Support My Blog

Saturday, September 21, 2013

MATA KUCING - KAJIAN KES

BUAH MATA KUCING (Euphoria malaiense) atau pun dipanggil buah Kelengkeng di Indonesia adalah sejenis buah-buahan tempatan yang tumbuh dan ditanam dari keluarga Sapindaceae. Pokok buah mata kucing menyerupai pokok Longan (Dimocarpus longan) yang banyak di impot dari China dan Thailand oleh Malaysia setiap tahun bernilai lebih dari RM 63 juta pada tahun 2010 dalam bentuk longan segar atau pun longan kering yang telah diproses. Saya berpeluang memberikan ilmu kepada petani melalui perkhidmatan pengembangan teknikal projek penanaman buah mata kucing ketika menjadi AO (Agriculture Officer) Daerah Segamat di kawasan Kampong Redong di Labis, Johor. Kawasan kampong Redong memang telah lama menanam banyak pokok mata kucing dimana ia telah di tanam semenjak perlaksanaan program AID (Agriculture Input Diversifcation Project) awal tahun 1980'an oleh Jabatan Pertanian. Pokok mata kucing yang ada pun telah amat tinggi sehingga ada tang telah mencecah lebih100 kaki dimana ia ditanam disamping tanaman durian, rambutan, nangka dan sebagainya dalam dusun campuran secara tradisional.Penanaman pokok buah mata kucing bagaimana pun kini sudah ada peminat yang menanamnya didalam pasu dimana dengan cara penjagaan baik ia mampu memberikan hasil.  Entri kali ini dalam "Anim Agro Technology" saya akan berkongsi maklumat mengenai teknologi tanaman buah mata kucing yang dilaporkan oleh beberapa akhbar tempatan dimana ada yang juga keliru buah mata kucing dengan buah longan.

Pokok Mata Kucing adalah dari jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan batang mampu mencapai ketinggian 20-30 meter. Batangnya berwarna coklat dan berkayu keras dan boleh dijadikan kayu balak apabila berumur lebih 50 tahun. Daunya berwarna hijau gelap berukuran 18-25 cm panjang dengan susunan bersilang. Bunga mata kucing seperti juga pokok longan terbit di bahagian hujung dahan dengan jambak yang banyak berwarna kuning kecoklatan. Terdapat Bunga Jantan, Bunga Betina dan Bunga Hermaprodit pada pokok mata kucing. Lazimnya hanya bunga hermaprodite sahaja yang akan membentuk buah. Pendebungaan dijalankan oleh serangga seperti semut, lalat dan juga angin. Buah Mata Kucing bersaiz kecil dengan warna kulit coklat dan kadang-kadang ada bintik-bintik kekuningan cerah. Jika di kupas kulitnya sebahagian akan kelihatan biji yang besar didalamnya seperti 'MATA KUCING' dengan lapisan isi yang jernih dan manis. Saiz buah 1.5-2 cm ukurlilit dengan bentuk bulat atau sedikit bujur bergantung kepada spesis. Akar pokok mata kucing lazimnya adalah akar tunjang yang sangat kuat.


LAPORAN AKHBAR 1
Buah Mata Kucing sesuai dimajukan

SUNGAI PETANI 10 Oktober - Penanaman buah mata kucing yang diusahakan secara kecil-kecilan oleh Azmi Morad di Kampung Berapit, Tikam Batu dekat sini telah pun mampu dikomersilkan ke kawasan lain memandangkan tanaman itu dilihat sesuai dengan cuaca dan jenis tanah di negeri ini. Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, buah mata kucing sebelum ini dikatakan hanya sesuai ditanam di kawasan beriklim sejuk namun dengan hasil yang dikeluarkan di Tikam Batu dekat sini, ia menunjukkan tanaman itu sesuai diusahakan di Kedah. "Hasil yang dikeluarkan di sini lebih baik, dalam tempoh dua setengah tahun sudah berbuah, malah dari segi pasaran ia lebih tahan lama berbanding buah rambutan. Buah mata kucing jenis Berlian ini juga rasanya manis dan sedap malah saiznya juga lebih besar. "Saya juga difahamkan bahawa ada juga pengusaha Cina yang menanam buah mata kucing ini dan berjaya. Saya akan mengadakan rundingan dengan pihak berkenaan untuk mengeluarkan benih Berlian ini dan mengkomersilkannya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ladang buah mata kucing di Tikam Batu dekat sini semalam. Kementerian juga akan meneliti jenis bantuan yang boleh disalurkan bagi membantu Azmi meningkatkan kualiti buah mata kucing yang diusahakannya. "Saya dimaklumkan bahawa pendapatan Azmi untuk musim ini sudah mencecah RM6,000 daripada 15 pokok, dan pendapatan itu dijangka meningkat sehingga RM8,000 dan dia juga mempunyai kira-kira 200 pokok lagi yang ditanam di kawasan sawah padi. Kita akan bincangkan dengan Jabatan Pertanian dan Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) untuk membantu Azmi dan kita lihat hasilnya elok, benih dan baja yang digunakan sesuai cuma hasilnya tidak sekata. Mungkin kita boleh bekerjasama dengan Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) untuk kaji sebabnya," katanya. Sementara itu, Azmi, 54, ketika ditemui menyatakan rasa syukur dan gembira kerana usaha yang dilakukan bersama anaknya, Uzair, 23, mendapat perhatian kementerian. "Saya memang berhasrat mengkomersilkan tanaman ini malah bersedia untuk bekerjasama dan membekalkan benih. "Sekarang memang saya ada menjual benih kepada pembeli yang berminat namun bilangannya terhad sebab saya tidak sangka permintaan semakin meningkat.

LAPORAN AKHBAR 2:
Komersilkan buah Longan

BUKIT KAYU HITAM 25 Jun - Buah longan atau lebih dikenali sebagai buah mata kucing adalah antara buah- buahan bermusim yang menjadi kegemaran ramai. Berbanding buah durian atau rambutan yang mudah ditanam, buah longan kurang mendapat sambutan kerana kesukaran pokoknya untuk berbunga, sekali gus menghasilkan buah apabila cukup matang. Setiap kali tiba musim buah tersebut, kita hanya dapat membeli buah longan yang diimport dari Thailand. Selain itu, penggunaan bahan kimia terlarang bagi meningkatkan ketahanan dan kesegaran buah oleh petani asing, menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai. Kini, bagi yang menggemari buah longan, mereka boleh menikmati buah tersebut sepanjang tahun dengan kejayaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Bukit Tangga yang telah menghasilkan teknologi bagi mengatasi masalah pendebungaan. Pengurus Stesennya, Khadzir Darus berkata, antara masalah yang sebelum ini selalu menghantui pengusaha adalah masalah pendebungaan dan ia dapat diatasi dengan teknik penyiraman dan pembajaan menggunakan potasium klorat. "Buah mata kucing adalah sejenis tanaman yang bergantung kepada faktor cuaca yang sejuk serta kering dan ini menyebabkan ramai pengusaha tempatan tidak berminat untuk menanam pokok ini secara komersial. "Sebenarnya buah longan ini merupakan antara tanaman yang mudah diurus dan tahap serangan makhluk perosak adalah rendah," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Menurut Khadzir, melalui teknik penyiraman dan pembajaan menggunakan potasium klorat, pihaknya berharap ia dapat dikomersialkan oleh pengusaha tempatan. "Pokok longan sangat responsif terhadap penggunaan potasium klorat sebagai penggalak ia berbunga. Pengeluaran buah juga lebat dan pasti tidak akan mengecewakan pengusaha kerana mata kucing jenis berlian dan E-daw amat manis ditambah dengan penggunaan racun yang amat minimum," jelasnya. Katanya, pihak Mardi menggunakan tiga kaedah untuk merangsang pertumbuhan pokok longan iaitu kaedah penyiraman, tabur dan semburan daun. "Ketiga-tiga kaedah memberikan tindak balas yang serupa dan tindak balas ia berbunga terjadi selepas 25 hingga 28 hari rangsangan. "Namun, peratus pembungaan pokok longan bergantung kepada kadar potassium klorat yang digunakan, saiz kanopi dan tahap kematangan pucuk," jelasnya. Kata Khadzir, sekiranya pengusaha mengikut prosedur yang betul penjagaannya, mereka akan dapat hasilnya dalam masa lima hingga tujuh bulan sahaja selepas ia berbunga. Pada peringkat empat tahun tanaman pokok mata kucing dilaporkan dimana pengusaha berupaya mengeluarkan hasil sehingga 30 kilogram sepokok dan ia begitu memberangsangkan.


LAPORAN AKHBAR 3
Bahaya!! ‘Sulfur Dioxide’ dalam Buah Mata Kucing
Dari kajian didapati setiap kilo buah mata kucing terdapat lebih 30mg Sulfur Dioxide. (Had diluluskan adalah 30mg sahaja). De Lila Mohd Meeran (Pengarah Kesihatan Kelantan) berkata jabatannya kerap mendapati kandungan sulfur dioxide digunakan secara berlebihan untuk mengelakkan buah mata kucing dari rosak dan berkulat. Sulfur dioxide digunakan untuk mengawet warna dan tekstur buah mata kucing. Kesan dari makan buah tersebut secara berlebihan akan mengakibatkan sakit kepala, gatal-gatal kulit dan peluh berlebihan. Dr. Lila menasihatkan pengguna jangan menggigit kulit buah tersebut semasa mengupas. Buah mata kucing hendaklah di basuh sebaik-baiknya untuk mengurangkan kandungan sulfur dioxide pada kulit buah mata kucing. 
KOMEN: Penulis/Wartawan artikel asal ini kurang tahu mengenai buah longan dengan buah mata kucing. Sebenarnya kedua-dua buah ini adalah berbeza dari segi marfologinya dan amalan agronomi


LAPORAN AKHBAR 4:
POKOK MATA KUCING CIKGU HAMID BERBUAH LAGI

Cikgu Abd Hamid, merupakan seorang guru di SMK Kinarut. Beliau yang berasal dari Sungai Yan Kedah, orang sedaka pakat kenai dia sebab dia ramah dengan semua orang. Beliau telah membeli sebuah rumah di Taman Lok Kawi Sabindo sejak beberapa tahun lalu. Di halaman rumahnya telah ditanam dua pokok mata kucing. Pokok ni dah keluar buah. Beliau telah membeli dua benih pokok mata kucing di Siam dengan harga RM18.00 sepohon. Kini dua pohon yang ditanam sejak dua tahun lalu sudah mula berbuah buat kali kedua. Rasanya manis dan sedap. Warna kulitnya agak kemerahan sedikit berbanding buah mata kucing versi tempatan. Sebenarnya, sesibuk Cikgu Hamid dengan dunia pendidikan dan dakwah, sempat juga beliau dan isteri bercucuk tanam. Buktinya di hadapan dan belakang rumahnya dipenuhi dengan dua pokok mangga purba yang berkulit tebal, juga pokok cili untuk dijual. Bahkan sebelum ini di belakang rumahnya terdapat kolam mini menternak lebih 100 ekor ikan keli. Tapi semua kelinya sudah ‘diselesaikan’.  Jika ada permintaan untuk mendapatkan ikan keli, cili, mangga purba dan mata kucingnya, insya Allah Cikgu Hamid boleh mengikhtiarkan.  Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca anim aro technology kali ini.Wasallam...
BUAH MATA KUCING...LONGAN TAK SAMA...
POKOK RENDANG... BERMUSIM CIRINYA...
BERBENTUK BULAT... MANIS RASANYA...
BUAH TEMPATAN... JARANG JUMPANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room F618, Strawberry Park Resort,
Cameroon Highland,
Pahang,
Malaysia.
(22 Syawal 1434H)
(21 September 2013).
Kemaskini pada 25 Mei 2019.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...