Support My Blog

Thursday, October 6, 2011

LETUP-LETUP

LETUP-LETUP (Passiflora foetida) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga PASSIFLORACEAE yang tumbuh di Negara kita secara liar dikawasan kebun dan belukar. Tumbuhan ini diberi nama ‘Letup-letup’ mungkin kerana buahnya yang berbunyai ‘pop’ apabila di himpit dengan kedua belah tapak tangan (Tepuk) atau mungkin apabila buah cukup matang buahnya meletup untuk mengeluarkan bijinya. Nama lain bagi tumbuhan ini ialah Wild Water Lemon, Stinking Passion Flower, Wild passion fruit, Love-in-a-mist (English), Buah Tikus (Malaysia), Timun Padang (Indonesia) dan Kha Tok Rok (Thailand). Saya kenal buah letup-letup kerana banyak didapati dalam kebun getah yang baru ‘replanting’ dimana ianya tumbuh liar dan memang suka makan buahnya yang telah masak zaman kanak-kanak dahulu (Sekitar hujung 1960’an dan awal 1970’an). Tidak ada meklumat mengenai tumbuhan ini ditanam secara komersil atau monokrop dan tidak ada laporan rasmi mengenai keluasan yang ada di Malaysia. Artikel tengahari ini saya menulis tumbuhan ‘Letup-letup’ untuk bacaan semua yang berminat berdasarkan pemerhatian, bacaan dari buku serta website dan temubual peribadi.


Letup-letup adalah tumbuhan menjalar yang unik dan dianggap sebagai RUMPAI di negara kita. Tumbuhan ini adalah natif di Asia Tenggara, Amerika Tengah, Afrika Tengah dan Kawasan Asia Pasifik yang beriklim tropika. Batangnya berbulu serta berbentuk selinder dengan panjang antara 1.5 – 6.0 meter. Batangnya berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar kepada coklat gelap serta keras apabila dewasa. Terdapat 'sulur paut' bergulong (tendrils) yang keluar dari batabg dan akan mengikat tumbuhan ini dengan pokok lain atau pagar atau dahan. Sulur paut ini sangat kuat untuk mempastikan tumbuhan ini sentiasa berada dibahagian atas untuk mendapatkan cahaya matahari. Daun letup-letup berbentuk hati dengan 3 lekuk serta berwarna hijau muda, tebal dan agak licin dipermukaan atas dan kasar di permukaan bawah daun. Saiz daun adalah 3-5 cm panjang dan 2-3 cm lebar bergantung kepada sepsis dan kesuburan pokok. Susunan daun bersilang (alternate) dan mempunyai tangkai daun panjang serta berbau busuk apabila dilumatkan. Orang Jawa Muar kata baunya adalah ‘LANGU’.


Bunga letup-letup adalah biseksual dengan bentuk ‘Lilac’ dengan kelopak berwarna putih dan dibahagian tengahnya berwarna ungu atau jingga. Terdapat banyak jejari stamen berwarna putih-kuning ditengah-tengah bunga dan tangkai bunga adalah panjang disokong oleh sulur paut. Bunga dikeluarkan sepanjang tahun terutama pada musim panas dan agak berkurangan pada musim hujan. Bunga akan terbuka dari awal pagi (terbit matahari) sehingga tengahari dimana ianya tertutup semula. Uniknya kudup bunga seolah-olah ditutupi dengan selaput berbulu atau berjaring sebelum terbuka. Buah letup-letup berbentuk bulat dimana ianya berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar warna kuning (ada sesetangah spesis oren atau kemerahan) apabila masak dengan saiz 2-3 cm garispusat. Lazimnya terdapat 1-3 biji buah pada satu tangkai buah. Kulitnya nipis dan kedap udara dimana didalamnya mengandungi biji letup-letup berwarna hitam diselaputi lender yang manis rasanya. Isinya bersama biji akan dimasukkan mulut dan ditelan sama ada di kunyah atau tidak dikunyah selepas dipetik.


Kegunaan tumbuhan letup-letup di Malaysia belum lagi dimanafaatkan secara saintifik. Kajian oleh saintis dibeberapa negara seperti di Indonesia, Filipina dan Hawai mendapati tumbuhan ini mengandungi alkaloids seperti ERMANIN yang mana bahan ini berfungsi dalam menghalang pembiakan larva kupu-kupu perosak tanaman. Selain daripada buah masak yang boleh di makan (edible) kegunaan lain ialah untuk dijadikan rumpai penutup bumi dan pokok hiasan pagar. Tumbuhan ini lebih dianggap rumpai daripada untuk kegunaan penanaman makanan bagi penghasilan buah. Di beberapa Negara seperti di Papua New Guinea, Jawa dan Surinam bahagian pucuk daun muda digunakan sebagai sayuran. Terdapat beberapa jenis serangga yang suka akan pokok ini seperti rama-rama dan semut yang makan buah yang masak.


Pembiakan tumbuhan ini melalui biji benih yang disebarkan melalui haiwan, tercampak sendiri dan oleh manusia. Biji yang berwarna hitam dan matang akan kering dan apabila buah meletup akan tercampak keluar dan akan tumbuh apabila keadaan sekeliling sesuai. Terdapat 12 genera dan hampir ada 200 spesis tumbuhan ini didunia dari keluarga Passifloraceae yang mana kebanyakanya tidak sesuai untuk dimakan atau ditanam. Jenis Passiflora rigularis merupakan spesis yang dilaporkan sesuai ditanam di Malaysia untuk tujuan pokok hiasan yang menarik. Kajian lebuh lanjut mengenai khasiat dan kegunaan tumbuhan letup-letup perlu dijalankan pada masa akan datang untuk tujuan kebaikan seperti pembiakbakaan, penyimpanan janaplasma, makanan kesihatan, ornamental bernilai tinggi dan kosmetik. InsyaAllah!


BUAHNYA BERSARUNG…ITU LETUP-LETUP….
TUMBUH LIAR….BUKAN TEMPAT REDUP…
BIJINYA HITAM…ISINYA DISEDUT….
KHASIAT BAIK….UNTUK TERUS HIDUP….


Related articles :
1. Pokok Kadok (Klik disini)
2. Cekur (Klik disini)
3.  Bakawali (Klik disini)


By,
M Anem
PICC, Putrajaya,
Malaysia
(1.00 noon 7 Zulkaedah 1432H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...