Support My Blog

Tuesday, November 28, 2017

POTENSI TANAMAN KELAPA RENDAH


TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tanaman penting di banyak negara tropika terutama negara yang banyak berpulau. Pokok kelapa adalah jenis pokok saka dari keluarga Arecaceae yang mampu hidup dengan ekonomik selama lebih 30 tahun. Ia merupakan pokok serbaguna sehinggakan digelar 'Pokok Kehidupan' atau dalam bahasa Inggeris dipanggil 'tree of life'. Apa tidaknya semua bahagian pokok kelapa boleh digunakan daripada bahagian pucuk, daun, buah, batang dan akarnya. Penulis blog telah menulis artikel mengenai kelapa lebih daripada 70 dimana ianya dibaca hampir suku juta orang setakat ini. Dari rujukkan penulis dan pengalaman sendiri semasa menjaga industri ini mendapati pada masa kini, pengeluaran kelapa negara adalah sebanyak 504,700 tan metrik setahun dengan keluasan tanaman sebanyak 84,600 hektar. Negara masih mengimport sekitar 100 juta biji kelapa setahun daripada Indonesia bagi menampung kekurangan dalam sektor perkilangan bagi menghasilkan produk berasaskan kelapa. Kawasan utama bagi penanaman kelapa di Semenanjung Malaysia adalah di Bagan Datoh, Perak, di Sabak Bernam, Selangor dan di Batu Pahat, Johor selain daripada di Kudat, Sabah dan Asajaya, di Sarawak. Kebanyakan varieti kelapa sedia ada merupakan jenis atau varieti Kelapa Malayan Tall  (CN1) yang mana ia ditanam dibawah program Rancangan Penanaman Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) dahulu dibawah Jabatan Pertanian. Ia merupakan varieti terbaik ketika itu iaitu daripada jenis KELAPA TINGGI. Bagaimana pun kini penanaman KELAPA RENDAH (Dwarf Variety) telah digalakan penanammanya bagi mempastikan bekalan biji kelapa mencukupi. Kekurangan bekalan benih kelapa hibrid seperti Kelapa Matag membuatkan petani perlu mengubah kepada penanaman kelapa rendah yang disyorkan. Aretikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi penanaman kelapa jenis rendah untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan.

Penanaman kelapa rendah secara ladang boleh memberi pulangan yang lumayan kepada petani. Penuli juga tahu beberapa varieti kelapa rendah yang sesuai dan disyorkan untuk ditanam seperti KELAPA PANDAN (CN6), KELAPA RENDAH KUNING MALAYA (MYD - Malayan Yellow Dwarf), KELAPA RENDAH MERAH MALAYA (MRD - Malayan Red Dwarf), KELAPA RENDAH HIJAU MALAYA (MGD - Malayan Green Dwarf), KELAPA RENDAH COKLAT MALAYA (MBD - Malayan Brown Dwarf), TAGNANAN dan beberapa varieti lagi. Semua varieti ini sesuai ditanam oleh petani dengan mendapatkan benih tulin daripada pihak yang berwibawa. Pada masa ini negara masih kekurangan bekalan kelapa untuk kegunaan domestik. Agromakanan merupakan salah satu sektor penting dalam merealisasikan usaha kerajaan bagi mencapai status sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Kini di samping menjamin sekuriti makanan, sektor ini juga menyediakan pelbagai peluang yang boleh diteroka dalam mewujudkan sumber kekayaan baharu. Ia dapat memberi manfaat besar kepada sosioekonomi petani, penternak dan nelayan, bahkan juga kepada pertumbuhan ekonomi negara. Walaupun begitu, negara masih mengimport sekitar 100 juta hingga 120 juta biji kelapa tua setahun bagi menampung pengeluaran kelapa negara sebanyak 600 juta biji setahun sama ada untuk jualan segar mahupun memenuhi permintaan kilang memproses kelapa. Justeru itu, pada tahun 2018 maka kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta bagi pembangunan industri kelapa yang kini dilihat berpotensi sebagai sumber kekayaan baharu negara. Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2018 juga menyatakan untuk menggabungkan industri nanas dan Kelapa dalam satu lembaga baru bagi mempastikan industri kelapa maju kehadapan. 
Peruntukan tersebut adalah bagi menggalakkan pembangunan industri kelapa yang akan dilaksanakan secara sistematik, merangkumi program peningkatan pengeluaran kelapa dan program pengeluaran benih kelapa varieti terpilih berhasil tinggi.


Antara varieti kelapa yang berpotensi tinggi selain kelapa matag dan kelapa pandan ialah kelapa Rendah Kuning Malaya (MYD) dan kelapa Rendah Merah Malaya (MRD). Penulis dapati bagi program pengeluaran kelapa, inisiatif yang akan dilaksanakan adalah melalui pendekatan tanam semula terutama di ladang-ladang tradisional, penanaman secara berkelompok dan secara integrasi dengan komoditi lain. Selain itu dilaporkan dimana proses penyelidikan terkini yang dilaksanakan oleh pihak Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) juga telah berjaya menghasilkan kelapa hibrid Marleca, Myleca, Careni, Careca, Marena dan Mylag yang sudah tentu akan menyumbang kepada varieti kelapa baharu dalam beberapa tahun yang akan datang. Kelapa MYD dan MRD adalah jenis kelapa yang dihasilkan diladang benih dengan secara pendebungaan terbuka dengan ketinggian pokok boleh mencapai sehingga enam meter (m). Pokok kelapa rendah ini mula mengeluarkan hasil seawal tahun ketiga selepas penanaman. Dilaporkan keluasan tanaman kelapa rendah di Malaysia dianggarkan 10 peratus daripada keluasan keseluruhan tanaman kelapa.  Diantara beberapa kelebihan tanaman kelapa MYD dan MRD dimana ia sangat berpotensi untuk dibangunkan sebagai tanaman yang boleh memberikan sumber kekayaan baharu. Ia mempunyai produktiviti yang amat tinggi dengan kepadatan tanaman sebanyak 250 hingga 270 pokok sehektar (6.5 m X 6.5m). Dari rekod Jabatan Pertanian menunjukkan dimana varieti kelapa tersebut juga boleh mencapai tahap pengeluaran sebanyak 25,000 hingga 30,000 biji sehektar setahun berbanding kelapa Tinggi Malaya dengan kepadatan sebanyak 100 hingga 120 pokok sehektar (10m X 10m) dengan pengeluaran antara 6,000 hingga 8,000 biji sehektar setahun. Harga ladang bagi kelapa tua daripada varieti MYD dan MRD pula ialah antara RM1.20 hingga RM1.50 sebiji manakala harga ladang kelapa muda adalah RM2.00 hingga RM2.50.


Pada masa ini dilaporkan sumber bekalan anak benih kelapa rendah sentiasa boleh diperoleh di pusat-pusat pertanian Jabatan Pertanian dengan harga RM6.00 sepokok.  Anak benih kelapa matag yang dijual oleh Jabatan Pertanian ialah sekitar RM15.00 jauh lebih rendah berbanding yang dijual oleh pihak swasta iaitu lebih RM50.00 bagi satu benih. Pengeluaran anak benih kelapa rendah juga tidak serumit pengeluaran anak benih kelapa hibrid seperti MATAG memandangkan ia tidak memerlukan proses kacukan. Benih kelapa rendah boleh didapati dengan mengutip dan juga menyemai buah kelapa tua daripada pokok yang terpilih dan berkualiti (Sila lihat foto disebelah). Kerja-kerja pengurusan tanaman kelapa rendah juga tidak rumit berbanding pengurusan kelapa hibrid yang amat sensitif kepada pembajaan dan memerlukan penjagaan lebih rapi. Satu lagi kelebihan buah kelapa daripada varieti kelapa rendah ialah ia berpotensi untuk diproses bagi menghasilkan kelapa parut, kelapa parut kering, kerisik, santan kelapa serbuk santan dan minyak kelapa. Ia juga sangat sesuai untuk diproses bagi menghasilkan produk-produk yang ditambah nilai seperti minyak kelapa dara, jeli kelapa, nata de coco, serat kelapa, karbon teraktif dan produk kraftangan. Malah dilihat pada saiz buahnya yang sederhana besar amat sesuai untuk dijadikan minuman air kelapa muda. Apa yang lebih menarik, pokok kelapa rendah juga boleh dijadikan sebagai tanaman landskap kerana ia tidak memerlukan ruang yang luas dan boleh ditanam di kawasan perumahan dan taman-taman rekreasi dan avennue planting. Pokok kelapa rendah dengan warna kuning, kemerahan dan hijau mencantikkan dari kaca permandangan disepanjang jalan atau kampong jika dirancang penanamnya dengan baik. Kepada mereka yang berminat dengan penanaman kelapa rendah boleh berhubung dengan Jabatan Pertanian untuk mendpatkan khidmat nasehat dan bekalan benih. Semuga tulisan ini memberikan info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
MENANAM KELAPA...RENDAH JENISNYA...
BENIH MURAH....CEPAT BERBUAHNYA...
BUAH KECIL... PELBAGAI KEGUNANNYA...
MUDAH DIJAGA... LANDSKAP CANTIKNYA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1807, Imperial Heritage Hotel,
Bandar Hilir, Melaka.
(27 November 2017).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...