.jpg)
Kg Dingin di Daerah Kulim, Kedah merupakan sebuah kampong yang aman dan damai dimana terdapat tanaman getah (Hevea spp) dan kelapa sawit (Elaeis guineensis) sebagai tanaman utama. Terdapat projek tanaman sayuran dan kontan di kawasan perkampongan KEDA iaitu laluan jalan masuk ke Kg Dingin. Tanaman seperti jagung, sayuran jenis buah (Timun, Petola, bendi) didapati hidup subur di kawasan tersebut. Terus masuk kedalam Kampung Dingin Kumpulan kami bertemu dengan Encik Fakrurazi Che Din dan Encik Mutalib Che Din untuk membuat tinjauan teknologi dusun buah-buahan di Kg Dingin, Daerah Kulim, Kedah. Tanaman buah-buahan yang diusahakan oleh mereka ialah Pulasan (Nephelium mutabile) dan Limau Manis Madu (Citrus suhuensis - Klon M33).
.jpg)
Kebun beliau mempunyai sistem pengairan renjis bantuan Jabatan Pertanian yang mengambil air sungai yang di pam naik kedalam tangki di puncak bukit. Setiap pokok dipasang 2 unit 'emitter' yang dipasang di kiri dan kanan pokok. Pokok pulasan merupakan jenis tanaman yang sangat kritikal dalam keperluan air ketika proses pembentukan buah pulasan. Kajian saya dibeberapa kebun di Johor dan Melaka mendapati kebun pulasan yang tiada sistem pengairan gagal menghasilkan buah yang diharapkan kerana banyak putik pulasan gugur dan tiada isi (Kempes/ Kosong). Penanam pulasan perlu faham masaalah pembentukkan buah pulasan yang banyak kempes akibat kekurangan air dan kurang baja organik selain daripada faktur cuaca. Kejadian 'Biennial Fruiting' juga berlaku pada tanaman pulasan dimana buah yang banyak pada satu musim dan musim berikutnya melawas.
.jpg)
Musim lepas beliau menuai sebanyak 8 metrik tan buah pulasan iaitu daripada kira-kira 80% daripada pokok pulasan yang berbuah. Buah pulasan beliau di gredkan mengikut saiz dan kualiti iaitu Gred A (10 biji sekilogram) dan Gred B (14 biji sekilogram). Buah Gred A dijual dengan harga RM 5.00 sekilogram sementara buah Gred B dijual dengan harga RM 4.00 sekilogram. Peraih buah datang kekebun untuk membeli buah pulasan dari Kg Dingin. Pasaran buah pulasan disekitar Alor Setar, Pulau Pinang dan Perak Utara.
.jpg)
Kawalan rumpai dibuat dengan cara memotong rumput menggunakan mesin pemotong rumput dan semburan racun kimia dikawasan pinggir kebun. Sistem pengairan titis dipasang setiap pokok kerana musim kering dikawasan ini adalah kritikal pada bulan Januari, Febuari dan Mac setiap tahun. Kawalan serangan serangga dan kulat dijalankan dengan menggunakan racun dan amalan kultura. Baja NPK 12:12:17:2 TE dan baja Organik dengan kandungan NPK 8:8:8 digunakan selain daripada baja tahi kambing (1-2 kg sepokok). Kemasaman tanah telah diperisa dengan pH antara 3.5 - 4.5 pada bulan lepas dan disyorkan agar pengapuran dibuat didusun tersebut.
.jpg)
Musim lepas (Januari hingga Jun 2010) sebanyak 7,000 kg limau madu dari dusun abd Mutalid dapat dituai dan dijual kepada peraih dan jualan terus dengan harga Gred A (RM4.00 /kg), Gred B (2.00 sekilogram) dan Gred C (RM 1.00 sekilogram). Penanaman limau madu di Dusun Kg Dingin ini merupakan satu contoh projek tanaman limau madu yang berjaya di Kedah kerana dapat bertahan sehingga 10 tahun. Tidak ramai petani bumiputra yang mampu menjaga kebun limau madu seperti Encik Mutalib. Katanya "Pokok limau perlu sentiasa di dampingi dan diperiksa setiap hari....seperti juga kita menjaga keluarga kita...baru boleh berjaya"...
Kg Dingin di Kulim ini merupakan sayu contoh dimana tanaman buah-buahan seperti Pulasan dan Limau Madu M33 boleh dikomersialkan dan mendapatkan pendapatan lumayan kepada petani.
KG DINGIN...ADA DUSUN BUAH....
POKOK PULASAN..DILERENG BUKIT....
TANAH SUBUR..KAMPONG BERTUAH....
LIMAU MADU...HASIL BUKAN SEDIKIT....
KG DINGIN...KG DINGIN...HUJAN...SEJUK!
By
M Anem
Kg Dingin
Kulim, Kedah
Julai 2010
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.