Support My Blog

Friday, November 17, 2017

AKTIVITI MENUAI JAGUNG BIJIRIN

JAGUNG BIJIRIN (CEREAL CORN) dan terkini dipanggil sebagai JAGUNG BIJIAN merupakan sejenis tanaman yang digalakkan untuk ditanam dalam negara oleh kerajaan bagi mengantikan kebergantungan import jagung ini terutama bagi diproses menjadi makanan ternakan melalui beberapa jabatan dan agensinya termasuk oleh Jabatan Pertanian untuk dimajukan. Oleh itu kerajaan telah mula memajukan tanaman ini secara perintis dibeberapa negeri seperti di Terengganu, Kedah, Pahang, Perak, Johor dan beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Terbaru aktiviti menuai jagung bijian dijalankan di ZPM Cempelak, Segamat, Johor dan Ladang Ramana Kedah dengan beberapa kejayaan yang dilaporkan. Berapakah pula anggaran pendapatan tambahan yang akan dijana daripada teknologi intensifikasi daripada aktiviti penanaman jagung bijirin jika ditanam dikawasan sawah padi yang selalu ditanam hanya sekali setahun ini?. Kini telah ada galakkan khas daripada pihak kerajaan untuk menanam jagung bijirin dinegara kita bagi mengatasi isu pengimportan bahan jagung bijirin dan kacang soya yang amat tinggi khususnya untuk diproses menjadi makanan ternakan. Malaysia mengimport sebanyak 3.2 juta metrik tan jagung bijirin pada tahun 2015 bernilai sekitar RM3.2 billion daripada beberapa negara seperti USA, Argentina dan juga China. Sementara itu pengimportan kacang soya pula adalah sebanyak RM2.1 billion pada tahun yang sama menjadikan jumlahnya kepada RM5.3 billion daripada keseluruhan jumlah defisit perdagangan bahan makanan negara yang berjumlah RM18.1 billion pada tahun 2015. Ini amat merugikan negara kerana berlaku aliran wang keluar yang ketara untuk jangka masa panjang. Dikalangan negara-negara ASEAN yang berjiran dengan kita, dilaporkan dimana Indonesia menghasilkan sebanyak 9.6 juta mt jagung bijirin setahun, Filipina (7.8 juta mt), Vietnam (6.0 juta mt) dan Thailand (4.7 juta mt). Malaysia memang tidak pernah melaporkan pengeluaran jagung bijirin pada setiap tahun. Keluasan penanaman jagung di Malaysia sekitar 6,430 - 6,800 hektar CHE setiap tahun dimana hampir 99% adalah daripada varieti Jagung Manis Hibrid. Kawasan pengeluaran utama jagung manis di Malaysia adalah di Johor, Selangor, Perak dan Pahang. Di Johor sahaja mereka mampu dalam menghasilkan lebih 35% daripada bekalan jagung manis negara iaitu untuk pasaran tempatan dan eksport. Eksport utama jagung manis segar adalah ke Singapura (Sumber: Laporan Statistik, Jabatan Pertanian Malaysia 2015). Beberapa projek perintis termasuk penanaman jagung bijirin di Kampong Dadong, Kemaman, Terengganu diantara yang telah dilakukan aktivitii penuaian dilakukan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Ta baru-baru ini. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa keratan akhbar berkaitan dengan aktiviti menuai dan aktiviti penanaman jagung bijirin dan kehadiran penulis dalam majlis tersebut.

Sementara itu di Setiu, Terengganu ada aktiviti projek penanaman jagung bijirin berskala besar dengan sasaran seluas 400 hektar akan digerakkan sebagai industri ke arah menjadikan negeri ini sebagai pengeluar utama makanan ternakan. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, projek yang diharap menyediakan peluang pendapatan kepada puluhan ribu penduduk merupakan salah satu daripada 71 projek di bawah Program Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu (TETP). Projek ini akan dipacu melalui pelaburan sebanyak RM27 juta oleh swasta yang kelak dijangka mampu untuk membantu pengurangan import bahan itu oleh negara sebanyak RM3.5 billion dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang. Beliau memaklumkan sebuah syarikat pelaburan Green World Genetik Sdn. Bhd. juga me­nubuhkan stesen penyeli­di­kan bagi program pertanian dimana ia khu­susnya adalah untuk pembangunan genetik ba­gi mengeluarkan mengeluarkan spe­sies tanaman bermutu tinggi dan berdaya tahan. Beliau berharap pusat itu dapat digunakan sebagai satu tarikan pelancong dengan penyediaan maklumat dan mendidik pelawat tentang tanaman itu termasuk proses penanaman dan penghasilannya sebagai makanan haiwan ternakan (Sila lihat foto disebelah). Beliau berkata demikian keti­ka berucap menyempurnakan upa­­­cara pelancaran tanaman itu di Taman Kekal Pengeluaran Maka­nan (TKPM) di Rhu Tapai, dekat sini petang semalam. Yang turut hadir termasuk Timbalan Ke­tua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Ta­ni, Badrul Hisham Mohd. dan Pe­ngerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof. Katanya projek ini yang di­umumkan dalam Bajet 2017 akan dijadikan sebagai satu lagi ‘cerita kejayaan’ bagi negeri ini. Tanaman jagung bijirin mampu menjadi sumber untuk dijadikan satu sumber pendapatan baha­ru kepada penduduk pada ma­sa akan datang dengan potensinya yang sangat besar.

Projek perintis penanaman jagung bijirin buat pertama kalinya telah mendapat peruntukan khas di dalam Bajet 2017 melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Peruntukan itu bagi menambah nilai dan meluaskan lagi pembangunan projek pe­rintis tersebut dalam usaha mengurangkan kebergantungan import makanan ternakan. Menurut Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Tn Hj Nasir Warris (Sila lihat foto disebelah), projek perintis yang telah dibangunkan di Kampung Dadong, Kemaman, Terengganu dan Kedah itu melibatkan kerjasama Jabatan Pertanian dengan syarikat Green World Genetics Sdn. Bhd. (GWG) yang berperanan membimbing petani dan menawarkan jaminan pembelian hasil. Katanya syarikat  GWG adalah sebuah syarikat peneraju dalam program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian di bawah Projek Permulaan (EPP) 14, iaitu Pembangunan Industri Benih dan salah satu penyelidikan yang dijalankan ialah penghasilan benih variety jagung bijirin yang sesuai dengan tanah dan iklim di negara ini. Dalam pada itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif GWG, Dr. Chua Kim Aik, beliau gembira kerana kerajaan akhirnya mengambil satu langkah ke hadapan bagi memajukan penanaman jagung bijirin untuk ternakan bagi memastikan negara dapat mengurangkan kebergantungan sumber import. Malaysia kini mengimport 100 peratus makanan ternakan. Projek ini cukup bagus untuk dibangunkan dan sememangnya perlu diberi perhatian serius ke­rana jagung tidak memerlukan kawasan yang luas untuk mendapatkan pulangan menguntungkan. Kjian menunjukkan dimana jagung bijirin hanya memerlukan 450,000 hektar untuk mencapai hasil pengeluaran sebanyak 3 juta tan dan Malaysia mempunyai banyak tanah terbiar yang boleh digunakan untuk penanaman jagung. Bagi tujuan tersebut pihak syarikat turut menghasilkan lapan variety jagung bijirin antaranya GWG 111 dan GWG 888. Kini beliau mendakwa dimana varieti jaug bijirin tersebut adalah sesuai untuk iklim tropika. Oleh itu sejauh mana ia akan berjaya bergantung kepada cuaca, selain keadaan tanah dan juga cara untuk pengurusan ladang. Bagi menentukan keselamatan dalam makanan, Malaysia perlu membangunkan benih sendiri dan dari sebab itu kini GWG memainkan peranan menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan benih bersesuaian. GWG telah menghasilkan benih untuk jagung bijirin, tembikai, ja­gung manis, sawi, tomato dan banyak lagi. Projek terkini penanaman jagung bijirin juga adalah satu peluang besar kepada golo­ngan muda yang ingin menjadi usahawan tani. Menurut Nasir pertanian kini merupakan satu cabang perniagaan yang berpotensi besar untuk dimajukan dan dijadikan kerjaya.

Dalam laporan akhbar tempatan pada Julai 2017 yng dipetik di Kemaman diaporkan dimana projek perintis tanaman jagung bijirin secara komersil di Kampung Dadong di sini mengatasi piawaian antarabangsa dengan hasil tuaian sebanyak enam tan metrik sehektar (6 mt/ha)Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata dimana projek di kawasan seluas 34 hektar itu ternyata mampu memberi keyakinan kepada petani untuk mengusahakanya di seluruh negara. Kini jumlah tuaian setiap hektar juga melepasi piawaian antarabangsa yang pada kadar lima tan metrik sehektar. Dilaporkan dengan kejayaan ini negara berjaya memecahkan halangan psikologi kononnya Malaysia tidak boleh menanam jagung bijian atau jagung bijirin. Ahmad Shabery berkata kini model projek perintis di Dadong akan dikembangkan ke seluruh negara meliputi kawasan seluas 748 hektar. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan penuaian kali kedua di Kampung Dadong di ladang jagug birijin petang tadi. Dalamm majlis tersebut Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Mohd Nasir Warris telah memberikan taklimt mengenai kejayaan penanaman jagug bijirin dikawasan tersebut. Kini dengan kejayaan itu juga kementeriannya bercadang untuk menjadikan jagung bijirin sebagai tanaman kedua terbesar di negara ini selepas padi. Model projek ini akan dijadikan satu dasar penting untuk mengembangkan industri makanan ternakan negara memandangkan selama ini terpaksa diimport ujar beliau. Katanya ini satu perkara yang perlu diberi penekanan kerana kalau tidak melaksanakannya, negara akan terus bergantung sumber dari luar dengan perbelanjaan yang besar. Ketika ini katanya walaupun tahap sara diri (SSL) daging ayam adalah 100 peratus, negara mengimport 100 peratus makanan untuk ternakan terutama jagung bijian dengan nilai RM3.1 bilion setahun atau hampir empat juta tan metrik setahun dan perkara ini perlu untuk dilakukan tindakan jangk panjang untuk mengatasinya. Pada masa sama sati=u seminar peringkat kebangsaan telah diadakah di Kemaman melibatkan pengusaha, penanam, pegawai pengembangan, penyelidik, pelabur dari seluruh negara untuk membangunkan industri jagug bijirin yang i=dirasmikan oleh menteri pertanian. Semuga artikel ini dapat memberikan info berguna kepada pembaca blog anim agro technology semua. Wasallam!!!..



JAGUNG BIJIRIN...JAGUNG BIJIAN SAMA...
TANAMAN GANTIAN IMPORT...DILAKSANA...
MULA BERHASIL...HASIL SUDAH ADA....
MENTERI MENUAI... LAPORAN DISEDIA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Dadong, Kemaman,
Terengganu,
Malaysia.
(12 Syawal 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...