Support My Blog

Thursday, September 8, 2016

WHEAT GRASS - APA DIA?

WHEAT GRASS (Triticum aestivum atau pun Gropyron cristatum) merupakan sejenis rumput yang dikomersilkan di Malaysia daripada keluarga Poaceae (Dulu Graminae) untuk dijadikan jus minuman. Penulis mendapat ilham menulis didalam Blog Anim Agro Technology selepas melawat satu syarikat yang menanam dan menjadikan wheat grass ini sebagai satu perusahaan yang berjaya. Sebenarnya banyak syarikat di Johor yang penulis pernah lawat dahulu (Di Batu Pahat dan Johor Bahru)  menanam wheat grass secara komersil. Wheatgrass adalah makanan yang disediakan daripada kotilidon bijinya yang disemai dengan kaedah khusus. Ia kemudian diproses menjadi jus cecair minuman (Liquid) atau pun boleh dijadikan  pekatan serbuk (powder concentrate). Wheatgrass memang berbeza dengan Wheat Malt kerana ianya disediakan dalam bentuk minuman segar dan disimpan didalam suhu sejuk. Wheatgrass dibiarkan tumbuh meninggi dari wheat malt agar ia menghasilkan bahan Klorofil, Asid Amino, Bahan mineral, Vitamin dan enzim yang berkhasiat kepada pengguna. Khasiat dari wheatgrass ini dijadikan makanan kesihatan dengan kandungan nutrisi seperti disebutkan tetapi ia didakwa mempunyai khasiat khusus (curative properties) walau pun kajian sebenar hanya sedikit yang di keluarkan. Ia biasanya diambil dalam bentuk jus minuman segar dan jarang diambil makan terus sebagai ulam. Bagaimana pun dengan ujudnya berbagai teknologi moden kini produk dari wheatgrass telah diproses menjadi tablet, kapsul atau jus sejukbeku dan sebagainya. Produk wheatgrass juga dijual untuk dijadikan produk semburan (spray), Krim (cream), Minyak Urut dan cecari ubatan herba. Sebenarnya semua produk wheatgrass ini dihasilkan melalui proses iaitu proses percambahan bijibenih dalam dulang khusus secara organik (Sila lihat foto diatas). Proses menyemai biji wheat ini dilakukan dalam keadaan organik dimana tiada sebarang bahan kimia digunakan kerana ia adalah bahan untuk diminum segar selepas diproses. Artikel sempena Hari Kemederkaan ke 59 ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai wheatgrass sebagai satu info untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca blog.

Sebelum membincangkan akan lanjut teknologi penanaman dan hal-hal berkaitan wheat grass, ada baiknya kita ketahui sejarah mengenai tanaman ini. Ia sebenarnya telah dijadikan satu sumber industri semenjak lebih 5,000 tahun dulu semasa zaman Mesopotamia dan tamadun Mesir lagi.  Masyarat dahulu sudah percaya akan kehebatan khasiat wheatgrass sebagai makanan berkhasiat dan menyihatkan sekain daripada kaedah penanamnya secara organik. Penggunaan wheatgrass di Eropah pula dimulakan sekitar tahun 1930'an hasil daripada beberapa kajian akan kehebatan tumbuhan ini dalam aspek memberikan kesan kesihatan. Kajian beberapa saintis seperti oleh Wigmore mendapati khasiat wheatgrass dikaitkan dengan kemampuannya menghapuskan atau kurangkan kandungan toksin dalam badan. Makanan ini memberikan keseimbangan kepada makanan yang diambil. Penulis yang berkunjung ke Ladang Highland Sprout di Janda Baik, Pahang mendapati iendustri ini masih berkembang dan mempunyai pemasaran yang khusus (niche market) di kawasan lembah Kelang. Penulis berbincang beberapa sistem tanaman, penyelenggaraan, kawalan kualiti, pasaran serta persijilan MyOrganic yang dipunyai syarikat ini (Sila lihat foto disebelah). Penukis mendapati kaedah organik dalam penanaman wheatgras merupakan asas penting dalam industri ini.

Cara menanam wheatgrass ini boleh dilakukan didalam rumah ada naungan atau dikawasan terbuka. Bagaimana pun usahawan wheatgrass di Malaysia menanam dibawah rumah kalis hujan atau dibawah naungan. Biji wheatgrass diimport dari Australia dengan harga sekitar RM40 sekilogram. Penanaman dibuat dalam dulang semaian (seeding tray) yang diisikan dengan media campuran diantara kompos bongkah cendawan (asasnya adalah habuk kayu getah) dengan bokashi (Sila lihat foto penulis ambil disebelah). Dulang semaian berukuran 120 cm x 180 cm diisikan setebal 1 cm media tanaman dan kemudian ditaburkan biji wheatgrass diatasya. Penyiraman dilakukan dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang dengan kaedah semburan air untuk membasahkannya. Dulang ini akan disusun beberapa tingkat pada rak-rak yang diperbuat daripada kayu, buluh atau besi logam. Ianya dibiarkan beberapa hari untuk biji whewtgrass kemudian tumbuh mengeluarkan daun. Penyelidikkan oleh saintin mendapati kandungan protin dalam wheatgrass adalah paling optima sebelum daun-daun yang keluar akan bersambung. Kemudian kandungan klorofill, protin, vitamin akan menurun apabila bekalan makana dalam kotilidon hampir habis (makanan pertumbuhan awal dari dalam kotilidon). Kelewatan menuai wheatgrass akan menyebabkan kualiti nutrisi berkurangan dan produk akhir akan kurang berkhasiat. Penuaian dan pemproses daun wheatgrasss yang masih segar dari ladang membolehkan ia berkualiti untuk dijadikan produk akhir.  Ada produk wheatgrass yang dijual dipasaraya tetapi ia selalunya lebih tertumpu kepada outlet pasaran organik.


Apakah kehebatan khasiat produk dari wheatgrass ini?. Dalam beberapa jurnal dan artikel yang penulis rujuk mendapati ia dikelaskan sebagai bernutrisi tinggi. Salah satu kelebihan didakwa ia amat baik untuk mengelakkan serangan Kanser walau pun tidak ada kajian spesifik. Antara yang didakwa hebatnya wheatgrass adalah mencegah daripada kanser payudara dan kanser usus. Kandungan 1 aun (28 gram) wheatgrass mengandungi 800 mg protin, 120 IU Beta carotene, 880 mg Vitamin E, 1 mg Vitamin C, 0.30 mg Vitamin B12, 21 mg Fosforus, 8 mg Magnesium, 7.2 mg Kalsium, 0.66 mg zat besi dan 42 mg Potassium. Ianya adalah jenis produk yang paling tinggi khasiat dan nutrisinya dibanding dengan Brocolli dan Bayam. Satu kajian lain yang dijalankan mendapati memakan 15 paun wheatgrass menyamai dengan memakan 350 paun sayuran biasa (Kadar 1:23). Kandungan Vitamin B12 dalam wheatgrass menyebabkan ia dikatakan lebih memberikan nilai kepada makanan ini. Walau pun tidak ramai dikalangan masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu mengambil makanan ini berkemungkinan mereka tidak tahu akan maklumat produk ini. Produk yang disediakan dengan ara organik ini walau pun mash rendah permintaannya di negara kita tetapi lazimnya mereka yang telah kena kanser baru ingin mencarinya. Sebaiknya ia diambil setiap masa untuk mengekalkan kesihatan. Cara penyediaannya dengan mengambil daun wheatgrass dan kisar untuk dijadikan jus minuman segar atau daun tersebut dikeringkan dan dikisar menjadi serbuk (powder). Semuga artikel dalam Anim agro Technology kali ini memberi info berguna kepada pembaca. Wasllam!...
WHEATGRAS ITU... APA BENDANYA...
BIJINYA DISEMAI.. DISIRAM BERKALA...
DAUN TUMBUH... DI KERAT SEMUA..
DIPROSES LAGI... DIMINUM AKHIRNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Highland Sprout Sdn Bhd,
Kg Chendering Tengah,
Janda Baik, Bentong,
Pahang,
Malaysia.
(31 Ogos 2016)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...