Support My Blog

Wednesday, August 4, 2021

DURIAN GORENG SUDAH VIRAL

DURIAN GORENG
merupakan makanan yang memang unik dimakan dan viral selain daripada makan ulas durian segar di Malaysia. Penulis blog kali pertama makan durian goreng sekitar tahun 1990'an semasa menghadiri satu jamuan oleh pemilik dusun durian di Air Molek, Melaka bersama rakan pejabat. Memang kali pertama dahulu macam tidak percaya bahawa ulas durian yang disalut dengan tepong khusus dan kemudian digoreng enak dimakan. Buah durian (Durio zibethinus) merupakan 'Raja Segala Buah' kerana rasa akan keenakannya, aromanya dan kemanisannya selain daripada kini durian premium dijual dengan harga yang mahal sekali. Walau pun sudah dua tahun sejak 2020 sehingga artikel ditulis pada Ogos 2021 negara dilanda pandemik covid-19 namun harga durian masih tetap tinggi terutama durian Musang King, Tekka, D24, Duri Hitam dan sebagainya dan agak sukar juga untuk  mendapatkannya. Kemewahan kita untuk makan buah durian macam dulu-dulu sebelum wabak covid19 menjadi kerinduan kepada ramai peminat buah durian yang dulu bebas untuk mengunjungi gerai-gerai durian. Bagaimana pun penulis blog sempat juga membeli buah durian dengan harga RM85.00 untuk 5 biji iaitu bercampur antara durian cantum dan juga durian kampung di Melaka. Buah-buah durian tersebut selain dari dimakan segar (2 biji) masih tidak boleh menghabiskannya lalu sebahagian di buat bubur kacang (1 biji) dan dua biji lagi dijadikan 'durian goreng'. Memang puashati juga dapat makan durian goreng dengan resepi khas disertakan untuk dikongsi pembaca semua. Bahan-bahan diperlukan bagi hidangan durian goreng mudah adalah 1/4 cawan tepung gandum, 1/4 cawan tepung beras, 1/4 cawan tepung jagung, sedikit serbuk kunyit dan garam, air untuk guna membancuh adunan dan isi durian serta minyak masak untuk menggoreng. Cara-cara membuat durian goreng mudah dilakukan iaitu dengan mencampurkan semua bahan di atas mengikut turutan (kecuali isi durian). Sebaiknya adunan dikacau sehingga sebati. Bancuhan tepung menggoreng janganlah terlalu cair bagi mendapatkan salutan yang menarik. Kemudian dicelupkan isi durian ke dalam adunan tersebut dai pastikan ia merata. Masukkan kedalam kuali yang mengandungi minyak panas dan terbalikan beberapa kali sehingga kekuningan dan kemudian diangkat untuk ditoskan minyak sebelum dihidangkan. Enak dimakan semasa suam panas bersama minuman air kopi panas dimakan bersama seisi keluarga. Artikel pagi Selasa dalam blog "Anim Agro Technology" kali ini saya akan paparkan mengenai resepi menyediakan kulineri durian goreng dan info dilaporkanoleh media lokal yang ia sudah viral untuk dijadikan bahan rujukan semua.

Media KOSMO dengan tajuk berita 'Durian goreng pula jadi rebutan ramai' menarik dikongsikan dengan pembaca. Berita dari Sungai Siput, Perak tersebut menyatakan dimana dua beradik yang berniaga gerai makan di Arked Mara di sini mendapat idea kreatif apabila menjual durian goreng RM1.00 seulas memandangkan masa sekarang musim buah durian berkenaan. Usaha Nor Faizatul Shawani Abu Bakar, 31 tahun dan adiknya Nor Farhana Fatihah, 24 tahun berbaloi apabila jualan mereka telah mendapat sambutan dari penggemarnya sehingga tidak menang tangan. Mereka pada mulanya menjual goreng pisang pada 1 Julai 2021 selepas melihat perniagaan masakan panas mereka berhasil. Pada hari pertama mereka jual goreng pisang kemudian esok­nya terus jual durian goreng dan tidak sangka mendapat sambutan hingga menjadi tular. Mulanya 100 ulas durian goreng sehari, kini lebih 300 ulas terjual selepas menjadi tular. Tambahnya, dia dan kakak­nya tidak sangka cubaan mereka membuahkan hasil dan benar-benar membantu mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas terkesan oleh PKP. Anak kelahiran Kampung Durian Mas Manir, Kuala Terengganu ini berkata dimana pada mulanya dia dan kakaknya khuatir durian goreng yang dijual mereka tidak mendapat sambutan ekoran harganya RM1.00 seulas. Mereka menggunakan durian kampung serta resepi bancuhan tepung daripada ibunya untuk menghasilkan durian goreng yang dijual kepada pelanggan.  Gerai mereka dibuka bermula pukul 2 petang dan ditutup pada pukul 5 petang.

Akhbar Harian Metro pula dengan berita bertajuk '
Durian goreng 'meletup' sebanyak 100 kg dijual sehari' cukup menarik dikongsi sama. Berita dari Ipoh, Perak ini ditulis dimana keputusan untuk menjual durian goreng yang pada awalnya bagi mengelak lambakan raja buah itu akhirnya mendatangkan pulangan lumayan kepada usahawan peniaga durian iaitu Suhaimi Azimi berumur  39 tahun baru-baru ini (Sila lihat foto disebelah). Menu kudapan petang unik itu mula menjadi perhatian umum dan bualan ramai yang tidak mahu ketinggalan merasai sendiri keenakan durian goreng berkenaan. Gerai yang kini beroperasi dengan nama Kedai buah-buahan Cik Bunga di Jalan Besar Bercham bersebelahan Taman Sri Kurau, di sini, mula tular kerana keistimewaan isi durian yang terus digoreng bersama bijinya. Idea itu tercetus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan hampir 80 peratus buah duriannya tidak terjual. Dalam tempoh PKP ini lambakan buah durian terlampau banyak, kalau dahulu sekurang-kurangnya 500 kilogram (kg) buah durian terjual setiap hari tetapi sekarang hendak jual 100 kg pun susah. Dia tidak dapat lagi untuk  menghantar buah duriannya ke bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor kesannya harga juga jatuh teruk sehingga RM3 sekilogram berbanding RM20 sebelum ini. Kemudian dia terfikir untuk mencuba sedikit kelainan dengan menggoreng isi durian terus bersama bijinya dan kini sudah bersyukur cubaannya telah menjadi dan mendapat sambutan. Sekurang-kurangnya sebanyak 100 kilogram durian yang digoreng itu laku terjual dalam sehari.

Dalam pada itu portal berita lain juga megisahkan begaimana 'Durian Goreng mendapat sambutan hangat' di Melaka. 
Peniaga durian tersebut adalah Husin Zahari yang berumur 30 tahun sering menggoreng isi durian untuk dijual di Bandar Melaka. Berikutan lambakan durian berlaku pada waktu sekarang dan sukar dijual kerana wabak pandemik covid-19 maka dia telah mengambil inisiatif untuk memulakan jualan durian goreng yang sememangnya unik dan jarang ditemui. Kudapan ini dijual dengan serendah harga RM10 bagi 15 hingga 20 ulas bergantung kepada saiz durian. Dilaporkan sudah banyak usaha sudah dilakukan untuk cara dalam mempelbagaikan menu yang berasaskan durian untuk memikat hati sesuai dengan selera atau tekak pelanggan.  Sebelum ini dia telah mencuba untuk membuat pelbagai variasi seperti cucur durian, durian crepe, kek 'topping' isi durian, dorayaki dan sebagainya demi untuk mengatasi lambakan buah durian tersebut dikampungnya di Air Molek. Dia mendapat bekalan durian dari Jasin dan Tangkak serta menggunakan isi durian jenis kampung bagi tujuan menghasilkan durian goreng untuk dijual kepada pelanggan.
Dia menggunakan bancuhan tepung resipi yang diwarisi daripada ibunya sepertimana adunan untuk gorengan buah cempedak goreng. Dia hanya perlu mencelupkannya ke dalam bancuhan adunan tepong dan kemudian digoreng sehingga kuning keemasan (Sila lihat foto disebelah). Selain menjual didalam paket 20 ulas sekotak dia juga akan menjual dimana bagi saiz besar dia menjualnya sebanyak RM1.00 seketul manakala bagi saiz kecil pula RM1.00 untuk dua ketul. Apa pun asasnya bagi durian kampung jika banyak bekalan ianya akan dijual dengan harga lebih berpatutan berbanding dengan buah durian premium. Gerainya selalu beroperasi bermula jam 12 tengahari sehingga jam 7 malam pada hari Selasa hingga Ahad pada musim durian. Setiap hari pada sebelah pagi kami akan mula pergi mendapatkan bekalan daripada peraih bagi tujuan memastikan pelanggan benar-benar dapat merasai nikmat isi durian goreng yang sedap dan segar. Selain itu lagi bagi merancakkan hasil jualan menu itu turut mempromosikan di dalam pelbagai medium media sosial. Kini selain daripada menu istimewa durian goreng maka dalam masa yang sama dia turut menjual cempedak goreng, durian crepe dan juga pelbagai buah-buahan tempatan di gerai itu agar pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan
. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
DURIAN GORENG... MENU ISTIMEWA...
ISI DURIAN DI CELUP... DIGORENGNYA...
DISALUT TEPONG... ENAK RASANYA...
RAMAI MENCUBA...BAIK SAMBUTANNYA...

By,
M Anem,
Seenior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandaraya Melaka Bersejarah,
Air Keroh, Melaka,
Malaysia.
(24 Zulhijjah 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...