Support My Blog

Wednesday, September 27, 2023

ISU PETANI TUA DI MALAYSIA - SATU ANALISA (Part 2)

ISU PETANI TUA
di Malaysia merupakan satu isu nasional yang terus di bincangkan di pelbagai forum yang relevan. Penulis blog merujuk kepada beberapa laporan daripada pihak kementerian serta jabatan berkaitan serta dari beberapa media yang menyatakan dimana 70 peratus petani sedia ada di Malaysia sudah berusia lebih 60 tahun!. Bagaimanakah trend ini boleh berlaku dimana ada kemungkinan disebabkan oleh banyak faktur termasuk kekurangan (jumlah amat kecil) golongan orang muda yang mahu menjadi petani. Ia amat berkait dengan isu kekurangan tenaga buruh di Malaysia dimana ia merupakan antara cabaran utama yang dihadapi negara dalam usaha membangunkan sektor pertanian negara. Merujuk kepada stu kenyataan oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi dalam kertas dibentangkan di satu forum, penulis blog dimaklumkan dimana kini sekitar 70% daripada petani negara ketika ini merupakan individu yang sudah berusia lebih 60 tahun. Ia disebabkan kadar penyertaan golongan belia negara yang menyertai sektor tersebut juga didapati tidak lebih lima peratus (kurang 5%) daripada jumlah keseluruhan individu di bawah usia berkenaan. Ini bermakna kebanyakan yang terlibat dalam sektor pertanian pun sudah sampai usia bersara. Situasi ini akan memberi masalah kepada sektor pertanian dan pengeluaran makanan di Malaysia. Pada penulis blog ada banyak inisiatif yng telah, sedang dan sesuai dijalankan oleh kerajaan dan pihak swasta didalam menarik golongan muda menjadi petani moden yang menarik. Pernah dengar program Agropreneur Muda, Program TKPM, Program Pinjaman Untuk Orang Muda dan pelbagai insentif latihan untuk sektor pertanian dilakukan. Terkini sebagai contoh sudah ada dijalankan penyelidikan untuk boleh mempertingkatkan penggunaan automasi dan 'Internet of Things' (IoT) dalam pengurusan pertanian. Pihak tertentu juga dilaporkan terus memastikan jaminan terhadap aspek keselamatan bekalan makanan negara dengan memberikan tumpuan untuk menghasilkan varieti baharu dalam usaha penghasilan sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil pertanian lain, ternakan serta perikanan dan dalam industri asas tani. Dilaporkan pada tahun 2022 terdapat seramai 466,12 orang petani yang telah didaftarkan di Malaysia dimana jumlah paling tinggi berada di Sarawak (76,732 orang) diikuti dengan Kedah (67,091 orang) dan Johor (64,712 orang) dimana laporan tersebut menyatakan jumlah di Semenanjung Malaysia seramai 346,372 orang dan bakinya berada di Sabah (Sumber: Booklet Statistik Laporan Keluasan Tanaman Malaysia, Jabatan Pertanian Malaysia 2022). Pada tahun sama terdapat seluas 103,563 hektar tanah terbiar dilaporkan di seluruh Malaysia dengan paling luas di laporkan di Pahang (29,392 hektar) diikuti Selangor (20,058 hektar) dan di Negeri Sembilan (11,324 hektar). Pada penulis blog, memang ada kaitan signifikan diantara isu petani yang semakin tua di Malaysia dengan jumlah keluasan tanah terbiar di Malaysia. Artikel petang Isnin sambil melihat aliran Sungai Perak dari Aras 2 Hotel Casuarina, Kuala Kangsar, Perak saya kupas dan menganalisa dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai isu ramai petani berumur atau tua di Malaysia untuk dijadikan bahan rujukkan semua.


Dalam pada itu perlu dilakukan segera perubahan persepsi terhadap sektor pertanian di Malaysia secara berterusan. Selama ini masih kuat persepsi dalam kalangan belia bahawa bidang pertanian tidak memberi jaminan kehidupan berkualiti serta dikelaskan sebagai 3D menyebabkan sektor pertanian terus bergantung kepada buruh asing. Ia disebabkan wujudnya situasi persepsi bahawa sektor pertanian dianggap sebagai pekerjaan pilihan terakhir dan pekerjaan untuk pelajar tercicir atau untuk orang tidak bersekolah sahaja, khususnya bagi mereka yang tinggal di luar bandar. Justeru dilaporkan dimana hampir 40% pekerja dalam industri pertanian ini dipelopori oleh tenaga kerja asing. Antara faktor lain yang menyebabkan generasi muda perlu melibatkan diri dalam industri pertanian moden adalah supaya industri berkenaan tidak hanya terhad dalam kalangan generasi tua sahaja. Kesemua halangan ini boleh diatasi dengan penggunaan teknologi digital menerusi pertanian pintar, kecekapan serta produktiviti agar pendapatan petani dapat dipertingkatkan selain ‘meremajakan’ sektor ini dengan penyertaan lebih ramai golongan belia. Walau pun sudah ada beberapa langkah berkaitan termasuk dengan pemerkasaan program pendidikan melalui program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pertanian tetapi ia masih dilihat sangat signifikan bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara dan pembentukan budaya pertanian dalam kalangan masyarakat. Pembelajaran secara 'peer-to-peer' juga boleh dilakukan untuk mengubah pemikiran belia tentang kebaikan sektor pertanian dengan menunjukkan dan juga menceritakan kejayaan petani muda sebagai sumber inspirasi dan pengajaran untuk golongan muda. Dalam pada itu kempen kesedaran berterusan kepada ibu bapa juga perlu dilakukan yang membolehkan mereka menyemai sikap cintakan pertanian dalam diri anak-anak dengan melibatkan mereka secara langsung mempraktikkan pertanian skala kecil di sekitar rumah untuk menyemai minat awal terhadap sektor pertanian. Para ibu bapa juga boleh membawa mereka ke pameran pertanian seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) dan HPPNK Negeri yang dijalankan setiap dua tahun untuk memdedahkan anak-anak dalam dunia pertanian yang menguntungkan. MAHA dilihat ia berupaya menjadi medan membekalkan pengetahuan kepada anak-anak kecil mengenai sektor pertanian, kepelbagaian tanaman dan makanan negara, satu unsur yang amat penting dalam memupuk kesedaran berhubung kepentingan pertanian di masa kini dan masa depan dalam usaha mengubah persepsi masyarakat bahawa bidang pertanian ini amat menguntungkan dan bukannya sektor terkesamping.


Menarik laporan dalam portal berita  bharian.com bertajuk '
Belia digalak ceburi pertanian moden' seperti bagaimana penggunaan teknologi dan inovasi moden mampu tingkat hasil bidang pertanian. Belia kini di antara golongan terkesan pasca pandemik COVID-19 kerana majoritinya belum memiliki tahap kewangan stabil kerana baru menceburi alam pekerjaan, kehilangan pekerjaan dan kesukaran mendapatkan pekerjaan hingga menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran. Pernah dilaporkan dimana menurut Laporan Tenaga Buruh dimana kadar pengangguran belia bagi umur 15 - 24 tahun meningkat sebanyak 0.4 mata peratus iaitu 13.9% pada Februari 2022 lalu berbanding bulan sebelumnya.  Bilangan belia didakwa pernah mereka menganggur dilapor meningkat sebanyak 52,400 ribu orang kepada 347,600 orang berbanding bulan sebelumnya (295,300 orang). Bagi tujuan untuk mengatasi isu kadar pengangguran tinggi dilihat sektor pertanian menjadi gerbang paling ideal diterokai belia. Pilihan kerjaya golongan itu pada masa kini lebih tertumpu kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan. Sektor pertanian sudah menjadi tulang belakang ekonomi negara sejak sekian lama dan ia malah ia terus relevan dengan perkembangan semasa kerana dapat memenuhi keperluan negara dan masyarakat kerana dapat membekalkan sumber makanan, menyediakan bahan mentah untuk keperluan serta kegunaan industri asas tani. Ia juga mampu meningkatkan taraf hidup, menawarkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan, mempromosikan pembangunan kemanusiaan serta menjaga hak kemanusiaan dan membasmi kemiskinan. Sumbangan sektor pertanian di negara ini amat besar dan ditambah kadar pengangguran meningkat dalam kalangan belia terutama golongan mereka berpendidikan tinggi, pembabitan belia amat diperlukan. Apa pun golongan belia perlu terarah kepada memodenkan dunia pertanian. Memang sehingga kini pembabitan golongan belia berusia antara 18 - 40 tahun masih pada tahap rendah. Dilaporkan dimana purata umur petani di negara ini melebihi 55 tahun dengan petani lebih tua dikatakan sukar atau enggan menerima perubahan dan kurang cenderung mempromosikan aktiviti diversifikasi atau mempelbagaikan pengeluaran serta kurang berupaya mengguna teknologi baharu. Malaysia kini memerlukan komuniti pertanian sandaran daripada belia untuk menyokong kumpulan petani semasa kerana generasi muda ialah aset penting bagi pembangunan ekonomi sesebuah negara. Senario ini menggambarkan betapa sektor pertanian perlu segera dibanjiri agropreneur muda dan dapat ianya untuk ditransformasikan ke arah lebih efisien serta efektif bagi meningkatkan sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara seiring sektor perkhidmatan dan pembuatan. Sektor ini amat memerlukan agropreneur muda memiliki ciri sesuai seperti sanggup menanggung risiko, berinovasi, mampu mengaplikasikan teknologi dalam perusahaan pertanian dan juga generasi digital pertama dapat melihat keusahawanan pertanian sebagai bidang kerjaya menarik dan dilaporkan akan menguntungkan. Kaedah bagi merancakkan semula sektor pertanian dengan kehadiran agropreneur muda memiliki lensa penggunaan teknologi dan inovasi adalah keperluan agar sektor ini dapat memberi lebih impak positif. Dilaporkan dengan pembabitan agropreneur muda perlu terus dipertingkatkan untuk menjamin matlamat tersebut.


Memang s
ektor pertanian di Malaysia berfungsi sebagai pembekal sumber makanan kepada seluruh penduduk negara. Pengeluaran padi dan beras sebagai makanan ruji misalnya berupaya memenuhi 70 peratus keperluan negara. Selain itu, sektor seperti kelapa sawit merupakan antara sektor yang menjadi penyumbang terbesar pertanian kepada Malaysia dengan nilai billion ringgit. Sudah lama tarikh 6 Ogos setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNK) sebagai tanda pengiktirafan dan penghormatan kepada mereka. Pengiktirafan itu juga telah membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap usaha mereka memainkan peranan dlam memacu pelbagai aktiviti demi pengeluaran bahan makanan serta memudahkan sektor pertanian. Ia berkait dengan sektor pertanian harus lebih moden dan kompetetif dimana ada banyak isu perlu dilihat semula termasuk kekurangan tanah, pengurusan tanah, kualiti benih dan baja, serangan penyakit, kekurangan sumber air, dan umur majoriti pesawah. Selain itu, isu dalam pelaksanaan subsidi dan insentif kerajaan, masalah kekurangan data serta isu lain pada peringkat rantaian pengeluaran. Oleh itu, sektor pertanian harus dibangunkan sebagai sektor moden, berdaya saing dan komersial. Justeru, imej sektor pertanian harus diubah dengan menjadikannya sebagai sektor moden dan kompetitif sehingga memberi pulangan lumayan kepada pengusaha tanaman, ternakan dan perikanan. Kemajuan sesebuah negara kini dinilai dari segi kecukupan dan keselamatan makanan sebagai asas kepada negara maju. Maka, kerajaan melalui agensi berkaitan sewajarnya melihat keperluan untuk menerajui industri makanan secara keseluruhan, bukan sahaja daripada konteks pengeluaran atau pembekal makanan, tetapi keseluruhan rantaian nilai makanan. Sudah tentu ini perlu dilakukan melalui pendekatan baharu dan luar kebiasaan bagi memastikan kementerian dapat menghadapi cabaran sekuriti makanan. Inisiatif ini dapat dilihat ketika pembentangan seperti semasa Belanjawan 2020 apabila RM43 juta diperuntukkan ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka berkualiti dan berproduktiviti tinggi, seterusnya memacu ekonomi negara melalui sektor agromakanan. Malah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sentiasa ke hadapan bagi memastikan sektor pertanian menjadi sektor yang lebih dinamik, inovatif serta kompetitif dan menyumbang secara positif kepada ekonomi negara.


Dalam 
dunia pertanian dimana berlaku perkembangan teknologi pertanian dalam membantu tingkatkan pengeluaran makanan. Ini kerana pada ketika ini dilihat sektor pertanian dipacu oleh Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) serta Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)  (2021-2025) dengan tumpuan khusus diberi kepada transformasi sektor ini melalui Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0). Di bawah RMK12 dimana kerajaan berusaha mempersiapkan negara ke arah pembangunan sektor pertanian lebih maju, moden dan mampan selaras Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030). Apa pun sasarannya adalah untuk memberi suntikan lebih moden. Antaranya dengan menumpukan kepada teknologi seperti penggunaan dron, sistem pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI) dan data raya dengan dibantu peningkatan penggunaan mekanisasi. Selain itu, benih bermutu yang rintang penyakit serta berdaya tahan tinggi daripada kesan perubahan iklim serta amalan agronomik lestari, akan dapat mengubah landskap sektor agromakanan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Apa pun sebaiknya dalam penggunaan teknologi menjadikan pertanian lebih mudah, meningkatkan kecekapan dan seterusnya dapat meningkatkan hasil. Malah, penggunaan teknologi juga menjadikan bidang pertanian bukan lagi pekerjaan yang dikategorikan sebagai sukar, berbahaya, kotor (3D). Perubahan daripada pertanian konvensional kepada kaedah pertanian berteknologi tinggi amat perlu bagi menampung bekalan makanan sejajar dengan pertambahan penduduk negara yang dijangka mencecah 50 juta orang pada 2050. Artikel ini ditulis dalam dua (2) segmen iaitu Part 1 dan Part 2 yang perlu dibaca kesemuanya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua para pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
SUDAH LAMA... ISU PETANI TUA DI MALAYSIA...
GOLONGAN MUDA... KURANG MENCEBURINYA...
PERLU ADAKAN.. STRATEGI MENGATASINYA...
JAMINAN MAKANAN...IA AMAT PENTINGNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 113, Casuarina Hotel,
Kuala Kangsar, Perak,
Malaysia.
3 RabiulAwal 1445H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...