Support My Blog

Sunday, December 23, 2018

ISU CILI IMPORT VIETNAM - MEDIA LAPOR

CILI MERAH IMPORT terutama daripada Vietnam menjadi topik hangat dalam media massa pada minggu ke 3 bulan Disember 2018. Cili Besar atau Cili Merah (Capsicum annum) merupakan sejenis bahan sayuran yang penting didalam makanan yang disediakan oleh rakyat Malaysia. Rasa Pedas dari bahan kimia Capsaisin dalam cili ini memberikan rasa enak kepada makanan kita ketika ianya dikunyah. Sebut sahaja makanan kulinari Malaysia daripada Asam Pedas, Nasi Goreng Kampong, Sambal Belacan, Cili Jeruk dan banyak lagi semuanya memerlukan cili untuk menambah rasa keenakan makanan. Isu lambakkan cili import terutama daripada Vietnam, Thailand dan China mula di rasai pada bulan Ogos 2018 apabila ada dakwaan oleh penanam cili tempatan menerima kesan harga cili yang sangat rendah berbanding dengan harga jualan cili import.  Kementerian Pertanian kemudian mengeluarkan larangan kemasukan cili merah yang diimport daripada Vietnam kerana dikesan mengandungi kesan sisabaki racun kimia yang tinggi (MRL) dimana ia boleh menjejaskan kesihatan pengguna di Malaysia. Larangan tersebut diperingkat awal mampu mengekang kemasukan cili import dan harga cili merah tempatan telah stabil semula. Bagaimana pun lazimnya pada musim hujan seperti yang berlaku sepanjang bulan November dan Disember 2018 akan menyebabkan penghasilan cili merah tempatan berkurangan sama ada yang ditanam dikawasan tanah terbuka atau dengan cara teknologi fertigasi. Media tempatan mula melaporkan dimana ada kemasukkan cili import balik semula dan ini menjejaskan pihak penanam cili tempatan yang menuduh kepada pihak kerajaan semula. Artikel malam Ahad ini dalam ''Anim Agro Technology'' daripada tingkat 25, Hotel Sunway Putra Kuala Lumpur saya teruskan menulis artikel ke 5,010 mengenai isu cili import yang masuk pasaran tempatan walau pun ada larangan import berdasarkan laporan media tempatan.

Dalam pada itu Kementerian Kesihatan teruskan usaha membuat pemantauan mengenai cili import. Berita dipetik dari Putrajaya itu menyatakan dimana  Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat cili yang dijual di pasaran tempatan adalah tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan kandungan residu racun perosak. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan menjalankan pemantauan terhadap cili import di pintu masuk negara dan pasaran tempatan. “Hasil pemantauan kementerian ini dari Januari lalu 2018 sehingga kini, sebanyak 503 sampel cili termasuk cili dari Vietnam dianalisis dan didapati sebanyak 21 sampel cili atau 4.2 peratus tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak dan tindakan penguat kuasaan sudah dijalankan. Oleh itu kini Kementerian Kesihatan akan meneruskan pemantauan ke atas sayur-sayuran termasuk cili di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dakwa beliau dalam satu kenyataan. Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang menyatakan cili merah import dari Vietnam masih terdapat di pasaran tempatan walaupun kerajaan telah menggantung permit import hasil pertanian itu sejak 14 September 2018 lalu. Kini semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak terbabit seperti pengimport, ejen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan. Kegagalan mematuhi peraturan itu adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan maka boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau denda atau kedua-duanya. Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).  

Dalam pada itu Utusan Malaysia pada 21 Dec 2018 paparkan berita ''Import’ secara haram?'' sebagai tajuk penting. Media melaporkan dimana Cili Vietnam masih dijual di pasaran terutama dikawasan Lembah Kelang. Cili dari Vietnam yang diharamkan kerajaan sejak 14 September 2018 lalu masih didapati dijual di pasar borong terkemuka ibu negara.  Meskipun kerajaan telah menggantung import permit (IP) cili merah Vietnam sejak 14 September 2018 lalu, namun bahan komoditi berkenaan dikesan diseludup masuk dan dijual secara berleluasa di seluruh pasaran negara. Hasil tinjauan Utusan Malaysia di pasar borong utama negara baru-baru ini mendapati wujud lambakan cili berkenaan yang dijual oleh pemborong sebelum dibeli oleh peniaga kecil dan peruncit.  Menurut sumber Kementerian Pertanian sudah mengambil langkah proaktif untuk mereka menghalang kemasukan cili yang mengandungi sisa racun perosak yang tinggi bagaimanapun amat malang ia masih me­nembusi pasaran. Ini secara jelas, kalau bukan memasuki pintu masuk (pelabuhan utama) sudah pasti ia bolos melalui penyeludupan. Kementerian berkenaan te­lah melakukan tanggungjawabnya akan tetapi persoalannya masih banyak pihak yang mempunyai kuasa namun tidak mengambil sebarang tindakan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Pada 22 Ogos 2018 sebelumnya Laporan Khas Utusan Malaysia mendedahkan dimana Malaysia telah pun menjadi pusat lambakan hasil pertanian eksport negara luar terutamanya cili merah yang gagal melepasi piawaian negara lain. Susulan laporan itu, pihak Kementerian Pertanian telah menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas sembilan buah kontena bagi meneliti kualiti termasuk Tahap Maksimum Residu (MRL) racun perosak cili import yang dibawa masuk dari Vietnam di Pelabuhan Klang pada 26 Ogos 2018.  Rentetan itu maka pihak kementerian termasuk Jabatan Pertanian turut memperlihatkan komitmen dengan kaedah memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal kemasukan sayur-sayuran import berpenyakit dan beracun tinggi. Malah, kementerian bersedia membantu petani untuk menghantar petisyen antilambakan ke negara yang membekalkan hasil pertanian tidak selamat selain Jabatan Pertanian meng­umumkan penggantungan IP pada 14 September lalu. Mengulas lanjut sumber turut berharap beberapa kementerian lain yang mempunyai akta dan kuasa namun tidak mengambil tindakan sewajarnya. “Kita ada Akta Makanan 1983 yang boleh mendakwa peniaga yang menjual bahan makanan berbahaya. “Mereka sepatutnya mampu untuk menggunakan kuasa yang ada demi melindungi jutaan pengguna, bukan itu sahaja jika benar ia masih masuk di pelabuhan maka kita ada Jabatan Kastam, kita berharap mereka boleh bekerjasama untuk kebaikan semua,” ujarnya.

Dalam pada itu wartawan Hadi Abdul Manap dengan tajuk akhbar ''Manipulasi dokumen seludup cili Vietnam'' juga penulis blog Anim Agro Technology membuat rujukkan. Akhbar tersebut nyatakan dua syarikat dikenal pasti dan mereka berdepan tindakan tegas  Isu kemasukan cili dari Viet­nam yang masih berlaku walaupun sudah diharamkan sejak tiga bulan lalu terjawab apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengakui wujud syarikat pengimport yang bertindak memanipulasi dokumen untuk menyeludup bahan komoditi pertanian tersebut ke negara ini. Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam (Sila lihat foto disebelah) berkata, modus operandi syarikat terbabit dipercayai dengan melakukan pengisytiharan palsu bagi mengelak kontena yang membawa cili dari Vietnam diperiksa. Beliau mengesahkan, pihak­nya berjaya mengesan taktik tersebut dan mengenal pasti dua syarikat yang me­lakukan kesalahan berkenaan. Kini kalau mereka isytihar cili merah dari Vietnam sudah tentu kita akan periksa dan akan panggil Maqis (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan). ‘‘Setakat ini, dua syarikat masih dalam siasatan dan kemungkinan besar melibatkan pengisytiharan palsu dan bakal dikenakan tindakan tegas jika didapati bersalah,” katanya ketika dihubungi wartawan di pejabatnya hari ini. Utusan Malaysia hari ini menerusi laporan eksklusifnya mendapati masih wujud lambakan cili merah dari Vietnam yang dijual di pasaran negara secara berleluasa meskipun kerajaan telah menggantung permit import (IP) sejak 14 September 2018 yang lalu. Pada 22 Ogos 2018 lalu, Laporan Khas Utusan Malaysia mendedahkan negara ini menjadi pusat lambakan hasil pertanian eks­port negara luar terutamanya cili merah yang gagal melepasi piawaian negara lain. Susulan laporan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam menjalankan pemeriksaan ke atas cili merah Vietnam sebelum didapati gagal ujian Tahap Maksimum Residu (MRL) racun perosak termasuk mengandungi sisa racun diharamkan. Mengulas lanjut berhubung dua syarikat terlibat, Subromaniam menegaskan, mereka bakal berhadapan tindakan tegas terutama dibatalkan lesen mengimport di bawah Seksyen 90 Akta Kastam 1967. JKDM juga kini giat menahan dan melakukan pemeriksaan terhadap lori yang membawa produk pertanian dari luar negara menggunakan laluan darat. ‘‘Kalau laluan darat memang kita minta mereka (syarikat pengimport) buka kanvas lori. Itu antara langkah terbaharu kastam ambil selain bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membendung perkara ini,” jelas KP Kastam.  Begitulah hebatnya perdagangan makanan seluruh dunia dimana bukan mudah untuk kerajaan mengawal tanpa kerjasama dari semua pihak daripada pihak berkuasa, pengimport, pengedar, peruncit dan paling penting adalah pilihan pengguna itu sendiri. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
CILI MERAH... PENTING UNTUK KITA...
CILI IMPORT.. TINGGI BAHAN KIMIA...
LARANGAN IMPORT...DIKUATKUASA...
MASIH DIJUAL...DIPASARAN TERBUKA?...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 2516, Hotel Sunway Kuala Lumpur,
Jalan Putra, Kuala Lumpur,
Malaysia.
(15 RabiulAkhir 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...