Support My Blog

Wednesday, February 24, 2016

TANAM CILI API (Part 2)

CILI API atau CILI PADI atau CABE RAWIT (Capsicum frutescens) merupakan tanaman yang penting di Asia Tenggara termasuk Indonesia, Malaysia dan Thailand. Tumbuhan ini dari keluarga Solanaceae yang dipercayai natif dari benua Amerika Selatan sebenarnya mudah dijumpai hidup liar dikawasan belukar dinegara kita. Tanaman ini sesuai ditanam dikawasan beriklim tropika terutama disekitar khatulistiwa. Tanaman ini paling sesuai ditanam dikawasan tanah rendah dengan ketinggian sekitar 0 - 500 meter dari paras laut. Bagaimana pun banyak dilaporkan cili api ini boleh tumbuh denga baik sehingga ketinggian 1,000 meter. Apa pun semakin tinggi ia ditanam dari paras laut maka hasilnya akan terus berkurangan. Dari laporan yang dikaji, penanaman cili padi dikawasan tanah dataran tanah tinggi selalunya jangkamasa hayat pokok adalah lebih lama dan selalunya cili ini mempunyai biji lebih banyak tetapi bijinya ringan. Bagaimana pun jika diukur beratnya ia adalah ringan berbanding dengan cili api yang ditanam dikawasan tanah rendah kerana ia kurang padat. Sehingga kini belum banyak cili padi yang telah didaftarkan dalam National Plant Variety Listing di Jabatan Pertanian. Kaedah penanaman, cara amalan aagronomi dan prestasi setiap jenis tanaman cili ini adalah berbeza-beza mengikut varieti, jenis tanah, iklim, tujuan penanaman dan sebagainya. Terdapat dua perkara atau isu diantara penanaman Cili Besar dengan Cili Padi daripada segi pengurusan dan pulangan yang bakal diterima. Ada yang kata menanam cili api lebih mudah daripada menanam cili besar tetapi dari perpesktif lain menyatakan sebaliknya. Ini kerana penulis mendapati cili api yang ditanam secara komersil monokrop mudah diserang penyakit terutama Kerinting Daun dan Layu Bakteria berbanding dengan Cili Besar menggunakan teknologi yang sama. Cili Api atau Cabai Burung yang hidup liar diberakkan oleh burung bagaimana pun lazimnya hidup lebih lama. Artikel malam Sabtu ini sambil menonton Konsert Aktif 5 di TV2 saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa panduan teknikal menanam cili padi atau cabe rawit untuk dijadikan panduan pembaca semua. 


Aktiviti menyemai benih cili padi kaedah tradisional dikampong boleh dibuat dengan menyediakan polybag berukuran 5×10 cm kemudian isi dengan media persemaian hingga ¾ bahagiannya. Media persemaian terdiri dari campuran tanah dan habuk sekam padi dan kompos dengan kadar 1:1:1. Ia perlu diayak terlebih dahulu bahan-bahan tersebut dan digaul sehingga rata. Sila anda baca lebih lanjut membuat media persemaian. Setelah media persemaian siap disediakan maka benih ini direndam dengan air suam selama sekitar 6 jam. Air suam ini untuk merangsang kadar pertumbuhan biji benih atau pecahkan 'dormancy period'. Apa yang dilakukan kemudian memasukkan benih kedalam polybag sedalam 0.5 cm dan ditutup permukaannya dengan media tanam. Penyiraman dilakukan setiap pagi dan petang dan gunakan penyiram sesuai agar siraman air tidak akan merosak media tanam. Ada yang menutup pada permukaan polybag dengan kertas suratkhabar. Kemudian selepas menyiram diatas permukaan kertas suratkhabar yang lembab akan membolehkan airnya menitis ke permukaan polybag. Biji cili api akan tumbuh menjadi benih optima setelah dua minggu (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun biasanya pada hari ke-7 benih sudah mulai tumbuh dan ia boleh dipindahkan kekebun terbuka setelah mempunyai jumlah daun 4-6 helai atau kira-kira berumur 1 hingga 1.5 bulan.


Penyediaan tanah dan penanaman cili api mesti dilakukan awal seiring dengan masa untuk menyediakan benih tanaman. Jadual ini disesuaikan apabila benih sudah sedia untuk dipindahkan maka kerja menanam akan dapat diteruskan untuk mengelakan kejadian benih terlalu tua yang kurang produktif. Kerja membajak tanah dengan trekter atau cara mencangkul (jika kawasan kecil) atau menyediakan pasu atau pot dibuat awal. Jika tanah agak masam perlu ditambah dengan kappor sekitar 2-4 mt sehektar bergantung kepada bacaan pH tanah. Sediakan batas dengan lebar 100 -110 cm dengan tinggi 30-40 cm dan panjang mengikuti keadaan lokaliti. Jarak antara batas sekitar 60 cm dan kemudian perlu ditambah dengan baja organik sebanyak 15 - 20 tan/ha. Penggunaan penutup bumi dari jenis plastik hitam perak (Silvershine plastic) boleh meningkatkan produktivi dan prestasi tanaman (Sila lihat foto disebelah). Jika ada bahan penutup bumi dari jerami padi juga boleh digunakan tetapi perlu dilihat juga penggunaan jerami tidak mengundang serangga dan penyakit. Seterusnya adalah membuat lubang tanaman dengan jarak 50-60 cm dimana lubang tanaman ini dibuat dalam dua baris dalam pada satu batas. Jarak disyorkan adalah 60 cm. Boleh juga dibuat lubang dibuat zig-zag atau tidak sejajar mengikut keadaan batas tanaman. Cara ini penulis dapati sesuai atau berguna untuk tujuan meningkatkan penetrasi sinaran cahaya matahari dan juga bertujuan untuk pengedaran udara.


Seterusnya adalah memindahkan benih cili api dalam polybag semai kedalam lubang tanaman dengan mengeluarkan anakbenih tersebut dengan berhati-hati. Kemudian siram dengan air untuk menjaga kelembabannya. Pemindahan benih hendaknya dilakukan pada waktu pagi atau waktu petang. Sebaiknya menanam mesti siap dalam hari yang sama untuk dapatkan pertumbuhan seragam dan memudahkan pengurusan agronomi. Proses menyiram cili amat diperlukan selepas menanam apalagi kritikal semasa musim kemarau. Bila cuaca terlalu kering akan menyebabkan tanaman cili akan mati. Pengairan boleh dilakukan dengan cara manual atau memasang sistem pengairan berjentera dengan pam air melalui Pengairan Titis (Drip Irrigation) atau Pengairan Renjis (Sprinkler irrigation). Kualiti air untuk penyiraman penting dimana jika jika gunakan air berkeladak, air masam atau mengandungi ferous tinggi akan menjejaskan pertumbuhan tanaman cili. Sebagai petua juga elakkan daripada menghisap rokok ketika berada didalam kawasan tanaman cili api ini. Dalam beberapa temubual penulis didapti puntung rokok yang mengandungi tembakau mampu menyebarkan penyakit virus (TMV -Tobacco mosaic virus iaitu hampir sama dengan CMV - Cucumber mosaic virus  yang boleh merosakkan tanaman cili padi. Sila baca bersama artikel Part 1 dan Part 3 menanam cili padi untuk dijadikan bahan rujukkan dalam Anim Agro Technology. Wasallam!.
MENANAM CILI .... CILI PADI...
CILI BURUNG...JUGA CILI API...
BENIH DISEDIA...BUAT SENDIRI... 
BIJI DIPILIH... DAN IA DISEMAI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Aras 13, Desaminium Flora,
Taman Desaminium, Seri Kembangan,
Selangor, Malaysia.
(21 RabiulAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...