenas terbaru dengan luas kini terdapat di Rompin, Pahang dibawah projek RIPI kerjasama ECERDC, LPNM dan Jabatan Pertanian dengan keluasan lebih 1,200 hektar disatu kawasan luas berbanding dengan penanaman selebihnya oleh pekebun kecil sahaja. Buah nenas telah diperdagangkan dipasaran dunia dalam 3 jenis yang utama iaitu dalam bentuk SEGAR, KALENG (Dalam tin) dan JUS. Malaysia merupakan salah satu negara didunia yang mengekspot nenas dalam ketiga-tiga bentuk tersebut dan menduduki tangga ke 9 dalam kedudukan pengekspot nenas didunia. Laporan mendapati Singapura merupakan destinasi utama pasaran nenas segar Malaysia diikuti dengan negara-negara Timur Tengah dan beberapa negara lain. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" maklumat beberapa pebyakit utama tanaman nenas yang dilaporkan oleh akhbar tempatan dan ditulis semula oleh penulis blog sekadar untuk dijadikan bahan rujukkan anda.

Dalam beberapa tinjauan didapati diantara penyakit utama tanaman nanas di Malaysia adalah seperti Penyakit Reput Teras Bakteria (bacterial heart rot) dan Buah Hantu (fruit collapse) yang disebabkan oleh sejenis bakteria penyebab yang dikenali dengan Erwinia chrysanthemi (ia adalah sinonim dengan Dickeya spp.). Bagi jenis penyakit reput teras pula jenis kulat yang menjadi punca serangan adalah patogen Phytophthora (Phytophthora heart rot) yang disebabkan oleh jenis kulat iaitu Phytophthora spp. yang mudah menyerang tanaman nenas. Penyakit reput teras bakteria dan penyakit buah hantu boleh menjangkiti pada semua peringkat pertumbuhan nanas daripada anak semaian, vegetatif hingga peringkat buah. Namun selalunya penulis dapati dimana pokok nenas yang berumur empat hingga lapan bulan adalah lebih rentan (susceptible) kepada jangkitan bakteria ini. Penyakit nenas ada yang agaj sukar dikesan kerana simptom jangkitan penyakit reput teras kulat Phytophthora menyebabkan reput basah dengan sempadan nyata antara tisu rosak dan sihat pada bahagian pangkal daun nanas. Jangkitan bakteria ini pada tanaman nanas di ladang sukar dikesan dengan mata kasar kerana ia tidak menunjukkan simptom jangkitan serangan sehingga perumah itu menjadi lemah ataupun apabila buah nanas telah masak.

Daripada beberapa temubual dengan penanam nenas penulis dapati antara beberapa faktor yang menggalakkan penyebaran penyakit reput teras bakteria tersebar adalah melalui angin, air hujan dan serangga perosak seperti semut serta kumbang (Sila lihat foto disebelah). Selain daripada itu, bakteria ini juga boleh hidup pada rumpai dan sisa tanaman yang dibiarkan serta tidak dibersihkan di ladang nanas. Pada penelitian yang dijalankan lazimnya penyakit reput teras kulat akan menyerang semua peringkat umur tanaman nanas. Pokok nanas berumur tiga hingga empat bulan lebih rentan kepada jangkitan penyakit kulat ini. Serangan kulat ini akan bermula daripada akar dan seterusnya merebak ke batang serta daun. Jangkitan kulat patogen lebih mudah berlaku di ladang yang mempunyai saliran kurang baik dan pada suhu persekitaran yang rendah. Kulat boleh disebarkan melalui air, peralatan pertanian dan masuk ke dalam pokok serta akan menjangkiti tisu melalui luka dan bukaan melalui liang stoma. Sebenarnya terdapat juga penyakit-penyakit lain yang boleh menyerang tanaman nanas terutamanya pada peringkat buah seperti fruitlet core rot, interfruitlet corking leathery pocket yang disebabkan oleh kulat Penicillium funiculosum.

Seterusnya pada tanaman nenas mungkin berlaku serangan Ppenyakit Butt rot, Black rot, White leaf spot dan Thielaviopsis soft rot yang disebabkan oleh kulat Thielaviopsis paradoxa serta penyakit Culvularia fruit rot oleh kulat Curvularia eragrostidisPengurusan penyakit dan perosak tanaman nanas yang efisien adalah melalui pendekatan pengurusan perosak bersepadu (PPB) yang menitikberatkan amalan pertanian serta pengurusan ladang baik yang perlu dilaksanakan daripada peringkat sebelum dan awal penanaman sehinggalah ke peringkat pasca tuai. Pengurusan perosak bersepadu bagi tanaman nenas jika dilakukan memberi penekanan kepada gabungan semua teknik kawalan bersesuaian yang mesra alam dengan mengambil kira faktor ekologi, biologi dan amalan agronomi iaitu sains pertanian yang berkaitan dengan pengelolaan tanah untuk menghasilkan tanaman. Amalan agronomi sebelum penanaman nenas dengan mempastikan pemilihan kawasan penanaman yang sesuai seperti saliran yang baik dan kawasan yang tidak terlalu lembap. Kejadian penyakit reput teras bakteria lebih tinggi di kawasan tanah mineral berbanding tanah gambut. Sebaiknya disyorkan penggunaan sulur atau benih tanaman yang bebas daripada penyakit. Oleh itu semasa penanaman pastikan dijalankan sanitasi ladang dan amalan pertanian baik. Pokok nenas yang telah dijangkiti mesti dibuang dan dimusnahkan segera untuk mengelakkan jangkitan merebak ke pokok yang sihat. Penggunaan peralatan ladang perlu dibasmi kuman menggunakan larutan disinfektan seperti clorox untuk mencegah jangkitan dan sebaran penyakit melalui kecederaan fizikal (luka). Mengenai sistem penanaman pula sebaiknya diilakukan kaedah tanaman giliran dimana amalan ini adalah alternatif yang baik untuk memastikan sumber inokulum patogen tumbuhan ini dapat dikurangkan di ladang. Seterusnya lalukan pemantauan kerap kejadian penyakit , Ia perlu dijalankan dengan kerap secara berkala untuk mengesan penyakit pada peringkat awal dan seterusnya tindakan pengurusan penyakit dapat diambil dengan cepat dan berkesan. Semuga tulisan subuh ini dalam blog anim agro memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!.

PENYAKIT NENAS... APA DIA...
PERLU DILIHAT... DAN PERIKSA...
BUAT RAWATAN...KALAU JUMPA...
NENAS BERKUALITI...GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Nenas Sg Miang,
Pekan, Pahang,
Malaysia.
(29 RabiulAkhir 1438H)

Tuesday, January 24, 2017

KUIH KOCI

KUIH KOCI merupakan sejenis kuih tradisional yang popular dan amat digemari di Malaysia, Indonesia, Brunei dan juga Singapura. Saya kenal akan kuih koci ini semenjak kecil kerana ia sering dihidangkan didalam majlis keramaian seperti kenduri kahwin, baca yassin malam jumaat, kenduri arwah dan sebagainya. Kuih koci ini agak berbeza dengan kuih tradisional yang lain kerana ia dibungkus dalam bentuk 'kon' yang cantik macam piramid walau pun ada bentuk lain. Kuih ini diperbuat dari tepung pulut dan mempunyai inti kelapa manis bercampur gula Melaka di dalamnya. Di Malaysia kuih koci dibuat untuk maknan sendiri atau untuk jualan. Saya masih terfikir sejenak bagaimana kuih koci ini mendapat nama. Hipotesis saya mengatakan mungkin juga kuih ini berbentuk 'KON' dan kemudian ia dilipat sebagai ikatan atau 'DIKUNCI' lalu digabungkan menjadi Kuih 'KOCI'. Dalam pengalaman saya bersama penduduk kampong dulu, ada kisah menarik menganai kuih koci ini yang amat mengelikan. Pak Abu merupakan seorang tua yang sangat suka makan kuih ini tetapi satu hari kecoh satu kampong kerana gigi palsunya tertelah bersama kuih koci yang melekit. Artikel malam Jumaat sambil melihat kesibukan kereta yang semakin kurang melalui Jalan Istana dari tingkat 10 Hotel Best Western Premier Dua Sentral sambil melihat deretan kereta yang sesak dijalanraya dari aras 10, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kuih koci untuk dibaca sebagai bahan rujukkan.


Kalau dahulu kuih koci hanya untuk hidangan dikampong-kampong sahaja, kini kuih ini telah dijumpai di hotel-hotel bertaraf lima bintang dan restoran melayu popular. Kuih ini mempunyai kombinasi rasa manis (santan kelapa dan pulut) serta manis (inti dari kelapa bergula melaka) dan juga bau daun pisang yang harum. Cara makan kuih koci juga kena ada cara tersendiri agar apabila digigit isi didalamnya tidak terpancut atau meleleh terkena baju nanti. Walau pun kini telah ramai yang makan kuih koci menggunakan sudu dan garpu, cara tradisional makan kuih koci adalah pegang dengan tangan dan masuk terus kemulut. Kuih koci tradisional menggunakan inti kelapa dan gula melaka atau gula merah sementara terkini ada yang menggunakan inti kacang hijau, kacang merah atau pun kaya. Kalau anda pergi kepusat membeli belah atau kawasan penjaja China, anda mungkin akan melihat seakan kuih koci tetapi kebanyakannya dengan inti kacang sahaja.


Juadah Kuih Koci disediakan dengan proses yang agak sederhana susahnya berbanding kuih tradisional lain. Alat memasak yang diperlukan adalah seperti alat pengukus dan dapor gas. Bahan bagi membuat koci adalah 250ml santan pekat kalau boleh daripada satu biji kelapa, sebanyak 200ml air, 150gm gula melaka, 2 sudu besar gula pasir, 1/2 biji kelapa parut dimana perlu diambil bahagian putih sahaja, 1/2 sudu teh garam dan semestinya daun pisang yang telah dipotong dan dilayur agar ia lembut dan tidak pecah apabila dilipat. Bahan lain uuntuk membuat koci seterusnya adalah seperti 300gm tepung pulut, 240-250ml air, 3 sudu makan tepung gandum dan juga 1/2 sudu teh garam. Kesemua bahan diatas adalah untuk membuat kuih koci cukup untuk hidangan satu keluarga. 


Cara kita membuat kuih koci dimulakan dengan mengambil santan pekat dan ia dididihkan atas api yang sederhana hingga keluar minyak. Ketepikan santan tersebut untuk digunakan kemudian. Seterusnya untuk inti koci, kita ambil bahan seperti air, gula melaka dan gula pasir untuk disatukan di dalam periuk. Hidupkan api gas dan panaskan sehingga ia mendidih sehingga gula larut. Kemudian untuk membuat inti koci kita masukkan kelapa parut dan garam. Kacau lagi hingga ia sebati dan sederhana kering. Sejukkan inti ini sebelum digunakan. Bagi membuat adunan tepong membuat kuih koci, kita perlu bancuhkan bahan tepong pulut, tepong gandum, air dan garam sehingga sebati dan boleh dikepal. Ambil sedikit adunan tersebut dan bentukkan ianya bulat-bulat. Kemudian dileperkan bebola ini dimana ia akan dibubuh sedikit inti ditengahnya dan bulatkan semula dimana inti mesti berada ditengah-tengahnya. Susun bebola tadi diatas sekeping daun pisang dan bubuhkan sesudu besar santan yang didihkan tadi. Bungkus dan lipat bahagian bawah daun pisang dengan kemas dan susun diatas loyang atau alat pengukus yang airnya sedang mendidih. Lazimnya jangkamasa mengukus kuih kuih koci iadalah selama 15-20 minit bergantung kepada kekuatan api. Setelah masak keluarkan dari kukus dan sejukkan sebelum dihidangkan. Kuih koci enak dimakan ketika waktu petang dengan kopi panas. Semuga pembaca blog anim agro technology mendapat info sesuai untuk dibaca. Wasallam!..

KUIH KOCI.... PELIK BUNYINYA...
MACAM KUACI... BUKAN DIA...
TEPONG PULUT.. ADA INTINYA...
DIMAKAN SORE... KENYANGNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1017, Best Western Premier Dua Sentral,
8, Jalan Sambhanthan,
Kuala Lumpur, Malaysia.
(4 Oktober 2013)


Monday, January 23, 2017

DAUN PALAS - KEGUNAAN (Part 2)

POKOK PALAS (Licuala grandis) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Arecaceae (palm tree family) yang terdapat di Malaysia dimana ia tumbuh secara semualajadi. Ramai juga dikalangan orang Malaysia mengaitkan pokok daun palas dengan 'KETUPAT PALAS' yang popular semasa sambutan Hari Raya AidilFitri atau Hari Raya Aidiladha. Bagaimanakah pencirian tumbuhan ini sebenarnya dan bolehkah tumbuhan ini di tanam secara komersial untuk pelbagai tujuan lain?. Tumbuhan ini dipanggil juga sebagai Fan Palm, Vanuatu Palm Palm dan di kawasan kita dipanggil sebagai Pokok Daun Palas. Pokok ini juga popular ditanam untuk tujuan landskap di kawasan rumah dan juga dikawasan taman-taman riadah oleh pihak berkuasa tempatan. Pokok Palas merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Palma dengan mempunyai daun yang berwarna hijau gelap berbentuk kipas yang cantik. Pokok ini adalah dikelaskan sebagai agak 'special' dan jarang-jarang dijumpai seperti tumbuhan lain didalam hutan ditempat kita. Hasil pembacaan penulis blog dari beberapa sumber mendapati terdapat 5 jenis pokok palas yang sering terdapat di Malaysia iaitu Palas Kipas (Licula grandis)Palas Duri (Licual sapinosa Roxb), Palas Bintulu (Licola bintuluensis), Palas Borneo (Licula cordata) dan Palas Sarawak (Licula orbicularis). Palas yang akan digunakan untuk tanaman hiasan dikeliling rumah sebagai pokok hiasan atau 'ornamental plants' adalah dari jenis palas kipas yang tumbuh dari satu batang dan mempunyai daun yang terbit daripada pangkal pokok. Belum banyak maklumat mengenai tabiat dan agronomi tumbuhan ini dikaji oleh saintis dan agronomist di Malaysia dan penulis dapati belum ada laporan rasmi keluasan sebenar penanaman pokok palas secara komersial di negara kita. Pemerhatian mendapati kawasan yang sesuai untuk pokok palas tumbuh adalah dari kawasan tanah yang mempunyai saliran baik seperti lereng bukit dan pokok ini lazimnya memerlukan naungan atau terbuka (Shaded or open area). Pokok Palas lazimnya mempunyai batang tunggal ini mengeluarkan pelepah daun dibahagian atas pokok yang mana hanya satu daun terbit dari satu tangkai. Ketinggian pokok palas mampu mencecah 1 - 2 meter atau 6-7 kaki dan lazimnya pokok dewasa akan menghasilkan buah berwarna merah berbentuk seperti 'cherry' yang terdapat dalam berangkai. Buah yang masak ini menarik haiwan untuk memakannya. Pokok palas dewasa mempunyai akar serabut seperti pokok palma yang lain dan memerlukan kawasan yang sederhana lembab untuk kadar kesuburannya. Terdapat beberapa maklumat mendapati pokok palas mampu hidup lama di kawasan yang sama pada perdu yang berubah-ubah sehingga 30-40 tahun. Bagaimana pun belum ada maklumat rasmi secara saintifik mengenai kaedah pembiakan pokok palas tetapi saya percaya ianya melalui biji benih yang matang (Lazim bagi keluarga palma). Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok palas dipetik daripada testimoni akhbar tempatan berkaitan daun palas untuk ianya dianyam sebagai ketupat dalam laporan akhbar tempatan sebagai satu testimoni untuk bacaan.


Laporan Akhbar 4:
Daun palas sumber pendapatan 
Abdul Rahim menyusun daun palas yang diambil dari ladang getah untuk dijual kepada peraih.
KUALA NERANG - Setiap kali menjelang hari raya, seorang penoreh, Abdul Rahim Musa, 69, dari Kampung Tanjung, Mukim Belimbing Kiri, dekat sini, pasti sibuk dengan tanaman pokok daun palas yang menjadi pendapatan sampingan keluarganya. Abdul Rahim berkata, setiap kali hari raya, dia akan akan berada di ladang getahnya seluas 0.6 hektar bagi mengambil daun palas yang ditanamnya sejak 15 tahun lalu. Katanya, dia menanam pokok palas itu di tengah pokok getah supaya dapat menambahkan pendapatan keluarga terutamanya ketika menjelang hari raya. “Pada mulanya orang kampung mempertikaikan tindakan saya menanam pokok palas secara ladang kerana selama ini pokok itu hanya tumbuh di hutan sahaja tetapi hari ini terbukti ia mampu menampung pendapatannya selain getah. “Kini pucuk palas ini bukan hanya mendapat pasaran di sekitar Padang Terap sahaja tetapi peraih dari Sungai Petani, Alor Setar, Yan dan Perlis ada yang datang membuat tempahan setiap kali hari raya,” katanya. Abdul Rahim, setiap musim perayaan dia mampu menjual kira-kira 1,500 hingga 2,000 pucuk palas secara borong kepada peraih iaitu 100 pucuk RM30. “Saya bersyukur walaupun harga getah jatuh akhir-akhir ini, pendapatan pucuk palas ini mampu menampung perbelanjaan kami sekeluarga bagi menyambut hari raya tidak lama lagi dan ini terbukti pokok palas juga boleh dijadikan sumber pendapatan,” katanya.


Laporan Akhbar 5:
Rezeki dari pelepah palas
WARTAWAN SINAR HARIAN
Rokiah menunjukkan daun palas yang akan dijual kepada pemborong.
KOTA BHARU, 10 Oktober - Meskipun Syawal sudah menjengah hari ke-15, namun daun palas masih mendapat permintaan tinggi penduduk tempatan. Daun palas atau nama saintifiknya Licuala sapinosa Roxb, adalah tergolong dalam kumpulan rumpai. Ia biasanya terdapat di pinggir hutan dan kawasan berhampiran paya. Ia bukanlah pokok renek atau herba, lebih kepada keluarga pokok palma. Daun Palas banyak digunakan semasa menyambut hari raya di mana pucuk daun palas digunakan untuk membuat ketupat pulut. Sebanyak 12,000 pucuk dun palas sebulan ianya akan diperlukan setiap musim perayaan. Pencari pucuk daun palas, Siti Rokiah Ismail, 62, berkata, dia mampu menjual sebanyak 12,000 pucuk daun palas sepanjang Ramadan dan Syawal. Meskipun penganut Islam sudah meraikan Aidilfitri 7 Ogos lalu, namun permintaannya semakin melonjak memandangkan masih ramai mengadakan majlis rumah terbuka.

Sebelum ini katanya, kebanyakan penduduk membeli ketupat dalam kuantiti sedikit, untuk disajikan kepada tetamu yang bertandang ke rumah. Namun katanya, permintaan daun palas melonjak apabila banyak agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, badan korporat dan ahli politik turut mengadakan majlis Aidilfitri. “Walaupun banyak kuih moden dicipta, namun kuih tradisi ini masih mendapat tempat di hati penggemarnya,” katanya, semalam. Sumber daun palas makin kurang setiap tahun kerana proses pengambilan berterusan dan tidak ada program menanam secara terancang. Berbeza pada tahun lalu, Rokiah dapat mengutip lebih 18,000 pucuk daun palas. Disebabkan masalah kesihatan dan faktor usia katanya, dia terpaksa menghadkan masa untuk mencari daun tersebut. Selain itu, masalah penerokaan tanah hutan dan belukar menjadi taman perumahan juga, menyebabkan pokok daun palas sukar ditemui. “Bukan senang nak cari daun palas kerana ia tumbuh di kawasan bendang, berair dan pokoknya berduri. Beliau akan selalu menggunakan sabit yang dilekatkan di hujung kayu, bagi mengelakkan duri terkena tangan,” katanya. Selain itu, ia akan memudahkan kerja mencantas sekiranya pokok palas terlalu tinggi atau rendang. Rokiah yang menetap di Kampung Bakat berkata, dia akan memakai kasut but dan sarung tangan setiap kali keluar mencari daun palas di Gual Dalam, Lubok Jerat dan Banggol Pial.

Harga yang ditawarkan adalah sebanyak RM0.28 sen sepelepah. Berbanding 20 tahun lalu, Rokiah berkata pucuk atau pelepah daun palas ini dijual dengan harga 3 sen. “Mujurlah, harganya kini meningkat kepada 28 sen atau RM28 untuk 100 pelepah. “Dapatlah saya menjana akan pendapatan untuk kegunaan harian dan bagaimana persediaan sambutan syawal setiap tahun,” katanya. Kebanyakan pelanggan adalah pemborong, antaranya dari Wakaf Baru, Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Jeli dan Wakaf Che Yeh. Beliau juga runsing perubahan zaman. Rokiah turut meluahkan kerunsingannya, terhadap permintaan pucuk daun palas di masa depan. Menurutnya, generasi masa kini tidak lagi berminat mencari daun palas untuk menjana pendapatan menjelang Ramadan. Sekiranya tiada pelapis meneruskan tradisi ini Rokiah berkata, kuih ketupat daun palas mungkin sukar ditemui di masa depan. “Sepertimana yang berlaku kepada kuih tapai dan kuih tepung pelita, ramai yang menggunakan bekas plastik, menggantikan sumber asli. Sekiranya ia berlaku, identiti kuih tradisi akan pudar dan keunikannya akan dilupakan generasi akan datang,” katanya. Semuga artikel dua siri ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro kali ini. Wasallam!!!...
DAUN PALAS.... SANGAT BERGUNA...
DALAM HUTAN... AMBIL PUCUKNYA...
DIANYAM KEMAS...KETUPAT JADINYA...
HIDANGAN KHAS.. DIPAGI HARI RAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Besar Banting,
Banting, Selangor,
Malaysia.
(23 Zulkaedah 1434H)

Sunday, January 22, 2017

DAUN PALAS - KEGUNAAN (Part 1)

POKOK PALAS (Licuala grandis) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga ARECACEAE (palm tree) yang terdapat di Malaysia secara semualajadi. Ramai orang Malaysia mengaitkan pokok daun palas dengan 'KETUPAT PALAS' yang popular semasa sambutan Hari Raya AidilFitri atau Hari Raya Aidiladha. Bagaimanakah pencirian tumbuhan ini sebenarnya dan bolehkah tumbuhan ini di tanam secara komersial untuk pelbagai tujuan?. Tumbuhan ini dipanggil juga sebagai Fan Palm, Vanuatu Palm Palm dan di kawasan kita dipanggil sebagai Pokok Daun Palas. Pokok ini juga popular ditanam untuk tujuan landskap di kawasan rumah dan juga dikawasan taman-taman riadah oleh pihak berkuasa tempatan. Pokok Palas merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Palma dengan mempunyai daun yang berwarna hijau berbentuk kipas yang cantik. Pokok ini adalah 'special' dan jarang-jarang dijumpai seperti tumbuhan lain didalam hutan ditempat kita. Hasil pembacaan dari beberapa sumber mendapati terdapat 5 jenis palas yang sering terdapat di Malaysia iaitu Palas Kipas (Licula grandis), Palas Duri (Licual sapinosa Roxb), Palas Bintulu (Licola bintuluensis), Palas Borneo (Licula cordata) dan Palas Sarawak (Licula orbicularis). Palas yang digunakan untuk tanaman hiasan dikeliling rumah sebagai pokok hiasan atau ornamental plants adalah dari jenis palas kipas yang tumbuh dari satu batang dan mempunyai daun yang terbit dari pangkal pokok. Belum banyak maklumat mengenai tabiat dan agronomi tumbuhan ini dikaji di Malaysia dan belum ada laporan rasmi keluasan penanaman pokok palas secara komersial di negara kita. Pemerhatian mendapati kawasan yang sesuai untuk pokok palas tumbuh adalah dari kawasan tanah yang mempuynyai saliran baik, lereng bukit dan pokok ini lazimnya memerlukan naungan (Shaded area). Pokok yang mempunyai batang tunggal ini mengeluarkan pelepah daun dibahagian atas pokok yang mana hanya satu daun terbit dari satu tangkai. Ketinggian pokok palas mampu mencecah 6-7 kaki dan lazimnya pokok dewasa akan menghasilkan buah berwarna merah berbentuk seperti 'cherry' yang terdapat dalam berangkai (Lihat foto sebelah). Buah yang masak ini menarik haiwan untuk memakannya. Pokok palas mempunyai akar serabut seperti pokok palma yang lain dan memerlukan kawasan yang sederhana lembab untuk kesuburannya. Terdapat beberapa maklumat mendapati pokok palas mampu hidup lama di kawasan yang sama pada perdu yang berubah-ubah sehingga 30-40 tahun. Belum ada maklumat rasmi mengenai kaedah pembiakan pokok palas tetapi saya percaya ianya melalui biji benih yang matang (Lazim bagi keluarga palma). Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok palas dan daun palas untuk dianyam sebagai ketupat dalam laporan akhbar tempatan sebagai satu testimoni untuk bacaan.


LAPORAN AKHBAR 1 :
Daun palas laris, semakin mahal
UTUSAN MALAYSIA
BALING 18 Sept. - Setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, barangan wajib yang menjadi rebutan adalah daun palas untuk dijadikan ketupat yang terkenal di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia. Walaupun harganya semakin mahal saban tahun tetapi ia tetap dibeli bagi memenuhi keperluan. Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu harganya mahal kerana kebanyakan daun palas yang dijual itu kini makin sukar dicari. Lebih membimbangkan, para penjual daun palas tempatan terpaksa mendapatkan bekalan 'import' daun palas dari selatan Thailand. Seorang penjual daun palas yang ditemui, Basri Yaakob, 36, memberitahu, dia terpaksa membeli daun palas dari peraih di kawasan Betong, Thailand untuk dijual di sekitar Pekan Baling. Kata Basri, biasanya dia memperoleh bekalan tersebut secara borong iaitu melebihi 50,000 pelepah setiap minggu bagi musim Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. "Daun-daun palas berkenaan kemudiannya diikat menjadi satu ikatan mengandungi enam pucuk dan dijual dengan harga RM4 hingga RM5," katanya.

Peniaga itu berkata, sebelum ini dia mendapat bekalan daripada peraih di kawasan pedalaman Kedah seperti Baling, Sik dan Pendang. Bagaimanapun, disebabkan permintaan mendadak dan juga kekurangan bekalan akibat pemusnahan hutan, dia terpaksa mencari alternatif lain termasuk mendapatkan dari rakan-rakannya di Thailand. "Antara daun palas yang mendapat permintaan tinggi adalah jenis daun tumbuh di kawasan tanah lembut," katanya. Basri memberitahu, daun palas jenis tersebut mudah dilipat bagi membungkus beras pulut untuk dijadikan ketupat. "Selain itu, para pengguna juga suka membeli daun palas yang bersaiz pendek kerana tidak perlu memotongnya," jelasnya. Selain jenis berkenaan, katanya, daun palas bukit turut mendapat permintaan kerana ia berbau wangi dan tidak mudah koyak ketika dilipat. "Ketupat yang dihasilkan menggunakan daun palas bukit mengeluarkan aroma wangi dan sangat enak dimakan," katanya.


LAPORAN AKHBAR 2 :

Ketupat palas diusaha secara komersial
Utusan Malaysia - oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH 16 Feb. – Makanan tradisional ketupat pulut atau ketupat palas, tidak lagi menggambarkan juadah musim perayaan sama ada ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha. Ini kerana, ketupat pulut atau ketupat palas boleh didapati hampir sepanjang tahun dan telah diusahakan secara komersial oleh individu tertentu. Pelaksanaan konsep 1Malaysia turut menyebabkan kedudukan dan nilai makanan orang Melayu itu merentasi budaya masyarakat majmuk di negara ini, apabila ia turut dihidangkan pada perayaan kaum lain seperti sambutan Tahun Baru Cina dan Deepavali.  Di Kampung Gong Manak, dekat sini misalnya, penghasilan makanan tradisional ini dijalankan oleh beberapa pengusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan di seluruh negeri dan Terengganu yang gemarkan makanan berasaskan beras pulut itu. Malah, kegiatan ekonomi dan keusahawanan itu turut memberi sedikit pendapatan kepada petani yang sanggup meredah hutan atau mendaki bukit untuk mendapatkan daun palas yang dikenali sebagai ‘Licuala sapinosa Roxb’ sebagai pembungkus ketupat.

Seorang pengusaha ketupat, Selamah Hasan, 55, yang lebih dikenali dengan nama Kak Dak di kalangan penduduk berkata, tempahan ketupat yang dihasilkannya turut menarik pelanggan di kalangan masyarakat Cina dan India. Dia yang berpengalaman dalam perniagaan ketupat daun palas selama 20 tahun berkata, masakan tradisional Melayu itu bukan sahaja laris dipasarkan pada kedua-dua hari raya Islam tetapi juga pada perayaan kaum lain seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali, sehingga terpaksa menambah jumlah ketupat yang dimasak bagi memenuhi permintaan. “Ini berlaku mungkin disebabkan wujudnya persefahaman budaya dan perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini yang saling kunjung mengunjung pada musim perayaan sehingga ketupat menjadi juadah yang laris,” katanya ketika ditemui di bengkel penghasilan ketupat di Gong Manak, dekat sini, baru-baru ini.

Selamah berkata, ketupat daun palas berbeza dengan ketupat daun kelapa atau ketupat nasi dari segi bentuk, saiz dan penggunaan beras pulut. “Ketupat daun atau ketupat nasi, dianyam berbentuk empat segi atau pun berbentuk bawang yang menggunakan daun kelapa. “Manakala ketupat palas pula berbentuk tiga segi. Penggunaan beras sebagai isi atau inti ketupat juga berbeza. Beras yang digunakan untuk ketupat palas ini ialah beras pulut, manakala isi ketupat daun menggunakan beras biasa,” katanya. Selamah berkata, resipi untuk menghasilkan ketupat adalah terlalu mudah dengan hanya menyediakan satu gantang beras pulut, empat biji kelapa atau tiga kilogram santan, 500 gram kacang mentah dan daun palas untuk membungkus. Beliau berkata, tempoh masa yang panjang bagi menghasilkan ketupat palas dan tiada kemahiran membungkus menyebabkan lebih ramai wanita masa kini terutama yang bekerja, lebih selesa membeli ketupat sudah siap berbanding cuba membuatnya sendiri.

“Harga tempahan bagi 100 biji ketupat yang sudah masak ialah RM25 pastinya menjadi pilihan bagi suri rumah yang sibuk dengan kerjaya masing-masing,” katanya. Menurut Selamah, selain ketupat lemak dan manis beliau turut menghasilkan pelbagai jenis kuih-muih tradisional berasaskan ubi kayu untuk menambah sumber pendapatan dan mempelbagaikan lagi perniagaannya. Menurutnya, proses membungkus ketupat lazimnya dilakukan sebanyak tiga kali seminggu dan ia akan dipasarkan di semua pasar sehari sekitar Kuala Besut dan Jertih, Terengganu selain di Pasar Malam Tok Bali, Pasar Tani Machang dan beberapa daerah di negeri ini. “Setiap kali memasak masakan tradisional itu saya menggunakan 25 kilogram beras pulut bagi menghasilkan 1,800 biji ketupat. Jumlah beras yang digunakan akan berlipat ganda pada musim perayaan.

“Setakat ini saya menggunakan khidmat empat pekerja dan bilangan mereka akan bertambah kepada 10 orang pada musim perayaan disebabkan perintaan yang meningkat,” katanya. Sementara itu, seorang pekerja Selamah, Siti Fatimah Awang, 38, berkata, kewujudan pengusaha ketupat di Kampung Gong Manak memberi peluang kepada suri rumah untuk mendapat sumber pendapatan sampingan. Menurutnya, upah membungkus ketupat hanyalah RM1.20 untuk 100 biji yang boleh disiapkan dalam tempoh 30 minit. “Tetapi, ia boleh memberi pendapatan sampingan yang lumayan sekiranya seseorang pembungkus memiliki kemahiran dan pantas menyiapkannya,” katanya yang melakukan kerja tersebut sekadar mengisi masa lapang.

Seorang lagi pekerja, Norma Mohd. Adam, 38, pula berkata, kewujudan perusahaan membuat ketupat palas secara komersial itu turut membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat iaitu mengambil upah ‘membuka daun palas.’  Jelas Norma, Kampung Gong Manak memang dikenali sebagai perkampuang kuih tradisional di daerah ini, bukan hanya menghasilkan ketupat tetapi juga roti bakar, baulu, akok dan pelbagai jenis kuih-muih. “Kewujudan pengusaha makanan dan kuih tradisional di kampung ini sekurang-kurangnya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sama ada secara tetap atau pun sambilan,” katanya.



LAPORAN AKHBAR 3 :
Teknik buat ketupat yang betul

UTUSAN MALAYSIA

LAIN tempat lain juga adat dan caranya. Begitu juga dalam hal menyediakan ketupat, makanan tradisi yang terlalu sinonim dengan sambutan Hari Raya. Jika ditanya pada orang Pantai Timur, ketupat yang kurang menjadi itu digelar 'ketupat jantan' kerana dilakukan oleh amatur dan kurang sempurna hasilnya manakala 'ketupat betina' pula cantik dan kemas pembuatannya oleh yang pakar. Bagaimanapun di kalangan masyarakat Utara, ketupat palas jantan mempunyai lebihan isi atau pulut di hujung lilitan daun palas itu dan manakala ikatan dan balutannya kemas. Sementara ketupat palas betina pula bersaiz lebih kecil, kurang isi dan ikatan serta balutan tidak kemas. Pun begitu, teknik pembuatan ketupat nasi atau pulut yang betul disifatkan sebagai sesuatu yang objektif atau mengikut kaedah yang diamalkan sejak turun temurun mengikut latar belakang setiap orang. Seorang suri rumah yang sememangnya pakar membuat ketupat nasi, Siti Jaleyah Jasman berkata, untuk usaha bagi memudahkan kerja memasukkan beras dan campuran pulut ke dalam kelongsong ketupat, beras tidak perlulah direndam sebaliknya memadai jika dibasuh seperti biasa kerana beras akan berderai selepas ditoskan.

Jika beras jenis mudah kembang, katanya, tidak perlu diisi sehingga padat separuh kelongsong ketupat manakala beras jenis biasa pula boleh diisi sehingga satu pertiga atau separuh mengikut saiz ketupat itu.  Jelasnya, jika dahulu orang merebus ketupat sehingga empat atau lima jam kini sebaik-baiknya dipendekkan masa sehingga dua setengah atau tiga jam agar daun ketupat tidak kecut, kering dan lebam. ''Jika terlampau lama, daun akan menjadi kering jadi eloklah ketupat diangkat selepas tiga jam apabila beras sudah kembang dan elok,'' katanya.

Hidangan sampingan daripada ketupat nasi dan pulut dimakan dengan pelbagai jenis lauk pauk. Yang popular tentunya rendang dan kuah kacang tetapi ada juga berpendapat bahawa kuah kacang adalah kuah sate yang manis, cair dan kurang pedas manakala sambal kacang lebih pekat, pedas dan dimasak dengan serai untuk hidangan pada Hari Raya. Bagi masyarakat Jawa di Johor pula, tidak sah makan ketupat jika tidak ada lodeh dan serunding kelapa. Ketupat daun palas paling enak di makan dengan rendang, serunding daging, ikan atau ayam. ''Ada juga orang tua-tua di Kelantan yang mencecah ketupat daun palas lemak dengan gula melaka yang dimasak agar cair seperti madu. ''Selain itu ia juga dimakan dengan sambal kelapa yang ditumbuk dengan lada hitam,'' jelasnya.

Selera masyarakat di Selatan pula agak berbeza dengan serunding kelapa yang bercampur gula melaka dimasak basah atau lembap menjadi pilihan. Bagaimanapun, tradisi penyediaan lauk-pauk sebagai hidangan sampingan ketupat nasi dan pulut juga telah lama dipermudahkan memandangkan semakin ramai orang tidak berkesempatan meluangkan masa dua hari suntuk di dapur menjelang Aidilfitri. Malah semakin tahun semakin berkurangan bilangan warga kota pulang ke kampung halaman beberapa hari sebelum Hari Raya untuk merasai kemeriahan bersama sanak saudara dan sahabat handai. Ia berpunca daripada kebanyakan daripada kita yang memilih (secara rela atau tidak rela) untuk pulang pada pagi Hari Raya dan sekadar meluangkan masa singkat sehingga kadang kala tidak sempat mengunjungi semua kaum keluarga terutama yang sudah uzur.  Semuga tulisan dalam anim agro technology subuh ini memberi maklumat berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!..
DAUN PALAS.... SANGAT BERGUNA...
DALAM HUTAN... AMBIL PUCUKNYA...
DIANYAM KEMAS...KETUPAT JADINYA...
HIDANGAN KHAS.. DIPAGI HARI RAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Besar Banting,
Banting, selangor,
Malaysia.
(23 Zulkaedah 1434H)

Saturday, January 21, 2017

PERTANIAN BANDAR - KURANG KOS SARA HIDUP

PERTANIAN BANDAR merupakan satu terminologi baru bagi melakukan aktiviti pertanian dikawasan bandar (urban agriculture) untuk menghasilkan bahan makanan d an landskap. Ada yang bertanya sama ada aktiviti pertanian bandar bantu kurangkan kos sara hidup. Perkara ini telah dilaporkan oleh akhba tempatan dimana ia melaporkan bagaimana penduduk Persatuan Komuniti PPR Sri Perlis 2 di Keramat, Kuala Lumpur menuai hasil tanaman mereka sebagai satu testimoni (Sila lihat foto diatas). Sebenarnya kos sara hidup penduduk dikawasan bandar adalah lebih tinggi daripada penduduk luarbandar. Ini kerana bagi penduduk bandar mereka bergantung terus kepada bekalan makanan daripada petani komersil yang bertani dikawasan luar bandar. Permintaan mendadak bahan makanan pada musim perayaan boleh menyebabkan harga sesuatu barang keperluan meningkat. Pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas permintaan ke atas barang tertentu akan meningkat kerana pengguna memerlukan lebih banyak barang keperluan pada masa tersebut. Perkara ini boleh menyebabkan berlakunya kekurangan barang dan mempengaruhi kenaikan harga barang. Sambutan Tahun Baru Cina yang bakal tiba turut dirasai pengguna mengenai kenaikan harga barang-barang makanan khususnya bekalan makanan seperti sayur-sayuran, daging dan buah-buahan. Kekurangan bekalan bahan ini akan lebih terasa apabila kekuranagan ini adalah berpunca daripada masaalah bencana alam seperti banjir atau kemarau dan akibat serangan penyakit dan perosak tanaman. Kos bahan input pertanian yang meningkat juga menyebabkan kenaikan harga barangan yang meningkatkan kos sarahidup orang ramai terutama dikawasan bandar. Oleh itu beberapa program dan aktiviti seperti Pertanian Bandar dipercayai mampu mengatasi isu ini. Rencana subuh ini say amenulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti pertanian bandar yang dapat mengurangkan kos sara hidup.


Pada penulis blog, pengeluaran sayur-sayuran khususnya mula mengalami kemerosotan berikutan faktor musim tengkujuh yang melanda negara sejak Disember sehingga kini. Bagaimanapun, jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) telah memulakan usaha mengurangkan kesan kemerosotan pengeluaran bekalan makanan dengan pelbagai kaedah seperti pengurusan kuota, simpan stok dan kawalan harga di pasaran. Terkini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah mengadakan lawatan kerja ke pasar borong dalam merealisasikan usaha tersebut. Bekalan Kobis Bulat dalam negara tidak mencukupi dimana negara perlu terus mengimport sayuran ini dengan kuota dikawal oleh kerajaan. Salah satu cara bagi memastikan bekalan dan harga kubis bulat di Malaysia stabil, MOA akan meningkatkan kuota sementara pengimportan kobis bulat semasa musim perayaan ini. Peningkatan ini sentiasa dipantau bagi untuk memastikan tiada berlaku lambakan bekalan dan kenaikan harga yang mendadak. Dalam pada masa yang sama untuk mengelak terjejasnya sumber pendapatan petani tempatan. Kini pengguna juga boleh menyumbangkan kepada usaha mengurangkan tekanan kenaikan harga makanan dengan menghasilkan makanan sendiri untuk kegunaan isi rumah dengan menggunapakai sumber asas tanamanyang terdapat di persekitaran seperti program pertanian bandar yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian.


Program ini membantu isi rumah meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran bahan makanan sendiri mengikut keperluan. Objektif program ini adalah untuk menggalakkan penduduk setempat menanam dan mengeluarkan sendiri bahan makanan bagi tujuan untuk menampung keperluan harian serta mengurangkan kos sara hidup. Selain itu, ia juga boleh menambahkan pendapatan sampingan komuniti bandar melalui lebihan pengeluaran hasil pertanian, menyokong usaha kerajaan dalam menjamin kualiti dan sekuriti makanan negara dan memupuk kesedaran serta minat terhadap kepentingan pertanian. Program yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu itu telah menunjukkan peningkatan penyertaan. Daripada 5,002 peserta di 280 buah lokasi, ia meningkat kepada 59,634 peserta di 2,471 buah lokasi. Pertambahan jumlah penyertaan menjadikan aktiviti pertanian bandar terbukti sebagai satu pendekatan yang dapat mengurangkan perbelanjaan harian isi rumah. Selain itu, mereka dapat menghasilkan makanan sendiri yang selamat, berkualiti dan tidak menggunakan racun berbahaya. Antara komuniti penduduk yang telah berjaya melaksanakan program ini ialah Komuniti Persatuan Komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Perlis 2, Keramat, Kuala Lumpur yang telah memenangi Johan Pertandingan Pertanian Bandar peringkat Lembah Klang sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan (MAHA) 2016 yang lalu. Idea komuniti ini menggunakan inisiatif sendiri dengan kaedah melaksanakan projek pertanian bandar di kawasan tanah antara blok menggunakan kaedah pertanian iaitu secara konvensional dan teknologi fertigasi. Komuniti lain yang turut menyertai pertandingan ini juga telah menunjukkan akan semangat dan bekerjasama mengusahakan projek pertanian sama ada untuk kegunaan mereka sendiri dan dipasarkan kepada penduduk setempat. Naib johan dimenangi oleh Persatuan Komuniti USJ 6, Subang Jaya, Selangor, manakala, pemenang ketiga ialah Persatuan Komuniti Jalan Tuntung, dari Shah Alam, Selangor. Selebihnya sembilan komoditi yang turut serta dalam pertandingan ini telah menerima hadiah saguhati. Bagi komuniti-komuniti yang telah melaksanakan program ini dan ingin turut menyertai pertandingan atau berminat untuk menyertai program pertanian bandar boleh berhubung dengan Bahagian Pertanian Bandar, Jabatan Pertanian di talian 03-8870 4195 atau sambungan 4194/4184. Semuga testimoni dalam akhbar Kosmo ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!.
PERTANIAN BANDAR...ADA DIA...
TANAM SAYUR... DIRUMAH SAHAJA...
HASIL DITUAI... SEGAR KUALITINYA...
TANAM SENDIRI...JIMAT BELANJA...

Oleh,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 223, Hotel UDesign Hotel,
Temerloh, Pahang,
Malysia.
(19 RabiulAkhir 1438H)

Friday, January 20, 2017

POKOK TURI - TEKNOLOGI DAN KHASIAT

POKOK TURI (Sesbania grandiflora syn Aeschynomene grandiflora) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga FABACEAE atau Keluarga Kekacang yang mudah untuk tumbuh di Malaysia. Tumbuhan ini hidup dengan subur dikawasan perumahan dan kebun dan digunakan paling popular iaitu bahagian pucuknya untuk dimasak 'Sayur Turi Masak Lemak' yang dicampur dengan labu manis. Pokok turi terdapat diseluruh kawasan tropika yang lembab dari Asia Tenggara, Afrika sehingga Amerika Tengah dan Australia Utara. Nama-nama lain bagi tumbuhan ini adalah seperti Kembang turi, turi, gallito, walking stick, hummingbird tree, scarlet wisteria tree, agati, Corkwood tree, Agati à grandes fleurs, Shiro gochou, Daun turi, Kacang turi, Agasto, Sesbãnia, Scarlet wisteria tree, Swamp pea, Vegetable hummingbird dan West Indian pea. Penulis dapati tidak ada dilaporkan secara khusus keluasan tanaman turi di Malaysia tetapi menganggarkan terdapat seluas antara 200-220 hektar CHE tanaman turi di Malaysia pada tahun 2015 yang ditanam sebagai tanaman selingan atau hiasan di kawasan rumah atau di tepi jalan. Pokok turi jarang ditanam secara monokrop daripada tinjauan dilakukan. Dari segi varieti turi juga belum ada pendaftaran dibawah 'National Plant Variety Listing' di Jabatan Pertanian. Artikel subuh kali ini dalam "Anim Agro Technology" saya akan bentangkan teknologi tanaman turi untuk tatapan anda semua berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan bacaan teknikal.


Pokok Turi adalah tumbuhan yang dipercayai natif dari Malaysia, Indonesia, India dan Asia Tenggara lain. Tumbuhan renek yang banyak bercabang ini mampu mencapai ketinggian sehingga 8-15 meter dengan jangkahayat umur selama 20 tahun. Daunnya berwarna hijau dengan susunan bersilang merupakan daun kompoun yang berbentuk 'pinnate'. Saiz daun adalah 2 cm lebar dengan panjang kira-kira 3-4 cm dimana daun muda agak kekuningan. Batangnya berkayu dengan ukurlilit batang 30-50 cm mempunyai kulit dan bercabang. Akar pokok turi ada akar tunjang dimana terdapat bintil-bintil akar (Root nodules) seperti jenis pokok keluarga kekacang yang lain. Bunganya sama ada berwarna putih atau ungu atau kemerahan berukuran 5-10 cm panjang berbentuk kacang pea. Bunga yang belum terbuka berukuran 3 cm. Buah turi adalah pod kekacang berwarna hijau dengan 30 - 50 cm panjang dan 8 mm lebar yang leper dengan membengkak pada kawasan berbiji. Biji pokok turi adalah berbentuk kacang pea yang hijau ketika muda dan coklat merah apabila cukup matang. Saiz bijibenih 3.5 mm garispusat dengan purata berat 1 gram setiap biji.


Pokok Turi sesuai tumbuh dikawasan yang panas dan lembap. Pokok turi selalu tahan dikawasan yang mudah banjir dimana akarnya akan dapat membentuk sistem ketahanannya tersendiri jika tenggelam dalam air. Ketahanan pokok turi dalam cuaca kemarau yang panjang juga menyebabkan pokok ini mampu bertahan sehingga 9 bulan pada cuaca kering. Bagaimana pun satu kelemahan pokok turi adalah dahannya yang mudah patah apabila ditiup angin kencang. Ini kerana dahan pokok turi yang banyak daun mudah sekah atau patah. Pokok turi didepan rumah penulis di Muar, Johor telah hidup lebih 15 tahun diatas tanah gambut dimana ketinggiannya cuma 4 meter sahaja. Pokok ini selalu dipetik daun pucuknya dan dibuat cantasan untuk dimasak oleh keluarga atau orang kampong yang datang minta daun turi. Saya fikir pokok turi ini boleh dikategorikan sebagai Turi Organik kerana tidak pernah dibubuh racun atau baja kimia dan hanya gunakan bahan baja organik sahaja. Memang berbali mempunyai pokok turi yang selalunya tidak ada masaalah penjagaan dan selalu berhasil terutama dimusim hujan.


Penanaman pokok turi sangat mudah dengan menggunakan biji atau ada juga yang menggunakan keratan batang. Pokok Turi boleh menghasilkan buah 9 bulan selepas ditanam dimana bunganya akan didebungakan oleh sejenis burung yang dipanggil 'Humming Bird' dibanyak negara tetapi dinegara kita selalunya proses pendebungaan akan dibantu oleh serangga lain atau burung kelicap. Benih Biji Turi perlu direndam 24 jam dan disemai dalam polibeg atau pasu mengandungi media tanah campuran atau 'cocopeat'. Setelah benih berumur sebulan maka ia sudah sesuai untuk ditanam dikebun atau kawasan rumah yang sesuai. Jarak penanaman disyorkan untuk penanaman monokrop komersial (Jika berminat) adalah 1.2 m x 1.2 m untuk memberikan kepadatan pokok yang sesuai. Berikan air dan baja asas pada peringkat awal penanaman setiap masa mengikut kesesuaian sehingga matang ketika berumur 9 bulan. Kajian juga menunjukkan pertumbuhan pokok turi pada tahun pertama dan kedua adalah cepat dimana mampu mencapai 5 meter selepas 9 bulan ditanam. Pertumbuhan pada tahun ketiga dan seterusnya agak perlahan. Pokok turi mempunyai masaalah serangan serangga perosak seperti Ulat makan daun, Ulat pemotong daun dan Ulat pengorek batang. Terdapat juga ulat pengorek buah kacang dan serangan cacing nematod (Meloidgyne spp) pada bahagian akar. Kawalan serangga perosak ini boleh menggunakan racun serangga yang biasa digunakan. Bagaimana pun pastikan tidak memetik hasil selepas dibuat semburan racun.


Laporan penanman komersial pokok turi di India dan Indonesia menunjukkan dimana kadar pertumbuhan pokok sangat cepat dimana jika sering dicantas jangkahayat umur pokok akan jadi pendek. Kadar pertumbuhan pokok turi bergantung kepada jenis tanah, sumber air dan cara amalan pengurusan kultura yang ada dijalankan. Pertumbuhan diatas tanah berpasir cuma setinggi purata 1.8 meter selepas 9 bulan berbanding dengan setinggi 3.2 meter diatas tanah lom. Kajian menunjukkan hasil tuaian biomas pokok turi sebanyak 65.1 kg/pokok dari kawasan tebing sungai dikawasan pastura terbuka sebanyak 25.4 kg/pokok. Bahagian daun, bunga, kacang dan buah pokok turi boleh dimakan. Bahagian BUNGA merupakan paling berguna untuk dimakan sebagai salad atau sayuran. Bunga berwarna putih lebih bernilai dari bunga berwarna merah di Filipina dan Thailand. Bunga yang masih dalam bentuk KUDUP (Belum terbuka) selalu dimakan mentah atau dikukus atau dimasak sebelum dimakan. Penulis dapati ia merupakan makanan sumber protin yang baik.


Ramai orang Malaysia tidak tahu yang daun pokok turi sangat berkhasiat untuk dijadikan makan ternakan. Daun turi boleh mula dituai 4 bulan selepas ditanam. Penulis membuat rujukkan dan mendapati daun turi kaya dengan protin (36% daripada berat kering) dan kandungan Vitamin A (9,600 IU). Pucuk daun turi sangat sedap untuk dimasak lemak dengan labu manis dan dimakan dengan nasi panas (Sila lihat  foto sebelah).  Daun turi yang dituai dari keliling rumah ditanam sendiri adalah percuma sahaja dan masih segar tetapi jika hendak beli di pasar basah atau pasar malam ianya dijual dengan harga RM 1.00 - RM2.00 satu ikat (Purata 5-6 tangkai). Daun ini perlu diceraikan dan dibasuh bersih sebelum dimasak dengan labu manis. Anda boleh mencari resepi memasak daun turi masak lemak dimana-mana buku resepi atau google sahaja dilamanweb. Selain itu bahagian kayu, kulit dan batang pokok turi boleh digunakan sebagai kayu api, bahan bakar dan lain-lain kegunaan. 
SELAMAT NENANAM POKOK TURI !...Wasallam..
POKOK TINGGI ....POKOK TURI.....
DIKAWASAN RUMAH...DITANAM BERSERI....
PUCUK DIPETIK...MASAK LEMAK LAGI...
SEDAP DIMAKAN....KENYANG YANG PASTI....

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Persint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia
Ditulis pada 30 Shawal 1432H
(Posting pada 15 Julai 2016)  

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...