Support My Blog

Tuesday, September 19, 2023

KEPENTINGAN HUTAN HUJAN TROPIKA MALAYSIA (Pt 2)

HUTAN (Forest)
adalah merujuk kepada suatu formasi yang dikuasai oleh pokok. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hutan hujan tropika yang luas dimana ia masih kekal dijaga dengan baik sehingga kini. Penulis blog merujuk kepada perkataan 'hutan' itu sendiri dimana ia adalah merujuk kepada tiga konsep yang berlainan iaitu didalanya berdiri banyak pokok atau tumbuh-tumbuhan yang merupai pokok, di seluruh komuniti terdapat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang dikuasai oleh pokok dan juga dimana seluruh sistem komuniti yang dikuasai oleh pokok yang berfungsi dimana ia juga termasuk substrat abiotik dan persekitaran atmosferanya. Penting untuk mengetahui akan apakan dia makna 'hutan hujan' agar ia mudah difahami.  Hutan hujan adalah sebagai satu komuniti tumbuhan yang padat dengan pokok-pokok yang mempunyai adaptasi terhadap kelembapan di mana ia mempunyai daun-daun yang lebar walaupun saiz daun bukanlah ciri utama dalam pembentukan jenis hutan hujan. Lazimnya struktur hutan hujan terdiri daripada dua atau lebih peringkat pokok-pokok dan tumbuhan renek yang turut berinteraksi bentuk tumbuhan yang lain seperti pepanjat, palma dan episit. Seterusnya dijelaskan maksud 'Hutan Hujan Tropika' atau dalam bahasa Inggeris sebagai ' Tropical Rainforest' iaitu ia merupakan jenis-jenis pembentukan tumbuh-tumbuhan yang bebas serta turut ditentukan oleh faktor alam sekeliling selain daripada kelembapan. Takrif hutan tropika juga merangkumi lingkungan habitat darat dan habitat separa darat yang luas di zon inter-tropika. Lokasi hutan hujan tropika berada di zon tropika di antara 23027 Utara dan 23027 Selatan. Pada masa kini kawasan-kawasan hutan di Semenanjung Malaysia adalah diwakili oleh hutan hujan tropika ini selain daripada hutan hujan tropika di Afrika, Latin Amerika, Amerika Selatan, Indo-Australia dan Asia Selatan. Dilaporkan dimana struktur hutan tanah rendah di Semenanjung Malaysia adalah satu profil yang berlapis. Lapisan-lapisan itu terdiri daripada pokok-pokok renjong, silara utama, tumbuhan tingkat bawah dan tumbuhan permukaan tanah. Hutan di Malaysia merupakan satu aset negara yang penting dalam menyumbang kepada ekonomi dan juga kelestarian alam sekitar. Menjaga hutan merupakan satu perkara penting dijalankan oleh kerajaan dimana perlu ada akta dan kawalan berkaitan hutan untuk generasi akan datang. Artikel subuh Sabtu ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya kongsikan maklumat bagaimana kepentingan hutan terutama di negara Malaysia untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca blog semua.


Rakyat Malaysia pastinya sudah kenal bagaimana keadaan hutan di Malaysia kerana ia mudah di akses di banyak negeri. 
Malaysia kini berada pada kedudukan keempat daripada 10 negara teratas dalam menangani pengurangan kehilangan hutan utama setakat 2022. Berdasarkan dari laporan terbaru World Resources Institute Global Forest Watch dan University of Maryland mengenai isu penebangan hutan secara global dimana Malaysia berjaya mengekalkan kadar kehilangan hutan pada paras yang rendah. Kementerian  Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) laporkan secara keseluruhannya Malaysia mengurangkan kehilangan hutan utamanya sebanyak 57% pada 2022. Apa pun pencapaian ini disebabkan oleh beberapa inisiatif termasuk penguatkuasaan yang lebih ketat, pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang semakin disebar luas dan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) untuk inisiatif didalam Pemuliharaan Biodiversiti. Pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992 dimana Malaysia telah pun menyatakan komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara supaya dilitupi pokok dan kawasan berhutan. Apa pun sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan komitmen itu di mana kawasan berhutan adalah seluas 18.05 juta hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah negara. Merujuk kepada Laporan Penilaian Sumber Hutan Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2020 telah pun menyenaraikan Malaysia sebagai satu daripada kalangan 25 negara membangun diiktiraf sebagai negara Hutan Tinggi dan Penebangan Hutan Rendah. Pihak NRECC bagaimanapun menyedari bahawa Malaysia tidak boleh leka dan banyak usaha perlu dilakukan untuk dapat memastikan kehilangan hutan utama negara dihentikan sepenuhnya dalam masa terdekat. NRECC akan terus melaksanakan beberapa inisiatif, termasuk memperkasakan perundangan seperti Akta Perhutanan Negara 1984, meningkatkan usaha untuk mewartakan kawasan hutan termasuk di kawasan Central Forest Spine dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar. Dengan meningkatkan peruntukan EFT pada 2023 kepada RM150 juta (peningkatan sebanyak 150 peratus sejak pelaksanaannya pada tahun 2019) dan pelbagai usaha lain ke arah peningkatan pemuliharaan hutan negara.


Memang h
utan hujan tropika adalah satu khazanah yang berharga kepada semua orang di bumi ini tidak kira di mananya kita tinggal. Hutan memainkan peranan yang penting dalam menjaga nilai kehidupan alam sejagat. Hutan penting bukan sahaja sebagai tanah ladang yang berpotensi tetapi sebagai simpanan balak yang boleh dieksploitasi, sebagai sumber spesimen biologi yang baharu dan sebagai habitat bagi berbagai variasi flora dan fauna.  Hutan hujan tropika meliputi hanya 12% daripada jumlah kawasan dunia. Namun demikian ia adalah habitat semulajadi kepada hampir 50% hingga 90% spesies tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga yang terdapat di dunia. Satu hektar tanah hutan hujan tropika di Malaysia mengandungi lebih daripada 180 jenis pokok. Di laporkan dimana dalam hutan di Semenanjung Malaysia, terdapat lebih daripada 8,000 spesies tumbuhan berbunga, 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 115 spesies ular, 80 spesies cicak dan 100 spesies serangga telah direkodkan. Di Sarawak pula, 70% daripada kawasannya adalah diliputi oleh hutan hujan tropika. Ia juga menempatkan lebih daripada 8,000 spesies flora dan 20,000 spesies fauna. Hutan memang membekalkan makanan secara langsung atau tidak langsung kepada haiwan yang memakan buah-buahan, bijian, putik bunga, pucuk daun dan bahagian pokok lain. Selain itu juga dilaporkan dimana ia juga adalah satu habitat yang sesuai kepada burung-burung yang datang semasa musim sejuk. Hutan adalah sebagai tempat untuk perlindungan semulajadi bagi orang-orang asli di kawasan pedalaman hutan. Mereka dapat menyara hidup mereka melalui sumber hutan sejak beribu-ribu tahun dahulu. Kegiatan seharian mereka amat bergantung kepada hutan. Mereka memburu bukan sahaja untuk mendapatkan sumber makanan tetapi untuk mendapatkan pakaian dan tempat perlindungan. Contohnya, kumpulan etnik Bidayuh di Sarawak. Hutan adalah sumber pendapatan seharian mereka. Kebanyakan barang keluaran hutan seperti herba, gum (damar), sarang burung dan keladi dikumpulkan oleh mereka untuk dijual di pasaran urban sebagai sumber tambahan pendapatan kepada mereka. Justeru itu, masyarakat orang asli seperti suku kaum Batek di Hutan Simpanan Kuala Tahan, Taman Negara yang mana ia masih berinteraksi secara langsung dengan khazanah hutan. Ada banyak perbincangan dilakukan menganai isu ini sepanjang masa.


Hutan bertindak sebagai kawasan tadahan air dalam memelihara kualiti alam sekitar dengan menyerap dan menapis air hujan sebelum kemudian ia menyalurkannya ke sungai-sungai. Dengan itu dilaporkan hutan dapat memastikan bahawa bekalan air di negara kita tidak terputus sepanjang tahun. Hutan juga bertindak sebagai penutup bumi semulajadi serta melindungi tanah-tanih daripada hakisan air dan angin. Pokok-pokok pula berfungsi sebagai pengikat dengan cara mencengkam tanah-tanih dengan akarnya. Kesemua ini dapat memelihara kualiti alam sekitar daripada dicemari dan dapat mencegah kejadian-kejadian buruk seperti banjir kilat. Hutan juga berfungsi sebagai bunga karang (sponge) yang mana ia berongga, menyerap air hujan dan mengalirkannya perlahan-lahan ke dalam anak-anak sungai bagi mengelak kejadian banjir daripada berlaku. Ia juga akan bertindak sebagai penapis dalam menentukan kebersihan dan kejernihan air secara tidak langsung. Kitar atau edaran hidrologi yang berlaku di kawasan-kawasan hutan akan memberi kesan kepada kualiti dan kuantiti sungai. Dari segi kuantitinya, ekosistem hutan berperanan sebagai 'regulator' air dan mengawal kadar alirannya. Pada masa yang sama, silara pokok hutan berupaya mencegah atau menyerap air hujan antara 20 hingga 28%, di mana sebahagian besarnya akan kembali ke atmosfera melalui sejatan pepeluhan. Kehilangan litupan hutan dilihat akan menyebabkan air hujan terus mengalir ke sungai-sungai dan mengakibatkan kejadian banjir kilat yang secara tidak langsung akan mendatangkan bencana kepada manusia. 
Artikel ini di bahagikan kepada empat (4) segmen iaitu Part 1, Part 2, Part 3 dan Part 4 untuk dibaca kesemuanya. Semuga artikel ini memberi maklumat berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
HUTAN DI MALAYSIA.... LUAS JUMLAHNYA...
DIJAGA RAPI... ANCAMAN MEMUSNAHNYA...
ASET BERNILAI... KELESTARIAN NEGARA...
BACA ARTIKEL... SECARA SANTAI SAHAJA...

By,
M Anem,
Senior Agromist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(17 Safar 1445H).
Posted from:
Room 113, Casuarina Hotel,
Kuala Kangsar, Perak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...