Support My Blog

Thursday, March 31, 2016

KURMA - PENYEDIAAN BENIH

POKOK KURMA (Phoenix dactylifera) adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga Arecaceae yang berasas dari kawasan sekitar Timur Tengah dan negara beriklim panas dan kering. Buah kurma merupakan buah yang berkhasiat dan menjadi produk eksport yang besar dari Mesir dan beberapa negara lain keseluruh dunia.Tanaman yang natif dari kawasan panas dan padang pasir ini telah diperkenalkan ke Malaysia tidak berapa lama dahulu sebagai tanaman hiasan dikawasan perbandaran seperti ditepi jalan, ditengah-tengah bulatan (round about) atau ditanam dilokasi strategik premis bangunan. Pokoknya yang rendang, daunnya yang menghijau serta kurang masaalah aspek penyelenggaraan menyebabkan pokok dari keluarga Arecaceae (Dulu dikenali sebagai Pokok Palmae) ini ditanam sebagai tanaman hiasan atau landskap. Penulis yang berasal dari Daerah Muar sudah biasa dengan beberapa pokok kurma di bulatan Jalan Bakri Muar yang selalu berbuah bila tiba musimnya tetapi kini pokok tersebut telah ditebang untuk pembengunan kawasan tersebut. Semenjak tahun 2010 dan dalam tahun 2014 telah menjadi viral bagaimana banyak pokok kurma di Kelantan telah berbuah dengan banyak menarik minat ramai orang untuk menanamnya. Beberapa pokok kurma di Bulatan Majlis Bandar Kota Baru telah menghasil buah kurma dengan baik dan menjadi daya tarikan kepada orang ramai dan pelancong. Bagaimana pun pada 2016 telah diistiharkan oleh Jabatan Pertanian bahawa pokok kurma merupakan perumah yang sangat sesuai untuk Kumbang Jalur Merah (Red Palm Weevil) yang menjadi perosak digazetkan untuk dimusnahkan. Peruntukkan sebanyak RM4 juta telah diumumkan oleh kerajaan untuk memerangi RPW ini yang telah merosakkan banyak tumbuhan Arecaceae lain termasuk pokok kelapa (Cocos nucifera) dan ia juga berkemungkinan menyerang pokok kelapa sawit dimasa akan datang. Terdapat beberapa syarikat swasta semasa artikel ditulis kini sedang giat membuat kempen menjual pokok kruma sebagai tanaman berpotensi untuk dimajukan di Malaysia. Mereka menjual anakbenih, baja dan pakej amalan teknologi tanaman kurma. Bagaimanakah mereka menyediakan anak pokok kurma ini?. Artikel kali ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis sedikit info mengenai penyediaan benih kurma berdasarkan pembacaan, tnjauan kebeberapa nurseri tempatan dan hasil temubual dengan pakar pengeluaran benih Arecaceae.


Pokok kurma adalah daripada keluarga Arecaceae iaiu jenis pokok monokotilidon yang hanya boleh dibiakan dengan BIJI. Ia sama dengan pokok kelapa dan kelapa sawit. Pada masa ini terdapat 3 cara untuk pembiakan pokok kurma iaitu dengan gunakan Biji, Offshoot Propogation dan juga Kultur Tisu. Pembiakan dengan biji benih atau dikenali sebagai 'sexual propogation' merupakan cara paling asas untuk mendapatkan anak benih dan diamalkan tetapi ia tidak digalakkan. Diantara beberapa sebab kenapa ia tidak disyorkan adalah kerana pokok kurma adalah jenis DIOECIOUS dimana separa daripada separuh daripada progeni adalah jantan (males) dan separuh lagi betina (females). Proses pendebungaan semulajadi yang tidak terkawal menyebabkan ketidakpastian progeni yang tersenyawa yang menghasilkan biji benih yang tidak diketahui kelitinya. Ia hanya diketahui selepas 4-7 tahun apabila pokok berbuah. Pokok betina yang ditanam dari biji biasanya lambat berbuah dan hasil yang sangat rendah dibandingkan dengan benih klonal. Dalam kebun yang semua ditanam dengan benih dari biji kuran dari 10% menghasilkan buah berkualiti. Oleh kerana pokok kurma jenis Heterozygous maka tidak akan ada pokok yang ditanam dari benih akan sama atau seragam dari semua aspek. Buahnya mempunyai progeni yang tidak menentu dan lazimnya bukan 'true-to-type'. Pokok yang ditanam dari biji yang dijadikan benih lazimnya bermasaalah dari amalan agronomi, hasil tidak menentu dan menyukarkan proses jualan dan pemasaran kelak kerana variasi berlainan. Cara ini membazirkan wang, masa dan merugikan. Ada beberapa syarikat swasta tempatan yang mengambil biji kurma dan disemai (Sila lihat foto disebelah) dan seterusnya dijual kepada pembeli. Elakkan daripada perkara ini berlaku!.


Benih Offshoot (Sulur Anak) merupakan cara mendapatkan benih paling disyorkan untuk tanaman kurma. Cara pembiakan ini adalah dipanggil cara pembiakan vegetatif atau aseksual. Offshoot lazimnya keluar daripada perdu pokok kurma dengan bilangan diantara 20-30 sepanjang hayat (10-15 tahun) bergantung kepada varieti dan amalan agronomi (Sila anda lihat foto disebelah). Walau bagaimana pun hanya 3-4 benih offshoot ini yang boleh digunakan dari sepokok setahun. Benih tersebut diambil dari pangkal pokok dan disemai untuk selama 1-2 tahun lagi sebelum sesuai ditanam diladang. Hanya benih offshoots daripada pokok kurma yang berhasil tinggi, buah berkualiti, cepat berbuah dan tahan serangan serangga dan penyakit akan dijadikan anakbenih. Anakbenih ini biasanya melekat pada pokok induk dan ditandakan dahulu agar dapat dibezakan semasa dinurseri atau diladang mengikut varieti. Kelebihan benih kurma Offshoot ini adalah kerana ia menjamin pokok yang tulin sama seperti induknya (tru-to-type tree) dari segi kualiti, keseragaman dan tabiatnya. Pokok ini akan berbuah 2-3 tahun lebih awal daripada pokok ditanam dari biji (seeds). Benih offshoot boleh diambil dari yang beninya berumur lebih 3-5 tahun yang bebas penyakit dengan ukurlilit batang diantara 20-35 cm. Lazimnya berat satu benih offshoot sekitar 10 kg tetapi jangan melebihi 25 kg kerana ia menyulitkan proses pengangkutan. 


Teknik Kultur Tisu bagi tanaman kurma masih jauh dari dijadikan asas untuk pembiakan. Jika teknik ini dilakukan secara in-vitro propogation maka masaalah kekurangan benih kurma berkualiti akan dapat diatasi (Sila lihat foto disebelah). Cara pembiakan ini perlukan kepakaran tinggi dan peralatan yang sesuai untuk menghasilkan jika berjaya benih yang seragam, julah yang dihaslkan banyak dalam masa singkat dan pilihan pokok kurma betina yang lebih produktif. Anak benih kultur tisu juga lazimnya bebas dari sebarang patogen penyebab penyakit dan cepat proses untuk pengedaran diseluruh dunia. Bagaimana pun dilaporkan kadar kejayaan teknik kultur tisu in-vitro bagi herbaceous plants amat rendah. Sumbur kultur untuk tanaman ini boleh diambil daripada bahagian pucuk, bunga, buah, batang dan akarnya. Berkaitan dengan ketulinan (true-to-type) benih ini amat kurang meyakn ramai orang kerana berlaku Variasi Somaklonal (Somaclonal variation). Variasi ini berlaku disebabkan oleh kaedah in-vitro dilakukan, media digunakan, sifat pokok induk, tempoh inkubasi, komposisi medium, tempoh simpanan media dan peralatan serta persekitaran. Pada penulis buat masa ini elakkan untuk membeli benih kurma yang dihasilkan melalui kaedah kultur tisu sehingga ada pengesahan kukuh daripada pihak tertentu yang bertauliah. 


Pokok Kurma kini ada dijual dibeberapa nurseri swasta sebagai pokok tanaman hiasan dan kini telah menjadi 'havoc' dimana ada syarikat yang membuat promosi menjual pokok kurma untuk ditanam sebagai tanaman hiasan dan komersil. Mereka membuat pelbagai kaedah promosi sama ada melalui internet, wasap, kempen penerangan dihotel terkemuka dan pamplets. Mereka menyatakan jika berjaya pokok ditanam dan berbuah akan memberikan keuntugan (Sila lihat foto hiasan disebelah). Bagaimana pun pada penulis dengan membaca artikel ini semua orang akan dapat memahami 3 kaedah untuk proses penyediaan anak benih kurma. Teknik penyediaan benih pokok kurma dlam industri ini memang perlu diketahui walau pun konsep pembiakan pokok dibawak keluarga Arecaceae ini secara asasnya adalah hampir sama. Kini ada kes dimana anakbenih pokok kurma kini dijual dengan harga premium sehingga lebih daripada RM100.00 sepokok bergantung kepada banyak faktur. Elakkan membeli benih kurma yang tidak diketahui sumber dan cara pembiakannya. Semua anda mendapat info berguna dari tulisan ini. Wasallam!...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Parit Amal, Jalan Dato Hj Kusai,
Muar, Johor, 
Malaysia.
(30 Zulkaedah 1436H)

Wednesday, March 30, 2016

LIMAU PURUT - TESTIMONI

LIMAU PURUT (Citrus hystrix) atau juga dipanggil sebagai "Kaffir Lime" merupakan sejenis limau dari keluarga Rutaceae iaitu dari kumpulan Genus Citrus. Limau Purut dipercayai berasal dari Asia Tengara seperti Indonesia, Malaysia, Thailand dan Laos serta negara jiran yang lain. Pokok limau purut ditanam diseluroh dunia sebagai bahan tanaman herba atau tanaman hiasan dan ornamental dikawasan keliling keliling rumah. Keluasan tanaman limau purut di Malaysia yang saya buat semakan dengan Jabatan Pertanian tiada rekod rasmi kerana tanaman ini ditanam sebagai tanaman keliling rumah untuk kegunaan sendiri. Limau jenis ini dipanggil sebagai 'limau purut' kerana bentuk buahnya yang mengerutu seperti purut atau seperti kulit katak puru. Selain itu bentuk daunya juga berbeza dengan limau jenis lain kerana ia seakan mempunyai bentuk khas 'Nombor 8'. Terdapat beberapa kajian mengenai varieti limau purut oleh beberapa saintis pertanian tetapi sehingga kini belum ada varieti khusus yang didaftarkan dibawah 'Nasional Listing Jabatan Pertanian'. Saya fikir kalau ada yang ingin bertanya jawapan paling sesuai dikatakan adalah 'Varieti Lumau Purut Tempatan' sahaja. Maklumat dari beberapa sumber menunjukkan ramai petani di Johor, Kelantan dan Selangor yang menanam limau purut secara komersil tetapi ianya bercampur dengan pokok buah2an yang lain. Dalam kes lain kini limau ourut ditanam disekeliling rumah sama ada dalam pasu atau diatas tanah untuk kegunaan sendiri. Menanam limau purut dirumah adalah sangat signifikan dilakuan. Bagaimana pun daun limau purut ada dijual dipasar, kedai runcit, pasaraya, pasartani dengan harga seikat sekitar RM1.00. Artikel kali ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis semula beberapa testimoni berkaitan Limau Limau purut yang dilaporkan akhbar tempatan untuk bacaan dan rujukkan anda.


TESTIMONI 1 :
Limau purut cantikkan kulit
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM



SERDANG: DALAM rencana keluaran sebelum ini pembaca pernah didedahkan dengan pelbagai khasiat limau nipis, antaranya mengubati batuk dan mengempiskan perut ibu lepas bersalin. Minggu ini, para pembaca sekali lagi berpeluang mengetahui kegunaan dan kelebihan satu lagi pokok dari keluarga Rutaceae iaitu LIMAU PURUTHerba dengan nama saintifik Citrus hystrix ini juga tidak kurang dari segi kelebihannya dan sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat. Ia tidak ubah seperti pokok limau biasa kecuali daunnya beranak manakala buahnya bulat tetapi didapati menggerutu dengan rasa masam dan pahit. Bagi suri rumah, daun limau purut menjadi pilihan sebagai ramuan atau perisa makanan untuk memasak lauk tomyam, asam pedas dan laksa. Buahnya pula selalu dijadikan sebagai antara bahan penting upacara mandi bunga dan mandi wap yang menjanjikan kesegaran. Kini terdapat pula teknologi terbaru untuk menghasilkan minyak wangi dan haruman aroma terapi daripada pati limau purut serta herba lain. Selain kegunaan tersebut, limau purut juga mempunyai beberapa khasiat lain yang boleh diamalkan untuk penjagaan kesihatan dan rawatan sakit kulit.

Menurut Pegawai Laboratori Fitoubatan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap, limau purut boleh menghilangkan lemah dan letih. Katanya, ia juga digunakan untuk mencuci rambut dan kulit kepala berkerak di samping mengatasi masalah kulit kering bersisik. Bagi mendapatkan kesegaran selepas mengalami kepenatan, dua genggam daun limau purut direbus terlebih dahulu. Rebusan itu kemudian dijadikan air mandian yang dapat memberi kepuasan dan menjadikan badan kembali segar dan bermaya,'' ujarnya. Kata Tajuddin, sebiji buah limau purut diperlukan bagi membersihkan rambut, sekali gus mencuci kulit kepala yang berkerak atau ada masaalah berkelemumur. Buah limau tersebut dipotong atau dibelah dua sebelum disental pada kulit kepala yang mungkin menyebabkan rasa pedih. Selepas disental, biarkan selama 10 minit sebelum dibilas dengan air bersih,'' jelas Tajuddin. Menurut beliau, kaedah yang sama dilakukan untuk mengatasi masalah kulit kering bersisik yang selalunya diamalkan ketika mandi. Sentalkan buah limau purut yang telah dibelah dua pada bahagian kulit yang bersisik tersebut dan biarkan beberapa ketika sebelum dibilas,'' katanya.




TESTIMONI 2 :
Limau purut untuk kecantikan kulit 

MELAKA: Limau purut atau nama saintifiknya Citrus hystrix tidak kurang hebatnya dan sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat kita. Ia mengandungi Asid sitrik semula jadi yang membantu mengekalkan kelembapan kulit. Malah limau purut juga dapat membantu untuk merawat kulit kepala, luka, lebam dan gigitan serangga berbisa serta merangsang perjalanan darah. Pada masa sama turut mempunyai beberapa khasiat lain yang boleh diamalkan untuk penjagaan kesihatan dan rawatan sakit kulit. Sebiji buah limau purut diperlukan bagi membersihkan rambut, sekali gus mencuci kulit kepala yang berkerak atau berkelemumur. Buah limau itu dipotong atau dibelah dua sebelum disental pada kulit kepala yang mungkin menyebabkan rasa pedih. Selepas disental, biarkan selama 10 minit sebelum dibilas dengan air bersih. Kaedah yang sama dilakukan untuk mengatasi masalah kulit kering bersisik yang selalunya diamalkan ketika mandi. Sentalkan buah limau purut yang sudah dibelah dua pada bahagian kulit yang bersisik itu dan biarkan beberapa ketika sebelum dibilas.



TESTIMONI 3 :
Limau nipis ubat santau

KUALA LUMPUR: Limau nipis ubat paling mujarab bagi mematahkan tindak balas santau ‘angin’ yang dikenakan kepada seseorang melalui kaedah belah atau memotong limau itu daripada tangkai atas ke bawah. Pengasas Pusat Rawatan Islam Darul Ruqiyyah, Ustaz Mohd Suhaimi Rozali berkata, selain digunakan untuk memulihkan pesakit santau, limau nipis juga boleh digunakan untuk mengesan sama ada seseorang itu sudah terkena racun santau atau tidak. Apabila orang yang terkena santau angin memakan limau atau nanas bersama kicap mereka akan muntah darah kerana santau itu berlawanan dengan bahan berkenaan, malah, pesakit juga berasa sakit pada seluruh anggota badan seperti dicucuk dengan benda tajam,” katanya. Menurut Suhaimi, santau angin yang turut dipanggil ‘tuju’ itu dihantar dari jauh oleh individu tertentu dengan niat mengkhianati seseorang atau memenuhi syarat pemilikan santau. Pengamal santau perlu membuang santau itu setiap tahun bagi memastikan ia tidak ‘memakan’ diri sendiri atau keluarga terdekat mereka,” katanya. Katanya, santau angin boleh berlaku melalui dua cara iaitu secara manual iaitu penghantar meletak bahan santau ke dalam makanan atau minuman orang yang ingin disantau dengan meletakkan serbuk santau itu pada hujung kuku dan ditabur dengan cara merenjis. Manakala cara kedua, melalui upacara pemujaan yang dilakukan bomoh menggunakan perantaraan makhluk halus atau jin. Ia dilakukan dari jauh tanpa pengetahuan mereka yang ditujukan santau berkenaan. Semalam, Harian Metro melaporkan lima anggota polis yang menderita sakit perut dipercayai akibat ditujukan ‘santau katak puru’ dan ‘santau angin’ oleh seorang dalang sindiket mencuri motosikal. Mengulas kejadian itu, Suhaimi berkata, ada beberapa panduan boleh digunakan orang ramai untuk mengenal pasti kehadiran santau di kedai makan atau sesebuah restoran.

Ketika mengambil makanan, jangan mencampurkan kuah lauk dalam nasi, tetapi kedua-duanya hendaklah diasingkan dalam bekas yang berbeza. Pastikan kuah lauk yang dihidang tidak berbau basi kerana kemungkinan ia mengandungi racun santau. Bagi minuman pula, pegang gelas seperti biasa manakala jari kelingking ditekan pada bawah gelas jika rasa sakit seperti digigit semut api maka ia mengandungi santau,” katanya. Beliau berkata, antara tanda-tanda awal seseorang itu terkena racun santau ialah mulut berbau busuk, kuku menjadi hitam dan batuk berpanjangan. Semuga artikel ini menyumbang ilmu pengetahuan kepada anda semua. Wasallam!...
LIMAU PURUT...UNIK KULITNYA...
MENGERUTU...AMAT BURUKNYA...
AROMA KUAT... HEBAT GUNANYA...
SUSAH CARI... MAHAL HARGANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Limau Mr Lim,
Bukit Rambai, Melaka,
Malaysia.
(21 Rabiulawal 1435H)

Tuesday, March 29, 2016

KECUBUNG

POKOK KECUBUNG (Datura metel) ialah sejenis pokok renek herba semusim yang kurang dikenali di negara kita. Tumbuhan ini adalah dari keluargai Solanaceae (Sama dengan terung dan cili) yang dipercayai berasal dari China. Nama lain bagi tumbuhan ini adalah seperti Horn Of plenty, Angel"s trumpet, Downy Thorn Apple dan Devil"s Trumpet. Nama-nama ini adalah berdasarkan kepada bentuk marfologi bunganya seperti bentuk trumpet dan buahnya yang berduri. Terdapat beberapa spesis atau nama lain bagi tumbuhan ini seperti Datura fastuosa Linn, Datura alba Ness dan Datura fasttuosa Linn. var alba C.B. Clarke. Penulis sebelum ini kurang kenal akan tumbuhan ini tetapi memahaminya setelah membuat lawatan teknikal di Taman Herba Perak, Gopeng, Perak tidak lama dulu sebanyak 3 kali. Memang sukar untuk mendapatkan info mengenai tanaman ini kerana ia tumbuh liar dan jarang ditanam untuk tujuan komersil. Kajian menunjukkan pokok Kecubung banyak ditanam sebagai tumbuhan hiasan kerana bunganya yang cantik dan unik. Antara beberapa jenis yang biasa dijumpai ialah seperti Kecubung Biasa, Kecubung Kecil dan juga jenis dikenali Kecubung Putih (Datura stramonium)Pokok Kecubung ialah salah satu daripada 50 jenis herba asas yang telah pun digunakan dalam dunia herba cina (Singseh) dan dipanggil mereka sebagai yáng jīn huā. Ramai orang yang pernah mendengar bahawa kecubung adalah beracun jika dimakan pada jumlah yang besar. Ini didapati apabila terdapat tanda atau gejala-gelaja termasuk kulit yang merah, sakit kepala, halusinasi dan mungkin konvulsi (iaitu menggigil-gigil dan terkejang-kejang) serta juga keadaan koma iaitu pada tahap serius. Unsur-unsur toksiknya yang utama ialah bahan yang dikenali sebagai Alkaloid-alkaloid tropana. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis tumbuhan yang beracun dipanggil sebagai Pokok Kecubung untuk idjadikan bahan bacaan dan rujukkan.

Kecubung ialah sejenis pokok renek yang bercabang dengan banyak. Batangnya jenis keras berkayu dan cabangnya seolah-olah membentuk rumpun. Tinggi pokok kecubung selalunya kurang dari 2 meter dan rendah jika dicantas. Ia membiak melalui biji benih dan keratan batang. Benih yang matang dan bernas mudah tumbuh jika disemai. Pada masa ini pokok kecubung banyak ditanam sebagai tumbuhan hiasan kerana warna dan bentuk bunganya yng cantik dan unik. Penulis dapati bunga kecubung membentuk serombong yang besar dan boleh dijumpai dalam saiz dan warna yang berbeza (Sila lihat foto disebelah). Diantara jenis yang biasa dijumpai ialah kecubung biasa dan juga kecubung kecil. Warnanya bunganya yang biasa dijumpai ialah ungu dan putih tetapi ada juga yang berwarna kuning dan oren. Buahnya pula berwarna hijau semasa muda dan akan bertukar kepada warna coklat apabila matang yang lazimnya mempunyai duri-duri halus diluarnya. Kajian makmal menunjukkan kandungan kimia dalam pokok kecubung adalah seperti Hiosin, Oksalik, Lemak dan Hyosiamin. Kajian menunjukkan kecubung putih ialah kecubung yang paling beracun sekali kerana ia mengandungi sebatian alkaloid. Penggunaan segala ubat dari pokok kecubung terhad untuk kegunaan luar sahaja.

Semua bahagian tumbuhan ini didapati beracun walau pun begitu kesan keracunan hanya akan berlaku sekiranya sebarang bahagian tumbuhan ini dimakan dalam kuantiti yang banyak. Jika ada yang kena keracunan kecubung terutamanya kalangan kanak-kanak jangan biarkan pesakit tertidur sebaliknya biarkan mangsa berada dalam keadaan sedar dengan cara minum kopi dan menyedut udara segar hingga kesan keracunan kecubung hilang. Kita boleh manafaatkan kecubung sebagai ubat seperti yang telah dibuat di negara china. Pokok kecubung merupakan salah satu daripada 50 herba asas yang digunakan dalam herbologi Cina. Walaubagaimana pun penggunaan segala ubat dari kecubung terhad untuk kegunaan luaran sahaja. Dalam perubatan melayu pula lazimnya kecubung digunakan untuk merawat penyakit seperti asma, rheumatik, sakit pinggang, bisul dan resdung. Terdapat berbagai cara dan kaedah boleh digunakan dari buah kecubung dan salah satu cara bagi menghilangkan bentan pada buah zakar bayi Caranya apa yang penulis temui orang lama adalah dengan mengambil daun kecubung dan disapu dengan minyak kelapa dan kemudian perlu dilayur di atas api. Setelah itu dibalut buah zakar bayi tersebut dan biarkan untuk selama beberapa ketika sehingga hilang bentan tersebut. Apa-apa pun jika aplikasi ini tidak berjaya sebaiknya dibawa kepada doktor dikawasan berhampiran.

Kegunaan lain dari tumbuhan ini adalah untuk rawatan masaalah asma dan resdung. Caranya adalah dengan mengambil sebanyak 10 helai daun kecubung dan kemudian dihiris halus dan dijemur hingga kering. Apabila kering ia kemudiannya perlu dijadikan rokok dengan dibungkus dalam kulit jagung atau kertas putih. Satu lagi cara untuk merawat resdung dengan menggunakan biji buah kecubung. Jemur biji kecubung lebih kurang 3 hari hingga nampak kering. Ambil tempurung buah yang telah di belah dua maka ia dikeringkan dan dibersihkan. Tebuk lubang kecil di atasnya untuk di masukkan hujung batang anak buluh seperti straw pada permukaan lubang tersebut. Pastikan buluh betul-betul muat untuk lubang kelapa yang di tebuk. Sedia untuk di gunakan. Bagi tujuan rawatan sakit pinggang dan sengal-sengal badan dilakukan dengan mengambil sebanyak 4 helai daun kecubung dan kemudian dicampurkan dengan kapur sirih secukupnya. ia perlu ditumbuk sehingga lumat dan menjadi adunan yang sebati untuk disapukan pada bahagian yang sakit tersebut. Bagi rawatan sakit rheumatik pula boleh dilakukan dengan ambil daun kecubung diramas hingga layu dan disapukan minyak kelapa. Daun ini kemudiannya dilayurkan pada api dan ditampal pada tempat atau bahagian yang sakit ketika masih panas. Nagi rawatan selesama sebaiknya diambil bunga kecubung dan jadikan seperti tembakau dan dihisap dengan mengeluarkan asap dihidung. Kesannya hidung akan keluar lendir berketul-ketul. Daripada kenyataan diatas didapati banyak kegunaan daun dan bunga kecubung untuk kesihatan. Biji kecubung juga beracun namun tidak mendatangkan mudarat yang keterlaluan jika digunakan dengan betul. Penanaman pokok kecubung di Malaysia mempunyai potensi besar jika ada pihak yang membeli dan memprosesnya untuk dijadikan produk kesihatan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog Anim Agro Technology kali ini. Wasallam!...
POKOK KECUBUNG... APA DIANYA...
POKOK ADALAH NATIF...DARI CHINA...
IA BERACUN... PELBAGAI GUNANYA...
DITANAM KOMERSIL...BAGAIMANA?..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(11 Syawal 1436H)

Monday, March 28, 2016

USAHAWAN 'SAMBAL PAHANG'

SAMBAL PAHANG merupakan satu produk insdustri asas tani yang terkenal di Negeri Pahang terutama diDaerah Lipis, Jerantut dan Raub berasaskan kepada Buah Belimbing Buluh. Belimbing Buluh (Averrhoa bilimbi) yang dahulunya hanya dikenali sebagai buah nadir kini telah dikomersilkan penanamannya oleh beberapa orang petani didaerah-daerah tersebut. Penulis yang baru-baru ini mengunjungi daerah tersebut berperluang untuk terus berinteraksi dengan beberapa pakar pertanian, penanam belimbing buluh dan pengusaha IAT Sambal Pahang atau juga lebih popular dengan 'Sambal Hitam' dikalangan penduduk tempatan. Sambal Pahang yang pedas ini enak dimakan dengan nasi putih, ubi kayu rebus dan makanan lain seperti roti dan sebagainya. Walau pun sambal ini dahulu hanya terkenal dikalangan warga Pahang sahaja tetapi kini setelah banyak program promosi dilakukan ia semakin mendapat permintaan tinggi oleh orang ramai di luar Negeri Pahang terutama di Lembah Kelang, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Beberapa program promosi telah mampu dibuat dan mempromosikan produk Sambal Pahang atau Sambal Hitam ini seperti pada Pameran MAHA, HPPNK, SDSI, KUD dan banyak lagi. Memang wajar penanaman pokok belimbing hitam ini diberikan insentif galakkan untuk daerah yang mana ada permintaan tinggi untuk diproses menjadi produk yang semakin popular ini. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Sambal Pahang atau Sambal Hitam serta pengalaman penulis mengenai aktiviti penanaman belimbing buluh untuk rujukkan anda.


Terdapat dua (2) jenis belimbing buluh yang ditanam iaitu Jenis Belimbing Buluh Kuning dan Jenis Belimbing Buluh Hijau (Sila lihat foto belimbing buluh hijau disebelah). Walau pun penulis telah menyemak dengan Daftar Varieti Tanaman Kebangsaan di Jabatan Pertanian, sehingga kini belum ada pendaftaran mengenai varieti belimbing buluh dilakukan di Malaysia. Perkara ini berkemungkinan pencirian dan pendaftaran belimbing buluh perlu dilakukan oleh pihak tertentu. Saya ada menulis artikel mengenai Belimbing Buluh sebelum ini untuk rujukkan (Sila klik disini), (Sila Klik Disini), (Sila Klik Disini) dan (Sila Klik Disini). Tanaman belimbing buluh dahulu selalunya ditanam sebagaii tanaman keliling rumah sebanyak sepokok dua dan jarang ditanam secara monokrop. Bagaimana pun dengan galakkan daripada Jabatan Pertanian kini telah ramai juga petani yang menanam pokok belimbing buluh secara monokrop atau tanaman bercampur dengan buah-buahan lain. Bagi pengusaha seperti Pn Zainab ini beliau akan terus mendapatkan bekalan daripada kawasan sekitar yang menanam dikawasan sekeliling rumah dan kebun dicelah-celah tanaman dusun. Harga belian segar dikawasan kampong sekitar RM0.70 - RM0.80 sekilogram buah segar. Buah yang dibeli adalah masih hijau iaitu pada indeks kematangan 3 (Masak muda). Katanya jika menggunakan belimbing yang masak ranum (warna kekuningan) maka hasil sambal ini tidak mendapat warna hitam yang menarik seperti yang dikehendakki. 


Tinjauan penulis di Daerah Jerantut pula mendapati iaitu harga belimbing buluh diladang sekitar RM2.00 - RM2.50 sekilogram iaitu jenis yang telah cukup masak (Indeks 4 dan 5). Analisis juga dibuat bagaimana belimbing buluh ini akan dibersihkan dan direbus dahulu untuk proses selanjutnya. Harga Belimbing Buluh yang telah di rebus sekitar RM18.00 - RM25 sekilogram dan boleh disimpan lama sebelum dijadikan produk sambal hitan, halwa dan sebagainya. Perbezaan berat antara belimbing buluh segar yang baru dipetik dengan yang direbus adalah sekitar 20 kg buah segar menjadi 3 kg bila direbus. Ini menjadikan ia berharga mahal jika dibanding dengan belimbing buluh yang masih segar. Merujuk perkara tersebut usahawan Zainab kini membuat keputusan untuk mendapatkan nelimbing buluh segar yang sederhana matang dan dibeli dengan harga sekitar RM0.70 sekilogram dari penanam di Jengka, Kuala Medang, Kg Budu. Ia melalui beberapa proses penyediaan sehingga kering dan dibotolkan. Harga produk Sambal Pahang dalam bentuk 'Sambal Kering' dibungkus dalam satu bekas dijual RM8.00 dikilang dan harga runcit RM10.00 bagi 100 gram (Jenis sambal Pahang Kering). Sambal ini dijamin tahan selama setahun jika dijaga dengan baik dan tidak dibuka. Pengusaha Zainab juga menjual sambal yang basah dimasukkan dalam bekas lain yang hanya tahan tidak lama.


Sambal Hitam yang dihasilkan oleh usahawan ini ada dua jenis iaitu Jenis Basah dan Jenis Kering. Jenis basah disediakan terutama untuk pasaran berdekatan dan sekitar dalam daerah yang dibungkus dalam bungkusan bekas plastik. Pengusaha menggunakan jenama 'ezus' untuk produk sambal pahang dan mee sanggul. Sambal jenis ini tahan sekitar 2 minggu sahaja dan sering ditempah untuk majlis-majlis keramaian seperti kenduri kahwin atau jamuan rasmi. Jenis basah di jual dengan harga RM4.00 - RM5.00 bagi bungkusan 220 gram. Bahan digunakan adalah belimbing buluh, ikan bilis, cili api, garam dan gula. Bagi jenis kering ia dibotolkan dengan berat 100 gram dengan kedap udara. Jenis ini pula tahan selama satu tahun. Setiap botol mengandungi maklumat nutrisi iaitu tenaga 169 kcal, Karbohiderat (21.6 gram), Protin (20.6 gram) dan Lemak (32.3 g) bagi setiap 100 gram hidangan (Sila lihat foto disebelah). Produk sambal ini telah dikenali ramai melalui pelbagai program promosi seperti HPPNK, SDSI, MAHA dan sebagainya melalui syarikat sendiri atau dianjurkan oleh pelbagai jabatan dan agensi.


Dalam tinjauan lain, penulis melawat seorang petani iaitu En Saiful di Kg Lumpur dimana beliau menanam 150 pokok belimbing buluh semenjak 2014. Bantuan diberikan oleh Pejabat Pertanian Daerah Lipis adalah Benih, Baja, Racun dan khidmat nasehat teknikal. Penghulu Hafiz yang ada bersama penulis ada membantu Pegawai Pertanian untuk memperbanyakkan penanaman belimbing buluh dikawasan keliling rumah pada masa akan datang. Benih belimbing buluh disediakan daripada biji benih dan boleh dijual dengan harga RM3.00 - 4.00 sepokok selepas 3 bulan dalam polibeg. Bagaimana pun permintaan untuk benih yang besar dengan ketinggian 3 kaki (Advanced Planting Material) boleh dijual dengan harga RM18.00 - RM20.00 sepokok (Pokok semaian yang berumur 8 - 10 bulan). Musim panas banyak berlaku kes daun terbakar (scorching) dikawasan projek dan perlu dibuat penyiraman air. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.


BELIMBING BULUH... DITANAM JUGA...
BUAHNYA MASAM... DIBUAT HALWA...
SAMBAL PAHANG...'ezus' JENAMA...
KUALA MEDANG... ADA KILANGNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kilang Sambal Pahang,
Kuala Medang, Lipis,
Pahang, Malaysia.
(8 Mac 2016)

Sunday, March 27, 2016

TANAM POKOK CERMAI



POKOK CERMAI (Phyllanthus accidus Skeels) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga PHYLLANTHACEAE atau kadang kala dialam keluarga EUPHOBIACEAE yang sesuai tumbuh di Malaysia. Tumbuhan renek ini dipercayai berasal daripada Madagascar dan tumbuh liar di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam serta Selatan India, Sri Lanka dan Jamaica, Cuba, Carribean serta Amerika Selatan. Pokok ini dari jenis tropika dan sub-tropika yang dipanggil 'Gooseberry". Nama lain ialah Malay Berrry ; Oteiberry ; Gooseberry ; Country Gooseberry (English), Buah Cermai ; Cheremai ; charmella ; charmin-charmin ; Buah Kemangor (Malaysia), cherme ; tcherme (Indonesia), cherembelier ; cham dot (Vietnam), mayom (Thailand), Mak-nkhom (Laos), charmori ; harphanori (India) dan Grosella ; Groselha (Kawasan Caribean, Costa Rica dan Brazil). Artikel ini saya akan bincang tumbuhan yang di panggil dengan Cermai yang mudah di tanam dan berhasil di Malaysia berdasarkan pengalaman penulis dan rujukan di beberapa buah buku dan risalah pertanian.


Pokok Cermai adalah jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan ketinggian mampu mencapai 3-8 meter iaitu seakan-akan sama dengan pokok belimbing buluh. Bentuk batang dan dahan pokok cermai berwarna coklat kehitaman dengan susunan kanopi seimbang. Daun cermai berwarna hijau muda dan berukuran 3-5 cm panjang dan 1-2 cm lebar dengan susunan bersilang tersusun rapi (sila lihat foto disebelah). Bunga yang bersaiz kecil lazimnya keluar dari bahagian dahan dan batang pokok cermai berwarna putih kemerahan dan dalam jambak yang bersusun. Pendebungaan berlaku dengan sendiri dimana ada bunga Jantan, Bunga Betina dan ada yang Hemaprodite dan juga ada bantuan daripada serangga terutamanya semut dan juga angin. Buah cermai berbentuk seperti apel kecil yang mempunyai 6-8 keluk atau ketak berwarna hijau muda keputihan. Buah yang masak akan bertukar kepada hijau kekuningan. Saiz buah lingkungan 1 - 1.5 cm garispusat dan mempunyai rasa sangat masam. Di bahagian tengan cermai ada beberapa bijibenih yang berwarna kekuningan dan keras sebanyak 4-6 biji.


Penanaman cermai sesuai di kawasan tropika yang mempunyai hujan mencukupi serta tanah jenis lom berpasir. Kawasan perlu mempunyai sistem saliran yang sempurna dan cahaya matahari mencukupi untuk pastikan pembungaan dan pengeluaran buah. Kajian saya mendapati tidak ada maklumat mengenai keluasan dan penanaman cermai di Malaysia kerana tumbuhan ini tidak ditanam secara komersil. Kebanyakan tanaman di tanam dikeliling rumah dan didalam susun buah-buahan bercampur. Saya anggar keluasan sekitar 180 - 220 hektar berdasarkan kajian CHE oleh Jabatan Pertanian pada tahun 1990. Kultivar yang ada di tanam di Malaysia adalan jenis Cermai Tempatan yang masam. Kegunaan buah cermai adalah bahagian buahnya yang dihasilkan sepanjang tahun. Buah yang keluar daripada bahagian dahan dan batang dikutip untuk diproses dijadikan Jeruk dan Halwa. Buah di rebus dulu kemudian di masukkan sedikit garam atau gula sebagai bahan perasa. Ada juga buah yang dikeluarkan bijinya dan di jadikan perasa minuman yang enak. Buah cermai juga boleh di makan segar dengan di cecah dengan garam untuk mengurangkan kemasaman. Kajian saya daripada beberapa buku menunjukkan setiap 100 gram buah mengandungi 95.9 g air, Protin (0.155 g), Serat (0.18 g), Lemak (0.12 g), Ash (0.51 g), Kalsium (5.4 mg), Posforus (17.6 mg), Ferus (3.25 mg) ,Karotin (0.019 mg), Thiamine (0.029 mg), Riboflavin (0.013 mg) dan Niacin (0.0292 mg). Cermai juga mengandungi 4.6 mg asid askorbik.


Kegunaan lain pokok cermai adalah bahagian kayu dan dahan kayu yang boleh digunakan sebagai bahan api. Kandungan nutrien dalam cermai boleh digunakan dalam perubatan tradisional sebagai tonik untuk memperbaiki saliran darah. Ada kajian dijalankan pada daun cermai yang digunakan sebagai ubat untuk penyakit Gonorrhrea. Kajian di negara kita oleh nenek moyang mendapati akar pokok cermai yang direbus dengan air berish dan diminum akan mengubati batuk dan menyejukkan badan serta menghilangkan sakit atau pening kepala. Akar cermai yang digigit juga dapat mengubati Lelah (Asthma). Kulit pokok cermai yang mengandungi asid tanin, crystalline dan lupeol serta getahnya digunakan sebagai racun yang berkesan.


Penanaman cermai boleh menggunakan biji benih atau keratan batang , 'grafting' dan teknik cantuman udara (air layering). Penanaman menggunakan biji benih perlukn 4 tahun untuk pokok mula berbuah berbanding dengan cara keratan dan cantuman cuma 2-3 tahun sahaja. Jarak penanaman 4 m x 6 m dan jalankan cantasan untuk mendapatkan dahan seimbang. Pembajaan dengan baja organik dan baja tumberaran NPK 15:15"15 dari tahun pertama hingga tahun ke 3 dan berikan baja NPK 12:12:17:2 untuk mengeluarkan bunga dan buah. Tanaman kontan dibuat dalam kebun untuk meningkatkan produktiviti di ladang. Pokok Cermai tidak mempunyai masaalah serangan perosak dan penyakit yang serius. Terdapat serangan Ulat Makan Daun yang makan daun terutama dalam musim kering dan boleh dikawal dengan semburan racun serangga. Buah yang matang berisi padat akan di kutip menggunakan tangan dan di basuh sebelum di proses. Satu pokok cermai dewasa mampu menghasilkan kira-kira 10 - 15 kilogram buah cermai setahun. Pengeluaran musim puncak di Malaysia adalah pada bulan April, Mei dan Jun setiap tahun. Buah cermai jeruk yang di jual di pasar malam dan di supermarket dengan harga RM 2.50 - RM 3.00 setiap 100 gram. Pulau Pinang yang terkenal dengan produk jeruk buah-buahan tidak ketinggalan menjual 'Buah Cermai Jeruk; dengan harga RM 4.50 - RM 6.00 sekilogram.


Penanaman cermai dapat membantu petani mengisi kawasan lapang keliling kebun atau kawasan kosong. Pokok cermai mudah dijaga dan penghasilannya adalah tidak mengecewakan jika dijaga dengan baik. Pada masa akan datang mungkin kita boleh mendapatkan jus cermai, pil cermai, candys cermai atau kapsul cermai dipasaran selain daripada produk makanan kesihatan berasaskan buah cermai. Tanamlah cermai untuk dimakan sendiri, diproses atau dijual kepada orang lain. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!... 
BUAH CERMAI...MUDAH TANAMNYA...
BUAHNYA MASAM...DIPROSES JUGA...
POKOK BERBUAH ..SEPANJANG MASA...
MARI MENANAM...USAHA BERJAYA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Parit Bengkok, Gersik,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(11 JamadilAkhir 1437H)

Saturday, March 26, 2016

PISANG LANG DAN PISANG TANDUK


PISANG LANG dan PISANG TANDUK merupaka dua varieti pisang yang sering mengelirukan ramai petani dan juga aktivis dalam bidang tanaman pisang. Pisang (Musa spp) merupakan sejenis  buah tropika dari keluarga Musaceae yang mendudukki 5 jenis buah-buahan tropika terpenting dari segi penanaman, keluasan, permintaan pasaran dan juga dimakan oleh jutaan penduduk dunia. Buah pisang boleh disamakan dengan buah nenas (Ananas comosus), Buah Limau (Citrus spp), Buah Betik (Carica papaya) dan Tembikai (Lunatus citrulus) dari segi kepentingannya. Buah Pisang merupakan tumbuhan yang tumbuh menegak dan batangnya merupakan struktur daun yang terjadi daripada perdunya. Terdapata lebih daripada 70 spesis pisang diseluruh dunia dengan hanya sebahagian sahaja yang ditanam untuk menghasilkan buah yang boleh dimakan. Pisang yang boleh dimakan kebanyakkannya daripada spesis Musa paradisiaca sama ada ia terdiri daripada jenis Musa accuminata atau pun jenis Musa balbisiana. Sebahagian besar pokok pisang juga merupakan tumbuhan liar dan juga ornamental tree (pokok hiasan sahaja). Saya telah menulis dalam blog ini tentang 25 varieti pisang yang ada di Malaysia mengikut nama tempatan sebelum ini. Artikel ini melibatkan 5 bahagian artikel (Sila klik disini) dan (Sila Klik disini). Nama varieti pisang yang saya paparkan sebelum ini banyak mengikut gelaran nama umum yang diberi oleh masyarakat tempatan. Saya juga telah menulis mengenai 16 varieti pisang yang telah ujud dan didaftarkan dalam Senarai Varieti Tanaman Kebangsaan (National Listing) dalam artikel sebelum ini untuk dirujuk (Sila klik disini). Pisang Tanduk dan Pisang Lang diantara dua varieti pisang yang pernah saya paparkan dalam beberapa artikel sebelum ini. Artikel malam ini sambil melepak dalam hotel kerana keletihan perjalanan jauh, saya menulis lagi didalam "Anim Agro Technology" mengenai Pisang Lang dan Pisang Tanduk sekadar merehatkan minda dan menyumbang ilmu penulis kepada pembaca semua untuk dikongsi bersama.


Kalau mengikut hipotesis penulis, pemberian nama pisang Lang dan Pisang Tanduk amat mudah untuk difahami. Pisang Tanduk lebih merujuk kepada saiz dan bentuk buah tersebut yang menyerupai tanduk kerbau atau lembu yang bengkok dan berbentuk selinder (Sila lihat foto disebelah). Apabila penulis padankan diantara kedua-dua perkara tersebut memang orang dulu-dulu mungkin memberikan nama 'pisang tanduk' yang dipadankan dengan 'tanduk'. Lazimnya pisang tanduk bersaiz besar dengan ukurlilit jejari 25-35 cm. Ia berwarna hijau kuat diperingkat muda jika dibanding dengan pisang lang walau pun ia sebenarnya banyak bergantung bagaimana sinaran matahari dikebun. Umumnya pisang tanduk memang lebih besar daripada pisang lang dengan bilangan jejari buahnya diantara 3-6 biji setandan. Apabila masak pisang tanduk yang mempunyai kulit yang lebih tebal lebih tahan lama disimpan. Dari segi isinya, pisang tanduk mempunyai warna isi kuning lembut dan memberikan aroma wangi yang lebih kuat. Isinya manis dengan tekstur yang lebih kasar sedikit berbanding dengan pisang lang. Dipasaran harga pisang tanduk lazimnya lebih mahal sedikit daripada pisang lang kerana ia lebih besar, lebih wangi, lebih enak digoreng atau dimakan mentah.


Pisang Lang pula hampir menyamai bentuk pisang tanduk tetapi saiznya adalah kecil. Ia didaftarkan pada tahun 2013 dengan kod MP12. Penulis dapati ukurlilit buah pisang lang diantara 20 - 30 cm dibahagian tengah dengan bahagian hujung yang lebih tirus berbanding dengan pisang tanduk (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya pisang lang mempunyai jejari yang banyak iaitu diantara 5 - 15 biji satu tandan (Foto disebelah menunjukkan pisang lang yang mempunyai 12 biji). Walau pun ia mempunyai warna hijau terang semasa muda, pisang lang yang masak akan bertukar warna kulitnya kepada kuning terang. Isi pisang lang adalah lebih halus dan kurang aroma berbanding dengan pisang lang. Ia lembut sedikit dan mempunyai rasa manis apabila cukup masak. Pisang Lang sama dengan pisang tanduk amat sesuai untuk digoreng atau dibuat kerepek pisang. Pasa penulis makan pisang lanf goreng sama dengan pisang tanduk goreng asalkan keduanya dihidangkan dengan sambal kicap. Harga pisang lang diladang lazimnya agak murah sedikit berbanding dengan harga pisang tanduk. Bagaimana pun bagi pembeli digerai tepi jalan atau dipasar besar mungkin mereka tidak begitu kenal akan pisang lang dan pisang tanduk membeli pada harga yang sama.


Dalam cara menanam pisang tanduk dan juga pisang lang, diantara faktur utama adalah mengenai sumber bekalan benih pisang. Pada masa ini benih pisang tanduk dan pisang land dijual dalam bentuk Benih Sulur dan juga Benih Kultur Tisu. Sumber benih sulur kini semakin kurang digalakkan kerana kemungkinan kualiti yang mungkin membawa penyakit seperti Moko. Penggunaan benih pisang tanduk kultur tisu amat sesuai digunakan dan boleh dibeli daripada pembekal yang dijamin dengan SPBT (Skim Pengesahan Bahan Tanaman). Walau bagaimana pun secara asasnya terdapat tiga jenis sulur untuk digunakan sebagai bahan tanaman pisang tanduk iaitu Sulur Dara, Sulur Pedang dan Sulur Payung. Sebaiknya jika gunakan benih sulur ia mempunyai akar sudah terbentuk. Pilih benih yang tegap, subur dan baik untuk dijadikan benih. Elakkan menanam benih yang mana mempunyai ciri umbi kecil dan lebar atau akar dan batang lemah. Penanaman pisang tanduk ini boleh dilakukan sama ada dengan sistem Penanaman Tunggal atau Sistem Tanaman Selingan. Bagi tujuan penanaman secara tunggal ini jarak tanaman yang disyorkan adalah 2.5m x 2.5m dengan kadar kepadatan 1,600 pokok sehektar. Petani juga boleh menanam pada jarak 3m x 3m bagi mencapai kadar kepadatan mencapai 1,100 pokok sehektar. Bagi tanaman selingan maka pisang ditanam bersama tanaman kekal seperti getah, kelapa sawit, koko dan durian sebagai tanaman selingan sebelum berlaku pengeluaran hasil daripada tanaman utama. Sebaris pisang dengan jarak 3m x 3m dengan kepadatan 700-900 pokok sehektar dapat ditanam antara barisan kelapa sawit atau pokok getah dan juga pokok buah-buahan yang bersesuaian. Cara menanam dengan menggali lubang sebesar 45cm x 45 cm x 60 cm (1.5 x 1.5 x 2 kaki). Gaul tanah lapis atas dengan 11-14 kg. baja organan dan 125 gm baja fostat. Jarak tanaman ialah antara 3m x 3m hingga 3.6m x 3.6m. Pokok pisang tanduk tidak mempunyai kanopi besar seperti pisang nipah dan selalu batangnya juga agak kecil. Amalan pengurusan agronomi tanaman kedua jenis pisang ini adalah serupa. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda semua. Saya ucapkan Arios amigos!...
PISANG LANG ... VARIETI PILIHAN...
BANYAK SISIR... DALAM SETANDAN  ...
PISANG TANDUK...AGAK BERLAINAN...
ENAK DIGORENG...SEDAP DIMAKAN...   

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 111, GreenPark Hotel,
Temerloh, Pahang,
Malaysia.
(6 JamadilAkhir 1437H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...