Support My Blog

Friday, September 27, 2013

KERENGGA - SARANG KERENGGA

SARANG KERENGGA (Oceophylla smaradgina) adalah satu struktur yang dibina oleh koloni kerengga untuk tempat tinggal. Kerengga adalah sejenis serangga yang mempunyai 6 kaki ( 3 pasang) dari Keluarga FORMICIDAE yang mudah kita jumpa di Malaysia. Ramai orang Malaysia kenal akan serangga ini yang mana sering mengigit mangsa yang cuba mengganggu koloni tersebut dekat pokok dimana kerengga tinggal atau ia bersarang. Pada pagi semalam semasa saya menunggu rakan daripada LPNM untuk membuat lawatan teknikal keladang nenas MD2 dan sempat meneliti dua sarang kerengga pada pokok dokong yang masih rendah di Simpang Stesyen Caltex Jalan Gambang-Segamat. Dalam 30 minit tersebut saya sempat meneliti bagaimana koloni kerengga tersebut keluar masuk kedalam sarangnya dan membuatnya semula selepas saya pecahkannya. Sarang kerengga pertama berukuran sekitar 60 cm garispusat dengan melibatkan 6 helai daun dokong yang dicantum dengan pelekat berwarna keputihan disisi cantuman daun. Sarang kedua agak kecil sedikit dengan ukurlilit sekitar 40 cm melibatkan 3 helai daun dokong. Saya anggarkan bilangan kerengga dalam koloni tersebut sekitar 250 - 350 ekor sahaja daripada kerengga dewasa dan anak kerengga. Foto diatas menunjukkan sarang kerengga yang agak besar. Artikel malam ini saya masih segar untuk saya menulis dalam "Anim Agro Technology" penelitian saya terhadap sarang kerengga yang saya pecahkan dan mereka membina semula untuk rujukkan anda.

Kerengga merupakan serangga yang tinggal berkoloni dengan RATU, JANTAN, PEKERJA (Askar) ,LARVA (Anak) dan juga KEPOMPONG yang membuat sarang pada pokok yang sesuai (Lihat foto sebelah). Kerengga di panggil sebagai Weaver Ants, Green Ant, Green Tree Ant dan Orange Gaster ikut spesis berlainan dalam bahasa Inggeris. Kerengga jenis merah seperti foto sebelah merupakan yang paling banyak kita jumpa dikeliling rumah kita atau dalam dusun atau kebun terutama pokok buah-buahan yang berdaun lebar. Pokok rambutan, manggis, duku, dokong, pulasan, rambai, jering, durian dan sebagainya antara tanaman yang kerengga suka membuat sarang. Kerengga memilih lokasi yang strategik ketika membuat sarang seperti dibahagian pucuk dahan, kawasan terlindung dan ada sumber makanan mencukupi. Ini bagi mempastikan sarang kerengga tidak dirosakkan oleh tiupan angin kencang, musuh semulajadi lain dan kukuh.

Koloni kerengga yang mula membiak dan membesar akan membuat sarang daripada daun masih hijau (daun hidup) walau pun kadang-kadang ada yang membuat sarang daripada daun yang tua atau hampir kering. Beberapa ekor kerengga pekerja akan mengigit tepi laidaun dan dicantumkan dengan tepi laidaun yang lain dan ia dilekatkan dengan sejenis bebenang berwarna putih yang akan melekatkan bahagian tepi daun (Lihat foto disebelah). Benang putih ini dikeluarkan daripada air liur kerengga yang amat kuat dan daun tidak akan pecah walau ada tiupan angin kencang. Terdapat beberapa pintu untuk kerengga keluar masuk sarangnya. Bahagian bawah dan tepi serta atas sarang kerengga diikat kuat dimana telur-telur kerengga terletak dibawahnya dengan selamat. Lazimnya bahagian atas sarang akan 'dijahit rapat' dimana air hujan pun tidak tembus kedalam sarang kerengga. 

Dalam saya membuat penelitian, saya ambil sebatang kayu dan pecahkan sarang kerengga tersebut diperhatikan oleh Pegawai Penyelidik MARDI iaitu Encik Taufik yang hairan dengan aktiviti saya. Lihat sahaja foto sebelah yang menunjukkan bahagian dalam sarang kerengga yang dipecahkan. Ianya masih hijau dan terdapat kompartment untuk koloni menyimpan telur kerengga dengan selamat. Koloni tersebut agaknya 'Marah' dengan saya yang pecahkan sarangnya dan kerengga pekerja 'tonggekkan' ekornya tanda ia bersedia untuk berperang dengan musuhnya. Terdapat anak-anak kerengga yang masih kecil didapati dikerumuni (diselamatkan) oleh kerengga dewasa daripada jatuh dengan membuat gumpalan kerengga. Kaedah ini merupakan satu strategi untuk menyelamatkan kerengga kecil dan beberapa ekor pula mengigit telur kerengga berwarna putih agar tidak jatuh. Saya terus meninggalkan sarang yang pecah tersebut.

Pada jam 3.30 petang selepas melawat ladang nenas, saya singgah sekali lagi untuk melihat sarang kerengga tersebut. Memang kerengga sejenis haiwan yang sangat rajin kerana mereka mampu membuat semula sarangnya dengan kemas dan cantik pada daun yang sama selepas 6 jam berlalu. Semasa membuat pemeriksaan diatas tanah, tidak ada seekor kerengga yang ada diatas tanah dan semua telur yang jatuh ketanah juga telah dibawa masuk kedalam sarang yang baru dibina semula. Pemerhatian ini merupakan satu ujikaji yang ringkas untuk kita kaji keunikan kehidupan alam keliling kita. Kerangga merupakan serangga yang suka pada pokok buah-buahan kerana ia akan makan perosak lain yang hendak merosakkan tanaman kita, Lazimnya ia akan makan larva, ulat, serangga perosak lain sebagai makanan dan ini adalah baik. Cuma kadang-kadang ia gigit manusia yang hendak tuai buah atau main-main dengan sarangnya. Semuga catitan ini memberikan sedikit info kepada pembaca semua. Wasallam!

Beberapa butir telur kerengga diatas tanah.
SARANG KERENGGA... UNIK BENTUKNYA....
DARI DAUN.. DIANYAM AMAT MELEKATNYA...
SESUAI BENTUKNYA... TELUR DIDALAMNYA...
BUAT PEMERHATIAN... AMAT SERONOKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Stesyen Caltex,
Simpang Jalan Gambang-Segamat,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(19 Zulkaedah 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...