Support My Blog

Sunday, October 16, 2011

INDUSTRI TERNAKAN DI MALAYSIA

INDUSTRI TERNAKAN DI MALAYSIA merupakan satu sektor penting dalam pembangunan pertanian di negara ini. Industri ini melibatkan aktiviti penternakan Lembu/ Kerbau, Kambing/ Bebiri, Babi, Ayam/ Itik Pedaging, Ayam/ Itik Penelur, Lembu Tenusu dan juga yang terkini Burung Walit. Sektor ini telah menyumbangkan berbillion ringgit nilai pengeluaran setahun (Tidak dilapor dalam laporan MOA 2010) dan negara kita mempunyai bekalan mencukupi untuk bekalan daging ayam, telur ayam, babi dan burung walit. Bagaimana pun untuk bekalan daging lembu dan kambing bebiri negara kita masih bergantung kepada daging impot terutama dari India, Australia dan beberapa negara lain. Pelbagai insentif dan peraturan berkaitan sektor ternakan telah dilaksanakan bagi mempastikan sektor ini akan terus berkembang pada masa akan datang. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" tentang status sektor pembangunan ternakan di Malaysia untuk bacaan semua berdasarkan Laporan Perangkaan Agro Makanan 2010 yang saya baca.


Rekod daripada Kementerian Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veriterinar (JPV) menunjukkan terdapat seramai 43,310 penternak Lembu dan 3,925 penternak Kerbau yang terlibat dalam industri ini sama ada berskala besar, sederhana dan berskala kecil. Penternak kambing/ bebiri pula direkodkan sebanyak 25,509 orang sementara penternak Ayam seramai 76,925 orang, penternak itik seramai 8,779 orang  dan  penternak babi seramai 887 orang. Pada keselurohannya negeri Kelantan merupakan negeri paling ramai bilangan penternak lembu iaitu seramai 26,186 orang tetapi kebanyakannya adalah penternak yang berskala kecil-kecilan mempunya kurang dari 5 ekor lembu diikuti dengan Negeri Terengganu seramai 5,283 orang.  Negeri Johor merupakan negeri paling banyak menyumbang sektor ternakan negara terutama dalam Ternakan Ayam (Lebih 60 juta ekor setahun), Ternakan Kambing (70,000 ekor/ tahun) serta jumlah sembelihan lembu dan kambing di Malaysia. 


Industri Ternakan Lembu di Malaysia direkodkan sebanyak 909,910 ekor Lembu pada tahun 2010 dengan sebanyak 97,580 ekor telah disembelih dirumah-rumah sembelih termasuk semasa aktiviti Korban. Kebanyakan lembu diternak secara kecil-kecilan dikawasan kampong atau secara sederhana besar dikawasan padang ragut berkelompok atau di Stesen-stesen JPV seluroh negara. Lembuh jenis KK Cross (Kacukan Kedah-Kelantan) merupakan yang paling banyak diternak selain daripada lembu impot kacukan. Terdapat sebanyak 130,090 ekor Kerbau direkodkan di negara kita pada tahun 2010 dengan sebanyak 9,130 ekor disembelih. Sabah mempunyai bilangan kerbau terbanyak iaitu 44,133 ekor diikuti dengan Pahang (17,533 ekor) dan Perak (16,951 ekor).  Jumlah pengeluaran daging segar tempatan direkodkan sebanyak 46,510 metrik tan pada tahun 2010 yang bernilai RM 819.6 juta pada tahun 2010 berbanding cuma sebanyak RM 535.4 juta pada tahun 2005. Penggunaan daging oleh penduduk Malaysia sebanyak 162,360 mt sedangkan bekalan dalam negara cuma 46,510 mt setahun. Saya kira perbezaan ini iaitu sebanyak 115,850 mt daging lembu/ kerbau perlu diimpot.


Sektor Penternakan Kambing di negara kita ada populasi sebanyak 537,667 ekor Kambing dengan sebanyak 17,720 ekor disembelih pada tahun 2010. Negeri Johor merupakan negeri paling banyak menternak kambing sebanyak 69,076 ekor diikuti dengan Kedah (57,979 ekor) dan Selangor (55,934 ekor). Bilangan kambing bebiri terdapat sebanyak 128,066 ekor bebiri dengan paling banyak terdapat di Kelantan iaitu 40,023 ekor diikuti dengan Johor sebanyak 17,111 ekor.  Sebanyak 2,390 mt daging bebiri segar dihasilkan pada 2010 sementara keperluan negara adalah sebanyak 22,550 mt setahun dan perlu mengimpot 22,150 mt setahun. Nilai pengeluaran daging kambing/ bebiri sebanyak RM 65.22 juta tahun 2010. 


Ternakan babi di Malaysia adalah sebanyak 1,711,000 ekor pada tahun 2010 dengan sebanyak 1,844,340 ekor disembelih menghasilkan sebanyak 234,000 mt daging babi berbanding sebanyak 46,510 sahaja daging lembu segar setahun. Saya buat kira-kira iaitu pengeluaran daging babi tempatan adalah sebanyak 5.1 kali ganda lebih banyak daripada Daging Lembu/ Kerbau dan sebanyak 98 kali  ganda berbanding daging Kambing/ bebiri di negara kita!.  Nilai urusniaga babi di Malaysia adalah sebanyak RM 1,682 juta pada tahun 2010. Laporan juga menunjukkan penggunaan daging babi di Malaysia sebanyak 230.11 mt setahun bermakna negara kita melebihi bekalan daging babi sebanyak 4 mt setahun.


Industri Ternakan Ayam / Itik di Malaysia merupakan industri yang paling utama didalam sektor ternakan. Sebanyak 225,789,620 ekor ayam atau ringkasnya 225 juta ekor  ayam dikeluarkan pada 2010. Populasi itek pula sebanyak 7.927 juta ekor. Daripada jumlah tersebut sebanyak 1.295 juta metrik tan daging ayam/itek dihasilkan dengan nilai sebanyak RM 5.776 billion. Permintaan dan penggunaan daging ayam di Malaysia adalah sebanyak 1,013 jut mt setahun berbanding dengan bekalan sebanyak 1.295 mt/setahun bermakna negara mempunyai lebihan bekalan daging ayam pada tahun 2010.   Hampir 30% kawasan pengeluaran ayam di Malaysia adalah Johor dengan sebanyak 60.1 juta ekor setahun diikut i oleh Negeri Sarawak (32 juta ekor) dan  Perak (18.8 juta ekor).  Tidak ada laporan mengenai aktiviti penternakan ayam di Wilayah Persekutuan.


Pengeluaran Telur dinegara kita mencapai 9.826 billion biji pada tahun 2010 iaitu jika dibanding cuma sebanyak 7.38 billion biji pada tahun 2005. Jika dikira dari segi berat pula adalah sebanyak 540,000 metrik tan yang bernilai RM 2.4 billion.  Kadar penggunaan telur di Malaysia adalah sebanyak 8.515 billion biji setahun dan ini bermakna kita mengekspot telur sebanyak 1.3 billion biji telur setahun. Telur ayam dijual dengan harga runcit mengikut gred iaitu Gred A (32 sen/biji), Gred (31 sen/biji), Gred C (30 sen/biji) sementara telur itek dijual pada harga 55 sen sebiji (Gred Besar) dan 50 sen sebiji (Gred Sedang). 


Pengeluaran susu lembu di negara kita sekitar 67.0 juta liter setahun yang bernilai RM 127.3 juta pada tahun 2010. Laporan menumjukkan keperluan penggunaan susu adalah sebanyak 1,373.17 juta liter setahun bermkna negara mengimopot produk susu dengan jumlah dan nilai yang sangat besar setiap tahun.  Ssusu segar yang dikeluarkan di Malaysia dibeli dengan harga ladang sebanyak RM 199.00 setiap 100 liter atau lebihkurang RM 1.99 seliter termasuk harga subsidi. Kawasan pengeluaran utama susu segar di Malaysia adalah di Sabah, Perak, Johor dan Pahang.


Industri paling diminati masa kini adalah penternakan burung walit atau Burung Layang2 (Bahasa tempatan). Laporan JPV menunjukkan bahawa terdapat sebanyak 6,048 buah premis burung walit di Malaysia dimana sebanyak 1,462 adalah premis berlesen sementara sebanyak 4,586 premis tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempaan (PBT). Negeri Perak mempunyai premis burung walit paling banyak di Malaysia iaitu sebanyak 2,524 buah diikuti dengan Johor (843 buah) dan Selangor (352 buah). Penghasilan produk dari ssarang burung walit dinilaikan berbillion ringgit (Data rasmi dari MOA belum ada). 


Industri Ternakan di Malaysia merupakan satu sektor penting untuk mempastikan bekalan protin dalam negara sentiasa mencukupi. Beberapa peraturan dan insentif telah menyokong pembangunan sektor ini seperti peraturan dan akta serta enakmen bagi mengurangkan potensi pencemaran alam seperti pencemaran najis, lalat, bau dan potensi penyakit bawaan tarnakan. Kes JE dan Avian Flu telah memberikan gangguan kepada penduduk dan masyarakat setempat yang perlu dipantau setiap masa. Pengimpotan jagung bijirin yang banyak menjadikan ianya merupakan jumlah terbesar dalam pertukaran wang asing untuk makanan ayam dan ruminan lain. Kaedah baru perlu dicari untuk mengurangkan penggantungan impot jagung makanan ternakan. Wallahualam...


SEKTOR TERNAKAN...PERLU DITERUSKAN...
TERNAKAN AYAM...NILAINYA BERBILLION ...
NEGERI JOHOR....ADA BANYAK REBAN...
INDUSTRI INI...KURANGKAN PENGIMPOTAN...


Related Articles:
1.Industri Ternakan Ayam (Klik didini)
2.Industri Benih di Malaysia (Klik disini)
3.Industri Bunga di Malaysia(Klik disini)
4.Industri Babi di Malaysia (Klik disini)
5.Industri Perikanan di Malaysia (Klik disini)
6.Industri Ikan Akuarium di Malaysia (Klik disini)
7.Petani di Malaysia (Klik disini)


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia
(Adad 18 Zulkaedah 1432H - Kemaskini pada 7 Ogos 2013) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...