Support My Blog

Sunday, May 29, 2022

TANAM BENDI FERTIGASI

TANAMAN BENDI
 (Hibiscus esculentus) merupakan satu aktiviti perkebunan yang mudah dan mampu memberikan pulangan yang baik. Selain dari menanam di kebun kini penanaman bendi boleh dijalankan dengan Teknologi Fertigasi. Sayuran jenis buah ini juga seringkali dipanggil sebagai 'Kacang Bendi' iaitu tumbuhan daripada keluarga Malvaceae yang mana seluas 3,283 hektar telah di tanam di Malaysia pada tahun 2021 menghasilkan sebanyak 62,796 metrik tan (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia 2022). Penuis blog mendapati Negeri Perak paling luas menanam bendi iaitu seluas 1,169 hektar menghasilkan 23,557 metrik tan diikuti dengan Negeri Johor (842 hektar) dan Sarawak seluas 395 hektar. Tinjauan penulis blog dibeberapa negeri mendapati dimana penanaman bendi ini selaunya dikombinasikan dengan sayuran buah yang lain seperti terung, timun, peria dan juga sayuran daun. Selain itu penanaman benii juga dilakukan dikawasan sekeliling rumah didalam pasu atau polibeg sebagai salah satu tanaman dibawah program bumi hijau yang popular. Bendi yang dipercayai berasal dari Afrika Utara ialah sejenis tanaman sayuran buah yang berlendir. Ia mudah ditanam dan kurang diserang penyakit dan perosak. Buah dan bahagian-bahagian lain tanaman ini boleh dipelbagai gunakan seperti buahnya boleh dimasak dengan pelbagai cara; kari, sebagai ulam, salad dan digoreng. Buahnya juga diproses iaitu ditin, dibekukan dan dijeruk dengan garam. Lendirnya pula digunakan sebagai bahan pemekat untuk sos tomato. Di India, batang-batang bendi yang tua dijadikan kertas dan biji-bijinya yang tua dijadikan minuman harian menggantikan kopi. Pertama sekali saya menulis mengenai tanaman bendi adalah diposting pada 29 Disember 2009 iaitu 13 tahun dahulu dengan pautan berikut (Sila klik disini). Artikel pada subuh ini saya terus menulis sekali lagi teknologi fertigasi tanaman bendi dalam blog "Anim Agro Technology" agar ianya boleh dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.

Teknik menanam bendi secara fertigasi boleh dilakukan diatas tanah, didalam polibeg, dalam pasu dan juga secara fertigasi gantung. Bagaimana pun cara menanam bendi didalam polibeg dan diatas tanah merupakan yang paling lazim dijalankan. Penulis blog pernah menanam bendi dalam polibeg sesuai dikawasan belakang rumah semasa bertugas di Kuching, Sarawak lama dahulu dan memang berbaloi (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun sesiapa yag ingin menanam bendi secara fertigasi perlu mendapatkan teknologi dan ilmunya dahulu terutama mengenai amalan teknologi sistem fertigasi, segala peralatan dan keperluan bahan yang perlu digunakan. Kalangan mereka yang suka bercucuk tanam memang sudah menjadi hobi menanam bendi dan sayuran serta ulaman lain dikawasan keliling rumah. Selain ianya dilihat mencantikan kawasan rumah dilaporkan dimana hobi ini akan memberikan hasil bendi yang segar dan selamat dimakan. Apa tidaknya apabila pokok bendi ini berbuah maka pada setiap hari boleh memetik untuk dimasak sendiri atau disedekahkan kepada jiran malahan jika kuantinunta banyak boleh dijual pula. Cara menanam dan menjaga bendi secara fertigasi diaporkan memang mudah dilakukan oleh semua golongan masyarakat. Apa yang perlu adalah kemahuan dan minat berkebun. 

Bagaimana pun paling penting adalah agar pembaca blog ini mempunyai kawasan sesuai untuk menanam bendi dimana ia memerlukan cahaya matahari yang banyak untuk proses pertumbuhan terbaik. Pastikan untuk memilih kawasan tanah yang lapang dan tidak mudah bertakung air semasa hujan lebat. Kerja asas yang dijalankan adalah penyediaan kawasan dengan membajak (merotor) sebelum anda membuat batas tanaman setinggi 3-4 inci. 
Kalau tanah kecil memadai batas dibuat dengan gunakan batubata yang disusun dikiri dan kanan batas sebelum dipasang plastik silvershine (Sila lihat foto paling atas sekali). Seterusnya adalah pemasangan 'sistem fertigasi' itu sendiri yang terdiri daripada tong bancuhan larutan baja fertigasi, pam, sumebr bekalan air bersih, sistem penghantaran (paip) dan juga alatan mengukur kepekatan air baja. Sediakan lubang penanaman diatas batas dengan menebuk lubang diatas plastik penutup batas. Sebaiknya dapatkan benih berkuakiti sebelum ianya ditanam dengan meletakkan bijih benih yang boleh ditanam terus atau disemai dulu dalam tray 104 lubang. Gunakan media tanaman seperti peatmoss sebagai media semaian. Lazimnya jangkmasa tempoh semaian antara 8 - 14 hari.  Apa pun digalakkan menanam anakbenih apabila berumur anak 12 hari dimana biasanya masa itu anak benih sudah ada 2 helai daun yang sihat dan berfungsi. Tanam dengan jarak 6’ x 3’ sebab untuk memberikan pokok cukup ruang untuk dapat cahaya dan udara. Bila cahaya matahari mencukupi maka  pokok akan tumbuh secara tegak dan akan banyak cabang. Bila tanaman bendi ada banyak cabang lazimnya buah pun akan banyak.

Tanaman 
bendi secara fertigasi diatas tanah selalunya akan menggunakan jenis baja larutan Cooper @ Stok AB. Sistem pengairan titis (Drip system) sesuai diguna dimana cara ini adalah amat menjimatkan air dan baja sebab tanaman bendi ini kategori jenis sayur bernilai rendah (atau tidak mahal sangat dipasaran). Jika menanam bendi selalunya menggunakan media cocopeat atau media sekam padi bakar maka kesannya adalah kos baja tinggi dan pokok cepat tumbang pula. Sebaiknya sehari lepas tanam terus disembur dengan racun kulat dan racun serangga yang juga sudah dicampur pelekat dalam racun tersebut untuk lebih lama lekat pada daun. Pembajaan dilakukan pada hari pertama hingga keempat lepas tanam iaitu dengan teknik memberikan air kosong sahaja setiap pagi dan petang. Disyorkan kadar pemberian air ini sekitar 500 ml setiap kali drip. Kemudian pembajaan dimulakan dengan pemberian larutan baja yang dibancuh dalam tong simpanan iaitu bermula pada tanaman berumur 5 hari selepas tanam. Diberikan pengairan titid ini dengan kadar 500 ml setiap pokok pada waktu pagi dengan kepekatan 1.5 mS. Pastikan pada sebelah petang tanaman ini diberika bagi air kosong sahaja.  Berikan drip air kosong dua kali sehari pada hari yang tidak diberikan air baja. Jika terlalu panas pula disyorkan agar diberikan titisan 3 kali sehari. Kuantiti air setiap kali diberikan titisan/drip disyorkan lebih kurang 500 - 1000 ml. Pastikan mengulang semua langkah diatas setiap 3 hari sekali. Kuantiti pemberian larutan ini di antara 500 - 1000 ml. Tambahkan kepada kadar kepekatan 0.1 mS setiap kali siraman dilakukan hingga maksimun 3.0 mS. Sebaiknya seminggu sekali perlu juga disembur dengan foliar AB. Gunakan kadar kepekatan 2.0 mS dan sembur pada awal pagi. Dalam pada itu amalan menyembur racun kulat dan racun serangga jika ada tanda serangan penyakit atau perosak boleh dilakukan. Biasanya bendi ni paling kurang penyakit dan perosak kerana memang ia adalah tumbuhan yang mudah diuruskan dan dijaga. Boleh dibuang daun yang tidak berfungsi dan juga dibuat para seperti para trellis pada umur 2 minggu lepas tanam supaya pokok tak tumbang. Menanam bendi fertigasi diatas tanah lazimnya boleh menjimatkan air dan baja. Bila tanam atas tanah selalunya air baja bagi dua kali sahaja seminggu. Jika tanam menggunakan media cocopeat pula terpaksa untuk memberikan air baja 3 kali sehari dimana ini merugikan kos bahan input. Periksa sentiasa agar keadaan pokok tumbuh tegak kerana pokok menegak akan ada cabang yang banyak dimana pokok bercabang banyak maka buahnya juga akan menjadi banyak. Lazimnya pokok bendi ini akan mula keluar putik bunga pada umur 25 hari lepas tanam dan seminggu lepas itu maka hasilnya sudah boleh dikutip yang perlu dituai pada tiap-tiap hari. Pastikan juga mengamalkan membuang daun yang tak berfungsi secara berkala sebab ia boleh mengurangkan risiko penyakit dan menjimatkan air. Buah bendi yang segar dan muda ini sesuai dimakan segar atau dijual kepada pelanggan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!.
MENANAM BENDI... ADA BANYAK CARA...
TEKNIK FERTIGASI... MUDAH SAHAJA...
SEDIAKAN BAHAN... BENIH BAIK PULA...
MENUAI BENDI... SUNGGUH BAHAGIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Cendana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(27 Jamadilakhir 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...