Support My Blog

Monday, April 16, 2012

'CAP' NENAS

CAP NENAS (Tudung Nenas) merupakan satu bahan yang digunakan untuk tanaman Nenas (Ananas cosmosus) diatas buah untuk menghalang berlakunya masaalah kerosakan buah akibat sinaran matahari (Pineapple fruit scorching). Tanaman nenas diatas tanah gambut dikawasan ladang yang terbuka menghadapi masaalah rosak buah kerana suhu panas yang sering berlaku pada musim paas sekitar bulan April, Mei dan Jun setiap tahun. Daripada pemantauan saya kebeberapa buah ladang Nenas, seperti di Peninsular Pineapple Plantation (Simpang Renggam) Sdn Bhd (dulu dikenali Lee Pineapple Plantation) dan Goh Pineapple Plantation mendapati perkara ini perlu diatasi dengan menutup buah nenas menggunakan Tudung Plastik. Menurut pengurus Ladang Lee iaitu En KS Koh, semasa musim panas suhu dikawasan antara tanaman nenas mencecah kepanasan sekitar 43 - 45 darjah Celsius iaitu amat panas pada waktu tengahari dan awal petang. Artikel kali ini saya menulis teknologi menutup buah nenas (Cap Nenas) untuk mendapatkan kualiti buah yang baik.


Bahan yang digunakan untuk dijadikan tudung nenas bagi melindungi buah nenas daripada kerosakan kepanasan matahari adalah tudung plastik, kain, helaian plastik atau bahan lain yang sesuai. Di ladang nenas komersil, bahan tudung plastik yang leper dan bulat ini digunakan selama 2 - 3 kali (3 tahun). Plastik ini yang berukuran 20 cm dengan mempunyai lubang ditengahnya dan jejari tirus ditengahnya (Lihat foto). Cara memasangnya juga amat mudah dengan menyarungkan dari bahagian atas buah melalui jambul (crown) dan diletakkan di pangkal jambul buah. Kebanyakan warna plastik adalah hijau (mungkin disesuaikan dengan tali para yang juga berwarna hijau - elakan serangan serangga).  Penggunaan tudung plastik ini mempu memberikan perlindungan bahagian atas buah nenas dari sinaran matahari yang merosakkan buah nenas pada musim cuaca panas terik yang agak panjang.


Buah yang mencapai umur hampir matang perlu dipasang tudung plastik ini bergantung kepada varieti nenas yang ditanam sama ada MD2, N36, Josapine, Gandul atau Nenas Moris (Moris jarang ditudung). Menurut En. Koh, kadar kerosakan buah akibat kepanasan matahari ini (scroching) mencapai 75 -85% jika tidak dibuat perlindungan buah dengan sempurna terutama musim panas. Akibatnya buah yang rosak ini tidak boleh dihantar kekilang nenas untuk di proses penkalengan (canning) atau pun untuk dijual segar.  Apabila buah dikupas akan terdapat tanda hitam atau lubang hitam daripada bahagian luar hingga masuk kedalam. Buah ini kadang2 terpaksa dibuang kerana tidak boleh dipasarkan. Bayangkan dengan satu pokok satu biji buah, dan kos benih nenas yang tinggi, jika banyak buah rosak maka petani akan mengalami kerugian besar.


Kos untuk setiap tudung sekitar RM0.50 - RM 0.70 sen sekeping dan tahan sehingga 2-3 musim penanaman. Dikalangan petani kecil mudah untuk membuat tudung buah jika penanaman sekadar 1-2 hektar sahaja. Risiko kerosakan agak rendah jika cuaca diladang tidak terlalu panas kerana ada hujan dan panas silih berganti. Pemerhatian untuk kawasan tanaman nenas diatas tanah mineral didapati kadar kerosakan buah akibat sinaran matahari agak rendah. Di ladang Goh pula mereka menggunakan tudung plastik dan kain buruk untuk melindungi buah varieti Josapine. Mungkin teknologi ini boleh dikembangkan kepada petani yang mempunyai modal mencukupi bagi mendapatkan kualiti buah nenas yang baik.


Nenas MD2 merupakan varieti nenas yang mendapat pasaran dan harga baik di seluroh dunia. Semasa membuat penilaian ujirasa antara nenas MD2, Josapine, Gandul, N36 dan Moris diladang , saya dapati memang tiada tandingan kualiti nenas varieti MD2 (Lihat foto). Pasaran nenas MD2 terus meningkat masa kini cuma masaalah utama untuk menanam nenas ini adalah untuk mendapatkan bekalan benih. JTP Plantation Sdn Bhd ada membekalkan benih nenas MD2 berkualiti dengan harga sekitar RM2.00 satu sulur untuk ditanam. Nenas MD2 akan mengeluarkan hasil selapas 12-14 bulan selepas ditanam. Selamat makan nenas segar!


TUDUNG NENAS...PLASTIK BAHANNYA....
BENTUK LEPER...BERLUBANG TENGAHNYA...
DIPASANG ATAS BUAH...BAWAH JAMBULNYA...
BUAH TAK ROSAK...BAIK KUALITINYA....


Artikel berkaitan Nenas:
1. Nenas (Klik disini)
2. Nenas MD2 (Klik disini)
3. Nenas Moris Kedah (Klik disini)
4. Nenas Organik (Klik disini)
5. Nenas Pada Sarawak (Klik disini)
6. Bengkel Teknologi Nenas (Klik disini)
7. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)


By,
M Anem
Simpang Renggam, Kluang,
Johor, Malaysia.
(23 JamadilAwal 1433H)

Sunday, April 15, 2012

KHASIAT JAMBU BATU

JAMBU BATU (Psidium guava) merupakan sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Myrtaceae dan popular ditanam untuk dimakan segar dan juga diproses. Terdapat seluas 1,520 hektar tanaman jambu batu pada 2011 dengan pengeluaran sebanyak 20,100 metrik tan bernilai sekitar RM 18.76 juta (Laporan Ststistik Jabatan Pertanian).  Kawasan tumpuan tanaman jambu batu di Malaysia adalah di Daerah Muar, Johor diikuti dengan Daerah Batang Padang, Perak dan Daerah Segamat , Johor.  Beberapa varieti Jambu Batu yang popular di Malaysia adalah GU 8, GU 9 dan GU 10 serta Jambu Batu Lohan (Giant Guava). Selain daripada bahagian buah yang merupakan komponen utama untuk di makan, bahagian lain tumbuhan juga mempunyai khasiat tertentu untuk digunakan dalam rawatan perubatan dan lain-lain tujuan. Artikel petang Sabtu ini saya menyentuh mengenai teknologi berkaitan tanaman jambu batu dan khasiat daripada tumbuhan tersebut.


Pokok Jambu Batu adalah sederhana besar dengan ketinggian  mampu mencapai 10 meter jika tidak dibuat cantasan. Lazimnya pokok jambu batu diladang komersil dikawal ketinggiannya sekitar 1.5 - 2.5 meter sahaja untuk pengurusan secara komersil. Kulit batang berwarna merah perang dengan mempunyai kulit tua yang ada ciri melekang atau mengelupas. Kulit kayu dahan muda berwarna kehijauan.  Daun tumbuhan ini ringkas dengan susunan bertentangan yang panjangnya sekitar 5-15 cm dan lebarnya 3-6 cm. Daun berwarna hijau lembut ini banyak gunanya dalam alam perubatan.  Bunga jambu batu berwarna putih yang mempunyai banyak stamen dalam 1-2 jambak dan keluar daripada ketiak daun.  Lazimnya bunga akan keluar selepas dilakukan cantasan pada dahan. Buah Jambu Batu berbentuk bulat berry , bentuk bebola, berbentuk buah pear dengan warna kulit hijau lembut dan bertukar kekuningan apabila masak ranum.  Ada banyak jenis jambu batu berbiji dan terdapat juga jenis jambu batu tanpa biji. Pengalaman saya di TKPM Sekijang di Segamat banyak mendedahkan pengurusan tanaman jambu batu sehingga pernah digelar sebagai menjadi separa-pakar.


Buah Jambu Batu yang dibuat analisa makmal menunjukkan setiap 100 gram mengandungi sebanyak 83.3 gram air, 6.8 gram karbohiderat, 1 gram protin, 0.4 gram lemak, 3.8 gram serabut, 337 mg vitamin C, Vitamin B dan  0.1-1.8 % kandungan pektin. Dalam daun juga mengandungi banyak unsur Tanin (iaitu 9 - 10%) yang bertindak sebagai bahan antibiotik. Dalam bunga dan bahagian Akar Pokok Jambu Batu juga banyak mengandungi bahan Tanin.  Cara buah jambu dimakan adalah dengan memakan segar atau dimakan dengan serbuk asam boi, garam dan sebagainya. Buah jambu juga boleh di proses dengan konsep 'minumum proses' untu dijadikan 'ready to eat product'. Pasaran utama buah jambu bantu adalah di kantin-kantin sekolah diseluruh negara.  Isi buah jambu yang matang berbau wangi dan manis. Ianya juga boleh diproses menjadi Jem, Halwa, Jeli, Jus, Kordial, Jambu Kering, Kek, Pai malahan ada yang kata boleh buat sup.  Daun jambu batu juga sesuai diproses untuk dijadikan daun teh bagi diminum.


Khasiat dari buah jambu masak dimakan mampu menghilangkan masaalah sesak nafas. Air rebusan buah juga mampu mengawal masaalah kencing manis (Diabetis). Ada yang mengamalkan dengan menjemur buah jambu sehingga kering dan kemudian direbus dan airnya diminum untuk rawatan disenteri, penyakit paru-paru dan penyakit dada sebagai tonik.  Air rebusan bunga jambu batu juga sesuai untuk direbus dan diminum airnya bagi rawatan cirit birit dan menghentikan pendarahan. Paling senang ialah ambil daun muda jambu batu dan kunyah kemudian telan , ia memang berkesan untuk kawalan cirit birit.  Selain itu air rebusan kudup bunga, dicampur dengan daun, kulit batang, buah muda  dan akar diminum merawat masaalah disenteri dan juga cirit birit.  Pastikan semua bahan-bahan tersebut tidak terkena racun atau mengandungi logam berat.  


 Air rebusan daun yang direbus dan dimimum apabila sejuk mampu merawat bengkak dalam perut dan usus, selsema, disenteri dan menghilangkan bengkak kaki jika direndam. Sementara itu air rebusan daun dan kulit yang diminum juga merawat masaalah rahim berdarah, saluran kencing bengkak dan banyak mucus, penyakit keputihan pada faraj, merangsang haid dan baik untuk ibu lepas bersalin,.Air rebusan ini juga dipercayai baik dijadikan air mandian untuk merawat bisul, ulser dan pelbagai masaalah penyakit kulit lain seperti parasit kulit. Daun jambu batu yang dikeringkan dan dikisar menjadi serbuk dan diletakan dikawasan kurap dan ulser dapat menyembuhkannya. Saya ada dengar yang daun jambu batu di gunakan dalam masakan tertentu untuk menghilangkan rasa pahit atau rasa tertentu beberapa jenis sayur berdaun. Sesetengah orang menggunakan daun jambu batu untuk proses menyamak dan juga sebagai pewarna.  Maklumat yang di baca dari buku karangan O.H. Chooi ini pastinya memberikan banyak manafaat kepada kita semua. Sesiapa yang hendak cuba pastikan tidak ada komplikasi lain. Wasalam...


KHASIAT JAMBU BATU...BANYAKNYA....
BUAH DIMAKAN...KENYANG PASTINYA.....
DAUN DIREBUS...DIMINUM AIRNYA....
BANYAK MASAALAH...AKAN DIRAWATNYA....

By,

M Anem
Ladang LeePineapple Plantation,
Simpang Renggam, Kluang,
Johor, Malaysia.
(21 JamadilAwal 1433H).     

Saturday, April 14, 2012

CEMPEDAK CH35

CHEMPEDAK (Artocarpus interger) merupakan sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Moraceae yang ditanam untuk pasaran segar. Terdapat seluas 10,680 hektar tanaman cempedak ditanam di Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran hasil sebanyak 53,020 metrik tan. Kawasan utama penanaman chempedak di Sarawak, Sabah dan Perak serta Johor. Kajian saya daripada beberapa sumber rujukan rasmi mendapati terdapat sebanyak 25 varieti klon chempedak yang telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian. Artikel subuh ini saya menulis sejenis varieti Chempedak yang paling akhir didaftarkan iaitu Klon CH35 didalam senarai 'National Listing of Fruits' di Malaysia untuk rujukkan dan pengetahuan anda semua. Foto diatas menunjukkan isi cempedak CH35 yang matang dan sedia untuk dimakan segar.


Varieti Buah Chempedak CH35 ini mempunyai saiz panjang  buah yang agak pendek dengan ukuran purata 29.7 cm dan lebar ukurlilit buah adalah 15 cm. Bentuk buah yang panjang dan bulat ini mempunyai kadar panjang dan lebar pada angka 2.0:1.0. Ukuran panjang tangkai buah sekitar 7.3 cm dimana rupa bahagian luar adalah sangat berbonjol (Lihat foto sebelah). Bonjol buah cempedak CH35 sangat ketara dengan duri leper yang berbentuk 'Kubah'. Warna kulit luar hijau muda dengan sekata dari pangkal buah hingga kehujungnya. Buah akan mula dihasilkan selepas 3-4 tahun penanaman bergantung kepada jenis tanah, amalan agronomi dan pengurusan kebun. Buah yang masak akan mengeluarkan bau yang agak kuat.  Belum banyak lagi petani menanam varieti CH35 kerana baka ini adalah baka yang dianggap sebagai baka baru.


Isi buah cepmedak CH35 berwarna kuning pucat hingga oren dengan kod warna Orange group 24B (Lihat foto sebelah).  Cempedak ini mempunyai jerami yang tidak banyak dan jeraminya berbentuk tirus. Bilangan isi lazimnya sekitar 40 ulas dengan setiap ulas adalah besar dan isinya sangat tebal. Kadar kiraan nisbah tebal isi kepada ulas adalah tinggi iaitu pada kadar 83.6%. Ini bermakna cempedak ini sangat sesuai untuk dimakan segar dan juga sesuai untuk dijadikan sebagai 'cempedak goreng'. Mengambil beberapa ulas sahaja isi cempedak ini rasanya kita sudah puas makan.  Tahap kemanisan buah adalah sederhana berbanding dengan varieti lain iaitu pada kadar gula  30%. Istimewanya cempedak ini kerana tidak ada rasa tanin dan rasa kemasaman pada buah seperti varieti lain. 


Cempedak ini juga mempunyai kadar 'biji kesep' yang banyak. Jadi kalau kita makan buah cempedak varieti ini memanglah dikatakan sangat berpuashati kerana banyak buah tanpa biji.  Biji yang ada dalam buah juga bersaiz sederhana dan ada yang besar. Kulit biji berwarna coklat (kod warna greyed orange 174A) dengan bentuk biji yang tidak seragam. Kulit testa biji agak nipis dan kadang-kadang telah keluar embyro seperti akar berwarna putih pada buah cempedak yang cukup matang. Biji ini mudah digunakan untuk ditanam dalam nurseri bagi penyediaan bahan pokok penanti (rootstock) pembiakan baka. Kepada mereka yang berminat boleh rebus biji cempedak dan dimakan sebagai 'dessert' yang mempunyai rasa lemak.  Kepada mereka yang suka makan cempedak dan hendak tanam cempedak jenis ini boleh mendapatkan benih daripada nurseri tempatan dan pastikan telah mendapat pengesahan varoeti melalui Skim Pengesahan Benih Tanaman Jabatan Pertanian. 


CEMPEDAK CH 35.....MEMANG VARIETI BARU.....
BUAHN YANG MASAK....MEMANG BERBAU....
ISINYA TEBAL...MANISNYA TAK MACAM MADU... 
TANAM SENDIRI...KENA CARI BENIH DULU...


By,
M Anem
PJTP Plantation, Ulu Tiram, 
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(21 Jamadil Awal 1433H)

Friday, April 13, 2012

PEROSAK NANGKA

NANGKA (Artocarous heterophyllus) merupakan sejenis tanaman buah-buahan tropika yang popular di Malaysia.  Tanaman dari keluarga Moraceae ini kebanyakannya ditanam untuk kegunaan segar dan juga untuk diproses selain daripada dijadikan sayuran yang enak (Nangka muda). Terdapat seluas 3,972 hektar tanaman nangka di negara kita pada tahun 2010 dengan pengeluaran hasil sebanyak 27,500 metrik tan (Laporan Jabatan Pertanian). Kebanyakkan penanaman pokok nangka adalah secara kecil-kecilan dan juga ditanam secara monokrop djalankan oleh petani swasta dan juga projek-projek TKPM dan Projek Kelompok Jabatan Pertanian, SEDC, FELDA, FELCRA serta LPP.  Antara varieti popular yang disyorkan adalah J29, J30, J33 dan beberapa varieti lain. Penanaman nangka merupakan satu komoditi yang berpotensi dan mendapat pemerhatian khusus walau pun banyak masaalah serangan penyakit dan perosak yang perlu di selesaikan. Artikel petang jumaat ini saya tulis untuk membincangkan penyakit dan perosak yang menjejaskan kualiti buah nangka jika tidak dikawal dengan baik.

PENYAKIT NANGKA


1. Penyakit Mati Rosot 
(Branch Dieback/Bacterial Blight)

Penyakit ini disebabkan oleh sejenis fungi iaitu Ervinia caratovora dimana ianya merebak lalu menyerang dahan dan batang. Pemerhatian saya mendapati apabila pokok diserang, ianya akan makan bahagian daun menjadi kuning pada cabang pokok yang dijangkiti. Jika berjangkit pada batang utama, kita dapat lihat  keseluruhan pokok akan menjadi kuning dimana kemudian daun gugur dan diikuti dengan mati rosot. Sering kita akan dapat 'Damar' yang  berwarna putih kekuningan pada kulit pokok dan tangkai buah. Akhirnya kulit menjadi lembut dengan keadaan reput yang basah dan memberikan bau yang busuk. Cara kawalan dengan membersihkan kawasan ladang untuk mengurangkan sumber penyakit. Buang dan bakar pokok-pokok yang diserang dengan teruk. Potong dan bakar bahagian pokok yang baru diserang. Bersihkan alat memangkas degnan disinfektan (alkohol 90% sodium hydroxide 10%) terlebih dahulu.

2. Penyakit Cendawan Angin 


Serangan penyakit Cendawan Angin disebabkan oleh sejenis kulat (Erytricum simoncolor) menyerang pokok nangka dimana kulat disebarkan melalui angin dan memusnahkan pokok nangka. Pengalaman saya di Projek Nangka Mastura di Segamat dan Mersing mendapati serangan penyakit ini menyebabkan petani kerugian apabila banyak pokok mati selepas diserang. Belum ada kaedah kawaalan yang pasti untuk mengawal masalah penyakit ini. Bagaimana pun kebersihan ladang, amalan agronomi dan pemantauan kerap membantu mengurangkan risiko penyakit ini.

PEROSAK NANGKA:

1. Pengorek Buah
(Margaronia caesalis) 
Serangga inia adalah dari kumpulan  jenis kupu-kupu. Kupu-kupu dewasa akan bertelur pada putik buah nangka dan telurnya akan menetas menjadi larva. Larva yang baru menetas dan yang saya tahu akan mengorek dan masuk ke dalam isi buah. Larva ini akan memakan buah dan meninggalkan lubang di permukaan buah. Bahan buangan atau fras dikeluarkan dari lubang ini. Cara kawalan paling baik dengan membalut buah dua minggu selepas berputik dengan karung kertas. Kawalan semburan dengan racun kimia boleh dijalankan tetapi kurang praktikal.

2. Pengorek Batang 
 (Apriona flavescens)
Ulat Pengorek Batang merupakan serangga daripada kumpulan KUMBANG. Kumbang dewasa akan bertelur dicelah-celah dahan dan telurnya akan menetas menjadi larva. Larva mengorek ke dalam batang dan mengambil masa lebih enam bulan untuk matang. Larva akan mengorek terowong di sepanjang ranting hingga ke dahan dan ke batang utama. Ia mengeluarkan frass melalui lubang yang dikorek. Kesan serangan apabila kita lihat yang daun dan pucuk menjadi kuning dan kering.  Cara kawalan dengan membuat cantasan atau potong dahan ranting dan dahan yang diserang kemudian kita dipangkas dan dibakar.

3. Lalat buah (Bactrocera spp).
Lalat Buah merupakan serangga perosak yang kritikal pada banyak jenis buah-buahan tropika. Lalat Dewasa lazimnya bertelur di dalam buah yang hampir masak. Telur yang menetas menghasilkan larzva atau ulat yang akan mengorek dan memakan isi buah. Cara paling mudah untuk mengawal adalah dengan membungkus buah apabila saiz mencapai 16-18 cm dengan karung kertas. Cara membungkus buah nangka dengan pelbagai bahan pembungkus. Saya ada mencipta alat APC-2 pada tahun 2000 yang menang Naib Johan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam Malaysia bagi membalut putik buah nangka yang tinggi. Kaedah lain kawalan lalat buah dengan penggunaan umpan protein promar dicampur dengan racun perosak seperti malathion kemudian akan disemburkan ke daun. Penggunan bahan penarik methyl-eugenol untuk memerangkap lalat buah. Cara ini mudah dann praktikal dijalankan.

4. Kumbang Pemakan Daun 

(Apogonia spp dan Anderatus spp)
Kumbang ini sering menyerang daun muda dan pokok muda yang baru ditanam. Kesannya daun yang di makan akan rosak (terutamanya daun pucuk muda). Cara kawalan yang disyorkan adalah dengan membungkus buah apabila saiz mencapai 16-18 cm dengan karung kertas. Kaedah ini adalah digunakan sebagai halangan fizikal untuk mengelakkan lalat buah bertelur pada buah. Pastikan kawalan sempurna pada nangka untuk mendapatkan buah nangka berkualiti dan dan boleh dijual dengan harga premium.



Tanaman nangka merupakan satu jenis komoditi yang berpotensi untuk dimajukan dinegara kita dengan varieti yang sesuai dan pengurusan kebun mengikut Amalan Pertanian baik. Nangka yang dihasilkan boleh di jual segar atau pun melalui 'minimum process product' atau pun diproses menggunakan teknologi 'Vacuum Fry'. Galakan penanaman nangka diberikan melalui projek TKPM, Projek Kelompok dan juga projek komersil oleh pelbagai pihak. Diharap dengan memberikan maklumat mengenai perosak dan penyakit tanaman nangka memberikan ilmu berguna kepada pembaca.
Alat Pembalut Putik Nangka (APC-2)
PENYAKIT NANGKA.... MERBAHAYA SEKALI....
PEROSAK NANGKA....PERLULAH  DITELITI.....
KAWALAN IPM....PERLULAH DIPERHATI....
HASIL BERKUALITI....NAK  JUAL PUN PASTI....

By,
M Anem
Room 1204, Prime City Hotel,
Kluang, Johor,
Malaysia.
(20 JamadilAwal 1433H)

PADI AEROB

PADI AEROB atau (Aerobic paddy) merupakan satu jenis padi (Oryza sativa) yang dibangunkan oleh MARDI dimana varieti ini dan didakwa kurang menggunakan air hingga boleh ditanam tanpa air bertakung dan menjimatkan separuh daripada penggunaan air berbanding daripada jenis padi biasa. Bertia Harian pada Jumaat 13 April 2012 telah mempaparkan penemuan ini oleh Dr Sariam Othman iaitu Penyelidik MARDI seperti keratan akhbar dibawah.  Padi jenis ini boleh ditanam dengan tidak menggunakan sawah padi biasa yang banyak air bertakung tetapi boleh ditanam seperti kita menanam jagung, sayuran atau pokok tanaman kontan lain.  Lazimnya tanaman padi sawah (bukan padi huma) menggunakan air yang banyak dimana daripada kajian menunjukkan 50% daripada air untuk pertanian adalah digunakan untuk tanaman padi.  Laporan itu juga menyebutkan sebanyak 2,000 liter air diperlukan untuk menghasilkan 1 kilogram padi. Artikel subuh Jumaat ini saya bincangkan dalam "Anim Agro Technology" penemuan teknologi  ini yang perlu kita ambil tahu selepas baca surat khabar Berita Harian.   


Padi adalah tanaman penting dan strategik didalam negara dengan kawasan keluasan sawah padi sekitar 670,000 hektar setahun untuk pengeluaran Tahap Sara Diri Beras (SSL) sekitar 76% dalam negara. Penanaman padi di kawasan Jelapang Padi menerima subsidi yang banyak untuk mempastikan tanaman ini diteruskan bagi bekalan beras negara.  Jika padi Aerob ini dapat ditanam dengan berkesan malahan kita mampu menambah bekalan beras negara. Padi ini sesuai ditanam diatas tanah biasa dan hanya memerlukan air ketika tiada hujan dan boleh diberikan air melalui sistem pengairan renjis (sprinkler system) atau air paip untuk membasahi tanah. Tempoh matang padi aerob juga lebih pendek iaitu cuma 90 hari  berbanding dengan padi sawah selama 110 hari.  Ini bermakna penggunaan tanah dapat ditingkatkan kerana tempoh penanaman yang singkat.  Padi Aerob boleh ditanam semula setiap 3 bulan berturutan... dan kalau setahun banyak kali boleh tanam. Kajian yang bermula dari tahin 2005 menggunakan teknologi benih asas daripada daripada IRRI, Filipina. Benih AERON 1 kini sedang dalam proses pembiakbakaan (Breeding program) dengan padi huma tempatan untuk mendapatkan lebih banyak lagi varieti padi aerob. Padi baru ini diharap mengeluarkan hasil tinggi, kurang menggunakan air serta tahan daripada serangan perosak dan penyakit.


Gambar hiasan sahaja.
Walau pun kajian menunjukkan padi aerob menghasilkan kurang 20% daripada padi sawah, jenis ini mungkin sesuai ditanam bukan dikawasan sawah padi yang semakin kurang keluasannya setiap tahun.  Masaalah ini saya percaya kita boleh atasi dengan kaedah amalan agronomi seperti penggunaan baja dan kawalan perosak dengan lebih cekap. Mungkin penggunaan baja tambahan seperti baja organik dan baja foliar akan membantu dalam penyelidikan untuk meningkatkan hasi padi aerob.  Kajian oleh MARDI yang dijalankan di Jelebu (Negeri Sembilan), Seberang Prai (Pulau Pinang) dan Kota Kinabalu (Sabah) akan diteruskan sehingga teknologi dan bekalan benih akan disebarkan nanti untuk ramai petani. Kita berdoa agar kajian ini untuk menghasilkan padi aerob akan berjaya.  Saya fikir ramai yang menungu bila benih akan diedarkan bersama dengan teknologi amalan agronomi untuk ditanam secara komersil dan agak-agak berapa kos sekilograam nanti?.

Kini setelah lebih 2 tahun pengenalan padi aerob dilakukan apakah kejayaan yang telah dicapai?. Penanaman padi ini di Bera, Pahang dilaporkan gagal dan penanaman di Serkan Pantai, Melaka juga dilaporkan agak kurang memberangsangkan. Penanaman di Negeri Sembilan masih diperingkat pemerhatian menggunakan benih daripada Melaka. Isu teknologi dan bekalan benih padi untuk penanaman padi aerob masih kabur. Permintaan petani yang ingin menanam padi ini setelah dilancarkan amat memberangsangkan. Dakwaan mengenai hasil sebenar dan amalan agronomi sebenar perlu didedahkan oleh pihak yang menghasilkan teknologi tersebut. Saya sebenarnya memang ingin melihat penanaman padi aerob ini berjaya dimasa akan datang dengan bekalan benih yang berkualiti dan mudah didapati. Kos pengeluaran sebenar dan kawalan perosak dan penyakit juga perlu diberikan kepada petani yang minat menanamnya. Semuga penyelidikan lanjut dan teknologi sesuai dapat dihasilkan mengenai penanaman padi aerob dimasa akan datang. Wasallam!


PADI AEROB.....PADI JENIS BARU......
TIDAK PERLU SAWAH...AIR SIKIT TAU....
CEPAT DITUAI....KITA PASTI TUNGGU...
BILA BENIH NAK KELUAR....TAK TAU....


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Room 1204, Prime City Hotel,
Kluang, Johor,
Malaysia.
(20 JamadilAwal 2012)   

Wednesday, April 11, 2012

KULTIVAR NENAS

KULTIVAR NENAS (Ananas cosmosus) yang ditanam di Malaysia terdiri daripa 3 kumpulan yang besar iaitu Jenis Nenas CAYENE, Nenas SPANISH  dan juga Nenas QUEEN. Keluasan penanaman nenas di negara kita terus naik daripada seluas 14,833 hektar (2005) kepada 15,311 (2007) , 15,792 hektar (2009) dan seluas 17,601 (2010) seperti dilaporkan dam Laporan Agromakanan MOA 2011.  Sebanyak 416,070 metrik tan nenas dihasilkan pada tahun 2010 yang bernilai RM 644.908 juta dengan purata pengeluaran nenas negara sekitar 25.1 metrik tan sehektar. Negeri Johor merupakan pengeluar utana nenas di Malaysia dengan kawasan seluas 9,830 hektar (57% dari keluasan di Malaysia) dan menghasilkan sebanyak 163,830 metrik tan pada tahun 2010. Industri nenas telah lama di usahakan di Johor terutama ditanam diatas tanah gambut untuk di kaleng (ditinkan) atau pun untuk jualan nenas segar. Selama 14 tahun bertugas di negeri Johor, saya rasa memang menjadi kelaziman untuk melaksanakan banyak projek penanaman nenas terutama pembukaan kawasan tanaman nenas baru seperti di Bt 14, Air Hitam, Muar dan banyak lokasi di Kluang, Batu Pahat dan Pontian. Artikel pagi ini sempena cuti hari Pertabalan Yang DiPertuan Agong saya menulis artikel mengenai Klutivar Nenas yang popular di Malaysia.


KUMPULAN CAYENE
Kultivar atau janis nenas kumpulan ini mempunyai saiz buah yang besar, mata buah yang rata, isinya berwarna kuning pucat dengan kandungan gula dan asid yang tinggi. Pemerhatian saya mendapati nenas jenis ini menunjukkan pertumbuhan tampang (vegetative growth) yang cepat dengan tepi daunnya halus dan berduri dibahagian hujong sahaja. Nenas jenis ini popular ditanam dibanyak lokasi seluruh dunia untuk dikalengkan  dan mempuyai bentuk buah yang tirus. Senang sahaja nak kenal nenas ini iaitu Nenas Sarawak dan Smooth Cayene daripada saiznya dan bentuknya.  Kelebihan jenis ini dikatakan rintang terhadap penyakit reput teras dan juga penyakit buah hantu.  Di kampong saya memang ada tanam nenas ini ditepi parit dan rasanya agak masam... maklumlah tidak pernah berbaja pun kerana amalkan konsep 3T (Tanam, Tinggal, Tuai sahaja).


Pokok Nenas Sarawak (macam mana pulak dapat nama 'Sarawak'...sedangkan yang banyak tanam di Johor...di Sarawak nenas ini saya dapati dipanggil sebagai nenas 'Paun'). Ketinggian pokok sekitar 120 cm dengan bilangan daun sekitar 60 -80 helai semas pokok tersebut berbunga. Apa yang saya lihat di belakang rumah dulu daunya berwarna hijau dengan pigmentasi merah ungu disepanjang bahagian tengah daun dan ianya berduri tajam dibahagian hujung. Kalau kena duri dia.....mak ooi, luka dan gatal. Nenas ini mempunyai buah paling besar dengan 2-4 kg sebiji bergantung kepada jenis tanah dan kesuburan pokok.  Buah nenas Sarawak berbentuk tirus dengan warna kulit hijau gelap. Maklumat dari ramai petani juga mengesahkan nenas ini kurang resposnsif terhadap hormon pil ANA untuk berbuah kerana jenis iani dipengaruhi suku dan fotokala untuk berbuah. Kajian saintis menunjukan jenis ini perlukan suhu 20 Celsiu dengan sinaran siang yang pendek yang tiada di Malaysia.  Jenis nenas ini sentiasa dalam keadaan tampang (Vegetative) sahaja di negara kita dan sukar untuk di aturkan penghasilan buah nenas Sarawak yang seragam dan komersil.  Sesekali dapat makan Nenas Sarawak yang cukup masak dan baru dipetik...wow memang manis dan masam, sampai orang jawa kata 'LIDAS'.


KUMPULAN SPANISH
Nenas Jenis Kumpulan Spanish adalah popular ditanam di Malaysia untuk tujuan pengeluaran bagi nenas Kaleng (untuk di tinkan). Antara yang memang semua tahu adalah jenis Masmerah dan Gandul. Kedua-dua jenis ini telah ditanam di Johor semenjak lama dimana pokok ini mempunyai 35 - 70 helai daun dengan ketinggian pokok 100 cm. Pemerhatian saya dapati daunnya mempunyai duri dibahagia hujong dan yang istimewa ialah kerana ia mempunyai banyak 'Tunas Slip' antara 2-12 tunas yang terbit pada pangkal buah.  Jambulnya (Crown) nenas ini juga besar dan kadang-kadang terjadi berbilang dan juga menjadi pipih bentuknya. Saiz buah jenis ini sederhana besar sekitar 1.3 kg sebiji yang berbentuk selinder, mata agak dalam dan warna buah hijau bertukar ke ungu gelap atau jingga kemerahan apabila masak.  Isinya berwarna kuning keemasan dan berserabut. Buah ini tahan lasak dan tidak mudah lebam walau pun pengendaliannya kasar. 


Buah kumpulan Spanish seperti Nenas Gandul mempunyai empulur yang kecil dengan garispusat sekitar 1.8 - 2.2 cm serta mengandungi kadar gula agak rendah (sekitar 10 -12 darjah Brix sahaja) dan kandungan Asid Sitrik sebanyak 0.3 -0.6% sahaja. Nenas jenis ini kurang diserang penyakit yang lazim menyerang tanaman nenas dan mudah bertindakbalas dengan Aruhan Pembungaan. Lazimnya pil ANA atau pun Etephon akan dibubuh pada pokok yang telah sedia untuk di galakan pembungaan ( Sekitar 8 bulan ). Pokok nenas ini boleh diprogramkan bila masa menanam dan bila masa untuk menuai dengan kiraan yang betul dan jadual penanaman yang boleh di programkan. 


KUMPULAN QUEEN
Kumpulan Nenas Queen merupakan antara yang paling popular ditanam di Malaysia. Siapa yang tidak pernah dengar Nenas Moris?.... Nenas jenis ini merupakan nenas yang luas ditanam untuk kegunaan segar dan di masak untuk dibuat paceri dan sebagainya. Nama lain dalam kumpulan ini seperti Nenas Tailung 2 di Taiwan dan Nenas Common Rough, Nenas Ripley Queen yang ditanam di Australia. Saya memang biasa sangat dengan nenas Moris dimana ianya manis (Gula antara 13-18 darjah brix) dan bentuk buahnya yang tirus. Nenas ini tidak sesuai untuk dikaleng kerana saiznya kecil dimana tekstur isinya rapuh dan warna kuning keemasan yang menarik bila cukup masak.  Pokoknya paling kecil dibanding dengan jenis lain dengan warna daun hijau kebiruan serta ungu dibahagian tengahnya dan mempunyai duri. Buah yang kecil berwarna hijau gelap dan tidak mempunyai slip tetapi mampu menghasilkan sulur (suckers) yang banyak. Kultivar ini mampu menghasilkan buah 1 bulan lebih awal daripada kumpulan Cayene dan Spanish.


Nenas Moris (Nama asal saya fikir 'Mauritius' agaknya) merupakan nenas yang ditanam untuk makan segar dengan jangkamasa menuai singkat sekitar 9-10 bulan sahaja. Nenas jenis ini sangat responsif atau bertindakbalas dengan baik terhadap pengaruhan pembungaan menggunakan pil ANA atau bahan hormon yang lain. Penanaman lazim menggunakan bahan tanaman daripada sulur batang yang banyak diperolehi selepas menuai buah dan mencantas daunnya. Daripada beberapa lawatan kekebun petani, didapati ada beberapa spesis atau varian nenas jenis ini seperti Nenas Moris Sungai Balang (Di Muar lah tu - istimewa kerana ianyanya paling manis sekitar 16 - 18 Darjah Brix), Nenas Moris Slipping (Jenis ini pelik sikit kerana ada slip) dan juga Nenas Moris Besar (Buahnya besar sekitar 1.5 - 1.8 kg sebiji). Memang dibelakang rumah ada beberapa pokok nenas moris dibawah pokok getah dan pokok kelapa sawit. Walau pun ianya tumbuh dibawah naungan tetapi ada juga buahnya kalau rajun tengok, tetapi buahnya agak masam sedikit. 
Diharap entry kali ini memberikan pengetahuan berguna daripada saya untuk anda. Sekilas kata-kata.... 


KUMPULAN NENAS...3 KULTIVAR SEMUANYA....
NENAS CAYENE....MEMANG BESAR SAIZNYA...
NENAS GANDUL...DITINKAN CARA GUNANYA....
NENAS MORIS ..SIAPA TIDAK KENAL DENGANNYA....


Related Articles:
1. Nenas (Klik disini)
2. Nenas MD2 (Klik disini)
3. Benih Tanaman Nenas (Klik disini)
4. Nenas Moris Kedah (Klik disini)
5. Nenas Organik (Klik disini)
6. Nenas Pada Sarawak (Klik disini)
7. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)


By,
M Anem
Gersik, Muar,
Johor, Malaysia.
(18 JamadilAwal 1433H) 

Tuesday, April 10, 2012

KHASIAT BELIMBING

BELIMBING (Averrhoa carambola) merupakan sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Oxalidaceae yang ditanam untuk kegunaan segar di Malaysia. Laporan Jabatan Pertanian menunjukkan terdapat seluas 1,256 hektar tanaman belimbing dengan tumpuan utama di Selangor. Tanaman belimbing ini telah menghasilkan sebanyak 14,270 metrik tan yang bernilai RM 15.6 juta pada tahun 2011. Malaysia merupakan negara pengekspot utama belimbing ke Eropah semenjak sekian lama dimana belimbing tersebut digunakan sebagai 'garnishing' dan bukan untuk dimakan segar seperti kegunaan domestik. Artikel subuh ini saya meulis khasiat yang ada pada belimbing untuk tatapan dan bacaan anda. Maklumat ini merujuk kepada sebuah buku karangan Ong Hean Choi yang saya beli dari kedai buku minggu lepas.


Penanaman belimbing lazimnya ditanam menggunakan anakbenih datipada tut walau pun ada yang cuba gunakan biji. Pokok penanti dari biji akan dicantum dengan klon terpilih seperti VArieti B10 atau B17. Varieti B2 selalu digunakan sebagai pokok pendebunga kepada 2 varieti utama tadi. Pokok belimbing berbuah selepas 1.5 - 2 tahun di tanam dan mempnyai 2 puncak pengeluaran utama dalam setahun. Masaalah serangan Lalat Buah (Bactocera carambolae) merupakan isu penanaman belimbing dan buahnya perlu dibalut dengan kertas untuk elakkan serangan lalat buah.


Pokok Belimbing sederhana besar dengan ketinngian mampu mencapai 15 meter tetapi lazimnya dibuat cantasan intensif untuk ketinggian optima 2 meter sahaja. Ini kerana kerja membalut buah dan pengurusan lain mudah dilakukan. Dahan yang tumbuh menegak perlu diikat untuk melempai kebawah. Daun belimbing adalah jenis majmuk dimana terdapat 3-6 pasang daun satu tangkai. Bunga belimbing dalam jambak yang berwarna merah muda dan ungu ditengahnya dikeluarkan dari dahan, batang dan ranting pokok.  Buah Belimbing mempunyai 5 segi yang berwarna hijau ketika muda bertukar kekuningan emas apabila cukup matang.


Setiap 100 gram buah belimbing mengandungi 90% air, 0.75% Protin, 0.7% serabut dan 3.5-11% gula. Rasa masamnya kerana kandungan asid citrik bagi buah muda. Kebanyakan varieti B10 dan B17 yang ditanam adalah jenis belimbing manis apabila cukup matang.  Jenis ini mengandungi asid citrik yang rendah tetapi tinggi kandungan asid oksalik.  Zat Kalium juga tinggi dalam buah belimbing. Selain iatu vitamin A, Vitamin C dan Vitamin B juga signifikan tingginya dalam buah belimbing. Saya memang suka makan belimbing sederhana masak pada indeks 3,4 atau 5 kerana ada rasa masam manis.


Buah Belimbing mengandungi banyak khasiat terutama vitamin A yang didakwa berupaya mengawal degupan jantung, keseimbangan cecair dan kitaran ion dalam saluran darah. Lazimnya kita makan buah belimbing segar terus atau di kisar untuk dijadikan jus belimbing. Cara lain makan belimbing dengan dijadikan 'dessert' bersama buah-buahan lain. Ada juga buah belimbing diproses untuk dijadikan jem, jeli dan manisan seperti halwa.  Buah muda pula ada yang dibuat acar untuk dimakan dengan nasi. Buah belimbing muda yang masam boleh digunakan sebagai bahan pencuci untuk perkakas berasaskan logam.


Dalam pada itu belimbing mempunyai khasiat perubatan dimana buah belimbing yang ditumbuk lumat dan ditampal pada luka akan menghentikan pendarahan.  Kalau diletakkan pada bisul juga akan mencuci nanah. Buah belimbing yang dijadikan jeruk dengan garam dan dimakan akan meredakan perut selepas muntah atau mabuk. Jus belimbing (lihat foto) yang diminum menghilangkan kehausan dan sangat lazat. Ianya merangsang buang air kecil, penghasilan air liur dan mengatasi masaalah kulit yang kekurangan vitamin C.  Bunga belimbing yang direbus mampu membunuh cacing dalam perut dan usus kita.  Daun belimbing yang dilumatkan dan dicampur bahan lain boleh merawat demam panas dan kulit berbintil yang gatal.  Air rebusan bunga dan daunya juga mampu merawat muntah, batuk dan sakit kerongkong. 


By,
M Anem

Pct 11, Putrajaya,
Malaysia.
(17 JamadilAwal 1433H)

TAMAN FLORIKULTUR

TAMAN FLORIKULTUR merupakan satu konsep taman (Garden landscape) daridapa kumpulan pokok bunga-bungaan, tanaman hiasan atau pun tanaman untuk taman. Ramai diantara kita melihat bagaimana tanaman florikultur ini dipilih bagi mendapatkan kombinasi yag terbaik untuk menghias kawasan taman dan membuat landskap. Antara tanaman yang lazim ditanam untuk kawasan taman adalah pokok-pokok renek, pokok kayu dan pokok menjalar yang mempunyai pelbagai warna daun, warna bunga, bentuk atau shape pokok dan pelbagai ciri menarik yang lain. Pemerhatian saya di beberapa taman bunga mendapati beberapa jenis pokok renek ditanam dengan susunan yang rapi dan kemas. Antara jenis konsep taman-taman yang boleh dilihat adalah seperti Konsep Taman Oriental, Taman Orkid, Taman Bunga Raya, Taman Heliconia, Taman Frangipani dan juga Taman Wangian. Artikel malan ini saya menulis konsep taman-taman ini mengikut pembacaan dan pemerhatian penulis sendiri.


Taman Oriental merupakan satu onsep taman dimana kita akan menggabungkan pelbagai unsur oriental dengan menggunakan pelbagai jenis pokok. Pokok-pokok lain yang sesuai ditanam untuk konsep ini seperti pokok Bottle Brush, Weeping Tree, Rain Lily, Agave, Pordocarpus, Kemboja Cina dan juga Dessert Rose. Tanaman-tannaman ini merupakan satu kombinasi yang pentingkan pokok seserhana tinggi, berbunga dan batang pelbagai corak serta nyaman. Sering konsep ini dimuatkan dengan jambatan batu yang ada susunan batu sungai  iaitu batu-batu berwarna putih dan yang memberikan gambaran aliran sungai dibawahnya. Konsep ini tidak memerlukan kawasan yang luas untuk dilaksanakan.  


Taman Orkid pula memang satu konsep taman yang banyak bungak orkid dari pelbagai jenis dan spesis. Taman ini mengumpulkan pelbagai jenis orkid yang popular di Malaysia seperti Orkid Mokara, Dendrobium, Vanda, Aranda, Oncidium dan Cattleya yang mempunyai pelbagai warna menarik dan bentuk yang berbeza-beza. Lazimnya taman orkid memang menjadi satu tarikan yang kuat daripada peminat-peminat orkid untuk melihat, menikmati dan meneliti bunga-bunga orkid yang disusun atas tanah, dalam pasu, digantung dan sebagaina.  Taman Bunga Raya diujudkan bagi mengumpulkan pelbagai jenis bunga rara (Hibiscus rosa sinensis) yang bepuloh-puloh spesis daripada yang popular berwarna merah sehingga putih, kuning, ungu, oren dan kombinasi pelbagai warna. Bunga Raya merupakan bunga kebangsan Malaysia yang perlu ditanam untuk meningkatkan kecantikan dikawasan yang sesuai. Antara jenis bunga raya yang popular seperti Hibiscus rosa sinensis 'Frank's Lady', H. rosa sinensis 'Siti Hasmah', H. rosa sinensis ' Pink Beauty', H. rosa sinensis 'Nori' dan  banyak lagi. 


Taman Heliconia dan Croton (Pokok Puding) pula menempatkan spesis pokok tersebut dalam satu kawasan yang mempunyai susunan yang menarik. Bunga Heliconia atau Sepit Udang ini mempunyai pelbagai bentuk dan warna warni serta mampu bertahan lama menjadikan tanaman ini sangat disukai ditanam di Malaysia. Antara jenis pokok heliconia yang popular adalah Heliconia estrada, Heliconia bihai, Heliconia indica 'Spectabilis', Heliconia chartacea dan Heliconia psittacorum 'Sassy'. Pokok ini mudah dijaga dan tidak banyak masaalah serangan perosak. Pokok Puding pula diketahui mempunyai pelbagai warna, bentuk dan tekstur daun dimana sesuai digabungkan menjadi satu daya tarikan tersendiri. Antara pokok puding yang popular seperti Mona Lisa Croton, The Rex Croton, Collet Croton, Ablicans Croton, Red Thia Croton dan Alexander Croton.


Taman Franggipani memang pelik bunyinya. Tetapi ia sebenarnya adalan taman pokok Bunga Kemboja yang ditanam dengan susunan yang sesuai. Bunga kemboja mempunyai pelbagai warna, bentuk dan indah jika dipelihara dengan baik. Ia boleh ditanag ditepi jalanraya dalam barisan. Antara varieti pokok kemboja seperti Plumeria alba, Plumeria obtus, Plumeria rubra dan Plumeria pudica. Taman Wangian pula menempatkan pelbagai jenis tumbuhan yang berbau harum atau ada aroma. Antara pokok tersebut seperti Pokok Bunga Kenanga, Bunga Cempaka, Bunga Tanjung, Bunga Melati, Bunga Kemuning dan sebagainya.  Selain daripada aroma yang dihasilkan dan kecantikannya, bunga jenis ini boleh digunakan sebagai bahan untuk peubatan, kosmetik dan haruman. Semuga artikel ini membuka sedikit hati anda untuk menanam pokok bunga!..Wasaalam.


By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia.
(18 JamadilAwal1433H)     

Monday, April 9, 2012

IKAN HARUAN

IKAN HARUAN (Chana striatus) atau lebih dikenali sebagai 'Snakehead Fish' merupakan sejenis ikan karnivor yang hidup didalam air tawar.  Satu lagi jenis ikan haruan Besar atau Giant Snakehead (Chana micropeltes) yang juga dipanggil sebagai Giant Mudfish adalah dari kumpulan yang sama. Ikan Toman (Chana melanostoma) juga dari kumpulan ikan haruan yang mudah kita jumpa didalam tasek, sungai, taliair dan kawasan sawah padi. Saya memang suka mengail ikan haruan di Sungai Parit Bengkok depan rumah atau di Kawasan Sawah Ring di Muar. Kadang2 mengail dimana-mana paya atau lubuk ikan di sekitar kampong semasa muda dahulu bersama rakan-rakan sekampong. Mengail ikan haruan memang sangat menyeronokkan kerana daya tarikan atau sentapan yang kuat pada ikan haruan sungguh hebat!... Jarang-jarang kita semasa memancing ikan haruan yang terlepas semula, ini kerana ikan haruan akan makan habis umpan yang digunakan. Malam ini saya menulis sedikit info megenai teknologi ternakan ikan haruan dan maklumat berkaitan dengan ikan haruan untuk pembaca semua berdasarkan pengalaman sendiri, kajian dan rujukan beberapa sumber.


Terdapat banyak spesis ikan haruan yang kita boleh jumpa di Malaysia dimana ada 4 Kumpulan Utama ikan haruan yang boleh kita kenal dengan mudah. Ikan tersebut adalah Ikan Haruan Todak (Chana gachua), Ikan Haruan Palas (Chana melasoma), Ikan Haruan Bunga (Chana marulloides) dan juga Ikan Haruan Bujuk (Chana lucius). Kesemua jenis ikan ini saya pernah jumpa dan dapat semasa memancing dibeberapa lokasi dikawasan kampong yang dekat dan jauh. Ikan Haruan Todak  juga dipanggil sebagai Ikan Kedak yang terdapat dikawasan air jernih dan kawasan sungai berjeram. Ikan jenis ini memakan anak udang, serangga-serangga kecil dan anak ikan lain. Ikan Haruan Palas pula berwarna kebiru-biruan dibahagian bawah badan semantara bahagian lainnya berwarna gelap kehitaman. Habitat ikan ini dikawasan-kawasan paya yang airnya mempunyai pH rendah (Sedikit asidik) dan memakan anak udang, cengkerik, cacing dan juga katak. Ikan Haruan Bunga atau Toman Bunga pula kadang2 dipangil Ikan Jelai, Jaloi, Kuang dan Kerandang yang hidup dalam air tawar. Habitatnya adalah kawasan berpaya, sungai, tasek dan kawasan paya tanah gambut. Ikan ini makan anak udang, anak ikan, cengkerik, cacing dan cengkerik. Ikan Haruan Bujuk pula mempunyai kepala seperti kepala ular dengan badannya mempunyai corak-corak yang menarik. Habitatnya sama dengan ikan haruan lain.


Ikan haruan dipercayai native di kawasan Asia Tenggara sehingga beberapa kawasan di India. Kebanyakan ikan ini secara semulajadinya adalah hidupan liar (wild fish) yang tinggal dikawasan air tawar seperti dalam sungai, tasek, paya dan juga kawasan yang ada air yang sesuai. Anak ikan haruan diperlihara oleh pasangan induknya dan daripada beratus-ratus ekor anak yang menetas, lazimnya tinggal beberapa ekor sahaja yang 'survive' kerana dimakan oleh induknya....maka ujudlah peribahasa ' Haruan Makan Anak'. Anak haruan yang baru menetas sangat halus berwarna merah coklat dan berkumpul dimana induknya bersarang dengan mengeluarkan buih diatasnya.  Semasa induknya menjaga anak, kadang-kadang umpan pancing kita pun dia tak layan.... maklumlah anak-anaknya untuk dimakan masih banyak. Lazimnya untuk menternak ikan haruan perlukan anak haruan liar yang dikutip.


Pada masa ini ikan haruan telah diternak dengan teknololgi yang dipelopori oleh orang-orang dari Thailand memandangkan populasi ikan haruan telah berkurangan kerana aktiviti menangkap yang berterusan, pembiakan yang lambat, penggunaan racun dan kesan kualiti air yang terus menurun.  Di Thailand ikan haruan jenis Channa striatus sahaja yang boleh dikomersilkan (Lihat foto). Ikan ini perlukan masa selama 6-9 bulan untuk sesuai dituai berbanding dengan jangkamasa ternakan ikan keli suma 5-6 bulan sahaja. Jika ikan haruan diternak lama maka ianya akan memerlukan bahan makanan sehingga 70% dari kos pengeluaran.  Kolam ternakan ikan haruan di Thailand lazimnya seluas 800 - 1,600 meter persegi dengan ada sumber air bersih dan kedalaman kolam sekitar 1.5 - 2.0 meter.  Beberapa kolam (sekurang-kurangnya 3 unit) disediakan untuk  sekurang-kurangnya 3 peringkat penternakan ikan haruan.  Bahagian dasar kolam dikeringkan selama 3 hari dan diisikan dengan lapisan pasir pada dasar kolam. Isikan air sebelumdimasukan anak benih ikan haruan.


Pemerhatian saya di Projek Ternakan Ikan Haruan kepunyaan Hj Usop di Kg Gadek , Alor Gajah, Melaka mendapati, anak benih ikan haruan lazimnya di perolehi daripada pencari anak haruan liar di Sawah Gadek Dalam dan disimpan dalam tangki beroksijan serta diberi makan pelet halus.  Anak benih haruan lazimnya banyak (peak season) pada bulan May- September walau pun ada juga pada musim bulan lain. Anak benih ini diasuh dalam tangki sehingga 10 hari (atau sekitar 1-2 cm) yang diasingkan dalam jaring halus. Mana-mana anak ikan yang telah mencapai ukuran 1-2 inci boleh dipilih untuk dimasukkan kedalam kolam pembesaran atau tangki lain. Kadar harga anak benih haruan diantara RM 0.40 - RM 1.00 seekor bergantung kepada saiz dan jenis. Kadar stok ikan yang diamalkan sekitar 75 ekor/ meter persegi (kadar biasa) atau sebanyak 460 ekor/meter persegi (sistem padat). Kadar stok ini tidak menjamin bilangan ikan haruan yang akan jedi dewasa untuk dituai kerana ianya jenis karnivor yang akan makan sesama sendiri.


Makanan pelet ikan diberikan pada peringkat awal kemudian ikan baja yang dicincang diberikan sebanyak 3 kali sehari sehingga ikan bersaiz jari tangan. Makanan tambahan daripada baja ikan dan dedak padi diberikan sebanyak dua kali sehari beberapa minggu kemudian. Ikan haruan akan diberikan makan sekali sehari diperingkat bulan ke 7- 9 dan pastikan memberi makan ikut jadual. Pengalaman saya mendapati jika berlaku HUJAN-PANAS serentak dengan pancaran matahari terik, banyak ikan haruan akan mati keesokannya. Walau pun tidak ada laporan saintifik punca ini berlaku,  tetapi saya agak ada kaitan dengan suhu kolam dan pancaran matahari yang berubah secara mengejut. Ikan haruan sukar untuk dilihat ujud dalam kolam ternakan. Sukar juga hendak kira bilangan yang hidup kalau kolam ternakan agak luas dan airnya dalam. Sebaiknya buat kolam ternakan ikan haruan yang kecil-kecil agar senang di uruskan terutama membuat pemisahan ikan besar dengan ikan yang lambat membesar (kecil)...nanti dimakan ikan besar.


Masaalah utama menternak ikan haruan adalah Kadar Kematian yang tinggi secara mengejut dan ini juga yang menyebabkan penternakan ikan haruan merupakan penternakan ikan air tawar paling banyak risiko kerugian. Sehingga kini banyak saintis yang cuba mencari jawapannya tetapi belum mendapat jawapan yang konkrit. Ikan haruan yang mati dan dapat dilihat perlu dikutip dan dibuang keluar kerana ianya akan menyebabkan kuman merebak dan akibatkan lebih banyak kematian.  Saya dapat laporan dari kawan2 yang menternak ikan haruan, katanya 2 kali waktu ikan sering haruan mati banyak iaitu pada umur sekitar 60 -70 hari dan pada umur 230-250 hari selepas ternakan dalam kolam. Penggunaan ubatan antibiotik didapati boleh membantu mengurangkan kadar kematian dengan kadar antibiotik sebanyak 2 kg dicampur dengan 850 kg ikan baja dan 35 kg dedak padi. Selain dari masaalah penyakit, kos untuk ikan baja adalah sangat tinggi dan perlu konsistent serta mahal harganya. Itulah sebab industri menternak ikan haruan amat lambat berkembang. 


Menternak ikan haruan mengambil masa 7 - 10 bulan sebelum sedia untuk dituai bergantung kepada spesis, cara-cara pengurusan, kualiti air dan juga kepadatan stok dalam kolam.  Saiz ikan haruan yang sesuai untuk dituai apabila berat badannya sekitar 600 gram hingga 1 kg seekor mengikut kehendak pasaran. Cara menuai adalah dengan menggunakan jaring ikan (lihat foto sebelah) sebanyak 4-5 kali tangkapan. Pada kali terakhir kolam akan dikeringkan dan tuai semua ikan yang ada dalam kolam sehingga semuanya dikutip. Ikan yang dikutip dimasukkan kedalam tong mengandungi air bersih untuk dijual hidup. Ikan ini digredkan sebelum dihantar kepada pembeli. Kajian menunjukkan kadar penghasilan sebanyak 12-20 metrik tan seekar atau kadar hasil sebanyak 9-15 kg/meter persegi. Harga ex-kolam di Melaka sekitar RM 8.00 - RM 12.00 sekilogran dan di pasar dijual dengan harga runcit sekitar RM 15.00 - RM 18.00 sekilogram. 


Apa khasiat ikan haruan ini?..... Ramai percaya ikan haruan mengandungi zat Asid Arachindonis yang baik untuk tujuan menyembuhkan luka-luka dalaman terutamanya selepas membuat surgeri atau pembedahan.  Ikan ini mengandungi banyak vitamin, asid amino, protein dan lendirnya juga ada kalogen yang berguna untuk kesihatan dan kecantikan kulit. Saya paling suka makan ikan haruan goreng dimakan dengan nasi panas. Orang Cina memang suka makan ikan haruan yang di masak sup untuk kesihatan dan bagi mendapatkan khasiat ikan aharuan yang optima. Pada masa ini banyak usahawan yang telah berjaya menghasilkan pati ikan haruan yang dijual sebagai makanan tambahan untuk kesihatan.  


Ikan Haruan merupakan ikan yang saya fikir jenis Eksotik kerana ianya sukar diternak dan harganya tetap tinggi. Dulu masa duduk kampong hampir setiap bulan dapat makan ikan haruan kerana dapat memancing dikawasan kampong dan di kawasan sawah. Kini apabila sudah duduk di Putrajaya susah hendak dapat bekalan yang segar dan murah. Bagaimana pun kita boleh dapat khasiat pati ikan haruan daripada beberapa usahawan dalam bentuk cecair, kapsul dan pill (seperti foto sebelah) dengan mudah difarmasi dan kedai ubat. Kita kena baca apa yang ditulis pada label dan syarikat yang produk ikan haruan yang mengeluarkanya sama ada ianya berwibawa atau tidak. Selamat menikmati ikan haruan........


IKAN HARUAN...MEMANG BANYAK GUNANYA.....
SELEPAS PEMBEDAHAN...RAMAI CARINYA...
SUKAR DITERNAK...BANYAK MASAALAHNYA...
HARGANYA MAHAL...TOLONG JANGAN TANYA...


By,
M Anem
Kg Parit Bengkok, Gersik.
Ledang, Johor,
Malaysia
(16 JamadilAwal 1433H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...