Support My Blog

Thursday, July 1, 2010

KELAPA PANDAN

KELAPA PANDAN (Cocos nucifera) merupakan satu jenis tanaman saka dari keluarga ARECACEAE yang diusahakan untuk tujuan minuman air kelapa segar di Malaysia. Kelapa Pandan (Fragrant coconut) ini dipercayai berasal daripada negara Thailand dimana ianya diusahakan kebanyakkan di kawasan tanah rendah seperti di kawasan sawah padi dan tanaman dusun campuran dinegara tersebut. Saya baru sahaja melawat satu ladang kelapa pandan yang luas di Jasin, Melaka iaitu seluas lebih kurang 40 ekar. Kebun tersebut dimiliki oleh Encik Ah Tee telah berumur 10 tahun dan dikelilingi dengan ladang getah dan kelapa sawit serta tiada kampong atau ladang kelapa lain yang berdekatan (Jalan masuk kekebunnya hampir 64 km dari Bandar Jasin dan 2.5 km masuk jalan kebun - 20 minit dengan 4WD) . Sesiapa yang hendak cari En Ah Tee boleh hubungi Pejabat Pertanian Daerah Jasin atau Tangkak. Kebun kelapa pandan yang terasing ini adalah penting untuk mempastikan tidak ada pokok kelapa varieti lain berdekatan yang akan menyebabkan berlaku pedebungaan silang atau kacuk mengakibatkan kelapa dihasilkan nanti adalah Kelapa Pandan Tulin. Benih kelapa pandan ada dijual dibanyak nurseri swasta, pasar malam, pasar tani, HPPNK dan beberapa sumber lagi. Bagi mendapatkan benih kelapa pandan yang berkualiti sebaiknya beli daripada ladang kelapa pandan dewasa yang ada kepastian ketulinan varieti. Jabatan Pertanian ada beberapa stesyen atau pusat pertanian yang mengeluarkan kelapa pandan. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penting penanaman kelapa pandan yang dilaksanakan oleh Mr Ah Tee.


Jarak tanaman ditanam 20 kaki x 20 kaki dan menurut Ah Tee (Gambar disebelah) dimana dia berminat untuk memperluaskan tanaman kelapa pandan dengan membuka kawasan baru nanti dan akan menanam dengan jarak lebih jauh sekitar 23 kaki x 23 kaki. Ini kerana jarak tanaman sekarang terlalu rapat apabila pokok berumur 10 tahun dan ianya telah menjejaskan sinaran matahari. Kawasan ini ditanam dengan tembikai dan labu semasa peringkat awal penanaman selama 4 tahun. Pemerhatian saya mendapati pertumbuhan pokok adalah seragam dan subur. Ah Tee telah mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP) dimana tiada sebarang racun serangga atau racun kulat yang digunakan di ladang beliau. Kawalan rumput di urus dengan mesin 'Rotor Slasher' dan 'Power Ripper' dimana tiada racun rumpai digunakan sejak 5 tahun dulu. Ini penting untuk menjamin air kelapa dari kebun beliau tiada kesan sisabaki racun kerana ianya untuk minuman. Pokok kelapa adalah sensitif dengan sebarang racun kerana mempunyai akar serabut yang cepat menyerap racun dan mengalirkannya kebahagian lain pokok. Pokok kelapa juga amat sensitif dengan cuaca hujan atau panas yang berlebihan kerana ia boleh menjejaskan aroma bau pandan pada buah kelapa.


Dalam pemerhatian tersebut saya perhatikan terdapat 15 haif Lebah Keran (Apis cerana) yang disusun di bahagian tengah antara pokok kelapa dalam kebun bertujuan untuk meningkatkan proses pendebungaan. Ah Tee mendakwa lebah tersebut telah meningkatkan kadar pendebungaan kelapa pandan sebanyak 60% berbanding dengan sebelum dimasukkan lebah madu semenjak 2 tahun dulu. Haif Lebah Madu tersebut disusun di atas bakul buah atau tiang kayu yang juga kurang diberi perhatian atau diurus seperti teknologi pemeliharaan lebah yang saya ajar penternak lebah di Muar dan Parit Botak (Saya terlibat dengan teknologi penternakan lebah madu hampir 11 tahun). Kutipan madu bagaimana pun lingkungan 8-10 kilogram setiap bulan walau pun pengurusan haif lebah pada tahap minima. Saya dapati memang ada sumber nektar mencukupi terutama pada musim kering dimana bunga banyak menghasilkan nektar. Madu Lebah dijual dengan harga RM 10.00 - RM15.00 satu botol 250 -300 ml. Madu dari nektar kelapa mempunyai aroma dan kadar kamanisan yang sangat baik. Penghasilan madu lebah ini boleh ditingkatkan jika beliau lebih serius dalam aktiviti ini yang dianggap sebagai agen pendebungaan sahaja bukan untuk mengumpul madu lebah.


Teknologi Pembajaan Kelapa Pandan yang diamalkan diberi untuk kebun ini menggunakan sejenis baja impot (Jenis Yara Mila) yang mana ianya didapati mengandungi NPK 12:11:18S:3 MgO + 85 + TE dan sangat berkesan untuk kesuburan pokok kelapa pandan. Baja Yara Mila diimpot dan diedar oleh sebuah syarikat di Tangkak, Muar, Johor. Selain itu baja sebatian SOP juga digunakan (NPK15:10:20:2 TE) yang di tabur sebanyak 4 kali setahun pada kadar 200 gram sepokok. Pemerhatian bagi mempastikan kualiti hasil kelapa seperti dikehendaki iaitu ujudnya kualiti 'Bau Pandan' dan 'Rasa Manis', maka ada teknologi membubuh Garam Makan/ Garam Masin di tabur sebanyak 1-2 kg sepokok sebanyak 4 kali setahun pada pangkal pokok kelapa. Baja organik tahi ayam proses juga perlu ditabur sebanyak 300-400 gm sepokok sebanyak 3 kali setahun. Kaedah pembajaan ini sesuai untuk umur pokok 10 tahun dan diberikan di keliling pangkal kanopi pokok. Perlu difahami yang pokok kelapa pandan memerlukan baja organik yang banyak untuk menjamin kesuburan pokok. Kalau pokok kelapa pandan tidak dibaja hasil dan kualiti buah kelapa pandan kurang memuaskan. 


Penuaian Kelapa Pandan apa yang saya kaji hendaklah di petik dan dipilih dari kedudukan tandan yang paling bawah sekali dimana terletak pada kedudukan selari dengan tandan buah diatasnya apabila saiz buah itu telah sebesar 'gengaman tangan'. Buah kelapa matang akan di petik dengan menggunakan sabit dengan galah aluminium yang tajam. Lazimnya dengan ketinggian sekarang antara 15-20 kaki dari paras tanah, maka satu teknik baru di praktikkan di kebun ini. Sebelum memetik hasil tandan kelapa, pekerja mahir (Indonesian worker) akan memotong dulu satu pelepah daun tua dahulu. Pelepah tersebut akan dijadikan 'laluan turun' bagi tandan buah yang dipotong tadi dengan jatuh melorot pada pelepah tadi dan sampai ketanah agar tidak rosak atau pecah. Kaedah menggunakan tangga dan tali kini sudah tidak praktikal lagi untuk memetik tandan kelapa pandan dikebun Ah Tee kerana ianya adalah lambat dan kurang praktikal. Bagaimana pun tangga masih perlu digunakan jika pokok kelapa pandan tersebut sudah kekurangan pelepah untuk dipotong bagi melorotkan tandan kelapa kebawah.


Lazimnya tandan buah yang dipetik akan di kumpulkan, di leraikan  bijinya serta diperiksa dan digredkan mengikut saiz (70-80% mempunyai saiz seragam). Dilihat dimana keseragaman buah amat tinggi dikebun ini kerana teknologi penggunaan baja dan amalan kebersihan kebun sangat baik serta tanahnya yang subur (Jenis tanah mineral). Kajian Ekonomi oleh penilik kebun Ah Tee mendapati hasil pengeluaran buah kelapa pandan ada waktu rehat iaitu selama 2 bulan setiap tahun atau ianya dikatakan 'musim lawas'. Penghasilan dari kebun ini dilaporkan sekitar 65,000 - 70,000 biji  kelapa muda sebulan dan kelapa tersebut dijual kepada FAMA (30%) dan Pasar Borong Melaka(70%). Harga purata jualan  ladang kelapa pandan Ah Tee ialah RM 1.00 sebiji jika datang ambil di kebun dan RM 1.30 sebiji jika dihantar ke Bandar Melaka atau keTangkak, Johor. Kekerapan memetik buah 2-3 kali seminggu ikut jadual biasa dan ditambah jika ada tempahan khusus dari pembeli atau pemborong. Pemilihan pokok kelapa akan dijadualkan mengikut program penuaian yang diaturkan sama ada mengikut barisan tanaman atau mengikut blok. 


Keluasan kebun kelapa 40 ekar ini cuma perlukan 3 orang pekerja sahaja untuk mengurus kebun dan dakwa Ah Tee tanaman ini hampir 2-3 kali ganda lebih untung dari tanaman kelapa sawit jika dibuat analisa ekonomik. Purata anggaran pendapatan kasar bulanan dari kebun ini diantara RM 60,000 - RM 70,000 sebulan. Kebanyakkan kelapa pandan ini digunakan untuk  air minuman kelapa segar dan dijual runcit pada harga RM 4.00 - RM 5.00 sebiji di restoran biasa. Harga kelapa pandan yang di kupas kulit akan mencapai sehingga RM 7.00- RM 10.00 sebiji jika di jual dalam hotel dan Kompleks Perniagaan. Menurut Ah Tee penjual air kelapa di pasar malam atau ditepi jalan cuma menggunakan sebanyak 10 biji kelapa pandan yang dikopek kemudian dimasukkan kedalam tong air dan yang banyak ialah adalah komponen air gula dan ais!. Tetapi saya terjumpa ada penjual di pasar malam ada yang menggunakan air kelapa dari Varieti Kelapa Tinggi (Malaysian Tall) atau Varieti Kelapa Matag dan dibubuh 'perasa pandan' untuk dijual sebagai air kelapa pandan... jangan tertipu!.. Kalau tekak sudah haus sedap juga.


Teknologi tanaman kelapa pandan memang telah ada di Jabatan Pertanian dan ramai pengusaha swasta. Saya juga telah menjumpai ramai petani yang gagal menjadi usahawan kelapa pandan seperti Mr Tan (Di Kahang, Kluang, Johor), En Yusop (Di Endau, Mersing), En Tham (di Desaru, Kota Tinggi) dan ramai lagi. Antara punca kegagalan penanaman kelapa pandan ialah kerana kerosakan tanaman oleh serangan musuh (Kumbang Tanduk, Nematod, Ulat Makan Daun) dan binatang liar (Babi Hutan, Lembu, Kambing) pada dua tahun pertama penanaman. Peringkat awal penanaman kelapa pandan memang amat sukar jika tidak diuruskan dengan baik. Faktur terpenting dalam menanam kelapa pandan kini adalah untuk menentukan punca benih sah terjamin. Ia dikatakan menjadi satu masaalah dimana setelah pokok berbuah bukan semua menjadi kelapa pandan. Kelapa pandan perlu ditanam secara terasing di Malaysia dan kawasan yang dipilih tersebut perlu dipilih ditepi hutan atau dikelilingi ladang getah atau sawit yang terasing untuk menjamin tidak berlaku 'cross-pollination'. Kajian dari beberapa laporan teknikal sebaiknya jarak sesuai melebihi 1 kilometer dengan sempadan kelapa varieti lain.


Ramai dikalangan pembaca blog pertanian "Anim Agro Technology" memberi komen dan pertanyaan dari mana mereka hendak mendapatkan benih kelapa pandan yang tulin. Artikel ini yang diterbitkan pada 1 Julai 2010 menerima pembacaan melebihi 15,500 orang pembaca sehingga kemaskini ini dibuat. Nampaknya ramai dikalangan usahawan yang berminat menanam kelapa pandan setelah membaca artikel ini. Nasihat saya kepada mereka yang hendak mencuba menanam sendiri kelapa pandan adalah dengan belajar daripada Pejabat Pertanian atau institusi lain tetapi sebaiknya buat lawatan kekebun kelapa pandan yang telah berjaya. Saya fikir ramai diantara kita ingin mendapatkan benih yang tulin. Satu cara adalah membuat lawatan kekebun Ah Tee di Kg Cohong, Jasin, Melaka. Kebun contoh ini memberikan satu perspektif baru mengenai amalan teknologi dan agronomi penanaman kelapa pandan. Mungkin cara pengurusan kelapa pandan perlu disesuaikan dengan kawasan lain yang agak berlainan. Selamat minum air kelapa pandan. Ianya sangat sedap diminum ketika kita sangat dahaga apa lagi kalau dapat free. Wasallam!.
TANAM KELAPA ....KELAPA PANDAN .....
KEBUN DIJAGA...GAP DI AMALKAN....
BUAH SERAGAM....HARGA LUMAYAN...
BERANI MELABUR...PASTIKAN PASARAN...


Related Article:
1. Coconut (Klik disini)
2. Air Kelapa Muda (Klik disini)
3. Klon Buah Popular di Malaysia (Klik disini)
4. Minyak Kelapa Dara (Klik disini)
5. VCO (Click heere)


By
M Anem
Senior Agronomist,
Kg Chohong,Jasin, 
Melaka,
Malayisa.
(Kemaskini pada 20 Julai 2014)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...