Support My Blog

Wednesday, May 13, 2020

TEKNOLOGI TANAM CENDAWAN KUKUR (Part 1)

CENDAWAN KUKUR (Schizophyllum commune) adalah sejenis cendawan dimana ia lazimnya ada pada kayu reput dari keluarga Schizophylaceae. Keluarga cendawan dari Schizophylaceae mempunyai banyak spesis yang ada tumbuh pada batang kayu untuk proses pereputan. Penulis blog dapati di Malaysia cendawan kukur dari pokok kayu getah merupakan jenis yang paling popular di kutip untuk dijadikan bahan makanan yang sangat enak dan berkhasiat. Banyak nama gelaran diberikan kepada jenis cendawan ini mengikut lokaliti seperti Jamur Gerigit (Jawa Daerah Muar), Cendawan Tapak Tiung (Negeri Sembilan), Kulat Sisir, Kulat Sisik dan banyak lagi. Saya mengenali akan cendawan ini dari zaman kanak-kanak lagi kerana sering mengutip sendiri di kawasan kebun getah keliling kampung di Muar dahulu terutama selepas musim hujan. Bagaimana pun terkini sudah ada teknologi bagi mengeluarkan cendawan sisir atau cendawan kukur ini secara komersil hasil kajian saintis MARDI untuk dijadikan rujukkan. Artikel ini adalah merujuk kepada Buletin MARDI bilangan 11/2017 yang sesuai dituis semula bagi dijadikan bahan rujukkan. Artikel sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak covid-19 saya tulis lagi dalam "Anim Agro Technology'' teknologi bagaimana menanam cendawan kukur yang boleh dijadikan bahan rujukan semua. Saintis terlibat yang menghasilkan rencana 'Media bag as a basic cultivation of split gill mushroom' ini adalah Khairul Asfamawi Khulidin, Ahmad Fuad Badrun, Mohd Irwani Hafiz Sahid, Hafiz Aizat Yanan, Mohd Nizam Mohd Nizat, Mohd Hafiz Fikri Hazemi dan Ahmad Safuan Bujang.


Penjanaan teknologi untuk penanaman cendawan kukur dilihat dapat membantu mempelbagaikan aktiviti pengusaha cendawan tempatan yang banyak masih bertumpu kepada penanaman cendawan tiram kelabu. Penggunaan kaedah yang hampir sama dengan penanaman pada cendawan tiram kelabu memudahkan pengusaha cendawan untuk beralih ke penanaman cendawan kukur. Malahan harga sekilo cendawan kukur boleh menjangkau RM35 -  RM50/kg berbanding dengan cendawan tiram kelabu hanya berharga sekitar RM10 - RM12/kg. Namun begitu, pengusaha cendawan tempatan harus mempunyai kemahiran pemasaran yang strategik untuk membolehkan pasaran cendawan berdaya saing. Justeru, teknologi penanaman cendawan kukur yang diperkenalkan dapat mempelbagai pasaran cendawan di peringkat domestik. Sejajar dengan saranan kerajaan iaitu Dasar AgroMakanan Negara (DAN) untuk meningkatkan ekonomi negara. Berlaku lonjakan permintaan domestik terhadap cendawan telah menyebabkan pelbagai jenis cendawan membanjiri pasaran. Peningkatan kesedaran awam mengenai khasiat cendawan turut membantu mempromosikan cendawan. Jenis cendawan yang lazim terdapat di pasar besar ialah cendawan tiram kelabu, cendawan tiram putih, cendawan tiram raja, cendawan telinga kera, cendawan butang, cendawan jarum emas, cendawan shitake dan sebagainya. Kebanjiran cendawan di pasaran telah menyebabkan penggemar merevolusikan penghasilan produk makanan berasaskan cendawan. 


Pelbagai jenis produk makanan asas cendawan juga telah diperkenalkan, antaranya ialah bergedel cendawan, serunding cendawan, burger cendawan, keropok lekor cendawan, cucur cendawan dan sebagainya. Pengamal vegetarian menjadikan cendawan sebagai bahan asas untuk masakan menggantikan protein. Inovasi produk cendawan turut mencakupi penghasilan pelbagai jenis makanan ringan dengan pelbagai jenis perisa sama ada pedas, masam, BBQ dan bawang putih tanpa menjejaskan khasiatnya. Ramai yang tidak mengenali cendawan kukur terutamanya generasi muda kerana cendawan ini sukar diperoleh dan hanya boleh didapati pada musim hujan sahaja. Perkara ini menjadi satu kerugian kepada masyarakat kerana cendawan kukur merupakan identiti biodiversiti cendawan yang terdapat di Malaysia selain cendawan busut dan cendawan susu harimau. Cendawan kukur juga mempunyai pelbagai khasiat dan zat serta kebaikan dari segi kesihatan terutamanya membantu dalam meningkatkan imunisasi. Justeru, cendawan kukur mempunyai potensi untuk dikomersialkan supaya lebih dikenali dan diminati penggemar cendawan. Cendawan kukur mempunyai bentuk kecil dan memutih. Hanya kelopaknya berkembang di sekitar celah-celah bahagian rongga batang kayu getah tumbang (Sila lihat foto di bab atas). Melalui penyelidikan dan pembangunan, kelestarian cendawan kukur dapat dikekalkan serta dikomersialkan untuk memenuhi permintaan pasaran domestik. Kajian dijalankan melalui penyediaan dan pemindahan teknologi, Norsym Sdn. Bhd. telah bekerjasama dengan MARDI untuk mengkomersialkan pengeluaran cendawan kukur. 


Pertama sekali penulis blog Anim Agro Technology ingin membawa anda untuk mengenai apakah dia cendawan kukur. Cendawan kukur (Schizophyllum commune) mempunyai tudung yang bergelombang dan tidak mempunyai tangkai (batang). Keunikan namanya terletak pada rupa bentuk tudung bergerigi yang menyerupai alat pengkukur kelapa (Sila lihat foto disebelah). Pelbagai nama juga telah diberikan seperti cendawan sisir, cendawan sikat dan cendawan kerang. Masyarakat Melayu di Negeri Sembilan amat gemarkan cendawan kukur terutamanya dalam masakan lemak cili api. Pelbagai inovasi masakan telah dicipta seperti popia cermin cendawan kukur dan sup krim cendawan kukur. Lazimnya ia tumbuh pada kayu getah reput musim hujan. Bagaimana pun kini ada teknologi cuba dibangunkan menggunakan teknologi penyediaan beg medium. Beg medium untuk pertumbuhan cendawan kukur mengandungi bahan asas seperti habuk kayu getah, dedak dan kapur pertanian dengan nisbah 100 : 50 : 1 mengikut berat. Campuran dimasukkan ke dalam mesin pengaduk (mixer) atau digaul secara manual. Air perlu disiram secukupnya untuk memperoleh 65 - 70% lembapan. Air adalah mencukupi jika campuran tidak berderai apabila dikepal atau digenggam. Peratusan lembapan pada campuran ini akan mempengaruhi pertumbuhan miselium cendawan. Artikel ini ditulis dalam 3 bahagian iaitu Part 1, Part 2 dan Part 3 untuk dijadikan bahan rujukkan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!...
CENDAWAN KUKUR... ADA TEKNOLOGINYA...
KAJIAN MARDI... SUDAH DIJALANKANNYA...
ARTIKEL DITULIS... BAHAN RUJUKANNYA...
USAHAWAN MEMBACA...LAKSANAKANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,'
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(12 Syaaban 1441H).
STAY HOME... ELAKKAN COVID-19!!..

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...