Support My Blog

Monday, September 12, 2016

TKPM LOJING -SAYUR TANAH TINGGI

Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lojing (TKPM LOJING) merupakan salah satu daripada berpuloh buah TKPM yang dimajukan oleh kerajaan melalui Jabatan Pertanian. TKPM ini terletak di Jajahan Gua Musang, Daerah Bertam, Mukim Ulu Nenggiri, Gua Musang, Kelantan iaitu satu kawasan Tanah Tinggi yang dingin udaranya. Ia terletak dengan jarak 88 km dari Gua Musang tetapi dekat sahaja iaitu sekitar 8 km dari Blue Valley dan 35 km dari Tanah Rata Cameron Highlands, Pahang. Penulis yang beberapa kali membuat lawatan teknikal ke TKPM ini mendapati pada kedudukkan TKPM pada ketinggian 900 -1,000 meter dari paras laut memberi kedinginan dengan suhu antara 18-27 Celcius. Kawasan yang asalnya hutan simpan ini telah diluluskan untuk tujuan pembangunan TKPM Tanah Tinggi yang terawal di Negeri Kelantan. Peringkat pembangunan tanah tinggi ini dilakukan dalam 2 peringkat iaitu TKPM Lojing 1 dan TKPM Lojing 2. Rujukan penulis mendapati TKPM LOJING 1 mula dibangunkan semenjak 1998 dengan siap sepuhnya dan mula berhasil pada 2013. Luas Fizikal TKPM ini adalah 72.18 ha dimana jumlah fizikal yang sesuai dibangunkan seluas 23.214 ha. Daripada keluasan tersebut jumlah keluasan Struktur Pelindung Hujan (SPH) adalah seluas 6.024 ha. Jumlah keluasan Ladang Terbuka pula seluas 7.9 ha. Kini terdapat seramai 11 orang Usahawan Belia dimana 2 daripadanya adalah 2 peserta baru. Jenis Tanaman Utama yang ditanam adalah Tomato, Kacang Buncis, Cili dan Kobis Bulat sebagai tanaman selingan. Diantara jenis kemudahan asas yang disediakan oleh kerajaan di TKPM ini adalah asrama tempat tinggal peserta, 2 unit rumah semi-D untuk pegawai, rumah pekerja, surau, pusat pengumpulan hasil, sistem pengairan, 8 unit kolam, lalan ladang dan SPH. Jenis sistem pengairan yang disediakan adalah sistem pengairan renjis (sprinkler irrigation) yang menggunakan tekanan graviti. Bagi TKPM LOJING 2 ia berada berlainan dengan LOJING 1. Jaraknya adalah107 km dari bandar Gua Musang atau sekitar 19 km dari Blue Valley dan 50 km dari bandar Tanah Rata, Cameron Highlands. kawasan ini mempunyai paras etinggian 2,500 - 3,200 kaki atas paras laut dengan keadaan suhu antara 18-27  Celcius. Ia mempunyai kesuaian tanah jenis tanah ialah siri Ringlet. Keadaan topografi tanah adalah berombak, berbukit, sangat berbukit serta curam dengan disekelilingi oleh kawasan hutan. Hanya sekitar 40.80 ha ( 20.3 %) sahaja yang sesuai untuk dibangunkan sementara seluas 159.3.0 ha( 79.7%) adalah tidak sesuai kerana tanah curam. Punca air diperolehi daripada Sg. Rengit yang merentangi tapak projek. Pembangunan TKPM tanah tinggi ini merupakan satu usaha menghasilkan sayuran dan hasil buah-buahan tanah tinggi sebagai satu projek yang perlu dibanggakan. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai laporan akhbar tempatan mengenai kejayaan projek TKPM ini. 

Pendapatan Kasar seorang peserta di TKPM Lojing, Kelantan pernah dilaporkan boleh mencecah RM7,000 sebulan. TKPM dibangunkan dengan matlamat untuk mewujudkan kawasan  zon kekal pengeluaran tanaman makanan dan ini membantu meningkatkan pengeluaran makanan negara yang mapan, berkualiti dan selamat dimakan. Ia memainkan peranan penting dalam membangun dan meningkatkan penglibatan usahawan-usahawan dalam bidang pengeluaran tanaman makanan secara komersial dengan menyasarkan pendapatan bersih sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan di samping menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam pengeluaran tanaman makanan. TKPM Lojing yang mula dibangunkan pada tahun 1998. Seramai 10 orang peserta terdiri daripada usahawan agro muda telah dipilih untuk mengusahakan TKPM ini yang mempunyai keluasan fizikal 72.12 hektar. Kedudukan TKPM Lojing yang terletak di kawasan tanah tinggi seperti di Cameron Highlands dimana ini membolehkan peserta menanam sayur-sayuran tanah tinggi antaranya, tomato, kobis, kacang buncis dan cili. TKPM ini disediakan dengan infrastruktur seperti struktur pelindung hujan dan sistem pengairan. Sistem ini didapati membolehkan pertanian berteknologi tinggi seperti teknik penanaman menggunakan kaedah fertigasi dijalankan. Selain itu, turut disediakan kemudahan lain seperti asrama peserta, rumah pekerja, surau, pusat pengumpulan hasil, kolam takungan dan kawalan hakisan. Setiap peserta di TKPM ini diberikan sebanyak 10 unit (0.18 hektar) selain struktur pelindung hujan yang mampu menempatkan 10,000 polibeg bagi pengeluaran tomato. Secara purata, produktiviti pengeluaran tomato adalah sebanyak 56 tan metrik bagi setiap peserta bersamaan 126 tan metrik per hektar. Produktiviti pengeluaran yang dihasilkan oleh mereka adalah setanding dengan pengusaha di Cameron Highlands.

Bagi tahun 2015, jumlah pengeluaran yang direkodkan adalah sebanyak 1,090 tan metrik dengan nilai pengeluaran RM2.36 juta. Tomato menjadi penyumbang utama pengeluaran iaitu kira-kira 560 tan metrik dengan nilai RM1.06 juta. Tomato yang ditanam di TKPM ini adalah untuk pasaran domestik dan juga pasaran eksport terutama ke Singapura. Dalam penulis merujuk kepada beberapa laporan akhbar mendapati jumlah pengeluaran hasil terkumpul sejak TKPM Lojing dimulakan pada tahun 1998 hingga 2014 adalah sebanyak 8,520 tan metrik dengan nilai RM14.90 juta. Ini menjadikan TKPM Lojing menjadi salah satu TKPM yang berjaya menyumbangkan makanan kepada rakyat Malaysia. Analisa ekonomi menunjukkan purata pendapatan kasar seorang peserta mencecah RM7,000 sebulan. Di samping itu, peserta TKPM ini juga berjaya mengeksport tomato ke Singapura berjumlah 440 tan metrik bernilai RM680,000. Kini TKPM Lojing juga telah mencapai kejayaan dengan memperoleh Anugerah Pengurusan TKPM dengan mendapat penarafan lima bintang selama empat tahun berturut-turut bermula tahun 2012 hingga 2015 peringkat jabatan. Penarafan ini dilakukan di semua 78 TKPM diseluruh negara dengan tujuan untuk menilai tahap atau status kemajuan TKPM mengikut beberapa ciri penilaian. Dari sudut lain dilaporkan TKPM Lojing juga telah berjaya menggondol anugerah Kumpulan Tani Komersial Jaya peringkat kebangsaan pada tahun 2012 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang menawarkan hadiah sebanyak RM20,000. 


Apa yang mengembirakan adalah apabila kesemua 10 orang peserta usahawan TKPM Lojing telah mendapat pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP). Skim pensijilan ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang berjaya mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan. Pemantauan terhadap hasil tomato di TKPM ini menunjukkan pengeluaran secara amnya tidak terjejas dengan fenomena El Nino. Ini berpunca daripada kedudukan TKPM yang terletak di kawasan tanah tinggi yang mana masih mempunyai sumber air mencukupi dari hutan disekelilingnya dan kawasan ini menerima hujan mencukupi. Kini dimaklumkan sumber utama air untuk kegunaan ladang seharian adalah daripada Bukit Bahong yang terletak sejauh 10 kilometer dari TKPM ini juga tidak menerima kesan akibat fenomena El Nino. Konsep pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan seperti di TKPM Lojing ini telah berjaya menjadikan pengeluaran makanan kawasan tanah tinggi ini terbukti berjaya. Pelbagai jenis hasil tanaman buah-buahan, sayur-sayuran tanah rendah, sayur-sayuran tanah tinggi dan sebagainya mampu dijana hasil kerja kuat semua pihak terutama pegawai-pegawai di Jabatan Pertanian yang berjaya merealisasikan TKPM disini dan diseluruh negara. Semuga TKPM akan terus maju dan menyumbang kepada ekonomi negara. Wasallam!!!..

NAMA TKPM... PROJEK TARAF MEGA...
DITANAH TINGGI.... LOJING SAHAJA...
HASIL SAYURAN...SUDAH BERJUTA...
PERLU DILIHAT... KEMUDIAN ANALISA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 101, Dynasty Inn,
Kota Bharu, Kelantan,
Malaysia.
(8 Zulhijjan 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...